Gerakan Wanita Komunis: Wanita dan revolusi
Lebih daripada 100,000 wanita berarak melalui Petrograd (kini Saint Petersburg) pada 8 Mac 1917, tahun pertama Hari Wanita Antarabangsa diraikan dan beberapa bulan sebelum tercetusnya Revolusi Oktober di Rusia.
Sukar bagi kita hari ini untuk benar-benar menghargai betapa besarnya sumbangan Revolusi Rusia pada gerakan pekerja sedunia. Laporan ini memberikan gambaran tentang kesan inspirasi pejuang-pejuang wanita sosialis. Walaupun mereka berada di negara kapitalis, tetapi tetap berjuang dengan berani untuk menamatkan penindasan berganda sebagai wanita. Perjuangan mereka kini menjadi contoh dan inspirasi untuk menggulingkan kapitalisme.
Inessa Armand, salah seorang penganjur persidangan pertama dan ketua jabatan wanita Rusia (Zhenotdel), melaporkan bahawa hasil daripada revolusi, wanita kini mempunyai hak politik dan sivil sepenuhnya, setara dengan lelaki. “Sosialisasi pengeluaran dan perampasan harta kapitalis serta tuan tanah membawa kepada pemusnahan sepenuhnya segala bentuk eksploitasi dan ketidakadilan ekonomi.” “Di Soviet Rusia, pekerja wanita di kilang tidak lagi dianggap sekadar buruh upahan, tetapi adalah pemimpin sepenuhnya, setaraf dengan pekerja lelaki.”
“Hal-hal yang berkaitan dengan keluarga dan perkahwinan juga serupa. Soviet telah menetapkan hak yang sama bagi suami dan isteri. Kuasa suami dan bapa untuk mengawal tidak lagi wujud. Formaliti perkahwinan dan perceraian telah dikurangkan ke tahap minimum dengan hanya memerlukan pernyataan bertulis yang ringkas.” Perlindungan untuk ibu hamil dan ibu yang menyusukan anak, taska dan tadika awam, dewan makan dan dapur sosial, bengkel pembaikan serta dobi komuniti – semuanya sedang mengubah kehidupan wanita pekerja.
Memobilisasi wanita
Pada Kongres pertama Communist International yang diadakan pada tahun 1919, satu resolusi yang dirangka oleh revolusioner Rusia, Alexandra Kollontai, menyatakan bahawa “penghapusan sepenuhnya sistem kapitalis hanya boleh dicapai melalui perjuangan bersama dan bersatu antara lelaki dan wanita kelas pekerja”, dan setiap anggota Parti Komunis harus segera “bekerja dengan tegas dan penuh tenaga untuk menarik wanita proletariat ke dalam barisan parti”. Garis Panduan untuk Gerakan Wanita Komunis mencatatkan: “Adalah mustahil bagi proletariat untuk mencapai kemenangan melalui tindakan massa revolusioner dan dalam perang saudara tanpa penyertaan wanita daripada golongan pekerja… Mereka merangkumi separuh – malah dalam negara kapitalis paling maju, lebih daripada separuh – warga pekerja.” “Tanpa penyertaan aktif dan sedar dari sebanyak mungkin wanita yang berfikiran Komunis, adalah mustahil untuk mencapai transformasi besar-besaran dalam masyarakat, mengubah asas ekonominya, dan semua institusinya.”
Tugas pertama Gerakan Wanita Komunis (CWM) adalah untuk memobilisasi wanita dalam republik-republik Soviet bagi mempertahankan revolusi – yang pada waktu persidangan pertama sedang diancam kuasa-kuasa kontra-revolusi dari dalam dan luar negara. Ini termasuklah bagi memastikan wanita terlibat sepenuhnya dalam pembinaan masyarakat baharu. Tugas kedua yang berjalan seiring adalah untuk menarik pekerja wanita di dunia kapitalis ke dalam gerakan komunis untuk menggulingkan kapitalisme. Ini bukan sahaja penting untuk pembebasan mereka sendiri tetapi juga untuk pengukuhan revolusi di Rusia, yang pada waktu itu merupakan negara yang mundur dari segi ekonomi dan majoritinya terdiri daripada petani. Rusia juga sedang dilanda perang dan perang saudara. Oleh itu kerjasama ekonomi dan solidariti kelas pekerja dalam ekonomi global yang lebih maju merupakan sesuatu yang amat mustahak untuk mempertahankan revolusi.
Tetapi bagaimana Gerakan Wanita Komunis dapat membangkitkan “semangat revolusi” dalam kalangan wanita untuk meningkatkan tenaga, aktiviti, inisiatif dan keyakinan diri mereka? Ini hanya dapat dilakukan dengan mengakui bahawa walaupun wanita kelas pekerja berkongsi banyak kebimbangan ekonomi yang sama dengan lelaki kelas pekerja, mereka juga menghadapi masalah khusus yang berkaitan dengan jantina mereka. Seperti yang ditegaskan oleh rakan seperjuangan Gerten (Sturm) dalam laporannya kepada persidangan pertama CWM, wanita bukan sahaja seorang “buruh yang diperhamba” tetapi juga “hamba rumah tangga”. Jika seorang wanita bekerja selama dua belas jam, menghabiskan satu jam lagi untuk perjalanan pulang dan kemudian perlu melakukan “kerja rumah tangga”, “wanita itu tidak mempunyai masa lapang untuk membaca akhbar, menghadiri mesyuarat dan menyuarakan pandangannya”.
Nadezhda Krupskaya dari Rusia mengulas tentang bagaimana wanita disosialisasikan dalam masyarakat kapitalis dan feudal untuk mengambil peranan yang lebih “pasif”, sehingga kurang yakin dengan keupayaan mereka sendiri. “Saya sering melihat bagaimana seorang wanita pekerja pada awalnya begitu takut dalam satu mesyuarat, tidak berani bersuara walau sepatah perkataan.” Namun, tambahnya, “sedikit demi sedikit, dia mula berminat [dengan perbincangan revolusi dan anti-kapitalisme], kemudian akhirnya menjadi seorang pekerja yang berharga dalam gerakan buruh secara keseluruhan”. Pada persidangan CWM kedua pada tahun 1921, seorang delegasi dari Parti Komunis Jerman (VKPD) juga menekankan bahawa “berkaitan dengan wanita… sebaik sahaja mereka yakin bahawa perjuangan itu penting, mereka akan mengabdikan diri kepada perjuangan dengan lebih berani daripada lelaki”.
Namun, tugas meyakinkan wanita-wanita yang berpotensi dan memainkan peranan penting tidak boleh dibiarkan kepada kebetulan. Ia memerlukan pendekatan yang sedar dan terancang oleh parti-parti Komunis yang bekerjasama dengan Communist International serta oleh International itu sendiri. Ini menuntut kaedah propaganda dan pendekatan baharu yang dirancang khusus untuk mencapai, merekrut, mendidik dan memberikan keyakinan kepada wanita agar mereka dapat memainkan peranan penuh dalam perjuangan untuk mengubah masyarakat.
Struktur khas
Dengan matlamat itu, resolusi dalam persidangan pertama Gerakan Wanita Komunis (CWM) menggesa parti-parti Komunis untuk menubuhkan jawatankuasa wanita di peringkat nasional dan tempatan bagi [melanjutkan strategi untuk meningkatkan kesedaran pekerja wanita serta] menyusun dan menyelia kerja mereka secara terancang dan konsisten. Jawatankuasa ini bukanlah badan yang berasingan tetapi akan diintegrasikan di bawah kepimpinan struktur parti yang membuat keputusan secara demokratik. Peranan mereka adalah untuk melengkapkan kerja umum parti, bukan menggantikannya atau menduplikasinya.
Sudah tentu, resolusi bagaimana struktur wanita ini seharusnya berfungsi cukup terperinci tetapi ia tidak dapat diterapkan serta-merta dalam setiap bahagian Communist International. Di Soviet Rusia, model yang menjadi asas kepada Garis Panduan Gerakan Wanita Komunis telah menjayakan parti Komunis massa dalam menggulingkan kapitalisme dan sistem tuan tanah, [tetapi] pada masa yang sama sedang berperang menentang kontra-revolusi ganas oleh golongan Putih (anti-Soviet) dan kuasa-kuasa imperialis – sambil berusaha membina masyarakat berasaskan sosialisme. Parti Jerman dan Czech juga mempunyai sokongan massa, manakala parti-parti lain masih merupakan organisasi kecil yang berasaskan propaganda. Organisasi sebegini mempunyai pengaruh lebih sedikit dalam kalangan kelas pekerja. Ada parti yang beroperasi secara sah, sementara yang lain terpaksa bergerak secara rahsia. Oleh itu, resolusi CWM menetapkan matlamat umum tetapi menekankan fleksibiliti dalam struktur dan kaedah, yang disesuaikan dengan pengalaman nasional masing-masing.
Setiap bahagian digesa untuk menganjurkan perhimpunan awam dan menjalankan “agitasi” bagi menarik ahli wanita baharu dengan bahan penulisan seperti akhbar, artikel dalam media utama parti, risalah, pamflet, dan sebagainya. Pada masa yang sama, mereka juga mengambil peranan untuk mendidik dan membangunkan ahli wanita dari segi politik, melatih mereka menjadi “kader” agar dapat memimpin parti revolusi pekerja pada masa akan datang. Melalui struktur umum parti dan juga melalui mesyuarat serta kumpulan perbincangan wanita khas, matlamatnya adalah untuk menggalakkan perkembangan politik wanita secara menyeluruh, bukan sekadar memusatkan perhatian kepada isu-isu tertentu berkaitan jantina mereka.
Di peringkat antarabangsa, sebuah Sekretariat Wanita Antarabangsa (IWS) telah ditubuhkan. Pemilihan sekretariat telah dilakukan di kongres dan kemudian disahkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Communist International. Pada awalnya gerak kerja lebih berpusat di Moscow, IWS kemudiannya dipindahkan ke Berlin pada awal tahun 1922 bagi memudahkan komunikasi dengan bahagian nasional. Bahagian-bahagian nasional ini [telah dibangunkan bagi menguatkan sekretariat antarabangsa itu sendiri dan] digalakkan untuk melantik “koresponden antarabangsa” yang akan berhubung dengan IWS, menghantar bahan kempen serta laporan berkala mengenai gerak kerja d kalangan pekerja wanita.
Pekerja wanita
Setiap bahagian wanita di peringkat nasional dipupuk untuk memberi keutamaan pada “agitasi” dalam kalangan pekerja wanita, kerana kelas pekerja, dengan peranannya yang mampu menentukan proses pengeluaran kapitalis sama ada berjalan atau berhenti apabila mogok, perlu meletakkan dirinya di barisan hadapan gerakan revolusi untuk menghancurkan masyarakat lama dan membina masyarakat baharu. Seorang perwakilan dari Rusia menjelaskan bahawa walaupun di Rusia sebelum revolusi, di mana majoriti besar wanita adalah petani dan “hanya satu per sepuluh merupakan pekerja wanita”, “kami tetap menjadikan pekerja wanita sebagai fokus utama perjuangan kami”.
Perang Dunia Pertama telah menarik wanita ke kilang dan tempat kerja dalam jumlah yang besar bagi menggantikan pekerja lelaki yang sedang berperang. Dalam acara penutup di Persidangan Wanita Timur, Leon Trotsky menerangkan dengan data yang sedia ada bahawa di Jepun, misalnya, terdapat lebih ramai pekerja wanita berbanding pekerja lelaki. Seorang perwakilan dari Latvia di persidangan pertama CWM menggambarkan kesan revolusioner yang besar ke atas pekerja wanita “yang tertarik secara besar-besaran ke dalam organisasi pekerja”. Seorang perwakilan Jerman melaporkan bahawa dua juta daripada sembilan juta ahli kesatuan sekerja di Jerman adalah wanita, tetapi beliau menambah, “jumlah wanita yang memegang jawatan, sangat sedikit”.
Namun selepas perang berakhir, pekerja wanita menghadapi serangan dari pelbagai sudut. Gerakan revolusi telah dikalahkan di Jerman, Austria, Hungary, dan kemudian di Itali, kerana seperti yang dinyatakan dalam “Laporan Penyertaan Wanita dalam Perjuangan untuk Merebut Kuasa Politik”, “gerakan ini dipimpin oleh parti reformis”, bukannya “Parti Komunis yang memiliki kesedaran kelas dan berjuang secara militan” seperti Bolshevik di Rusia. Pekerja wanita terpaksa bersaing dengan lelaki yang baru pulang dari perang dalam situasi krisis ekonomi, sehingga menyebabkan krisis pengangguran. Kelas kapitalis memindahkan beban krisis kepada kelas pekerja melalui peningkatan eksploitasi dan pemusnahan kebajikan sosial.
“Di setiap negara di mana proletariat belum merebut kuasa melalui perjuangan revolusi,” kata pemimpin utama Parti Komunis Jerman, Clara Zetkin, “slogan yang berkumandang dengan lantang ialah: ‘Wanita keluar dari tempat kerja! Wanita kembali ke rumah!’ Slogan ini bahkan mendapat sokongan dalam kesatuan sekerja.” Namun, seorang perwakilan menggambarkan bagaimana di Austria, wanita dalam Parti Komunis telah berjuang menentang pemimpin kesatuan sekerja sayap kanan untuk memastikan wanita kekal dalam industri logam, walaupun hanya pada kerja yang lebih ringan dengan gaji lebih rendah. “Perjuangan ini membawa pengikut baharu kepada gerakan kami,” katanya.
Perjuangan melawan krisis kos sara hidup pasca-perang dan penderitaan pekerja wanita menjadi isu utama dalam gerak kerja bahagian di setiap negara. Malah ia menjadi isu yang paling utama dalam sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun 1922. Seruan Hari Wanita Antarabangsa dalam persidangan pertama koresponden wanita tahun 1922 berbunyi: “Apa yang akan kita dan anak-anak kita makan? Bagaimana kita akan berpakaian di tengah inflasi yang dahsyat ini? Wujudkah tempat dan kawasan kediaman yang aman dan sihat untuk melindungi anak-anak kita daripada tuberkulosis, riket, dan kematian pramatang? Bagaimana saya boleh meningkatkan gaji saya yang tidak mencukupi, dan bagaimana saya harus membayar cukai? Bagaimana saya boleh menguruskan kerja rumah dan kerja saya di kilang? Apakah yang akan berlaku kepada kita apabila kita sudah tua dan sakit? Dari mana kita dapat wang untuk membayar bidan, lampin, makan dan menjaga ibu dan anak? Apa yang akan terjadi jika kita hilang pekerjaan? Siapa yang akan membantu keluarga kita jika yang mencari nafkah dipenjara kerana berani menentang keadaan kerja yang semakin merosot?” “Semua soalan ini menuntut jawapan,” tegas seruan itu. Kata-kata yang pasti masih bergema dalam jiwa pekerja wanita hari ini.
Dalam persidangan kedua koresponden CWM, dinyatakan bahawa “semua perjuangan… walaupun untuk tuntutan ekonomi kecil [seperti kenaikan gaji atau pengurangan waktu kerja], harus dipimpin dengan mendukung matlamat utama: mempersiapkan wanita secara tersusun dalam barisan yang bersatu kelas pekerja untuk perjuangan menggulingkan kapitalisme”. Di Jerman, wanita turut terlibat dalam jawatankuasa pekerja dalam mengawal harga barang. Mereka berjuang menentang pemanjangan waktu kerja dan untuk dibenarkan bekerja pada waktu malam. Mereka menuntut:
- “Untuk jaminan pekerjaan: Libatkan semua penganggur dalam pengeluaran ekonomi!
- “Kekalkan hari kerja lapan jam!
- “Lawan pemotongan gaji; naikkan gaji sekurang-kurangnya ke tahap sara hidup!
- “Gaji yang sama untuk kerja yang sama bagi lelaki dan wanita!
- “Pertahankan dan kembangkan langkah keselamatan di tempat kerja untuk lelaki dan wanita!
- “Hak penjagaan manusiawi untuk ibu dan anak-anak!”
Isu kempen
Sekretariat Wanita Antarabangsa telah mengeluarkan seruan untuk Hari Wanita Antarabangsa, yang kini secara rasmi ditetapkan pada 8 Mac, dan membantu menyelaraskan salah satu kempen antarabangsa yang paling penting dan berjaya, iaitu seruan kemanusiaan mempertahankan Soviet Rusia. Kempen ini berjaya dengan luas menarik lapisan wanita untuk mengumpulkan dana dan peralatan kemanusiaan untuk membantu mereka yang menderita akibat kebuluran dan kemiskinan terutamanya di kawasan Volga dan Ural, disebabkan oleh perang, perang saudara, dan kemarau.
Sekretariat ini juga telah mengedarkan tesis mengenai isu “menamatkan kehamilan” serta kempen berkaitan isu pelacuran. Garis Panduan Gerakan Wanita Komunis menuntut “langkah ekonomi dan sosial untuk memerangi pelacuran; langkah kebersihan untuk mencegah penyebaran penyakit kelamin; dan penghapusan pusat pelacuran di berek, pengawasan oleh pasukan pencegah, serta keterasingan sosial terhadap mereka; dengan menghapuskan standard seksual berbeza bagi lelaki dan wanita [dengan langkah-langkah yang konkrit].”
Kerajaan Soviet telah memberikan hak untuk menamatkan kehamilan di hospital-hospital kerajaan pada tahun 1920. Sementara dalam kalangan negara kapitalis, kempen yang paling penting mengenai hak reproduktif wanita telah dilancarkan di Jerman, di mana Parti Komunis berjuang menentang Perenggan 218 dan 219 dalam Kanun Jenayah yang menetapkan bahawa wanita yang menamatkan kehamilan boleh dipenjara sehingga lima tahun ke sepuluh tahun. Pada waktu itu, setiap tahun, dua puluh ribu wanita mati akibat cubaan untuk menamatkan kehamilan secara tidak sah. Tetapi Sekretariat Wanita Parti Komunis Jerman turut mendedahkan dalam memorandum bahawa undang-undang anti-hak kesihatan dan tubuh badan wanita [dalam sistem kapitalis] “sebenarnya membuka pintu klinik kepada wanita, tetapi hanya untuk wanita kelas sosial yang lebih tinggi, manakala wanita proletariat pula diserahkan ke tangan doktor tidak bertauliah dan dilaporkan oleh mata-mata polis”.
Mesyuarat besar-besaran diadakan di banyak bandar Jerman, terutamanya atas inisiatif wanita komunis di peringkat akar umbi. Dengan slogan “Tubuh anda milik anda”, parti itu menegaskan bahawa “selagi masyarakat tidak mampu menyediakan asas bagi kestabilan ekonomi dan sosial yang layak untuk menjalani tempoh keibuan, ia tidak berhak menuntut wanita untuk menanggung penderitaan dan beban yang timbul kerana mengandung dan melahirkan anak”. Mereka juga merangka sebuah usul untuk dibentangkan oleh ahli parlimen mereka di Reichstag (parlimen nasional Jerman). Usul ini, selain menuntut pemansuhan Perenggan 218 dan 219, juga menyeru kepada penubuhan Pusat Nasihat Kehamilan, rumah perlindungan bagi wanita hamil, cuti bersalin yang bergaji, pusat jagaan kanak-kanak, serta bantuan awam untuk wanita yang menganggur.
Reformasi dan revolusi
Sesetengah perwakilan, khususnya Nora Smythe dari Britain, menentang untuk bertanding dalam pilihan raya, bahkan berkempen untuk hak mengundi bagi wanita. Liudmila Stal dari Rusia memanggil tuntutan ini sebagai “penyakit ‘kiri’”. Vladimir Lenin mengkritik tuduhan ini dalam risalahnya Komunisme Sayap Kiri: Satu Penyakit Pramatang (Left-Wing Communism: An Infantile Disorder), penulisan Lenin mengkritik golongan ultra-kiri. Walau bagaimanapun sebuah resolusi CWM mengesahkan bahawa penyertaan dan agitasi dalam pilihan raya di kalangan wanita bukan sekadar “memburu undi dan jawatan”, tetapi juga “memberikan inspirasi dan pendidikan politik Komunis yang berorientasikan aksi dan perjuangan”. Aktiviti individu yang dipilih ke parlimen “mesti mempunyai tujuan yang melangkaui parlimen, dan menyeru massa di luar parlimen untuk bersatu dalam perjuangan revolusi”.
Gerakan Wanita Komunis*
Gerakan Wanita Komunis (CWM) berusaha untuk menempuh jalan tengah antara dua ideologi yang berbahaya [bagi gerakan revolusi]: di satu pihak, ilusi terhadap feminisme iaitu “hak sama rata” borjuis, dan di pihak lain, idea ultra-kiri yang menentang pembaharuan “separuh-separuh” dalam sistem kapitalis. Clara Zetkin menjelaskan bahawa kempen untuk hak mengundi wanita di negara-negara yang masih belum memperolehnya hanyalah “titik permulaan”, dan harus dianggap sebagai alat dan bukan matlamat akhir. Ia tidak mampu, seperti yang didakwa feminis borjuis, mencapai kesaksamaan penuh bagi wanita, tetapi merupakan sebahagian daripada perjuangan untuk menggerakkan wanita ke arah pembebasan dan transformasi masyarakat secara menyeluruh.
CWM menegaskan bahawa, “Hak mengundi tidak boleh menghancurkan punca asal perhambaan wanita dalam keluarga dan masyarakat. Pengenalan perkahwinan sivil… di negara-negara kapitalis itu sendiri tidak menjaminkan kesaksamaan dalam perkahwinan dan tidak menyelesaikan cabaran dalam hubungan antara jantina. Ini selagi keadaan yang menyebabkan pekerja wanita bergantung secara ekonomi kepada kapitalis dan lelaki selaku pencari nafkah.” “Bukan usaha bersatu wanita dari kelas yang berbeza yang memungkinkan komunisme, tetapi perjuangan bersatu semua yang dieksploitasi.” [Manakala usaha bersama wanita dari kelas tinggi untuk hak ekonomi yang lebih adil dan kesetaraan jantina tidak akan dapat membawa kesimpulan revolusi disebabkan kelebihan-kelebihan yang mereka miliki ternyata berbeza dari kelas pekerja. Sebuah perjuangan bersatu semua kelas yang tertindas adalah jalan untuk membawa cita-cita ini.]
Walaupun CWM memberi tumpuan utama kepada pekerja wanita, kesatuan sekerja, dan koperasi, ia tidak mengabaikan wanita petani dan “suri rumah” yang terpaksa bekerja sepanjang hari di rumah dan “tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan perspektif yang lebih luas tentang kehidupan [dan perjuangan hak]. Sturm berhujah bahawa mereka tenggelam dalam “kehambaran”. Perwakilan-perwakilan menjelaskan bagaimana kondisi wanita-wanita tersebut menyebabkan mereka melihat penderitaan mereka sebagai masalah individu dan bukan suatu penindasan dalam sistem kapitalis. Ini menyebabkan kurangnya kesedaran kelas dan lebih mudah terpengaruh dengan pengaruh reaksioner gereja, nasionalis, monarkis, dan prejudis borjuis. Hal ini boleh menyebabkan mereka menyalahkan golongan pekerja, bukannya sistem kapitalisme, malah ada yang sanggup membantu mematahkan mogok pekerja. “Tugas propaganda dan pendidikan kita,” kata Zetkin, “harus dijalankan untuk menghapuskan tembok sempit kehidupan rumah tangga… supaya pemikiran dan pandangan mereka tertumpu ke masyarakat – dan di medan pertempuran perjuangan kelas.” Di Austria, anggota CWM dihantar untuk menggerakkan wanita di pasar-pasar dan dataran awam, termasuklah berkempen dari rumah ke rumah.
Menariknya, menurut Alexandria Kollontai, “wanita intelektual” – istilah yang digunakan oleh Komunis ketika itu untuk merujuk kepada pekerja sosial, penjawat awam, pekerja kerajaan tempatan, guru, dan sebagainya – boleh membantu perjuangan “tetapi mereka tidak boleh dianggap sebagai kuasa sebenar seperti yang diwakili oleh wanita proletariat”. Ini sangat berbeza dengan situasi hari ini, di mana golongan pekerja wanita tersebut telah “diproletarkan” sehingga mereka tidak lagi dianggap sebagai golongan “berkeistimewaan”, sebaliknya menjadi sebahagian daripada kelas pekerja dan memainkan peranan penting dalam banyak mogok baru-baru ini serta perjuangan di tempat kerja.
Kekuatan dan kelemahan
Laporan mengenai perjuangan kelas pekerja wanita bersama-sama petani menunjukkan keberanian yang luar biasa. Di Lithuania, “wanita akan pergi ke parit untuk membawa bekalan seperti makanan, senjata, dan peluru. Bantuan ini seringkali memudahkan kemenangan Tentera Merah” [iaitu tentara pasukan kelas pekerja yang dipimpin Lenin dan Trotsky sehingga berjaya menamatkan perang sivil di Rusia pada 1917]. Di Rusia, lapor Inessa Armand, pekerja wanita mempertahankan kilang, fasiliti dan soviet [kaunsel pekerja], malah “pekerja wanita turut menyertai dalam jumlah yang ramai untuk bertempur di barisan hadapan menentang Pengawal Putih [tentera anti-Bolsehvik] – bersama dengan pekerja lelaki”. Menurut Sturm, di Bavaria, sebuah republik soviet Bavaria yang berumur pendek semasa revolusi 1918–19, “pekerja wanita memasang mesingan di rumah mereka, mempertahankan kawasan pekerja di bandar, menembak Pengawal Putih yang mara, dan masih menguasai kawasan itu walaupun bahagian lain di bandar telah menyerah”.
Aksi ini dijalankan dengan risiko peribadi yang sangat besar. Aura Kiiskinen dari Finland melaporkan bahawa “saudari-saudari persatuan Palang Merah turut dianiaya tanpa belas kasihan. Ratusan komrad wanita yang terbaik dan terberani juga masih menderita di sebalik tembok penjara, dan jumlah mangsa baru yang ditahan oleh polis rahsia terus meningkat”. “Latvia Merah”, Tumu menjelaskan, “tumbang dan bendera Latvia Putih dikibarkan di atas seribu mayat pekerja wanita dan lelaki yang ditembak dan dibantai”. Malah di Amerika Syarikat, menurut Ella Reeve Bloor, “salah seorang wanita di tempat kami, seorang nenek, telah ditembak di garisan piket hanya kerana dia mengambil bahagian dalam mogok keluli”.
Walaupun terdapat kejayaan dalam melibatkan wanita dalam perjuangan, kelemahan tetap diakui tanpa berselindung. Laporan pada persidangan kedua koresponden wanita antarabangsa, yang diterbitkan dalam akhbar antarabangsa CWM, menyatakan: “… Gerakan Wanita Komunis Antarabangsa kita masih agak lemah. Di kebanyakan negara, pengaruh parti terhadap wanita kelas pekerja [iaitu kesedaran terhadap keperluan parti di kalangan wanita kelas pekerja] masih sangat terhad. Hanya sebilangan kecil wanita kelas pekerja yang menjadi anggota parti. Di kebanyakan negara, rakan seperjuangan masih belum benar-benar memulakan aktiviti secara sedar dan sistematik dalam kesatuan sekerja, apatah lagi memberi tumpuan khusus kepada pekerja wanita. Tugas besar ini masih menanti kita.”
Persidangan kedua CWM*
Pada persidangan kedua CWM, Henriette Roland-Holst dari Belanda melaporkan bahawa “mungkin hanya seratus wanita yang berdaftar sebagai ahli parti, dan mereka telah didaftarkan oleh suami mereka. Dan apabila lelaki pergi ke mesyuarat parti, wanita tetap tinggal di rumah menjaga anak-anak.” Seorang perwakilan dari Czech mengadu bahawa hanya 20% ahli parti terdiri daripada wanita. Di Perancis, di mana angka itu lebih rendah lagi, persidangan pertama Parti Komunis melaporkan bahawa “situasi ini sudah tentu menyebabkan mustahil untuk sepenuhnya mengatasi feminisme borjuis dan anti-feminisme yang telah lama membebani gerakan pekerja revolusioner Perancis”.
Pengulas kapitalis dan sejarawan kontemporari begitu rancak menyebarkan mitos tentang “Lenin si diktator” (lihat The Real Lenin, dalam majalah Socialism Today, keluaran No. 274, Februari 2024), begitu juga “Lenin si misoginis”. Namun, realitinya adalah seperti yang Zetkin nyatakan dalam persidangan “Wanita dari Timur”, “Komrad Lenin telah menjadikan dirinya sebagai juara perjuangan wanita.” Namun, ini tidak bermakna parti-parti Komunis telah dapat mengasingkan diri mereka daripada prasangka masyarakat terhadap wanita pada waktu itu. “Kami belum menerima banyak galakan daripada kaum lelaki,” kata Lucie Colliard dari Perancis mengenai soal mengorganisasikan wanita pekerja dalam Parti Komunis. Seorang perwakilan dari Sweden mengadu, “Setiap kali kami memerlukan bantuan, sama ada penceramah untuk pertemuan wanita pekerja atau memohon dana untuk menerbitkan risalah khas, kami dibiarkan tanpa sebarang sokongan.”
Namun, keadaan boleh diperbaiki. Pada persidangan kedua Gerakan Wanita Komunis, Sturm dari Jerman bercakap tentang perjuangan untuk meyakinkan rakan seperjuangan lelaki bahawa dalam situasi kadar pekerjaan yang tinggi, wanita tidak harus dianggap sebagai pesaing, tetapi sebagai sekutu di tempat kerja. Menjelang persidangan wanita ketiga Parti Komunis Jerman, dilaporkan bahawa “persidangan ini mendengar lebih sedikit keluhan berbanding sebelum ini (yang tidak selalunya tidak munasabah sepenuhnya) bahawa komrad-komrad lelaki dalam parti tidak memahami kerja kami dan tidak memberikan sokongan yang mencukupi.”
Membina masyarakat baru
Pada persidangan kedua CWM, Clara Zetkin menjelaskan bahawa “malah selepas kapitalisme digulingkan… masih ada sisa-sisa idea kapitalis dalam pemikiran masyarakat. Semua prasangka ini, semua sisa cara pemikiran borjuis… mesti dikalahkan. Kerja pendidikan bermakna menghapuskan segala prasangka dalam masyarakat”. “Kerja pendidikan” ini akan tetap diperlukan bahkan selepas revolusi sosialis di negara kapitalis maju, namun ia terutamanya penting selepas 1917 di sebuah negara yang majoritinya petani, di mana sebahagian besar penduduknya masih buta huruf [seperti Rusia].
Salah satu aspek yang paling menginspirasi dalam Gerakan Wanita Komunis ialah gerak kerja Zhenotdel [iaitu sayap wanita dalam kerajaan Soviet] di republik-republik Soviet dalam mendidik dan yang paling penting, meyakinkan pekerja wanita, petani dan “suri rumah” untuk terlibat sepenuhnya dalam mempertahankan serta memperluaskan pencapaian revolusi. Wakil-wakil dari Universiti Komunis Sverdlov merentasi wilayah, sering kali menggunakan kaedah inovatif seperti teater atau kelab wanita yang menyediakan bengkel, pusat jagaan kanak-kanak, pameran dan kemudahan lain bagi menggalakkan penyertaan wanita. “Kedai membaiki pakaian” turut digunakan bagi membolehkan wanita luar bandar – yang selalunya tidak akan menghadiri mesyuarat parti – berkumpul untuk membaiki pakaian sambil berbincang dan diperkenalkan dengan program komunis. Tumpuan khas juga diberikan untuk berhubung dengan “Wanita dari Timur” (kawasan di Kaukasus dan Asia Tengah di mana populasi wanita Muslim adalah tinggi) dan mengatasi halangan budaya serta agama yang menghalang mereka daripada menyokong dan menyertai perjuangan perubahan revolusioner.
Wanita yang mendaftarkan diri sebagai sukarelawan akan ditempatkan ke jabatan-jabatan Soviet sebagai “intern” [iaitu pekerja yang sedang dilatih] selama beberapa bulan. Sistem perwakilan wanita dilakukan melalui pemilihan dari tempat kerja dan kawasan kejiranan, serta anjuran persidangan perwakilan – yang disebut sebagai “sekolah komunisme” – membentuk hubungan antara wanita di dalam parti dan di luar parti. Menurut Kollontai, sebanyak lima hingga enam ribu persidangan seperti ini diadakan setiap tahun. Melalui usaha ini – mesyuarat, perhimpunan, perbincangan dan persidangan – puluhan ribu wanita telah dikerah untuk mempertahankan revolusi semasa perang saudara [pada 1917]; terlibat dalam penyeliaan dan pengurusan pengeluaran ekonomi; membantu merangka undang-undang baru berkaitan wanita; mengambil bahagian dalam gerak kerja soviet mahupun penubuhan dan pengurusan pusat jagaan kanak-kanak, kantin komuniti, sekolah literasi, hospital, kolektif perumahan dan segala institusi sosial yang sedang diwujudkan oleh kerajaan Soviet. Kollontai melaporkan dalam persidangan kedua Gerakan Wanita Komunis bahawa bahagian wanita telah menubuhkan 217 pusat jagaan kanak-kanak di 12 “gubernia” (pentadbiran wilayah).
Kejatuhan Gerakan Wanita Komunis di bawah Stalinisme*
Namun, usaha penting Gerakan Wanita Komunis ini tidak bertahan lama. Disebabkan kemunculan birokrasi Stalinis yang berasaskan keterbelakangan ekonomi dan pengasingan global revolusi Rusia, banyak pencapaian kemudahan-kemudahan sosial bagi wanita di Kesatuan Soviet mula dihapuskan. Malah sekiranya kerajaan Soviet di bawah Lenin berusaha mengatasi sekatan ekonomi terhadap perkhidmatan sosial, birokrasi Stalinis menggunakan kekangan ini sebagai alasan untuk menutup atau mengabaikan taska, pusat jagaan kanak-kanak, ruang makan, dsb. Hak untuk menamatkan kandungan, homoseksualiti dan pelacuran dikriminalisasikan semula, dan proses perceraian menjadi lebih sukar. Ini semuanya berlaku sambil institusi keluarga serta peranan wanita sebagai ibu dipuji-puji. Birokrasi Stalinis yang memerlukan tenaga kerja yang semakin besar serta kadar kelahiran yang semakin tinggi untuk menjalankan perindustrian dengan pesat dan secara paksa, telah mempergunakan struktur keluarga yang bersifat hierarki dan patriarki untuk memainkan peranan dalam menerapkan serta mengukuhkan disiplin kepatuhan kepada autoriti.
Sebagai sebahagian daripada proses birokratisasi ini, Zhenotdel dibubarkan secara rasmi pada tahun 1930. Sekretariat Wanita Antarabangsa pula dipindahkan kembali ke Moscow pada tahun 1924 dan direndahkan statusnya, selari dengan kemerosotan Gerakan Wanita Antarabangsa yang berjalan seiring dengan degenerasi Komunis Antarabangsa. Gerakan ini tidak lagi menjadi alat untuk mempromosikan dan memperluaskan revolusi di peringkat antarabangsa tetapi hanya mempertahankan kepentingan birokrasi Stalinis di Rusia, di bawah slogan “sosialisme dalam satu negara”. Daripada membangunkan kader revolusioner yang berfikiran kritis dalam gerakan revolusioner antarabangsa, yakni matlamat asal Gerakan Wanita Komunis, birokrasi Rusia hanya mengangkat tokoh-tokoh yang patuh dan tidak mencabar kemunduran politik mereka. Malangnya, itu menjadi peranan bahkan bagi tokoh perintis CWM seperti Krupskaya, Kollontai dan Zetkin.
Namun, legasi Gerakan Wanita Komunis sepanjang tiga tahun yang kritikal dari 1920–1922 tetap hidup, dan, dengan mengambil kira perbezaan sejarah, ia memberikan pandangan yang cukup menarik dan berguna terutama bagi mereka yang sedang berjuang hari ini untuk menghapuskan ketidaksamaan dan penindasan gender serta membebaskan wanita melalui transformasi demokratik sosialis.

Gerakan Wanita Komunis pada abad ke-19 telah menginspirasi puluhan ribu wanita selepas Revolusi kelas pekerja di Rusia tahun 1917. Christine Thomas mengkaji jilid terbaru dalam satu siri berterusan mengenai Komunis Antarabangsa yang menghimpunkan bahan yang belum pernah diterbitkan sebelum ini mengenai gerakan wanita antarabangsa yang kurang dikenali dalam tempoh 1920–22.
Kongsi Artikel Ini
Artikel Berkaitan



Berita & Analisa Terkini




