Pelarian Rohingya Bukan Musuh: Bela hak pelarian, pekerja harus bersatu
Lebih daripada separuh populasi pelarian di Malaysia terdiri daripada etnik Rohingya, iaitu kumpulan minoriti Muslim yang berdepan dengan penindasan di Myanmar yang majoritinya beragama Buddha. (Sumber: Bernama)
Read the English version of our statement here.
Kempen anti-Rohingya yang berlaku akhir-akhir ini, serta seruan untuk menghalau pelarian Rohingya dari Malaysia, adalah berbahaya dan mesti ditentang. Tindakan ini tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia biasa. Ia tidak menaikkan gaji, tidak menurunkan sewa, tidak memperbaiki perkhidmatan awam, tidak mencipta pekerjaan, dan tidak menghukum ahli politik yang rasuah serta majikan yang menindas. Sebaliknya, ia memecah-belahkan rakyat biasa dan mengalihkan kemarahan mereka ke arah salah satu komuniti yang paling tertindas di rantau ini.
Pada masa kekayaan negara, wang pembayar cukai dan sumber alam dialirkan ke atas untuk menguntungkan golongan elit yang kaya dan rasuah, pelarian yang tidak berdaya — termasuk wanita dan kanak-kanak — dijadikan kambing hitam bagi krisis yang bukan mereka cipta.
Kemarahan yang dirasai oleh ramai rakyat Malaysia biasa adalah nyata. Gaji yang rendah, pekerjaan yang tidak terjamin, kos sara hidup yang meningkat, perumahan yang tidak memadai dan perkhidmatan awam yang lemah meletakkan tekanan yang amat besar ke atas kelas pekerja. Namun kemarahan ini tidak boleh disalah-arahkan kepada pelarian. Punca sebenar keadaan ini adalah sistem yang melindungi kelas kapitalis, memperkayakan gergasi perniagaan, dan membenarkan ahli politik rasuah berkhidmat untuk kepentingan golongan kaya. Kita tidak boleh membiarkan ahli demagog mengalihkan kemarahan kita daripada punca sebenar krisis ini.
Pelarian Rohingya tidak datang ke Malaysia untuk hidup mewah. Mereka melarikan diri daripada penindasan, status tanpa negara, keganasan tentera, perang saudara dan penindasan etnik di Myanmar. Mereka adalah rakyat tanpa negara, dinafikan hak kewarganegaraan dan hak demokrasi asasi, tanpa tanah air yang selamat untuk kembali. Ramai antara mereka terselamat daripada perpindahan paksa, pelayaran laut yang membahayakan nyawa, rangkaian pemerdagangan manusia, tahanan, eksploitasi dan kem kematian. Di Malaysia, mereka terus hidup tanpa status undang-undang yang sah, tanpa hak pekerjaan yang terjamin, dan tanpa akses yang mencukupi kepada pendidikan, pekerjaan, penjagaan kesihatan dan perlindungan undang-undang.
Keadaan ini diburukkan lagi kerana Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 ataupun Protokol 1967, dan tidak mempunyai rangka kerja undang-undang yang sewajarnya untuk mengiktiraf dan melindungi pelarian. Akibatnya, pelarian dan pencari suaka sering dilayan sebagai pendatang tanpa izin, sehingga mereka terdedah kepada penangkapan, tahanan, eksploitasi dan penderaan.
Rakyat Malaysia telah menunjukkan solidariti yang mendalam dengan rakyat Palestin menentang pendudukan, perpindahan paksa dan penindasan, dan ini sememangnya wajar. Roh solidariti yang sama juga harus diperluaskan kepada rakyat Rohingya, yang juga tanpa negara, terpaksa berpindah, didehumanisasikan dan dinafikan hak untuk hidup dengan selamat dan bermaruah. Solidariti tidak boleh bersifat pilih kasih. Kita mesti menentang penindasan sama ada ia dilakukan di Palestin, Myanmar, Malaysia ataupun di mana-mana sahaja.
Status tertindas pelarian Rohingya tidak memberi sebarang manfaat kepada pekerja Malaysia. Yang mendapat manfaat adalah majikan yang mengeksploitasi pelarian sebagai sumber tenaga kerja murah dan mudah ditindas. Apabila pelarian dan pekerja migran dinafikan hak mereka, majikan boleh menggunakan keadaan ini untuk menekan gaji, menekan pekerja tempatan, dan menghalang semua pekerja daripada menuntut gaji dan keadaan kerja yang lebih baik. Jawapannya bukan menyerang pelarian. Jawapannya adalah mengorganisasikan semua pekerja — Malaysia, migran dan pelarian — untuk menentang eksploitasi.
Sikap menjadikan pelarian sebagai kambing hitam secara berasaskan perkauman hanya menguntungkan ahli demagog, pemerdagang manusia, pegawai rasuah dan majikan kapitalis. Pekerja Malaysia tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada membenci pelarian Rohingya. Kekuatan kita hanya boleh dibina melalui perpaduan, solidariti dan perjuangan menentang sistem yang mencipta kemiskinan, perpindahan paksa, gaji rendah dan perpecahan.
Kami menyeru kesatuan sekerja, organisasi pekerja, kumpulan hak asasi manusia, pertubuhan grassroots, kumpulan belia dan pelajar, organisasi wanita, kumpulan hak pelarian dan migran, serta semua wakil golongan tertindas untuk bersatu dalam satu kempen bersepadu menentang gelombang perkauman dan budaya kambing hitam yang berbahaya ini. Kami menyeru kelas pekerja dan semua rakyat biasa di Malaysia untuk menyertai kami dalam mempertahankan pelarian Rohingya, menolak kebencian, dan membina solidariti merentasi bangsa, etnik, agama dan status undang-undang.
Kami menuntut:
- Hentikan kempen kebencian berasaskan perkauman, ancaman dan dehumanisasi terhadap pelarian Rohingya.
- Iktiraf pelarian dan pencari suaka dalam undang-undang Malaysia dan hentikan layanan terhadap mereka sebagai penjenayah.
- Berikan pelarian hak yang sah untuk bekerja, dengan perlindungan buruh sepenuhnya, liputan gaji minimum dan hak untuk berpersatuan.
- Pastikan akses kepada pendidikan untuk kanak-kanak pelarian dan penjagaan kesihatan asas untuk komuniti pelarian.
- Hentikan serbuan, tahanan sewenang-wenangnya, pemerasan dan deportasi terhadap pelarian dan pencari suaka.
- Ambil tindakan tegas terhadap pemerdagang manusia, pegawai rasuah dan majikan yang mengeksploitasi pekerja tanpa dokumen dan pelarian.
- Tolak segala usaha ahli politik dan demagog untuk memecah-belahkan pekerja Malaysia daripada pekerja migran dan pelarian.
- Tuntut negara Myanmar mengiktiraf hak kewarganegaraan penuh, hak demokrasi, keselamatan, kemuliaan dan hak rakyat Rohingya untuk kembali ke tanah air mereka tanpa penindasan.
- Bina solidariti antara pekerja Malaysia, pekerja migran dan pelarian menentang gaji rendah, eksploitasi, perkauman dan ketidaksamaan kapitalis.
Musuh bukanlah pelarian yang melarikan diri daripada penindasan. Musuh adalah sistem yang mencipta pelarian, mengeksploitasi migran, memecah-belahkan pekerja dan melindungi golongan kaya.
Pertahankan pelarian Rohingya. Satukan kelas pekerja. Lawan perkauman, eksploitasi dan penindasan.
Penandatangan awal:
Sosialis Alternatif Malaysia
Jaringan Solidariti Pekerja
Kesatuan Muda Sosialis
Gerakan Pembebasan Wanita
Kongsi Artikel Ini
Artikel Berkaitan