Hari Pekerja 2026 dan Krisis Kapitalisme
Analisa politik sambutan Hari Pekerja 2026
Kontinjen Sosialis Alternatif berarak sambil memegang sepanduk dan bendera CWI (Committee for a Workers’ International) pada Hari Pekerja 2026 di Kuala Lumpur.
Read the English version here.
Dalam situasi ini, kelas pemerintah dan kapitalis yang menguasai ekonomi dunia gagal menawarkan sebarang jalan keluar yang munasabah kepada rakyat. Sebaliknya, mereka terus melaksanakan langkah-langkah penjimatan yang menghakis kemudahan awam dan menindas kehidupan rakyat pekerja, sambil menggunakan jentera dan institusi negara untuk menjamin keuntungan korporat serta mempertahankan kepentingan golongan elit.
Dalam konteks inilah sambutan Hari Pekerja 2026 berlangsung, sebagai simbol perjuangan antarabangsa kelas pekerja menentang sistem kapitalisme yang semakin membawa dunia ke arah krisis, peperangan dan ketidakstabilan sosial.
Perarakan Hari Pekerja 1 Mei 2026
Perarakan tahun ini telah disertai oleh lapisan anak muda dan rakyat daripada pelbagai latar belakang perjuangan. Ratusan orang telah menyertai perarakan tersebut dengan membawa tuntutan dan slogan yang mencerminkan perjuangan masing-masing.
Antara kumpulan yang harus diketengahkan ialah para aktivis dari Batu Arang yang membantah pembinaan insinerator berhampiran kawasan perumahan mereka. Perjuangan mereka telah berlarutan selama bertahun-tahun tanpa sebarang penyelesaian yang memihak kepada rakyat. Selain itu, terdapat juga kumpulan pekerja agrikultur yang menuntut hak tanah, mahasiswa yang membantah birokrasi institusi pendidikan, anak muda yang memperjuangkan hak pekerja intern, organisasi pekerja gig yang menuntut pengiktirafan hak mereka sebagai pekerja, dan banyak lagi.
Wakil-wakil daripada kumpulan perjuangan rakyat, anak muda dan kelas pekerja turut diberi peluang untuk menyampaikan ucapan yang penuh semangat dan mencerminkan keresahan sebenar yang sedang dihadapi masyarakat hari ini.
Dalam kalangan peserta juga terdapat kumpulan anak muda yang mengangkat sepanduk dan rentang perjuangan seperti pendidikan percuma, pemansuhan Akta AUKU yang menindas, peningkatan kemudahan kesihatan awam serta pelbagai lagi tuntutan progresif. Namun pada masa yang sama, terdapat juga slogan-slogan reformasi yang tidak melangkaui kerangka Kapitalisme itu sendiri dan sekadar menawarkan perubahan dari segi sosok pentadbir sahaja.
Walaupun perjuangan anti-korupsi di bawah payung reformasi merupakan tuntutan yang sah dan mendapat sokongan ramai, pengalaman lalu mengajar kita supaya tidak menerima kepimpinan reformis ini dengan membuta tuli. Kerajaan Pakatan Harapan sendiri pernah mengangkat slogan reformasi selama hampir dua dekad sebelum mengkhianati harapan rakyat setelah berjaya memperoleh kuasa pemerintahan.
Kini timbul persoalan yang sama. Adakah rakyat harus sekali lagi meletakkan harapan kepada figura-figura liberal yang hanya menjanjikan reformasi pentadbiran, tetapi langsung tidak menyentuh sistem ekonomi kapitalis yang sedang menghumban kelas pekerja ke arah kemiskinan, hutang dan kesengsaraan?
Dimanakah seruan-seruan revolusi yang menyedari bahawa sistem kapitalisme bukan sahaja melahirkan peperangan dan ketidakstabilan di peringkat global, malah turut mencipta krisis inflasi, pengangguran, kemerosotan demokrasi dan pelbagai krisis sosial yang semakin membebankan rakyat di negara kita hari ini?
Antara Reformisme dan Politik Kelas Pekerja
Usaha para penganjur yang menganjurkan acara ini secara konsisten selama bertahun-tahun sememangnya harus dihargai. Mereka telah berjaya membawa rakyat daripada pelbagai latar belakang untuk hadir bersama dengan semangat mencari perubahan yang positif kepada kehidupan masyarakat. Pada masa yang sama, pihak penganjur turut menegaskan bahawa sambutan Hari Pekerja tidak seharusnya terperangkap dalam birokrasi Kesatuan Sekerja semata-mata, tetapi perlu bergerak ke arah persoalan perubahan politik yang lebih luas.
Ini merupakan satu pendirian yang wajar diberikan perhatian. Namun begitu, hala tuju perubahan politik tersebut juga perlu diteliti secara kritikal. Birokrasi kepimpinan kesatuan sekerja yang sedia ada sememangnya telah lama terdedah sebagai gagal untuk memimpin perjuangan pekerja secara serius. Sebahagian besar kepimpinan tersebut semakin terpisah daripada realiti kehidupan kelas pekerja dan lebih cenderung untuk berkompromi dengan pihak kerajaan dan kelas kapitalis.
Walau bagaimanapun, kritikan terhadap birokrasi kepimpinan Kesatuan Sekerja tidak harus dipanjangkan kepada pekerja-pekerja yang berada di dalam kesatuan tersebut. Sebaliknya, gerakan pekerja hari ini memerlukan penglibatan lebih besar daripada lapisan aktivis akar umbi dan pertubuhan politik massa bagi membina perjuangan yang lebih mantap dan berasaskan kepentingan kelas pekerja sendiri. Pada waktu inilah pihak penganjur, khususnya PSM, perlu mengangkat tuntutan kelas pekerja dan menawarkan kepimpinan politik independen kepada kelas pekerja yang sedang berjuang.
Tetapi, dalam senarai tuntutan yang diketengahkan oleh pihak penganjur, jelas kelihatan bahawa fokus terhadap tuntutan dan keperluan segera kelas pekerja tidak diberikan penekanan yang mencukupi. Sebaliknya, slogan-slogan umum seperti anti-rasuah dan anti-imperialisme lebih menonjol berbanding tuntutan ekonomi yang mampu menarik penyertaan massa kelas pekerja secara lebih luas.
Perkara yang sama turut dibangkitkan oleh salah seorang ahli kesatuan sekerja yang hadir atas kapasiti individu. Beliau meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan pihak penganjur untuk menyeru penyertaan massa pekerja melalui tuntutan-tuntutan yang berkaitan dengan kehidupan harian mereka. Malah dalam sambutan Hari Pekerja kali ini, tidak kedengaran sebarang tuntutan konkrit mengenai kadar gaji minimum, sedangkan isu gaji, inflasi dan kos sara hidup merupakan persoalan paling mendesak yang sedang dihadapi oleh majoriti rakyat hari ini.
PSM dan MUDA
Ketiadaan tuntutan kelas pekerja yang jelas bukanlah sekadar kelemahan teknikal, tetapi merupakan kesan politik daripada gabungan yang dibina oleh pihak penganjur sendiri. Apabila organisasi kiri memilih untuk menyesuaikan diri dengan parti reformis liberal seperti MUDA, maka tuntutan perjuangan juga akan dicairkan agar tidak melangkaui batas politik kapitalisme.
Hakikatnya, rakyat semakin muak dengan politik reformis yang hanya dipenuhi slogan perubahan dan janji-janji manis tanpa sebarang kesungguhan untuk mencabar struktur ekonomi dan kuasa kelas pemerintah. Sebelum ini, Pakatan Harapan telah berjaya meraih sokongan rakyat melalui retorik reformasi, tetapi didapati meneruskan dasar-dasar yang mempertahankan kepentingan kapitalis dan golongan elit. Kini, parti seperti MUDA bersama figura-figura liberal seperti Rafizi Ramli sedang cuba mengisi kekosongan politik yang wujud dengan pendekatan yang hampir sama — menampilkan imej progresif tanpa menawarkan alternatif ekonomi dan politik yang benar-benar memihak kepada kelas pekerja.
Dalam keadaan ini, persoalan penting yang harus ditimbulkan ialah mengapa PSM masih memilih untuk membina pakatan politik bersama golongan reformis liberal yang jelas beroperasi dalam kerangka kapitalisme. Sepanjang sejarah kewujudannya, PSM sering meletakkan harapan bahawa pakatan politik dengan golongan liberal reformis mampu membuka ruang demokrasi dan membawa perubahan yang progresif kepada rakyat. Namun, pengalaman politik sebelum ini telah berkali-kali menunjukkan bahawa strategi tersebut akhirnya hanya membawa kepada kompromi politik dan pengkhianatan terhadap aspirasi rakyat.
Malangnya, pendekatan yang sama masih diteruskan hari ini tanpa penilaian yang kritikal terhadap kelemahan strategi tersebut. Dalam konteks Hari Pekerja tahun ini, kesannya dapat dilihat dengan jelas apabila tuntutan-tuntutan ekonomi dan politik kelas pekerja gagal diberikan penekanan yang wajar, manakala slogan reformasi umum yang lebih sesuai dengan gaya politik golongan liberal kapitalis seperti MUDA pula diketengahkan.
MUDA pula sedang cuba membina pengaruh politiknya dengan menampilkan diri sebagai suara anak muda dan perubahan progresif. Namun hakikatnya, parti tersebut tidak membawa sebarang perspektif politik kelas pekerja dan tidak mewakili aspirasi massa. Sebaliknya ia mewakili kepentingan kelas kapitalis dan akan kekal beroperasi dalam batas politik kapitalisme liberal yang mempertahankan eksploitasi dan penindasan terhadap kelas pekerja. Dalam keadaan ini, tradisi perjuangan dan imej pengorbanan yang telah dibina oleh PSM selama ini sedang dipergunakan untuk memberikan legitimasi kepada projek politik reformis yang akhirnya tidak mampu menawarkan jalan keluar sebenar kepada permasalahan yang dihadapi rakyat tertindas.
PSM seharusnya menggunakan kekuatan dan tradisi perjuangannya untuk membina alternatif politik kelas pekerja yang independen dan berprinsip, bukannya terus terperangkap dalam strategi untuk menjalin pakatan politik bersama kepimpinan liberal yang mempunyai kepentingan yang berbeza daripada kelas pekerja.
Sosialis Alternatif dan Hari Pekerja
Dalam keadaan kekeliruan politik seperti ini, tugas golongan Marxis revolusioner bukanlah untuk menyesuaikan diri dengan arus reformisme liberal, tetapi untuk membawa perspektif politik kelas pekerja yang independen, jelas dan berprinsip. Atas dasar inilah, anggota-anggota Sosialis Alternatif telah mengambil bahagian dalam perarakan Hari Pekerja tahun ini dengan membawa program perjuangan sosialis dan perspektif pembinaan kuasa politik kelas pekerja.
Kami telah membina kontinjen kami sendiri yang terdiri daripada lapisan anak muda yang sedar dan sedang berjuang menentang dominasi politik kelas kapitalis dan juga sedang giat membina kuasa politik kelas pekerja. Kami membawa kain rentang utama berbunyi ‘Pekerja Kuasa Perubahan’ dan sepanduk seperti ‘Politik Reformasi Sudah Mati, Bina Politik Kelas Pekerja’.
Bersama itu, kami juga membawa tuntutan gaji minimum yang konkrit RM20 sejam bagi menarik sokongan dari kelas pekerja berserta dengan tuntutan ekonomi lain seperti pengawalan harga barang, pentadbiran yang demokratik oleh kelas pekerja sendiri ke atas sumber alam negara dan lain-lain.
Tujuan utama intervensi kami di dalam acara ini adalah untuk membawa kesedaran politik di kalangan anak muda dan kelas pekerja yang menyertai Hari Pekerja tahun ini. Kami ingin membawa sebuah jalan alternatif yang menolak politik pembangkang dan kepimpinan liberal reformis yang tidak mempunyai sebarang integriti. Dengan menggunakan akhbar dan risalah, kami menyeru kepada para peserta untuk berganding bahu dengan kami, bersama dengan gerakan anak muda, kelas pekerja dan akar umbi yang lain, dalam pembinaan sebuah kepimpinan politik yang mewakili aspirasi kelas pekerja untuk mencabar dominasi politik kelas kapitalis.
Kami membawa idea sebuah masa depan sosialis, yang diperjuangkan bersama dengan kelas pekerja dan rakyat massa, yang mengangkat kepentingan rakyat majoriti dan bukannya kepentingan kelas kapitalis minoriti. Bertentangan dengan sistem Kapitalisme, di bawah Sosialisme, segala kuasa pentadbiran dan pengurusan sumber dan ekonomi negara akan diletakkan di bawah kawalan demokratik kelas pekerja dan rakyat tertindas. Rakyat yang menghasilkan segala kekayaan dan kemudahan negara akan mendapat kuasa untuk juga mengagihkan harta tersebut secara demokratik bagi pembangunan masyarakat. Ini merupakan satu-satunya jalan keluar yang nyata daripada kemusnahan yang sedang dibawa oleh kepimpinan kapitalis.
Kongsi Artikel Ini
Artikel Berkaitan