Seramai 128 orang telah terbunuh dan ramai lagi tercedera dalam peristiwa letupan bom di perhimpunan aman yang dianjurkan oleh kesatuan-kesatuan sekerja di Ankara, ibu negara Turki pada 10 Oktober lalu. Ia adalah serangan pengganas yang terbesar dalam sejarah negara itu. Ramai mangsa masih berada di unit rawatan rapi di hospital-hospital, manakala banyak lagi mayat-mayat yang belum dapat dikenalpasti.

Demonstrasi Sabtu lalu itu dianjurkan oleh Gabungan Kesatuan Sektor Perdagangan Awam (KESK), Gabungan Kesatuan Sekerja Revolusi Turki (DISK), Persatuan Perubatan Turki (TTB) dan Kesatuan Jabatan Jurutera Turki (TMMOB). Beberapa minit sebelum permulaan demonstrasi itu, sebutir bom meletup di tempat aktivis dari parti kiri dan pro-Kurdish HDP (Parti Demokratik Rakyat) sedang berkumpul. Sejurusnya, satu lagi letupan berlaku kira-kira lima puluh meter dari tempat itu dan menambah kemusnahan dan kematian. Saksi-saksi, termasuk ahli-ahli Sosyalist Alternatif (CWI) yang tiba di tempat kejadian hanya beberapa minit selepas pengeboman itu melaporkan adegan seram yang tidak terkata.

Mereka juga sempat menyaksikan dan melaporkan bahawa terdapat percubaan oleh pihak polis untuk menghalang bantuan diberikan kepada mangsa-mangsa yang tercedera. Gas pemedih mata ditembak tanpa tujuan ke arah penunjuk perasaan walaupun terdapat ratusan mangsa cedera bom di khalayak mereka. Polis rusuhan telah dihantar ke tempat kejadian itu jauh sebelum ketibaan ambulans pertama. Huseyin Demirdizen, dari Persatuan Perubatan Turki (TTB) berkata: “Walaupun doktor dari kesatuan pekerja kesihatan telah menyeru kepada rakyat untuk derma darah, kerajaan mengumumkan bahawa tiada keperluan untuk itu sama sekali. Jika pekerja-pekerja kesihatan tidak hadir di demonstrasi itu, pastinya jumlah kematian dan kecederaan adalah jauh lebih tinggi. “

Hampir serta-merta selepas serangan itu, rejim Turki telah memilih untuk menyekat laman sosial Twitter dan Facebook dalam usaha yang jelas untuk mengelakkan laporan akar umbi daripada tersebar. Media yang dikawal oleh AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan, parti pemerintah) memusingkan laporan palsu yang menuduh kumpulan kiri atau PKK ( Parti Pekerja Kurdistan ) sebagai penganjur pengeboman tersebut.

Pengeboman ini berlaku berlatar belakangkan penindasan dan provokasi yang semakin meningkat, termasuk serangan fizikal oleh tentera rejim Erdogan terhadap gerakan pembebasan Kurdish yang berhaluan kiri. Sebuah kempen perang yang kejam juga sedang dipaksa oleh tentera Turki terhadap PKK dan rakyat Kurdish di timur selatan negara itu pada masa ini. Walaupun PKK mencadangkan gencatan senjata sebelum pilihanraya pada 1 November, tentera Turki meneruskan pengeboman kedudukan PKK di Turki dan di Iraq utara.

Retorik anti-pengganas yang dipergunakan oleh rejim Erdogan adalah sekadar helah semata-mata. Retorik itu digunakan untuk menyembunyikan serangan rejim itu terhadap kumpulan-kumpulan kiri dan terhadap HDP yang menyokong perjuangan kebebasan masyarakat Kurdish. Sejak beberapa tahun lalu, kerajaan Turki telah memberikan dana dan bertanggungjawab ke atas perkembangan beberapa kumpulan pengganas seperti ISIS untuk mengukuhkan agenda politik mereka di rantau itu.

turkey3

KESEDIHAN DAN KEMARAHAN RAKYAT!

Rakyat yang sedih dan marah dengan tragedi pengeboman yang dianggap sebagai provokasi itu dengan tepat menuding kepada Erdogan dan AKP sebagai kuasa penindas yang kejam. Pada petang Sabtu, hari yang sama, berpuluh-puluh ribu orang turun berdemonstrasi terhadap kerajaan di Istanbul dan di bandar-bandar lain. Pada hari Ahad, di Ankara, kira-kira 10,000 telah kembali ke jalan raya dan berhimpun berhampiran stesen keretapi di mana pengeboman itu berlaku sehari sebelumnya. Ini mencerminkan suasana umum di kalangan rakyat yang marah dengan kerajaan pemerintah dan tidak takut untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka. Di upacara-upacara pengebumian mangsa, kemarahan rakyat jelata dapat dilihat dengan nyata dan perasaan ini tidak mungkin akan hilang begitu sahaja.

Empat konfederasi kesatuan sekerja telah menyeru untuk sebuah mogok umum 48 jam pada 12 dan 13 Oktober sebagai tanda penentangan terhadap rejim Erdogan dan sebagai solidariti bagi mangsa-mangsa yang terkorban. Usaha ini harus di sokong penuh oleh semua organisasi pekerja dan kumpulan berhaluan kiri dari semua negara. Mogok umum yang dapat menyatukan kedua-dua kelas pekerja Turki dan Kurdistan merupakan tindak balas yang wajar dalam memerangi kezaliman rejim Erdogan yang sering menggunakan agenda pecah perintah bagi keuntungan golongan pemerintah. Melihatkan kegagalan aparatus kerajaan seperti Polis dalam melindungi keselamatan rakyat, aksi-aksi massa yang bakal diadakan perlulah dibekalkan dengan penyusunan yang rapi dan mampu mempertahankan diri. Langkah mempertahankan diri yang sesuai yang melibatkan semua kaum perlu diambil bersama-sama dengan kerjasama pertubuhan kesatuan sekerja secara demokratik.

CWI dan Sosialis Alternatif merakamkan solidariti, simpati dan takziah kepada semua orang yang telah menjadi mangsa serangan pengeboman ini dan kepada semua yang telah kehilangan saudara-mara, rakan-rakan dan komrad kesayangan. Cara terbaik untuk menghormati kematian mereka adalah dengan memperbaharui perjuangan menentang rejim diktator Erdogan, terhadap sistem kapitalis dan kuasa-kuasa imperialis yang berdiri di belakangnya dan untuk membina sebuah dunia sosialis yang demokratik. Marilah kita pastikan bahawa mogok ini adalah sekadar titik permulaan dalam pembinaan sebuah gerakan massa kelas pekerja dan anak muda yang akan menempatkan rejim sinis Erdogan ke dalam tong sampah sejarah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *