Mogok di Aerofoam Manufacturing: Pekerja migran terus berjuang melawan penindasan!

Aksi pekerja migran mogok di hadapan kilang Aerofoam Manufacturing. (Sumber: Migrant Welfare Network)

Nota Makluman: Pada 12hb Jun, media melaporkan bahawa Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia telah turut campur tangan bagi membantu menyelesaikan kemelut yang dihadapi pekerja Aerofoam Manufacturing (1969) Sdn. Bhd. Menurut laporan tersebut, pihak syarikat telah memberikan beberapa komitmen segera, termasuk memulangkan pasport pekerja untuk simpanan mereka sendiri, menambah baik keadaan tempat tinggal, serta mengambil langkah-langkah bagi menangani isu kebajikan dan tunggakan yang dibangkitkan. Perkembangan ini menunjukkan bahawa tekanan dan tindakan kolektif para pekerja telah berjaya memaksa pelbagai pihak untuk campur tangan. Namun begitu, ia tidak mengubah hakikat bahawa isu-isu seperti tunggakan gaji, penahanan pasport, beban hutang pengambilan pekerja dan keadaan kehidupan yang tidak memuaskan bukanlah kes terpencil, sebaliknya merupakan gejala yang berulang dan berakar pada masalah yang lebih luas dalam sistem eksploitasi buruh migran di Malaysia.

Pada 6hb Jun yang lepas, Jaringan Solidariti Pekerja telah menerima laporan bahawa pekerja sedang melakukan mogok di Aerofoam Manufacturing (1969) Sdn. Bhd., sebuah kilang tilam di kawasan pelabuhan Klang, Selangor. Kira-kira 120 pekerja, yang majoritinya pekerja migran dari Bangladesh telah mendakwa yang mereka tidak menerima gaji selama tiga bulan lamanya, dan ini secara langsung menjejaskan kemampuan mereka untuk menampung perbelanjaan harian di sini, untuk membayar hutang-hutang yang semakin menimbun, dan juga menghantar wang kepada keluarga di kampung halaman mereka.

Menurut laporan yang sama juga, tindakan mogok ini bukan sekadar untuk menuntut tunggakan gaji semata-mata. Para pekerja turut membawa aduan mengenai penahanan pasport oleh majikan, beban yuran pengambilan dan hutang, kekurangan kemudahan kebajikan, paksaan kerja lebih masa serta ketidaktentuan status pekerjaan. Kesemuanya ini adalah ciri-ciri umum yang sedang teruk menekan pekerja migran di Malaysia. Dalam erti kata yang lain, ianya merupakan sebuah corak penindasan yang sudah pun lama dihadapi dan ditanggung bebannya oleh pekerja migran di sini.

Kemudiannya pada 8hb Jun, para pekerja telah membawa aduan mereka ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK), dengan harapan bahawa kesemua masalah itu dapat diselesaikan. Namun, pihak JTK enggan menerima surat aduan yang disediakan oleh wakil pekerja, bahkan tidak adapun proses penyerahan secara formal. Tidak hanya dengan itu, para pegawai JTK kemudiannya datang ke hostel pekerja, tanpa memberi notis kepada pekerja atau wakil mereka dan mengarahkan pekerja di hostel untuk mengisi borang tuntutan gaji sahaja. Tetapi sehari kemudiannya, empat pegawai JTK melakukan pemeriksaan di premis-premis syarikat dan juga tempat kediaman pekerja, menilai keadaan kediaman, penyusunan bilik dan jumpa orang di dalamnya dan maklumat-maklumat seumpamanya. Setakat ini pihak pekerja masih belum mendapat apa-apa keputusan daripada siasatan tersebut dan tindakan seterusnya pula tidak dimaklumkan lagi, namun begitu turut dimaklumkan bahawa sebuah kes telah dibuka terhadap syarikat Aeroform Manufacturing. 

Tindakan yang dilakukan oleh pihak JTK ini memberi harapan kepada para pekerja yang terlibat, ia menunjukkan bagaimana dengan adanya pembinaan sebuah tekanan kolektif yang cukup signifikan, ia akan menjurus kepada tindakan campur tangan oleh pihak agensi kerajaan, untuk memastikan bahawa pihak majikan akan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak boleh sewenang-wenangnya menindas pekerja sebegitu rupa. Namun begitu, kami berpendapat bahawa tuntutan-tuntutan yang turut dibawa oleh pekerja seperti soal penahanan pasport, tuntutan yuran pengambilan, keadaan kehidupan yang melarat dan seumpamanya bukanlah sebuah kes yang terpencil, melainkan sebuah simptom yang telahpun didedahkan banyak kali. Dua bulan sebelumnya, Free Malaysia Today telah melaporkan sebuah kes, di mana lapan puluh pekerja migran di Esstar Vision Sdn. Bhd. yang terletak di Johor tidak dibayar gajinya selama lapan bulan. Bahkan sebelum ini juga, kami turut melaporkan kes serupa di Mediceram dan beberapa kilang-kilang lain, yang kesemuanya mendedahkan bagaimana demi keuntungan majikan sendiri, pekerja telah dimangsakan dan tidak dihiraukan keadaan kehidupan mereka. 

Persoalan yang lebih besar ini merupakan lumrah kehidupan pekerja migran di seluruh dunia, yang menghadapi penindasan dan ketidakstabilan yang berterusan. Tindakan campur tangan oleh pihak JTK, kalaupun dilihat berjaya meringankan beban para pekerja, adalah sebuah tindakan yang bersifat sementara, tanpa menyentuh persoalan struktural yang mengikat keseluruhan kehidupan pekerja migran ketika ini. 

Kami menganggap bahawa perkembangan ini sedikit sebanyak mendedahkan batas agensi kerajaan itu sendiri. Walaupun campur tangan sedemikian mampu memberi kelegaan sementara dan menguatkuasakan sebahagian hak pekerja, ia tetap beroperasi dalam batas pentadbiran dan perundangan sedia ada, tanpa mampu menyelesaikan persoalan yang lebih mendalam dan bersifat struktur. Hal ini juga mendedahkan bahawa ini bukanlah kegagalan individu pegawai semata-mata, melainkan adalah had sesebuah institusi yang hanya dibina untuk menguruskan konflik antara buruh dan majikan, tanpa menyentuh soal yang lebih asas: iaitu keuntungan yang dijana berasaskan keringat kelas pekerja itu sendiri. 

Dalam krisis ekonomi kapitalisme yang semakin meruncing ini, kelas pekerjalah yang akan menanggung beban yang tidak terkira. Dalam kes ini, pekerja migran jugalah yang akan ditindas paling teruk, apatah lagi dengan keadaan pekerjaan mereka yang seringkali digambarkan sebagai sebuah bentuk “perhambaan moden”. Walhal, selama berdekad-dekad, pekerja migran jugalah yang menjadi tulang belakang ekonomi kita; mereka jugalah yang telah melakukan kerja-kerja yang menjana segala perkhidmatan yang dinikmati rakyat umum. Malangnya mereka jugalah yang dikutuk dan dijadikan mangsa, yang taraf kehidupannya itu ditekan pula serendah-rendahnya demi memastikan kadar keuntungan kelas majikan dapat diteruskan.

Perjuangan pekerja migran ketika ini perlu disokong dan turut diperjuangkan oleh kepimpinan pekerja tempatan. Nasib yang kini menimpa pekerja migran, lambat laun akan turut menimpa pekerja tempatan juga. Majikan menggunakan keadaan kehidupan pekerja migran untuk terus menekan gaji yang kekal rendah, memanjangkan waktu kerja serta melemahkan daya untuk berunding bagi keseluruhan kelas pekerja. Mempertahankan hak pekerja migran bukanlah soal belas kasihan semata-mata, tetapi mencakupi persoalan bagi mempertahankan kepentingan bersama seluruh kelas pekerja. Oleh yang demikian, sebuah jawatankuasa bertindak yang terdiri daripada wakil-wakil pekerja perindustrian perlu ditubuhkan. Sebuah organisasi yang menyusun gerak kerja perlawanan, yang merangkumi pekerja migran dan pekerja tempatan adalah sebuah langkah pertama untuk menghadapi serangan yang akan datang bertubi-tubi kelak dan membina solidariti sesama pekerja di Malaysia. 

Mogok adalah salah satu senjata paling berkesan yang dimiliki oleh kelas pekerja kerana ia menunjukkan secara praktikal bahawa keuntungan perusahaan bergantung kepada tenaga kerja mereka sendiri. Melalui tindakan kolektif seperti inilah pekerja dapat membina keyakinan, organisasi dan solidariti yang diperlukan untuk mempertahankan kepentingan mereka. Melalui tindakan solidariti dan perjuangan seperti ini, gerakan buruh dapat diperkukuhkan semula bagi memastikan perjuangan ini dapat membuahkan hasil. Pekerja migran di Aerofoam dan di tempat-tempat lain hanya dapat dibela sepenuhnya apabila penindasan oleh majikan ditentang oleh gerakan buruh yang lebih luas, yang turut melibatkan kepimpinan kesatuan sekerja tempatan.

Pekerja migran mogok di hadapan kilang Aerofoam Manufacturing. (Sumber: Migrant Welfare Network)
(Sumber: Migrant Welfare Network)

Tidak hanya itu, kes Aerofoam juga membangkitkan persoalan yang lebih luas tentang bentuk organisasi dan kepimpinan gerakan buruh di Malaysia hari ini. Baru-baru ini, pembubaran Majlis Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), yang disusuli dengan pembentukan Federasi Kesatuan Sekerja Malaysia (MFTU) telah menandakan satu babak baru dalam gerakan buruh di Malaysia. Namun begitu, ini dengan sendirinya tidak mengubah apa-apa hal yang signifikan. Sebuah perjuangan yang hanya tertumpu kepada rundingan kolektif dan bergerak di bawah kerangka tripartisme (majikan–negara–kesatuan sekerja) semata-mata adalah sebuah hal yang tidak mencukupi. 

Pengalaman pekerja Aerofoam sendiri mendedahkan batas-batas tersebut. Ya, tekanan kolektif pekerja Aerofoam berjaya membuka ruang kepada tindakan campur tangan kerajaan, namun punca asas kepada eksploitasi itu masih belum disentuh lagi. Kami berhujah selagi mana kuasa ekonomi dan politik terus berada di tangan kelas kapitalis, perjuangan pekerja akan terus berulang dalam satu kitaran pertikaian yang tidak menyelesaikan persoalan yang lebih asas sifatnya. Mogok yang sedang dilaksanakan oleh pekerja Aerofoam merupakan satu titik permulaan yang signifikan. Namun, apa yang sebenar-benarnya diperlukan ialah pembinaan sebuah gerakan politik kelas pekerja yang berdikari—mewakili kepentingan keseluruhan pekerja melalui pembentukan sebuah parti pekerja massa yang berteraskan program anti-kapitalisme. Dalam masa yang sama, perjuangan pekerja migran juga perlu diperluaskan melangkaui sempadan negara dengan mendapatkan sokongan serta keterlibatan pekerja di negara-negara lain, khususnya dari negara asal mereka sendiri. Solidariti kelas pekerja bersifat antarabangsa, dan perjuangannya juga mesti dibina di atas asas yang sama.

Perjuangan yang kami angkat ini perlu dibina sekarang. Kes Aerofoam tidak boleh dilihat sebagai sebuah kes yang terpencil, tetapi sebagai amaran tentang bentuk-bentuk penindasan yang bakal semakin mencengkam kelas pekerja dalam tempoh mendatang. Krisis kapitalisme yang semakin meruncing akan terus mendorong majikan untuk menekan kos buruh, mencuri upah, dan mengorbankan kebajikan pekerja demi mempertahankan keuntungan mereka.

Tanpa penentangan kolektif yang menyatukan pekerja migran dan pekerja tempatan, penindasan seperti ini akan terus berulang. Penubuhan sebuah jawatankuasa bertindak yang merangkumi wakil kedua-dua lapisan pekerja merupakan satu langkah pertama yang konkrit; ianya bukanlah sekadar sebagai lambang solidariti semata-mata, tetapi kami melihatnya sebagai sebuah mekanisme perjuangan untuk mempertahankan kepentingan bersama dan membina kekuatan kelas pekerja. Namun, penyelarasan perjuangan di peringkat tempat kerja sahaja tidak memadai. Untuk menyatukan perjuangan yang terpisah-pisah ini, kelas pekerja memerlukan sebuah parti massa yang benar-benar berdiri secara bebas atas program politik sosialis, yang dapat mencabar kuasa politik kelas kapitalis secara keseluruhan. 

Jaringan Solidariti Pekerja ingin berjuang bersama-sama kelas pekerja seluruhnya. Kami menyatakan solidariti penuh kepada pekerja Aerofoam yang dengan beraninya menentang penindasan majikan dan berdiri teguh atas kekuatan kolektif mereka sendiri. Sistem kapitalisme yang sedang berada dalam krisis dan kemerosotan ini perlu digantikan dengan sebuah masyarakat yang berasaskan keperluan manusia dan bukannya keuntungan segelintir minoriti—iaitu sebuah masyarakat sosialis.

Di bawah kami sertakan tuntutan yang dibawa ke JTK oleh pekerja Aerofoam:

  1. Jalankan siasatan segera terhadap aduan-aduan dan isu-isu yang dibangkitkan berkenaan Aerofoam Manufacturing (1969) Sdn. Bhd.
  2. Pastikan pembayaran segera ke atas keseluruhan tunggakan gaji dan hak-hak sah lain yang kena dibayar kepada pekerja.
  3. Siasat dengan segera isu-isu visa dan permit kerja (PLKS) yang membabitkan kira-kira 35 orang pekerja, dan pastikan status pekerjaan serta imigresen mereka diperaturkan mengikut undang-undang.
  4. Siasat tindakan syarikat yang menahan pasport pekerja dan ambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.
  5. Pastikan keadaan pekerjaan, keselamatan, kebajikan, hak-hak asas buruh, dan waktu kerja yang sah bagi semua pekerja dilindungi. Siasat dakwaan berkenaan paksaan atau kerja lebih masa yang tidak munasabah dan ambil tindakan yang sewajarnya.
  6. Siasat proses pengambilan pekerja dan yuran pengambilan yang membebankan yang dikenakan ke atas pekerja.
  7. Wujudkan mekanisme yang berkesan bagi menerima, menangani dan menyelesaikan aduan serta rungutan pekerja.
  8. Ambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati telah melanggar undang-undang buruh Malaysia atau perundangan lain yang berkaitan.
  9. Pastikan tiada sebarang tindakan balas, gangguan, ugutan, diskriminasi atau layanan yang tidak adil dikenakan terhadap pekerja-pekerja yang telah mengemukakan aduan ini.

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

Perjanjian Kolektif CSB HSBC–NUBE ke-6 Termeterai: Kemenangan separa, ke arah mana seterusnya?
2026 06 09 nube hsbc ca csb ke 6 dimeterai berita pekerja sosialis alternatif Mogok di Aerofoam Manufacturing: Pekerja migran terus berjuang melawan penindasan! Sosialis Alternatif
Rundingan sememangnya boleh menghasilkan kemenangan dan perlindungan, namun terhad jika dijadikan strategi tunggal. Tanpa tekanan industri dari akar umbi pekerja, ia akan tergendala dan seringkali ditunggang oleh bos dan menteri. Maka...
BACA
Perspectives for Malaysia: A Marxist Approach
2026 06 03 perspectives for malaysia a marxist approach book review malaysia at the crossroads sosialis alternatif Mogok di Aerofoam Manufacturing: Pekerja migran terus berjuang melawan penindasan! Sosialis Alternatif
A Marxist review of Jeyakumar Devaraj’s Malaysia at the Crossroads, examining PSM’s method, reformism, coalition politics, class independence, and the need for a revolutionary socialist alternative in Malaysia.
BACA
Reformasi Is Dead: A Successful First Public Discussion at Our New Organising Centre
2026 06 01 reformasi dead public discussion 1 sosialis alternatif scaled Mogok di Aerofoam Manufacturing: Pekerja migran terus berjuang melawan penindasan! Sosialis Alternatif
Socialist Alternative held its first public discussion at our new organising centre, examining Reformasi’s dead end and the urgent need to build an independent working-class alternative.
BACA

Mogok di Aerofoam Manufacturing: Pekerja migran terus berjuang melawan penindasan!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *