Kongres PKR Mencerminkan Krisis Dalaman: Bina parti pekerja massa sebagai alternatif

Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR, bersama Rafizi Ramli menyempurnakan gimik perasmian Kongres Nasional PKR 2025 di Persada Johor International Convention Centre.


Keputusan dari pemilihan kongres PKR yang berlangsung Mei lalu menunjukkan parti kekal di bawah pengaruh Anwar Ibrahim walaupun ditentang oleh Rafizi Ramli selaku Menteri Ekonomi merebut jawatan Timbalan Presiden parti melalui kempennya HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa) daripada Nurul Izzah. Hasil pemilihan menunjukkan Anwar Ibrahim menang posisi Presiden parti tanpa dicabar oleh mana-mana calon. Manakala jawatan Timbalan Presiden telah dimenangi oleh Nurul Izzah dengan jumlah majoriti 71.72%, mengalahkan Rafizi Ramli yang hanya memperoleh 28.28% daripada jumlah undi. Walaupun berjaya mengekalkan cabangnya, Pandan, kekalahan ini menunjukkan struktur akar umbinya semakin goyah.

Namun di sebalik kemenangan kempen DAMAI yang dipimpin Nurul Izzah dan kekalahan teruk kempen HIRUK yang dipimpin Rafizi Ramli, beberapa figura politik popular dari kedua-dua kem telah dikalahkan oleh calon-calon yang tidak menyatakan sokongan pada mana-mana kempen di peringkat cabang. Salah satu darinya, Nik Nazmi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, calon HIRUK, kalah kepada Afdlin Shauki — pengarah dan pelakon di cabang Setiawangsa. Sementara di Ampang, pemilihan dimenangi oleh Altimet — penyanyi dan komposer mengalahkan dua calon dari kem DAMAI.

Kelesuan di kalangan pengundi

Sementara beberapa kemenangan dan kekalahan calon dan figura-figura politik mencerminkan perpecahan di dalam parti, kelesuan di kalangan pengundi juga harus diambil kira. Walaupun pengkritik menyalahkan pengenalan sistem e-voting dan sistem perwakilan sebagai punca, jumlah pengundi yang mengundi pada tahun ini lebih kurang sama berbanding kongress tahun 2022 yang masih mengguna pakai sistem satu ahli satu undi. Iaitu daripada 1.1 juta ahli, hanya kira-kira 300,000 ahli yang telah mengundi untuk kongres sebelumnya. Ini bermakna sokongan ahli terhadap pilihanraya kepimpinan parti telah pun merosot sejak awal lagi.

Kempen yang dibawa oleh kedua-dua kepimpinan juga asasnya tidak membawa sebarang idea dan mekanisme untuk membawa perubahan yang benar-benar signifikan kepada parti. Ini mengecewakan bagi ahli yang menyokong dan berharap pada PKR akan perubahan yang dijanjikan sebelum menjadi kerajaan. Kekalahan Adam Adli, Menteri Belia dan Sukan dari calon DAMAI, kemungkinan menunjukkan pengundi hilang kepercayaan terhadap figura yang gagal menunaikan janji ataupun tidak menunjukkan inisiatif. Tetapi Adam Adli juga tewas dengan calon dari kem yang sama, DAMAI. Ini menunjukkan pakatan ‘DAMAI’ adalah permainan politik elit untuk kerjasama antara mereka selagi status kedudukan dapat dikekalkan.

Selepas kekalahan Rafizi Ramli merebut jawatan Timbalan Presiden beliau berhujah reformasi di dalam PKR sudah menjadi ‘reformati’. Baginya kempen untuk menghapuskan politik nepotisme ataupun politik anak beranak telah gagal dan bermaharajalela.

Parti Nepotis dalam Erti Kata Lain, Parti Anak Beranak

Kritikan ini telah bermula sejak penubuhan parti lagi pada tahun 1998. Apabila Anwar ditangkap dan didakwa atas tuduhan salah guna kuasa dan salah laku seksual, parti yang berada di bawah pengaruhnya kemudian meletakkan isterinya, Wan Azizah, dan kemudian anak sulungnya Nurul Izzah, sebagai calon utama di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Begitu juga jawatan Wan Azizah sebagai Timbalan Presiden parti yang tidak pernah dicabar sejak parti diasaskan sehingga kini.

Manakala Nurul Izzah pernah memegang jawatan sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan selepas bapanya mendapat jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10. Meskipun hanya memegang jawatan selama sebulan pada Januari 2023 dan melepaskannya pada Februari serta tidak menerima sebarang gaji atau elaun, namun tugasnya sebagai penasihat peribadi kepada bapanya yang merupakan perdana menteri negara dalam urusan tender dan projek kerajaan telah mendedahkan agenda nepotisme untuk memperkaya keluarga sendiri.

Selepas mendapat kritikan dan terpaksa tinggalkan posisi tersebut, kini, Nurul Izzah memegang jawatan Pengerusi Bersama Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan (ACFIN). Realitinya, jawatan-jawatan yang ‘dihadiahkan’ ini adalah untuk menopang politik anak beranak di dalam PKR dengan menggunakan alasan bahawa Nurul Izzah mempunyai ‘pengalaman’ dalam urusan pentadbiran kerajaan apabila tiba masanya.

Cubaan untuk membantah amalan nepotisme pernah dilakukan dengan perletakan jawatan oleh ketua-ketua cabang seperti Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Syed Badli Shah dan Timbalan Ketua Cabang PKR Sepang, Suziana Musa pada tahun 2018. Malangnya ia tidak berjaya membawa sebarang kesan. Walaupun Rafizi Ramli juga cuba mengetengahkan isu ini di dalam Pilihanraya Parti kali ini, nampaknya ia juga tidak mampu mengubah hala tuju kepimpinan PKR yang sedang semakin mengecewakan rakyat.

Justeru mesej yang ingin disampaikan oleh Rafizi Ramli mengenai nepotisme sememangnya sukar untuk disangkal, tetapi mampukah Rafizi Ramli mengubah parti seperti yang diserukan dalam kempen dan ceramah-ceramahnya — jika dia menang sekalipun?

Reformasi atau reformati?

PKR merupakan parti yang ditubuhkan hasil dari pertembungan pandangan antara Mahathir dan Anwar ketika krisis ekonomi Asia pada tahun 1997. Sejak dari itu, PKR menjadi parti pembangkang utama yang menentang UMNO sehingga pilihan raya tahun 2018 yang menyaksikan UMNO tumbang dan digantikan dengan kerajaan baru. Sepanjang pergelutan politik antara UMNO dan PKR untuk menguasai kerajaan, PKR telah mendominasi sebarang gerakan penentangan terhadap UMNO. Seperti gerakan Asalkan Bukan UMNO (ABU), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), malah Parti Sosialis Malaysia (PSM) dibawah kepimpinan Jeyakumar, telah memberi jaminan sokongan terhadap PKR dalam pilihanraya tahun itu. Walau bagaimanapun penyatuan parti-parti politik serta kumpulan dan gerakan tidak berlaku atas dasar prinsip ekonomi dan politik yang kukuh melainkan sekadar sebuah penyatuan anti-UMNO.

Situasi ini menyebabkan golongan elit kelas menengah mengambil kesempatan ke atas momentum yang wujud dalam PKR untuk mengejar kedudukan politik. Ketidakjelasan hala tuju politik ini terdedah seluasnya apabila PH menang mengalahkan BN dalam pilihanraya pada tahun 2018, tetapi gagal menemukan calon yang layak sebagai Perdana Menteri dan terpaksa melantik Mahathir — musuh utama Anwar yang telah memenjarakannya selama ini.

Keadaan politik negara juga berada dalam situasi tidak stabil sehingga jawatan Perdana Menteri berubah 3 kali dalam tempoh kurang dari 5 tahun sejak pengambilalihan PH. Dan kini terbentuk kerajaan campuran yang berpaut semata-mata untuk mencukupkan majoriti mudah di dewan rakyat. Bukan atas dasar prinsip mahupun pendirian yang sama.

Permainan Politik Elit

Setelah kalah dalam pilihanraya kongres, seperti apa dijanjikan, Rafizi menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi dalam Kabinet, berkuatkuasa Jun 17. Ini diikuti oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Nik Nazmi. Susulan daripada itu, Tengku Zafrul pula telah menyerahkan surat perletakkan jawatan daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua Bahagian UMNO Kota Raja, dan juga menyatakan hasrat untuk menyertai PKR. Situasi ini jelas menunjukkan bagaimana mandat untuk menjalankan tugas dalam kerajaan bagi ahli politik elit hanyalah sekadar jawatan untuk memuaskan kepentingan sendiri. Bukannya amanah rakyat yang perlu dipikul.

UMNO dan PKR masing-masing merupakan parti elit yang mempunyai asas kewujudan untuk menopang agenda kelas kapitalis. UMNO yang diasaskan oleh Onn Jaafar sejak sebelum merdeka lagi merupakan parti yang telah menggalas kehendak British untuk mengekalkan undang-undang pecah perintah supaya mengekang sebarang gerakan kelas pekerja yang mencabar kehendak ekonomi dan status quo kolonial British.

Tahun 1997 apabila krisis ekonomi Asia melanda negara, Anwar yang merupakan Timbalan Presiden UMNO, juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada waktu itu telah berbeza pandangan daripada Mahathir dalam persoalan bagaimana ekonomi negara patut diurus dibawah krisis yang sedang melanda. Perbezaan ini yang telah menjadi asas pemecatan Anwar daripada jawatan menteri kewangan dan pembentukkan parti KeADILan pada tahun 1998. Namun perbezaan ini tidak memberi makna mahupun kesan yang ketara bagi kelas pekerja pada waktu itu, malah kelas pekerja dan anak muda sehingga hari ini yang sedang merasai tempias negatif dari program-program neoliberal di bawah pemerintahan tidak kira BN, PN mahupun PH. PKR sebagai parti pembangkang sebelum ini bukanlah pertubuhan yang benar-benar berhasrat untuk membawa perubahan dalam struktur ekonomi dan politik negara. PKR sendiri merupakan parti neoliberal yang ingin mengembangkan lagi pasaran bebas melalui penswastaan.

Ketika krisis ekonomi Asia 1997 — inisiatif Anwar melihat pemotongan perbelanjaan kerajaan sehingga 18% dan peningkatan kadar faedah pinjaman bank sehingga 26% — sama dengan strategi IMF (International Monetary Fund). Sepanjang menyandang pelbagai jawatan kerajaan sehinggalah menjadi PM pada waktu ini, posisi Anwar Ibrahim sentiasa untuk mempertahankan polisi-polisi neoliberal dan menurut kehendak golongan kapitalis elit. Seperti krisis Petronas yang sedang berkembang pada waktu ini, kerajaan dibawah pimpinan Anwar yang kononnya mengangkat idea reform, harus memberi makna pada idea ini dengan membawa reform kepada Petronas untuk memiliknegarakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat biasa. Bukannya membiarkan pekerja dipecat semata-mata kerana syarikat ‘rugi’. Sedangkan kelas pekerja yang telah menghasilkan untung bagi Petronas selama ini.

Rafizi Ramli dan sekutunya sedang mendendangkan retorik bahawa mereka akan mengubah PKR kepada parti reformis yang berasaskan rakyat. Tetapi, ianya tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Rafizi Ramli sendiri sekadar mengejar status dan jawatan di dalam parti dengan kononnya membawa agenda rakyat. Ketika memegang jawatan Menteri Ekonomi dalam kabinet sekalipun, persoalan untuk tingkatkan gaji minimum ke RM1,800 seperti yang dijanjikan oleh PH sebelum menang pilihanraya tidak lagi kedengaran.

Apatah lagi persoalan pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN. Sedangkan posisinya sebagai menteri ekonomi boleh digunakan untuk memperjuangkan polisi-polisi ekonomi yang progresif dan bermanfaat bagi rakyat. Sebaliknya, Rafizi Ramli telah memilih untuk memperlekehkan keluhan rakyat di sepanjang memegang jawatan kerajaan dan telah banyak kali mengundang kemarahan daripada rakyat biasa dengan komen-komen yang tidak sensitif. Contohnya Rafizi Ramli pernah mencadangkan supaya rakyat tidak membeli ayam selepas mendengar rungutan bahawa harga ayam sedang melonjak naik.

Perebutan kuasa politik antara ahli politik mempunyai asas dalam perebutan kuasa ekonomi dan kekayaan. Apa yang Rafizi Ramli dedahkan sebagai ‘kroni’ di dalam PKR membawa maksud kelas kapitalis yang memberi sokongan kepada figura politik untuk menjamin kelangsungan perniagaan ataupun meluluskan tender. Kedua-dua golongan ini, ahli politik elit dan kelas kapitalis mempunyai jalinan yang simbiosis yang saling memerlukan dan memuaskan kepentingan masing-masing. Walau bagaimanapun kestabilan ini amat bergantung dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan boleh memuncak akibat perebutan kuasa dan status masing-masing sehingga mencetuskan krisis politik dan sosial akibat kegagalan pentadbiran negara.

Seperti krisis kemiskinan dan jurang antara kaya dan miskin di Sabah, situasi ini dimudaratkan lagi dengan sistem perlembagaan yang menganaktirikan rakyat di negeri Sabah, ini termasuklah isu rasuah dan korupsi yang berleluasa. Kontradiksi ataupun percanggahan-percanggahan ini memungkinkan gerakan ‘Sabah untuk Sabahan’ yang sudah pun wujud bangkit pada fasa yang lebih serius.

Berikutan perletakan jawatan Rafizi dan juga Nik Nazmi, pasti akan menjurus kepada rombakan kabinet. Perubahan dinamika antara parti-parti yang ada di dalam kerajaan juga pasti akan berubah. Tengku Zafrul, yang sudahpun menghantar surat letak jawatan dari UMNO dan memohon masuk ke dalam PKR, pasti akan menimbulkan ketidakpuasan di kalangan pimpinan UMNO. Terutamanya kepimpinan anak muda seperti Akmal Saleh yang menuntut Tengku Zafrul untuk meletakkan jawatannya sebagai menteri. Kemasukan Zafrul ke dalam PKR pastinya akan mempercepatkan lagi konflik dalam kerajaan campuran ini.

Bina parti pekerja massa sebagai alternatif

Kongres pemilihan PKR yang telah melantik barisan kepimpinan yang tidak menjanjikan dinamika baru untuk mengemudi situasi ekonomi dan politik yang kian mencabar, mahupun aspirasi yang dapat mengangkat tuntutan rakyat, sedang mencerminkan situasi krisis kepimpinan di kalangan kelas kapitalis dan ahli elit politik. Malaysia sebagai sebuah negara bekas jajahan British, acuan yang memecahkan masyarakat mengikut kaum melalui undang-undang dan perlembagaan yang berasaskan ketuanan kaum dan agama, terbentuk selepas British meninggalkan negara masih bersaki baki atas pertolongan kerajaan UMNO selama ini. Sejak dari itu, naratif perjuangan rakyat dalam politik sering bersulamkan perjuangan hak yang berasaskan kaum dan agama.

Atas persoalan ini PKR sebagai parti yang membawa imej kepelbagaian kaum telah menjadi parti pembangkang utama — atas reaksi kesedaran rakyat terhadap naratif politik yang mengutamakan satu kaum hanya mengakibatkan perpecahan. Situasi ini telah mewujudkan dinamika dalam arena politik yang mana parti-parti yang berasaskan kaum seperti DAP dan agama seperti PAS terpaksa bersaing dengan PKR juga mewujudkan kempen dan tuntutan yang membawa imej yang sama. Misalnya PAS pada tahun 2011 pernah memperkenalkan konsep negara berkebajikan dalam kempen parti dan berjaya meningkatkan sokongan dari rakyat bukan beragama Islam di negeri Kelantan itu sendiri.

Tetapi kini parti PKR yang berasaskan kepelbagaian kaum ini telah diuji dengan memegang kuasa kerajaan. Sebarang janji yang pernah dibawa dalam kempen sehingga memenangi pilihanraya umum 2018 seperti meningkatkan gaji minima ke RM1,800, pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN telah langsung dilupakan. Malah program penjimatan kerajaan seperti pemotongan subsidi tetap diteruskan. Isu perkauman juga masih berleluasa terutama dalam pilihanraya. Di mata rakyat biasa dan kelas pekerja, pencapaian PKR yang sedang diuji sebagai kerajaan yang memimpin sedang menunjukkan rekod pencapaian yang buruk dan tidak meyakinkan. Begitu juga dalam isu kronisme dan pemimpin-pemimpin korup yang dilantik dalam kerajaan di bawah pimpinan Anwar.

Persoalan-persoalan ini membuka peluang bagi parti-parti sayap kanan untuk mendendangkan naratif-naratif yang bersifat keistimewaan untuk satu-satu kaum atau agama untuk mendapatkan sokongan. Situasi ini pasti akan menyebabkan perpecahan di kalangan kelas pekerja dan rakyat biasa. Justeru, persoalan mengenai pembinaan sebuah parti alternatif menjadi persoalan yang mustahak.

Sosialis Alternatif menyeru kepada pembinaan parti pekerja massa sebagai alternatif baru dalam politik negara. Isu perkauman dalam politik dan pimpinan yang korup dilantik untuk mentadbir urus negara dapat ditentang melalui kepimpinan daripada parti pekerja massa. Pembinaan parti secara akar umbi dan demokratik serta berprinsipkan perjuangan rakyat yang tertindas, bersenjatakan program yang jelas untuk membawa politik kelas pekerja seperti tuntutan menghakmilikrakyatkan sektor-sektor utama di bawah kawalan kelas pekerja secara demokratik, hak untuk memecat atau menarik balik jawatan menteri dan membawa perwakilan kelas pekerja yang lebih luas dalam kerajaan adalah antara tuntutan yang mampu dibawa parti pekerja massa.

Tuntutan seperti ini meningkatkan perjuangan rakyat melalui solidariti kelas pekerja merentasi limitasi perkauman dan agama. Ini jauh lebih progresif berbanding politik kelas kapitalis elit yang sanggup mengambil posisi agar kelas pekerja ‘berdamai’ dengan program pemotongan perbelanjaan kerajaan, mengkhianati janji pilihanraya, penswastaan dan pemotongan subsidi serta pelantikan pemimpin-pemimpin korup di dalam pentadbiran kerajaan.

Hakikat bahawa pekerja tidak dapat menikmati kekayaan dan keuntungan ekonomi, hasil dari tenaga kolektif mereka sebagai kelas pekerja yang membanting tulang untuk memuaskan kehendak segelintir kapitalis kaya dengan menggunakan ‘aparatus’ kerajaan seperti undang-undang gaji minimum yang dikawal oleh pemimpin elit yang taat pada kelas kapitalis menunjukkan perlunya kuasa politik kelas pekerja mengambil alih politik kelas kapitalis dan hala tuju ekonomi yang mengutamakan rakyat.

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

Kelas Pekerja Terkapai Dalam Lautan Krisis: MTUC lumpuh, MEF mengganas
2025 07 05 mtuc krisis kelas pekerja sosialis alternatif Kongres PKR Mencerminkan Krisis Dalaman: Bina parti pekerja massa sebagai alternatif Sosialis Alternatif
Pada 4 Februari 2025, akhbar New Straits Times melaporkan bahawa MTUC kini dipimpin oleh Presiden Memangku, Datuk Dauzkaply Nor Ghazali dan Setiausaha Agung, Kamarul Bahrain. Mereka telah memecat bekas Presiden Effendy Abdul Ghani, serta...
BACA
Solidariti Buat Pekerja Migran di Syarikat Mediceram yang Sedang Mogok Kali Ketiga Dalam Memperjuangkan Hak Mereka!
2025 06 27 solidariti pekerja migran mediceram mogok 05 20 sosialis alternatif Kongres PKR Mencerminkan Krisis Dalaman: Bina parti pekerja massa sebagai alternatif Sosialis Alternatif
Kami, organisasi Jaringan Solidariti Pekerja, AKSI dan juga Sekolah Merdeka, menyatakan solidariti sepenuhnya dalam menyokong tindakan pekerja yang sedang mogok demi menuntut hak mereka. Mustahil pokok boleh bergoncang jika tiada angin...
BACA
Solidarity with Migrant Workers at Mediceram on Their Third Strike for Justice!
2025 06 27 migrant workers solidarity mediceram strike statement en sosialis alternatif Kongres PKR Mencerminkan Krisis Dalaman: Bina parti pekerja massa sebagai alternatif Sosialis Alternatif
We, Workers’ Solidarity Network, AKSI and Sekolah Merdeka, fully stand in solidarity with the striking workers at Mediceram in their struggle for justice. After all, a tree does not sway without the wind. The continued strike by workers...
BACA

Kongres PKR Mencerminkan Krisis Dalaman: Bina parti pekerja massa sebagai alternatif

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *