Tidak ada kekurangan keuntungan yang dihasilkan di dalam industri perbankan di Malaysia. Pada 2025, kira-kira RM51 bilion keuntungan sebelum cukai telah dicatatkan, meningkat 13% berbanding tahun sebelumnya. CEO Public Bank pula dilaporkan menerima RM177,000 dalam hanya satu hari sahaja.
Namun pada masa yang sama, ketika berdepan dengan kos sara hidup yang melambung tinggi dan juga masa depan yang semakin tidak menentu, lebih 15,000 ahli NUBE masih menunggu penyelesaian CA20, yang telah tergendala hampir tiga tahun, sedangkan tempoh tersebut akan berakhir dalam jangka masa lebih kurang tiga bulan lagi.
Sudah tentu pihak majikan mampu memenuhi tuntutan CA20 untuk kenaikan gaji 22.4% — bukannya 9% yang begitu kecil — dan mengurangkan minggu kerja biasa daripada 39 kepada 35 jam. Mereka juga sudah tentu mampu membayar Bantuan Perayaan (FA) bersamaan dua bulan gaji setiap tahun. Tetapi kemampuan mereka untuk membayar tidak bermakna mereka akan berbuat demikian. Secara objektif, motif keuntungan kapitalis dan logik pasaran mendorong mereka untuk menekan gaji serendah mungkin, lebih-lebih lagi ketika krisis kapitalisme semakin mendalam. Secara subjektif pula, mereka mempunyai segala kepentingan untuk menentang setiap kemajuan kekal yang dimenangi pekerja selagi kos untuk terus melawan masih lebih rendah daripada kos membuat konsesi — terutamanya apabila tindakan industri dan gangguan terhadap keuntungan mula menjadi kemungkinan sebenar.
Ini juga menjelaskan mengapa tuntutan demokratik dalam CA20 menjadi begitu sengit dipertikaikan, khususnya tuntutan yang menentang usaha MCBA untuk menghakis perlindungan yang telah dimenangi di bawah CA19 dalam soal hak kesatuan sekerja dan dialog sosial. Pengukuhan hak-hak ini akan memberikan pekerja yang tersusun pengaruh yang lebih besar terhadap dasar di tempat kerja dan dalam industri.
Akhirnya, imbangan kekuatan antara kelaslah yang menentukan sama ada kapital terpaksa membuat konsesi kepada buruh — atau sebaliknya menggandakan tentangan dengan menggunakan undang-undang, mahkamah, polis dan seluruh jentera negara untuk membendung kemarahan dan militansi pekerja yang semakin meningkat.
“Mafia korporat” dan watak kelas negara
Ketika kempen #BankTipuKita dilancarkan, pimpinan NUBE bertanya: Adakah “mafia korporat” telah mengubah bank-bank — termasuk sebahagiannya yang sepatutnya berfungsi sebagai GLC yang bertanggungjawab secara sosial — menjadi “raksasa” di bawah pengawasan kerajaan Madani?
Tidak dapat dinafikan kaedah ala samseng dan “budaya ketakutan” yang digunakan oleh pihak majikan terhadap pekerja yang terlibat secara aktif dalam perjuangan kolektif. Selama bertahun-tahun, NUBE telah melaporkan kes demi kes usaha mematahkan kesatuan, intimidasi dan diskriminasi, sama ada di jalanan mahupun di tempat kerja. Dalam beberapa aksi ketika gelombang piket aman pada 2024, kehadiran polis yang luar biasa besar turut dilaporkan. Penggerak kesatuan berdepan sabotaj kerjaya dan, dalam sesetengah kes, penggantungan kerja malah turut berlakunya insiden pemecatan. Bahkan baru-baru ini, ahli NUBE yang memakai lencana #BankTipuKita telah diarahkan menanggalkannya, menerima surat tunjuk sebab, diancam tindakan tatatertib dan, menurut NUBE, puluhan pekerja telah digantung kerja.
Begitu juga, satu hal yang tidak dapat dinafikan adalah berkenaan watak kelas negara. Pada April 2024, bekas Menteri Sumber Manusia Steven Sim telah memintas Jawatankuasa Tetap MCBA–NUBE yang diwujudkan di bawah CA19 dan merujuk pertikaian CA20/FA ke Mahkamah Perusahaan. Campur tangan langsung oleh negara ini bukan sahaja telah memanjangkan pertikaian; ia juga secara undang-undang telah mengehadkan tindakan industri yang berkaitan dengan pertikaian tersebut sepanjang 22 bulan berikutnya. Hanya pada Februari tahun ini barulah rujukan itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi selepas NUBE berjaya dalam semakan kehakimannya.
MCBA diarahkan kembali ke meja rundingan, tetapi terus merayu keputusan tersebut. Hanya tujuh bulan kemudian, pada 26 September, MCBA berjaya mendapatkan penangguhan interim daripada Hakim Norliza Othman sementara menunggu rayuan pada Mac tahun depan; sehingga itu, perintah Mahkamah Tinggi yang mewajibkan rundingan FA untuk disambung semula telah digantung, manakala sementara itu, rundingan CA20 masih menemui jalan buntu, dengan hanya 16 daripada 47 artikel telah dipersetujui. Semasa kesemua proses ini berlangsung, NUBE telah menghantar 43 pucuk surat kepada Perdana Menteri Anwar, yang juga Menteri Kewangan, namun tidak satu pun dibalas.
Dalam konteks ini, slogan terbaru NUBE yang menyeru ahlinya supaya “bukan sekadar memerhatikan bank, tetapi memerhatikan mereka yang berkuasa” wajar diberi perhatian serius. Ia menimbulkan persoalan sama ada mereka yang memiliki bank benar-benar boleh dipisahkan daripada “mereka yang berkuasa”. Pengalaman NUBE menunjukkan bahawa negara tidak pernah neutral. Ia menunjukkan kepentingan kelas mana yang pada asasnya dipertahankan oleh negara — hak kelas kapitalis untuk mengeksploitasi tenaga buruh kelas pekerja.
Hakikatnya persoalan kuasa kini semakin menonjol dalam menunjukkan proses perjuangan yang sedang berlaku — yang kini sudah mendedahkan sudut politiknya. Dalam erti kata yang lain, semakin jelas negara dalam mendedahkan watak kelasnya, semakin tajam jugalah persoalan berkenaan batas strategi dan organisasi kita sendiri. Adakah kita terus kembali ke meja rundingan apabila pihak majikan jelas berunding dengan niat yang tidak baik sambil mendapat sokongan daripada aparat negara, atau sudah tiba masanya untuk kita mempertimbangkan tindakan industri yang lebih serius, termasuk mogok? Adakah kita terus meletakkan harapan kepada parti-parti politik sedia ada untuk memperjuangkan hak pekerja, atau sudah tiba masanya kita mengibarkan bendera parti kita sendiri?
Perjuangan perlu lebih ke hadapan
Walaupun rujukan menteri ke Mahkamah Perusahaan secara undang-undang telah mengehadkan tindakan industri yang berkaitan dengan pertikaian CA20/FA, namun tahun 2024 telah menjadi saksi kepada puluhan piket di seluruh negara, dengan Piket Mega di Menara Maybank pada September sebagai aksi yang terbesar. Sebagai jalan untuk mengatasi sekatan tersebut, banyak daripada piket ini tidak dibingkaikan khusus sebagai piket CA20/FA, sebaliknya mengangkat isu yang lebih luas termasuk gangguan seksual dan usaha dalam mematahkan kesatuan sekerja. Bahkan bentuk mobilisasi lain yang tidak tertakluk kepada sekatan sama — termasuk protes dan kempen — turut dijalankan. Pada 2025, dua demonstrasi awam besar di peringkat nasional turut berlangsung: perhimpunan Hari Pekerja yang melibatkan lebih daripada 1,000 pekerja di hadapan KESUMA di Putrajaya, dan juga perarakan ke Bank Negara pada November yang disertai ratusan pekerja.
MCBA jelas melihat perkembangan ini dengan serius dan bertindak pantas apabila pekerja turun ke jalan dalam siri piket dan protes di seluruh negara. Namun kerana aksi-aksi ini bukan mogok dan tidak melibatkan penarikan tenaga buruh, kesan ekonomi secara langsungnya itu masih terbatas. Mogok, sebaliknya, seperti yang NUBE ungkapkan: “Apabila pekerja berhenti, negara berhenti.”
Mogok bukan sekadar mengganggu operasi dan mendatangkan kos. Ia merupakan salah satu bentuk paling jelas pekerja bertindak sebagai satu kelas. Apabila pekerja secara kolektif menunjukkan keengganan mereka untuk bekerja, pekerja secara praktiknya mendedahkan di mana terletaknya kuasa mereka yang sebenarnya. Perusahaan bank mungkin sahaja memiliki bangunan, teknologi dan modal, tetapi tanpa pekerja semua itu tidak dapat langsung berfungsi. Maka kepentingan mogok jauh melangkaui tekanan segera terhadap keuntungan. Melalui perjuangan kolektif, pekerja boleh mengatasi ketakutan dan keterasingan, membina keyakinan terhadap kekuatan mereka sendiri, dan mula melihat bahawa kuasa pihak majikan bukan sesuatu yang semula jadi mahupun bersifat mutlak. Setiap piket, demonstrasi dan tindakan kolektif yang membawa pekerja ke dalam perjuangan yang boleh membuka jalan kepada tahap organisasi dan kesedaran yang lebih tinggi.
Namun begitu, perjuangan perindustrian yang digerakkan oleh kelas pekerja perlu dihubungkan dengan kekuatan politiknya yang tersendiri. Tanpa ada wadah politik yang dipimpin oleh kelas pekerja dan atas program perjuangan kelas pekerja itu sendiri — selagi itulah kita akan terus dimangsakan, ditipu dan dikhianati oleh para ahli politik yang terus menerus mendedahkan keberpihakan mereka terhadap para majikan, para CEO dan para lapisan kepimpinan tinggi yang dibuai dengan kekayaan yang melampau. Kerajaan di bawah pimpinan PH yang selama ini melaungkan slogan reformasi telah mengkhianati perjuangannya sendiri dan para penyokongnyalah yang menjadi mangsa.
Kemudian timbul pula persoalan politik: Jika pekerja boleh dan sememangnya mengorganisasi secara bebas daripada pihak majikan dalam perjuangan industri, mengapa secara politik kita masih perlu bergantung kepada parti-parti yang terikat dengan kepentingan kapitalis — sama ada PH, BN, PN atau MUDA?
Makanya pengalaman perjuangan NUBE dengan ini telah menimbulkan persoalan yang lebih luas bagi seluruh kelas pekerja: iaitu sama ada prinsip kebebasan kelas yang telah pun dizahirkan melalui kesatuan sekerja ketika ini perlu juga diterjemahkan ke dalam turut mendapat bentuk politik — melalui sebuah parti massa pekerja yang bebas.
Kekayaan itu wujud. Pekerjalah yang menciptanya, dan pekerja mempunyai kuasa untuk memperjuangkannya. Apa yang diperlukan sekarang ialah perpaduan dan mobilisasi seluas-luasnya dalam kalangan pekerja bank bersama kelas pekerja yang lebih luas, dengan menghubungkan perjuangan untuk gaji dan syarat kerja yang lebih baik dengan perjuangan untuk kuasa kolektif dan suara politik yang bebas.
Atas dasar ini, Jaringan Solidariti Pekerja dan Sosialis Alternatif berdiri bersolidariti bersama semua ahli NUBE dan pekerja bank di seluruh negara. Kami menyeru semua kesatuan sekerja, organisasi pekerja dan organisasi belia untuk bersama-sama menyertai dan menyokong perjuangan ini. Bersama-sama, tanpa berlengah lagi, kita menuntut:
- Selesaikan CA20 dengan kemenangan sebenar untuk pekerja — termasuk tuntutan NUBE untuk pelarasan tangga gaji sekurang-kurangnya 22.4% serta pengurangan minggu kerja biasa daripada 39 kepada 35 jam tanpa pengurangan gaji.
- Selesaikan pertikaian FA dan menjamin FA sebagai hak yang termaktub di dalam kontraktual, termasuk tuntutan CA20 NUBE untuk bayaran tahunan bersamaan dua bulan gaji asas — bukan dikurangkan, dihadkan atau diserahkan kepada bayaran ex gratia atas budi bicara majikan.
- Pertahankan dan perluaskan hak kesatuan sekerja dan hak demokratik. Jangan benarkan perlindungan yang telah dimenangi di bawah CA19 terus dihakis. Jaminan hak pekerja terhadap perwakilan, perundingan kolektif, dialog sosial dan tindakan industri kolektif tanpa intimidasi daripada majikan atau campur tangan negara.
- Hentikan usaha dalam mematahkan kesatuan, intimidasi dan penganiayaan terhadap aktivis pekerja. Tarik balik tindakan tatatertib terhadap pekerja yang disasarkan kerana aktiviti kesatuan yang sah, dan ambil semula pekerja yang digantung atau dipecat secara tidak adil dengan pemulihan penuh gaji, faedah dan kekananan.
- Keadilan untuk pekerja yang berdepan gangguan seksual, pembulian dan diskriminasi. Selesaikan semua aduan tertunggak melalui prosedur yang telus dan tidak berat sebelah dengan perwakilan penuh kesatuan; lindungi pengadu dan saksi daripada tindakan balas; dan jamin tempat kerja yang selamat serta bermaruah untuk semua.
- Pertahankan pekerjaan, keselamatan dan syarat kerja daripada kesan penstrukturan semula dan perubahan teknologi. Automasi, latihan semula dan penstrukturan semula tidak boleh digunakan untuk memotong pekerjaan, menekan gaji atau melemahkan hak kesatuan. Pekerja dan kesatuan mereka mesti mempunyai suara yang menentukan dalam setiap perubahan ini, dengan latihan berbayar, perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang lebih kukuh serta jaminan pekerjaan yang stabil terhadap kehilangan pekerjaan.
- Perluaskan perjuangan gaji melangkaui sektor perbankan. Sambil menyokong perjuangan segera untuk RM3,100 sebagai gaji minimum bagi pekerja bank, kami menyeru gerakan kesatuan sekerja yang lebih luas untuk memperjuangkan gaji minimum nasional RM20 sejam, yang dinaikkan seiring dengan kos sara hidup.
- Pemotongan gaji CEO dan lapisan eksekutif ke tahap gaji berkemahiran biasa. Gaji yang melampau tidak akan mengendahkan kepentingan dan kehendak pekerja. Kepimpinan industri kewangan perlu dirombak semula dan dipimpin oleh wakil yang dipilih secara demokratis oleh perwakilan kelas pekerja dan boleh diturunkan pangkatnya pada bila-bila masa jika tidak melakukan kerja yang berpihak kepada pekerja biasa.
- Buka buku akaun bank dan institusi kewangan kepada pemeriksaan awam dan kawalan pekerja. Dedahkan segala aliran dana, pelaburan, keuntungan dan pengagihan kekayaan untuk membongkar urus niaga yang tersembunyi, tindakan penyelewengan dan juga kepentingan yang ketika ini sedang menguasai sistem kewangan negara.
- Meletakkan industri kewangan dan perbankan di bawah pengurusan kelas pekerja. Kelas pekerja, di bawah kepimpinan organisasi dan perwakilannya mempunyai kuasa untuk menguruskan ekonomi demi kemaslahatan pekerja dan bukannya demi keuntungan para CEO, kelas kapitalis dan golongan elit.
- Bina parti pekerja massa dan perjuangan ke arah Sosialisme! Membina sebuah gerakan politik yang mewakili kepentingan kelas pekerja secara umumnya dan mengukuhkan perjuangan ke arah sebuah sistem ekonomi dan masyarakat yang tidak berpihak kepada golongan elit dan kelas kapitalis, tetapi dikawal, dirancang dan ditentukan secara demokratik oleh kelas pekerja.


