Sosialis Alternatif
Bajet 2027: Gaji Minimum RM2,000 Tidak Mencukupi, Jutaan Pekerja Masih Terpinggir Daripada Kekayaan Negara!
Sertai
Pekerja Kuasa Perubahan

Bajet 2027: Gaji Minimum RM2,000 Tidak Mencukupi, Jutaan Pekerja Masih Terpinggir Daripada Kekayaan Negara!

Di sebalik pengumuman kenaikan gaji minimum kepada RM2,000, jutaan pekerja masih berdepan dengan gaji rendah, kos sara hidup yang meningkat dan kekurangan kemudahan awam yang mencukupi.
3672860 Bajet 2027: Gaji Minimum RM2,000 Tidak Mencukupi, Jutaan Pekerja Masih Terpinggir Daripada Kekayaan Negara! Sosialis Alternatif
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2027.

Pembentangan Bajet 2027 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengumumkan beberapa perancangan seperti peningkatan gaji minimum, pelepasan cukai, bantuan kewangan dan pelaburan bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara. Dengan jumlah perbelanjaan Persekutuan sebanyak RM459.8 bilion dan unjuran pertumbuhan ekonomi antara 4.2 hingga 5.2 peratus bagi tahun hadapan, kerajaan MADANI sekali lagi cuba meyakinkan rakyat bahawa ekonomi negara sedang menuju ke arah kemakmuran dan kestabilan.

Tetapi, di sebalik segala angka pertumbuhan ekonomi dan pengumuman yang nampak positif, persoalan utama yang harus ditimbulkan adalah sama ada kekayaan negara yang semakin berkembang ini benar-benar membawa peningkatan kepada taraf hidup kelas pekerja dan rakyat biasa. Hakikatnya, jutaan pekerja masih dibelenggu dengan gaji rendah, peningkatan kos sara hidup, harga rumah yang tidak mampu dimiliki, peluang pekerjaan yang tidak terjamin dan pelbagai bentuk eksploitasi daripada kelas majikan.

Walaupun kerajaan telah mengumumkan beberapa peningkatan dalam bantuan sosial dan gaji, langkah-langkah tersebut masih tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang sedang dihadapi oleh majoriti rakyat. Malah, beberapa kelonggaran yang diberikan kepada pihak majikan juga akan mengecualikan sebahagian besar daripada pekerja bergaji rendah daripada menikmati sebarang peningkatan gaji.

Gaji minimum RM2,000 bukan untuk semua pekerja!

Antara pengumuman utama Bajet 2027 adalah peningkatan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan, berkuat kuasa mulai Jun tahun hadapan. Kerajaan mendakwa bahawa lebih empat juta pekerja akan mendapat manfaat daripada kadar gaji minimum baru ini. Tetapi, pada masa yang sama, kerajaan telah memberikan pengecualian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mencatatkan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta.

Mengikut kerajaan sendiri, sektor PMKS menggaji hampir lapan juta pekerja, iaitu sekitar separuh daripada keseluruhan tenaga kerja negara. Ini menimbulkan persoalan yang besar mengenai nasib para pekerja bergaji rendah yang sedang berada di dalam PMKS pada waktu ini.

Berdasarkan satu anggaran kasar menggunakan taburan upah formal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sekitar 1 juta pekerja formal yang menerima gaji kurang daripada RM2000 sedang bekerja dalam sektor PMKS pada masa ini. Bermakna, mereka bersama dengan jutaan pekerja informal lain termasuk para pekerja gig, akan dikecualikan daripada peningkatan gaji tersebut. Juga harus mengambil kira bahawa pekerja informal yang tidak mempunyai sebarang jaminan pekerjaan dan tidak dilindungi di bawah Akta  Kerja 1955 kini merangkumi hampir 20% daripada tenaga pekerjaan di Malaysia. 

Pihak kerajaan memberikan alasan bahawa pengecualian tersebut diperlukan untuk membolehkan syarikat-syarikat kecil untuk menyesuaikan diri dengan kadar gaji minimum baru. Tetapi, mengapa pekerja yang menerima gaji paling rendah harus terus menanggung beban penyesuaian ekonomi tersebut? Kenapa beban tersebut tidak dipindahkan kepada pihak majikan yang sedang mengaut keuntungan yang lumayan? Hasil jualan tahunan RM50 juta juga bukanlah satu angka yang kecil, dan tidak mengambil kira kadar keuntungan yang sedang dinikmati oleh majikan tersebut. 

Tambahan pula, pelbagai isu berkenaan penguatkuasaan gaji minimum juga sudah wujud sebelum Bajet ini dibentangkan. Laporan Tinjauan Ekonomi 2026 daripada Kementerian Kewangan telah mendedahkan bahawa sekitar 23.4 peratus daripada syarikat di Malaysia pada masa ini tidak mematuhi kadar gaji minimum negara. Malangnya tidak ada sebarang langkah konkrit yang diumumkan untuk menangani masalah ini sehingga ke hari ini.  

RM2,000 cukup untuk kehidupan yang bermaruah?

Walaupun jika semua pekerja menerima kenaikan gaji minimum sebanyak RM2,000 sekalipun, kadar tersebut masih jauh daripada keperluan kehidupan sebenar, terutamanya bagi rakyat yang tinggal di kawasan bandar.

Mengikut panduan Belanjawanku 2024/2025 yang disediakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), seorang individu bujang yang memiliki kereta di Lembah Klang memerlukan sekitar RM2,800 sebulan untuk menjalani kehidupan yang munasabah, termasuk sedikit peruntukan untuk simpanan. Bagi pasangan dengan seorang anak pula, perbelanjaan yang dianggarkan meningkat kepada RM6,420 sebulan.

Bagaimanakah seorang pekerja yang menerima RM2,000 mampu menanggung sewa rumah, makanan, pengangkutan, bil elektrik, penjagaan kesihatan dan keperluan keluarga dengan selesa? Selepas potongan caruman KWSP sebanyak 11 peratus, baki daripada gaji tersebut tinggal sekitar RM1,780, belum mengambil kira potongan lain.

Ironinya, kerajaan sendiri telah mengiktiraf bahawa gaji sara hidup yang lebih tinggi diperlukan apabila syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meningkatkan penanda aras gaji sara hidup mereka daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan. Kerajaan juga memperkenalkan kadar permulaan RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan.

Jika kerajaan sendiri mengakui bahawa pekerja di GLC memerlukan RM3,400 untuk mencapai taraf gaji sara hidup, mengapa pekerja lain harus berpuas hati dengan RM2,000? Adakah seorang graduan yang menerima RM2,500 mampu menyewa rumah, membayar hutang pendidikan, memiliki pengangkutan sendiri dan membina sebuah keluarga tanpa dibelenggu hutang?

Pada tahun 2020, Sosialis Alternatif telahpun menuntut pelaksanaan gaji minimum RM2,208 berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan yang diumumkan ketika itu. Enam tahun kemudian, kerajaan masih menawarkan kadar yang lebih rendah, walaupun harga barangan dan perbelanjaan kehidupan terus meningkat. Pada masa yang sama, peningkatan harga rumah dan kadar sewa terus menekan pekerja muda yang ingin membina kehidupan sendiri. Kami dari Sosialis Alternatif sedang membina perjuangan gaji minimum ke arah RM20 sejam bagi semua pekerja sebagai titik mula yang munasabah ke arah gaji sara hidup yang lebih adil pada waktu ini.  

Persoalan gaji minimum tidak boleh dipisahkan daripada peningkatan kos sara hidup. Kenaikan gaji dalam angka ringgit tidak semestinya membawa peningkatan kuasa beli sekiranya harga keperluan asas terus meningkat. Tanpa kawalan harga rumah, penyediaan perumahan awam yang mencukupi, pengangkutan awam yang berpatutan serta perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang berkualiti, peningkatan gaji yang kecil akan terus diserap oleh perbelanjaan harian rakyat.

Kekurangan kemudahan awam terus membebankan kehidupan kelas pekerja

Perbandingan Bajet Kesihatan Malaysia, 2026–2027
Peruntukan dalam RM bilion · Skala yang sama: 0–50
Perbelanjaan Operasi
2026
39.78
2027
40.95
Perbelanjaan Pembangunan
2026
6.74
2027
6.75
Sumber: Kementerian Kesihatan / Bajet 2027. Jumlah peruntukan meningkat daripada RM46.5 bilion kepada RM47.7 bilion.

Persoalan peningkatan gaji minimum juga tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan kemudahan awam yang mencukupi dan berkualiti. Bagi pekerja yang menerima gaji rendah, akses kepada hospital kerajaan, pendidikan awam, pengangkutan dan perumahan yang mampu dimiliki merupakan faktor penting yang menentukan taraf hidup mereka. Sekiranya kemudahan-kemudahan ini tidak diperluaskan mengikut keperluan masyarakat, rakyat akan terus terpaksa mengeluarkan sebahagian besar daripada pendapatan mereka untuk mendapatkan perkhidmatan daripada sektor swasta.

Walaupun Bajet 2027 meningkatkan peruntukan Kementerian Kesihatan daripada RM46.5 bilion kepada RM47.7 bilion, peningkatan tersebut hanyalah sekitar 2.6 peratus. Lebih membimbangkan, peruntukan pembangunan untuk kementerian tersebut hampir tidak berubah daripada tahun lepas. Kerajaan mengumumkan pembinaan sebanyak sembilan fasiliti kesihatan baru, tetapi empat projek yang disenaraikan secara khusus merupakan kompleks klinik pakar dan rawatan harian, pusat pergigian serta kompleks kesihatan, bukannya hospital umum yang lengkap dengan kapasiti wad dan katil pesakit tambahan. 

Keadaan ini amat membimbangkan apabila hospital-hospital awam sedia ada sudahpun menghadapi kesesakan yang serius. Menteri Kesihatan sendiri mengakui pada April 2026 bahawa kebanyakkan hospital kerajaan sedang beroperasi pada kapasiti penuh. Dengan jumlah penduduk Malaysia yang sedang meningkat, ditambah pula dengan peningkatan jumlah warga emas yang lebih tinggi berbanding lapisan masyarakat lain, keperluan terhadap perkhidmatan kesihatan awam akan terus berkembang.

Pada masa yang sama, peningkatan kos rawatan swasta dan premium insurans kesihatan juga sedang memberikan tekanan tambahan terhadap golongan pekerja dan kelas menengah. Semakin ramai keluarga yang sebelum ini mampu mendapatkan rawatan swasta sedang terpaksa bergantung kepada hospital kerajaan. Apabila hospital awam tidak mempunyai kapasiti yang mencukupi, rakyat bukan sekadar akan berhadapan dengan tempoh menunggu yang lebih panjang, tetapi juga kelewatan dalam menerima rawatan yang mampu menyelamatkan nyawa mereka.  

Masalah yang sama turut berlaku dalam sektor pendidikan tinggi. Walaupun peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi meningkat daripada RM18.6 bilion kepada RM19.1 bilion, Bajet 2027 tidak mengumumkan sebarang pembinaan universiti awam. Pada 2026, daripada 107,875 permohonan yang layak untuk mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di universiti awam, hanya 82,092 calon menerima tawaran. Ini bermakna hampir 26,000 calon yang layak tidak menerima tawaran awal dan terpaksa melalui proses rayuan atau mempertimbangkan pilihan yang lain. Angka ini sahaja sudah mencukupi untuk menimbulkan persoalan mengenai kapasiti institut pendidikan awam untuk memenuhi permintaan masyarakat dan untuk mewujudkan graduan-graduan yang secukupnya demi masa depan negara. 

Kekurangan kemudahan penginapan mahasiswa juga memaksa sebahagian besar daripada para pelajar untuk menyewa bilik atau rumah di luar kampus dengan kos yang semakin tinggi. Kerajaan dalam Bajet 2027 mengumumkan projek kediaman untuk 10,000 mahasiswa Universiti Malaya, tetapi fasa pertamanya hanya dijangka siap pada 2031. Bagi keluarga kelas pekerja yang mempunyai anak yang sedang melanjutkan pendidikan, kos penginapan, pengangkutan, makanan, peralatan pembelajaran dan yuran pendidikan di kedua-dua institusi awam dan swasta akan terus menjadi beban kewangan yang besar.

Hakikatnya, peningkatan gaji minimum sebanyak RM300 sebulan tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian yang mencukupi sekiranya pekerja masih terpaksa membayar semakin banyak untuk mendapatkan rawatan kesihatan, pendidikan, perumahan dan pengangkutan. Perkhidmatan awam yang mencukupi bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup rakyat, malah mengurangkan kebergantungan keluarga pekerja terhadap hutang dan perbelanjaan swasta. 

Gaji vs Kos Sara Hidup, Malaysia
RM sebulan
Gaji minimumRM2,000
Gaji permulaan graduan / separa mahirRM2,500
Bujang dengan kereta (Lembah Klang)RM2,800
Gaji sara hidup GLC / GLICRM3,400
Sumber: Bajet 2027; KWSP Belanjawanku 2024/2025

Pengangguran rendah, tetapi jutaan pekerja tanpa jaminan pekerjaan

Kerajaan MADANI turut berbangga dengan kadar pengangguran negara yang kononnya berada di sekitar tiga peratus. Mengikut DOSM, kadar pengangguran pada Ogos 2026 telah menurun kepada 2.9 peratus, iaitu hanya sekitar 511,600 individu yang menganggur.

Walaupun angka ini menunjukkan penurunan pengangguran secara statistik, ia tidak memberikan gambaran yang lengkap mengenai keadaan sebenar pekerjaan di Malaysia. Dalam kaedah pengiraan tenaga buruh, seseorang yang melakukan sekurang-kurangnya satu jam kerja berbayar dalam seminggu, boleh dikategorikan sebagai pekerja, walaupun tidak mempunyai pekerjaan tetap atau pendapatan bulanan yang mencukupi.

Ini termasuk pekerja ekonomi gig seperti penghantar makanan, penghantar barangan dan pemandu e-hailing. Kerajaan sendiri telah menganggarkan terdapat sekitar 1.64 juta pekerja gig di Malaysia. Walaupun Akta Pekerja Gig telah mula berkuat kuasa pada Mac 2026 dan memperkenalkan beberapa perlindungan baharu, pekerja-pekerja ini masih tidak menikmati semua hak pekerjaan yang sama seperti pekerja biasa, termasuk jaminan gaji minimum bulanan RM2,000, jaminan pekerjaan dan hak perundingan kolektif dengan majikan. 

Pada masa yang sama, DOSM melaporkan bahawa sekitar 35.2 peratus pekerja berpendidikan tinggi berada dalam pekerjaan separa mahir atau berkemahiran rendah pada suku kedua 2026. Ini menggambarkan masalah ketidakpadanan kelayakan dan kekurangan peluang pekerjaan yang sedang dihadapi oleh sebahagian besar anak muda berkelayakan tinggi.

Seorang graduan yang terpaksa menjadi penghantar makanan kerana gagal mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakannya tidak akan dianggap sebagai penganggur. Tetapi adakah ini boleh dianggap sebagai pencapaian kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang berkualiti kepada anak muda?

Tambahan pula, eksploitasi terhadap jutaan pekerja migran juga harus diberikan perhatian. Walaupun undang-undang gaji minimum sedia ada turut melindungi pekerja asing, kecuali kategori tertentu seperti pekerja domestik, pelbagai masalah seperti gaji tertunggak, penahanan pasport, hutang pengambilan pekerja dan penyalahgunaan sistem kontrak masih membelenggu mereka. Rakyat Malaysia juga sedar bahawa sebahagian besar daripada pekerja migran ini tidak menerima gaji minimum dan sedang ditindas dengan teruk oleh pihak majikan dan agen sumber manusia. 

Apabila majikan boleh mengeksploitasi pekerja migran dengan membayar gaji di bawah kadar yang ditetapkan atau mengenakan potongan yang tidak sah, ia juga boleh mewujudkan tekanan terhadap gaji dan peluang pekerjaan pekerja tempatan. Oleh itu, penyelesaian kepada masalah ini bukannya dengan menyalahkan pekerja migran, tetapi dengan memastikan semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan menerima gaji dan perlindungan yang sama. Penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap kelas majikan diperlukan bagi membendung amalan eksploitasi pekerja migran yang merugikan keseluruhan kelas pekerja.

Kekayaan negara bertambah, tetapi siapa yang menikmatinya?

Pembahagian Pendapatan KDNK Malaysia, 2025
Pampasan Pekerja
33.9%
Lebihan Operasi Kasar
62.0%
Cukai Bersih
4.1%
Sumber: DOSM, GDP Income Approach 2025

Mengikut DOSM, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia telah mencapai lebih RM2 trilion pada 2025. Tetapi daripada keseluruhan nilai tersebut, bahagian pampasan pekerja hanyalah 33.9 peratus, manakala lebihan operasi kasar (Gross Operating Surplus) mencakupi sekitar 62 peratus. Sepertimana diketahui umum, kebanyakkan daripada Lebihan Operasi tersebut merupakan angka keuntungan yang dinikmati oleh kelas majikan dan ini mendedahkan pengagihan kekayaan negara yang tidak adil. Walaupun bilangan kelas kapitalis dan pemodal yang merupakan kurang daripada 1% daripada populasi negara, mereka masih berjaya mengaut peruntukkan yang berlipat kali ganda berbanding apa yang diterima oleh keseluruhan kelas pekerja negara. 

Hanya produktiviti dan pelaburan meningkat, pengagihan pendapatan yang diterima oleh pekerja biasa masih kekal rendah. Kelas pekerja yang menjalankan aktiviti pengeluaran, perkhidmatan dan perdagangan setiap hari merupakan tulang belakang ekonomi negara. Tetapi, mereka masih dipaksa untuk mengharungi kehidupan yang tersepit dengan beban ekonomi yang melampau. 

Manakala, Bajet 2027 menyediakan pelbagai insentif dan pelepasan cukai bagi sektor perniagaan. Kadar cukai pendapatan PMKS dikurangkan satu mata peratusan bagi dua kategori pendapatan bercukai, dengan manfaat tambahan sehingga RM6,000 setahun. Kerajaan juga memperkenalkan kadar cukai serendah lima peratus bagi pendapatan syarikat Global Services Hub, selain pelbagai galakan pelaburan dan pelepasan cukai yang lain.

Walaupun perusahaan kecil juga menghadapi tekanan kos operasi yang nyata, kerajaan tidak harus menjadikannya sebagai alasan untuk mengekalkan gaji kemiskinan bagi kelas pekerja. Persoalan yang wajar diutarakan adalah, adakah pengagihan keuntungan sesuatu syarikat tersebut di jalankan secara adil?

Bagi rakyat yang berpendapatan sederhana, kerajaan mengumumkan peningkatan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 serta pengurangan satu mata peratusan kadar cukai bagi beberapa lapisan. Kerajaan mendakwa bahawa sekitar lima juta pembayar cukai akan menikmati penjimatan sehingga RM1,600 setahun.

Tetapi angka RM1,600 tersebut merupakan jumlah maksimum, bukannya penjimatan yang bakal diterima oleh setiap individu. Malah, rakyat bergaji rendah yang tidak membayar cukai pendapatan langsung tidak menikmati manfaat daripada pelepasan cukai tersebut.

Antara pengumuman yang mendapat perhatian adalah pelepasan cukai bagi vaksinasi haiwan peliharaan, langganan perisian AI dan beberapa perbelanjaan gaya hidup yang lain. Tetapi, pelepasan cukai ini tidak akan memberi impak yang besar jika dikira secara nyata Sebagai contoh, perbelanjaan vaksinasi haiwan yang layak mendapat pelepasan pada kadar cukai marginal lapan peratus hanya akan jimat sekitar RM12 jika harga perubatan tersebut lebih kurang RM150. Walaupun kemudahan seperti ini boleh membantu sesetengah individu, ia langsung tidak menyelesaikan beban sewa rumah, harga makanan dan kos pengangkutan yang meningkat setiap bulan.

Pada masa yang sama, ketegangan peperangan di Asia Timur juga sedang mewujudkan tekanan-tekanan baru terhadap pasaran antarabangsa. Serangan Yemen terhadap kemudahan dan pelantar minyak Saudi Arabia pada Oktober ini juga turut meningkatkan kebimbangan mengenai kestabilan bekalan minyak dunia. Sekiranya kerajaan mengambil langkah untuk mengurangkan subsidi petrol pada masa akan datang akibat tekanan global, kesannya terhadap perbelanjaan rakyat boleh meningkat berlipat kali ganda lebih besar daripada penjimatan cukai yang ditawarkan.

Peningkatan gaji dan taraf hidup memerlukan perjuangan kelas pekerja

Hakikatnya, krisis gaji rendah yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia bukanlah sekadar masalah kekurangan dana kerajaan atau produktiviti pekerja. Ia berkait rapat dengan sebuah sistem ekonomi yang mengutamakan keuntungan swasta dan membenarkan kelas majikan menentukan sebahagian besar daripada polisi dan hala tuju ekonomi berdasarkan kepentingan perniagaan mereka.

Selama berdekad-dekad, kelas pekerja telah menghasilkan kekayaan yang lumayan bagi ekonomi negara. Tetapi setiap kali tuntutan untuk meningkatkan gaji, memperkukuh kebajikan sosial atau memperluaskan perlindungan pekerjaan dibangkitkan, alasan mengenai kos perniagaan, daya saing dan keyakinan pelabur akan digunakan untuk mengehadkan tuntutan tersebut.

Peningkatan gaji minimum kepada RM2,000 sememangnya memberikan sedikit kelegaan kepada pekerja yang layak menerimanya. Begitu juga dengan peningkatan bantuan tunai dan beberapa kemudahan sosial yang diumumkan dalam Bajet 2027. Tetapi semua langkah ini masih jauh daripada sebuah penyelesaian yang mampu menjamin taraf hidup yang bermaruah kepada jutaan pekerja dan rakyat biasa.

Kelas pekerja harus menuntut satu kadar gaji kehidupan yang berdasarkan kepada kos sara hidup sebenar, disemak secara berkala mengikut peningkatan harga barangan dan dilaksanakan tanpa pengecualian kepada mana-mana pekerja bergaji rendah. Pada masa yang sama, penguatkuasaan undang-undang buruh juga harus diperkukuhkan, pekerja gig dan migran harus diberikan perlindungan yang setara, dan semua pekerja harus mempunyai kebebasan untuk menyusun diri dalam kesatuan sekerja serta mengadakan perundingan kolektif dengan majikan.

Perjuangan untuk gaji yang lebih tinggi juga harus dihubungkan dengan tuntutan pembinaan rumah awam yang mampu dimiliki, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan percuma yang berkualiti, pengangkutan awam yang berpatutan serta sistem percukaian progresif yang mengenakan beban cukai yang lebih besar kepada keuntungan korporat dan kekayaan golongan elit.

Namun, hanya sekadar tuntutan ekonomi semata-mata tidak akan mencukupi jika kelas pekerja terus bergantung kepada pertubuhan politik yang mempertahankan aturan pasaran bebas kapitalis. Kesatuan sekerja, gerakan anak muda, pertubuhan akar umbi dan rakyat biasa harus membina kekuatan politik yang bebas, demokratik dan berteraskan kepentingan kelas pekerja. Kita memerlukan sebuah Parti Politik Kelas Pekerja Massa, yang membawa tuntutan rakyat dan juga sebuah program untuk mencabar kekuasaan politik kelas kapitalis. 

Sebuah program sosialis diperlukan untuk menghubungkan perjuangan gaji dan kebajikan dengan tuntutan untuk meletakkan industri-industri utama di bawah kawalan demokratik pertubuhan kelas pekerja, supaya kekayaan yang dihasilkan oleh masyarakat dapat digunakan bagi memenuhi keperluan majoriti, bukannya untuk menjamin keuntungan segelintir kapitalis kaya.

Bajet demi Bajet boleh diumumkan dengan angka yang semakin besar. Tetapi selagi hala tuju ekonomi dan pengagihan kekayaan terus berdasarkan kepada kepentingan keuntungan swasta, kelas pekerja akan sentiasa terpaksa berjuang untuk mendapatkan semula sebahagian kecil daripada kekayaan yang mereka sendiri hasilkan.

Peningkatan taraf hidup yang sebenar tidak akan datang melalui janji Bajet semata-mata, tetapi melalui perjuangan kelas pekerja yang tersusun, bersatu dan mempunyai kekuatan politik untuk mencabar sistem kapitalisme itu sendiri.