Perjanjian Kolektif CSB HSBC–NUBE ke-6 Termeterai: Kemenangan separa, ke arah mana seterusnya?

Gambar berkumpulan pada majlis menandatangani perjanjian CSB CA ke-6 antara NUBE dan HSBC pada 23 Mei 2026 (sumber: NUBE)

Perjanjian Kolektif ke-6 antara HSBC Bank Malaysia Berhad dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), meliputi tempoh Julai 2022 hingga Jun 2025, akhirnya dimuktamadkan pada 22 Mei 2026.

Selepas penangguhan bertahun-tahun, ratusan pekerja di bawah kategori Customer Service Bankers (CSB) yang selama ini berjuang sebagai ahli NUBE berjaya memperoleh kejayaan penting dalam peningkatan gaji dan perlindungan sosial. Antara konsesi utama yang diperoleh ialah:

  • Pelarasan gaji 9% berkuat kuasa 1 Julai 2022
  • Kenaikan COLA (elaun sara hidup) 15% kepada RM725 sebulan (berkuat kuasa 1 Julai 2022)
  • FA (bantuan perayaan) RM1,200 setahun (2024–2026)
  • Elaun pergigian dinaikkan kepada RM800 (boleh dikumpulkan hingga 2027)
  • Manfaat perubatan keluarga RM2,700 setahun di bawah skim insurans kesatuan
  • Cuti bersalin dinaikkan daripada 98 kepada 135 hari (hingga 2 kelahiran)
  • Cuti paterniti 30 hari
  • Bantuan kelahiran RM1,100 (RM2,000 caesarean)

Kemenangan ini sangat signifikan memandangkan kos sara hidup dan tekanan kerja bagi pekerja dalam sektor kewangan terus meningkat.

Walau bagaimanapun, perjanjian yang meliputi tempoh 2022–2025 baru dapat dimeterai pada 2026. Ia bermakna:

  • pekerja menanggung 3–4 tahun tekanan inflasi tanpa pelarasan sebenar;
  • majikan menikmati kos buruh yang murah dalam tempoh tersebut;
  • bayaran backdated hanya dipulihkan sebahagian.

Majikan telah melengah-lengahkan rundingan dan telah merugikan masa pekerja. Setiap hari rundingan ditangguh adalah satu hari lagi di mana harga barang naik, bil bertambah, hutang melonjak, namun gaji kekal di takuk lama.

Jelas juga bahawa konsesi tersebut bukanlah hasil niat baik pihak pengurusan baru, tetapi hasil tekanan daripada perjuangan pekerja secara kolektif. Tidak sesekali pun kelas pekerja dikurniakan dengan rahmat dan hikmah segelintir kapitalis ataupun wakilnya di parlimen yang kononnya berprinsip.

Selagi perjuangan pekerja lemah dan berpecah, selagi itu lah kelas kapitalis terus mengambil kesempatan untuk menghakis hak buruh. “Apa yang mengambil masa puluhan tahun untuk dimenangi, boleh hilang sedikit demi sedikit,” tegas NUBE.  “Hak pekerja tidak terhakis dalam satu malam. Ia bermula apabila pekerja lupa nilainya dan berhenti mempertahankannya. Kekal bersatu. Kekal berwaspada.”

Campur tangan kerajaan

Perjanjian CA6 tersebut tidak boleh dipisahkan daripada perkembangan lebih luas dalam sektor perbankan. Sejak 2024 apabila mulanya proses rundingan CA20 antara NUBE dan MCBA (yang mewakili majikan 17 bank), sehingga hari ini, perjanjian masih belum dimeterai sepenuhnya. Setakat 29 Mei, cuma 16 daripada 47 artikel CA20 telah dipersetujui meskipun rundingan telah berlarutan lebih dua tahun.

Dalam hal ini juga, pihak majikan dan kerajaan selama ini didapati bersekongkol di belakang pekerja sepertimana yang terbukti oleh kes terbaru di Mahkamah Tinggi. Didapati bahawa bekas menteri KESUMA Steven Sim telah menolak pertikaian tersebut ke saluran mahkamah tanpa rundingan. Tanpa sebarang persetujuan daripada pihak Kesatuan, Sim juga mengarahkan pihak majikan untuk memotong separuh daripada FA, yang dianggap amat penting buat pekerja B40 dan M40.

Pengalaman ini menunjukkan bahawa institusi kerajaan tidak saksama antara kelas kapitalis dan kelas pekerja. Kerajaan hari ini pada asasnya mewakili kepentingan modal dan bukannya buruh. Dalam banyak kes pertikaian:

  • mekanisme undang-undang digunakan untuk melambatkan atau menyusun semula tuntutan pekerja;
  • aksi industri seperti piket dan mogok sering dihadkan melalui injunksi atau tekanan pentadbiran;
  • parlimen gagal memperkukuh perlindungan kesatuan secara substantif

Seperti yang pernah berlaku dalam beberapa kes industri lain, walaupun hak berkesatuan wujud di atas kertas, pelaksanaannya kurang efektif dan lebih bergantung kepada imbangan kuasa di tempat kerja itu sendiri.

Batasan rundingan kolektif

Perjuangan di tempat kerja tidak berakhir di meja rundingan. Selain CSB, pekerja bank secara umum masih berdepan dengan isu-isu yang berulang:

  • tindakan disiplin terhadap aktivisme kesatuan
  • tekanan terhadap pekerja yang terlibat dalam piket
  • isu gangguan seksual yang belum ditangani secara menyeluruh
  • ketidakseimbangan kuasa dalam pelaksanaan perjanjian
  • kes pekerja keselamatan dan migran yang berdepan eksploitasi serius

Seiring dengan ini, terdapat perkembangan penting dalam kesedaran pekerja. Dalam kalangan akar umbi, makin ramai melihat belenggu birokrasi sebagai masalah sistemik, bukan teknikal. Terdapat perbincangan tentang keperluan untuk menyusun mobilisasi yang tegas jika jalan rundingan asyik buntu. Cadangan untuk melancarkan aksi industri seperti piket besar-besaran dan mogok sudah mula muncul.

Ini bukan bermakna bahawa jalan rundingan harus ditolak sepenuhnya. Pergeseran pemikiran ini muncul apabila jalan rundingan tidak lagi dilihat sebagai cukup dan aksi-aksi industri harus dipertimbangkan.

Rundingan sememangnya boleh menghasilkan kemenangan dan perlindungan, namun terhad jika dijadikan strategi tunggal. Tanpa tekanan industri dari akar umbi pekerja, ia akan tergendala dan seringkali ditunggang oleh bos dan menteri. Maka aksi industri dan mobilisasi bebas daripada majikan dan kerajaan kekal sebagai alat perjuangan utama buat kelas pekerja.

Ke arah perjuangan lebih meluas, mandiri dan militan

CA CSB ke-6 adalah satu kemenangan sebenar. Ia meningkatkan gaji, memperluaskan perlindungan sosial, dan menyerlahkan kekuatan organisasi pekerja.

Namun ia juga mendedahkan had strategi dan taktik perjuangan sedia ada di bawah sistem kapitalisme. Kerajaan selalu akan berpihak kepada para pemodal. Konsesi hanya akan diperoleh susulan tekanan yang berlarutan.

Oleh itu, perjuangan ke hadapan tidak boleh berhenti di meja rundingan semata-mata. Kita harus memperkukuh organisasi akar umbi pekerja yang mampu merintis jalan perjuangan yang lebih mandiri dan militan. Ia perlu bergerak ke arah:

  • pengukuhan demokrasi pekerja di tempat kerja
  • penyelarasan perjuangan antara sektor
  • mobilisasi aksi industri di tempat kerja dan protes di jalanan

Kemenangan ini sedikit sebanyak harus menjadi wadah perjuangan kelas untuk berkembang dan mengangkat tuntutan yang lebih luas dan berpatutan dengan keperluan massa, contohnya gaji minimum selaras dengan kos sara hidup, serta pengukuhan hak berkesatuan. Justeru, pekerja dari industri lain seperti pekerja elektronik yang baru-baru ini terlibat dalam gerakan melawan amalan union busting contohnya, dapat diyakinkan dan ditarik ke dalam perjuangan bersama.

Apabila perjuangan ekonomi terbuntu, tertonjol soal kuasa politik. Maka sudah tiba masanya untuk kita membina parti pekerja massa yang berdikari sepenuhnya, yang mampu menentang kuasa pemodal dan kerajaan kapitalis, PH biarpun PN, atau apa jua gabungan elit berteraskan sistem eksploitasi yang sama, yakni kapitalisme.

Hanya dengan suara independen dan organisasi demokratik, kitaran rundingan berlarutan dan konsesi-konsesi yang separa dapat digantikan dengan kuasa dan demokrasi kelas pekerja. Pekerja bukan sekadar mampu berjuang demi hidup sendiri. Pekerja juga mampu menentukan masa depan masyarakat. Pekerja kuasa perubahan.

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

Perspectives for Malaysia: A Marxist Approach
2026 06 03 perspectives for malaysia a marxist approach book review malaysia at the crossroads sosialis alternatif Perjanjian Kolektif CSB HSBC–NUBE ke-6 Termeterai: Kemenangan separa, ke arah mana seterusnya? Sosialis Alternatif
A Marxist review of Jeyakumar Devaraj’s Malaysia at the Crossroads, examining PSM’s method, reformism, coalition politics, class independence, and the need for a revolutionary socialist alternative in Malaysia.
BACA
Reformasi Is Dead: A Successful First Public Discussion at Our New Organising Centre
2026 06 01 reformasi dead public discussion 1 sosialis alternatif scaled Perjanjian Kolektif CSB HSBC–NUBE ke-6 Termeterai: Kemenangan separa, ke arah mana seterusnya? Sosialis Alternatif
Socialist Alternative held its first public discussion at our new organising centre, examining Reformasi’s dead end and the urgent need to build an independent working-class alternative.
BACA
Rafizi's Reformasi Rebrand and the Crisis of Malaysian Capitalist Politics
2026 05 28 bersama rafizi reformasi rebrand sosialis alternatif 1 Perjanjian Kolektif CSB HSBC–NUBE ke-6 Termeterai: Kemenangan separa, ke arah mana seterusnya? Sosialis Alternatif
Bersama presents itself as a fresh alternative, but beneath its reformasi rhetoric lies the same capitalist politics that have failed workers and youth for decades. As Malaysia’s political crisis deepens, this article argues that only...
BACA

Perjanjian Kolektif CSB HSBC–NUBE ke-6 Termeterai: Kemenangan separa, ke arah mana seterusnya?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *