Sosialis Alternatif
PEKERJA KUASA PERUBAHAN

Kenali SA

Mengenai Sosialis Alternatif

Sosialis Alternatif adalah seksyen CWI (Committee for a Workers’ International) yang sedang beroperasi di hampir 25 negara yang merangkumi setiap benua. Kami melibatkan diri bersama anak muda, pelajar, kelas pekerja dan golongan tertindas yang lain dalam perjuangan hak demokrasi, hak ekonomi, hak sosial dan pemeliharaan alam sekitar, untuk memberikan perspektif sosialis sebagai penyelesaian kepada kepincangan dalam sistem kapitalisme yang menjadi punca asas kepada rasisme, kemiskinan, kehancuran alam sekitar, peperangan serta penindasan sosioekonomi dalam masyarakat.

Agenda parti-parti pro-kapitalis seperti Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (ataupun Perikatan Nasional) di Malaysia yang tidak mewakili kepentingan dan aspirasi kelas pekerja dan anak muda tidak mampu memberikan penyelesaian terhadap kemerosotan ekonomi dan sosial yang mengancam masyarakat. ABU (Asalkan Bukan UMNO/BN) atau sistem dua parti yang dilaungkan oleh golongan liberal hanya akan memperkuatkan agenda kapitalis. Parti pemerintah dan pembangkang yang menguasai parlimen hanya berminat untuk mempertahankan karier politik mereka, dan juga agenda dan polisi segelintir yang kaya. Ini bermakna tiada organisasi politik bebas yang mewakili kelas pekerja dan anak muda untuk membawa keperluan dan hasrat golongan majoriti iaitu rakyat biasa ke hadapan.

Sistem kapitalisme tidak menawarkan jalan keluar bagi jutaan rakyat biasa dan kelas pekerja yang sedang mengalami kesengsaraan. Sistem kapitalisme juga sedang mengancam alam sekitar dan kesinambungan kehidupan umat manusia. Di setiap detik, ancaman perang nuklear menjadi semakin nyata dengan kuasa-kuasa dunia sedang merebut sumber alam yang semakin berkurangan.

Sebagai alternatif, kita perlu membina satu masyarakat sosialis yang mengutamakan keperluan asasi dalam masyarakat nasional dan global dengan perancangan yang demokratik golongan majoriti rakyat biasa. Oleh itu, selain melibatkan diri dalam perjuangan hak-hak demokratik dan kebajikan rakyat biasa, adalah perlu untuk membina sebuah alternatif yang jelas dapat memimpin rakyat ke arah pembangunan sebuah parti kelas pekerja massa yang bebas dari cengkaman kapitalis. Parti sedemikian perlu membawa aspirasi rakyat biasa ke hadapan dan mempertahankan hak mereka daripada ancaman kapitalisme.

SA berhujah untuk pembinaan gerakan kesatuan sekerja dan gerakan anak muda di peringkat nasional dan antarabangsa dengan kepimpinan yang mampu menawarkan strategi yang berkesan dalam memerangi serangan kapitalis dan memelihara hak kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa di Malaysia dan sejagat. Untuk mencapai matlamat tersebut, idea, rancangan politik, organisasi serta kepimpinan yang mampu menyatukan pekerja, anak muda dan rakyat tertindas adalah perlu. SA dan CWI Internasional bersama kelas pekerja dan anak muda ingin membina organisasi sedemikian.

Misi Kami

Menubuhkan satu kuasa politik sosialis di Malaysia

Kami adalah organisasi bebas yang bertujuan untuk mencipta satu kuasa politik sosialis di Malaysia melalui pembinaan sebuah organisasi revolusioner dan parti berdasarkan kelas pekerja. Kami membuat analisis politik, mengatur kempen, serta melakukan kerja agitasi dan organisasi untuk mencapai matlamat kami.

Kami terutamanya berjuang untuk pembebasan golongan pekerja, belia yang terpinggir, wanita dan golongan yang marginal daripada cengkaman pemerintah kapitalis.

Misi kami adalah untuk membina kesedaran politik dalam kalangan rakyat Malaysia, menguatkan keupayaan mereka melalui pendidikan sosialis, dan memperjuangkan penyelesaian kepada isu-isu sosial yang meresap dalam masyarakat kapitalis. Kami berada di sini untuk menjayakan tujuan anda dalam gerakan sosialis.

Tuntutan Kami

Gaji minimum RM20 sejam — RM3,600 sebulan

Gerakan gaji minimum yang adil adalah untuk menjamin sebuah kehidupan yang bermaruah untuk kelas pekerja. Selepas mengambil kira pandangan pekerja dan anak muda dari pelbagai sektor dan latar belakang, kami menuntut gaji minimum sekurang-kurangnya RM3,600 sebulan ataupun RM20 sejam bagi semua pekerja tanpa mengira status, sama ada pekerja tetap, separuh masa atau pekerja migran. Kadar gaji minimum tersebut juga harus berkembang mengikut kadar inflasi. Setiap pekerja layak mendapat gaji sara hidup.

Pendidikan

Pendidikan Percuma Universal

Hak pendidikan yang percuma dan berkualiti untuk semua termasuk di universiti dan kolej. Mansuhkan yuran pengajian di universiti dan kolej. Hapuskan hutang pelajar termasuk PTPTN.

Autonomi Akademik

Menuntut autonomi sepenuhnya kepada universiti dan kolej untuk mengeluarkan graduan kreatif untuk pembangunan keperluan rakyat biasa dan bukannya berpaksi kepada keuntungan maksimum kapitalis.

Tolak Penswastaan Pendidikan

Tidak kepada penswastaan pendidikan termasuk pengkorporatan universiti dan kolej awam. Memiliknegarakan segala entiti pendidikan daripada tadika hinggalah ke universiti dengan pembiayaan secukupnya untuk meningkatkan kemudahan dan kualiti pendidikan.

Hak Pendidik Awam

Menyokong hak pekerja awam di bidang pendidikan, guru dan pensyarah untuk mempertahankan hak mereka dan autonomi pendidikan.

Kesatuan Pelajar Mandiri

Mentransformasikan Persatuan Pelajar kepada Kesatuan Pelajar yang bebas, demokratik dan memperjuangkan hak dan keperluan pekerja.

Pembiayaan Penuh

Membentuk pendidikan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan melalui pemilikan awam, dan diuruskan secara demokratik dan percuma di semua peringkat — yakni sistem pendidikan sosialis.

Pekerjaan & Kebajikan

Hak Pekerjaan

Menyokong perjuangan anak muda dan warga pekerja untuk menghapuskan pengangguran dengan hak pekerjaan yang adil untuk semua.

Gaji Selaras dengan Kadar Inflasi

Hapuskan polisi “buruh murah” atau penghambaan pekerja, dengan mewujudkan gaji minimum atau gaji sara hidup yang setimpal dengan inflasi, iaitu kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.

Tolak Penyumberan Luar & Buruh Kontrak

Hapuskan amalan outsourcing atau penyumberan luar dan buruh kontrak yang menghakis hak pekerja dan kesatuan sekerja.

Gaji Bermaruah bagi Anak Muda

Peluang latihan yang adil untuk anak muda dengan gaji sara hidup, termasuk pekerjaan yang terjamin selepas latihan.

Tolak Pembuangan Kerja

Hentikan pembuangan kerja di sektor awam dan swasta. Memiliknegarakan syarikat yang mengancam penutupan, di bawah kawalan demokratik oleh kesatuan sekerja dan warga pekerja.

Peruntukan Adil oleh Majikan

Majikan harus memperuntukkan elaun perumahan, pengangkutan, makanan dan faedah-faedah lain yang diperlukan untuk kebajikan pekerja.

Hak Kesatuan

Hak penubuhan kesatuan sekerja tanpa sebarang sekatan undang-undang oleh kerajaan atau campur tangan majikan.

Perumahan Bermaruah

Pinjaman perumahan tanpa faedah oleh kerajaan untuk memastikan keluarga miskin memiliki tempat kediaman. Pinjaman perumahan kerajaan dengan faedah rendah harus diperluaskan kepada warga pekerja di sektor swasta.

Rekreasi Awam

Membina tempat-tempat dan kemudahan rekreasi awam percuma dan berkualiti kepada anak muda dan pekerja.

Hak & Demokrasi

Kebebasan Bersuara

Mempertahankan hak untuk membantah dan berdemonstrasi. Tiada penganiayaan kepada penunjuk perasaan. Hak untuk berorganisasi di setiap sekolah, kolej dan universiti.

Tolak Keganasan Polis

Hentikan keganasan polis terhadap demonstrasi dan rakyat biasa.

Tolak Segala Diskriminasi

Tiada rasisme, seksisme, homofobia dan semua bentuk diskriminasi. Jaminkan hak pekerjaan, perumahan dan perkhidmatan awam tanpa diskriminasi kaum, agama dan jantina.

Hak Minoriti

Pertahankan hak dan budaya semua golongan minoriti termasuk orang asal.

Hak Wanita

Hentikan serangan ke atas hak-hak wanita.

Pilihan Raya Tempatan

Wujudkan semula pilihan raya kerajaan tempatan di setiap daerah.

Parti Massa Pekerja

Tidak kepada parti-parti yang berlandaskan kapitalisme. Berkempen untuk pembinaan parti massa kelas pekerja dan anak muda untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat biasa.

Tolak Penswastaan Servis Awam

Hentikan penswastaan perkhidmatan awam. Memiliknegarakan semula semua kemudahan awam dengan kawalan demokratik kesatuan sekerja dan rakyat biasa.

Tolak Pemotongan Subsidi

Hentikan pemotongan subsidi dan mula merancang ekonomi berlandaskan keperluan rakyat, bukan keuntungan maksimum.

Solidariti Antarabangsa & Sosialisme Demokratik

Solidariti Sedunia

Berjuang untuk solidariti antara kelas pekerja dan anak muda di seluruh dunia.

Lawan Imperialisme

Tidak kepada peperangan dan campur tangan imperialis. Untuk pengosongan segera semua tentera asing dari Afghanistan dan Iraq.

Perjuangan Pembebasan Timur Tengah

Solidariti dengan perjuangan anak muda dan pekerja di Timur Tengah dan Afrika Utara untuk pembentukan kerajaan kelas pekerja dan petani miskin. Tamatkan kepungan Gaza dan hormati hak pembentukan negara Palestin.

Pembebasan Palestin

Tamatkan kepungan Gaza di Palestin dan hormati hak pembentukan negara Palestin.

Pelucutan Senjata Nuklear

Hentikan pembinaan peluru berpandu nuklear dan hapuskan segala senjata yang boleh memusnahkan alam.

Solidariti Tamil Sri Lanka

Menyokong kempen Solidariti Tamil di Sri Lanka — untuk hak semua rakyat menentukan pilihan sendiri.

Perlindungan Alam Sekitar

Tidak kepada kemusnahan alam sekitar. Bagi pelan mampan berlandaskan sosialisme demokratik untuk industri pengeluaran yang tidak akan memusnahkan planet kita.

Lawan Kapitalisme

Tidak kepada kapitalisme. Bagi dunia sosialis, di mana monopoli besar dijadikan pemilikan awam, dengan ekonomi yang dirancang secara demokratik dan sumber-sumber alam dipergunakan untuk memenuhi keperluan manusia sejagat.