Sejak krisis kewangan Asia pada tahun 1997, pembangunan ekonomi Malaysia tidak mampu kembali semula ke zaman kegemilangan ‘Ekonomi Harimau’ atau ‘ Harimau Asia’ 1990-an di mana ketika itu pertumbuhan KDNK pesat di antara 7 hingga 10 peratus. Krisis kewangan tersebut yang kemudiannya memberikan kesan mendalam kepada aktiviti ekonomi telah menghancurkan harapan ‘negara membangun’ kepada kelas pekerja, rakyat biasa dan anak muda dengan kehilangan kerja, kejatuhan taraf hidup dan inflasi yang melonjak. Ketika ini, krisis kewangan 1997 telah menjadi bahan perbincangan semula, apabila nilai Ringgit semakin jatuh menjunam dan asas-asas ekonomi semakin lemah. Adakah satu lagi krisis ekonomi dalam pembikinan ?

Nilai Ringgit semakin hari semakin menyusut, dan telah melepasi RM4 untuk satu Dolar Amerika. Ini merupakan nilai terendah untuk Ringgit dalam 17 tahun, dan ianya terus berada di bawah tekanan yang besar kerana sentimen lemah yang berterusan, menjadikannya mata wang yang paling teruk di Asia. Salah satu sebab adalah penurunan harga minyak mentah di mana Malaysia adalah sebuah negara pengeksport minyak, dan kira-kira 31% daripada pendapatan kerajaan datang daripada sumber-sumber yang berkaitan dengan minyak. Harga komoditi yang lain seperti minyak sawit dan getah juga menurun, dan lebihan perdagangan dan rizab kerajaan semakin berkurangan.

Hujah kerajaan bahawa ekonomi kukuh dengan pertumbuhan ekonomi (KDNK) antara 4 hingga 5 peratus terutamanya melalui ekonomi domestik boleh dipertikaikan akibat kesan GST yang telah meningkatkan kos perniagaan dan inflasi serta melemahkan kuasa beli pengguna. Ketidakstabilan politik akibat skandal hutang 1MDB dan populariti Najib yang semakin merosot juga sudah mula menurunkan keyakinan kapitalis antarabangsa apabila media-media kapitalis utama seperti ‘Financial Times’, ‘Economist’, ‘Wall Street Journal’ dan lain-lain secara terbuka mengkritik Najib dan kerajaan BN. Media-media ini bukannya prihatin sangat dengan masalah rakyat Malaysia, tetapi matlamat mereka adalah semata-mata untuk mempertahankan kuasa sistem pasaran bebas yang memihak kepada kapitalis-kapitalis antarabangsa. Ketidaktentuan yang berterusan dalam ekonomi global dan penurunan dalam pertumbuhan ekonomi China, boleh memberikan kesan mendalam kepada ekonomi negara. Faktor-faktor tersebut menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia amat terdedah kepada satu lagi krisis ekonomi.

Struktur ekonomi Malaysia masih berlandaskan kepada ekspot, dan amat bergantung kepada keadaan ekonomi global. Negara-negara ‘Harimau Asia’ termasuk Malaysia pada 1990-an telah menjadi padang permainan kapitalis-kapitalis antarabangsa untuk mengaut keuntungan maksimum dengan agenda-agenda neo-liberal seperti penswastaan dan perindustrian dengan pencabulan hak-hak pekerja dan kesatuan. Apabila simptom-simptom yang diwujudkan oleh kapitalis seperti peningkatan hutang tidak terkawal semakin parah, dan menuju krisis, mereka melarikan kapital dan keuntungan tanpa mengira kesannya kepada rakyat biasa. Polisi-polisi yang memihak kepada kapitalis dan kroni-kapitalisme yang dipelopori oleh kerajaan Mahathir telah menjadi asas kepada aktiviti tidak bermoral kapitalisme. Struktur ekonomi dan masalah-masalah krisis 1997 terus diamalkan oleh kerajaan Abdullah Badawi dan Najib walaupun ekonomi negara semakin terdedah kepada krisis global. Ini menunjukkan ekonomi Malaysia sudah lama terjerat dalam krisis kapitalisme global, dan ketidakstabilan ekonomi kini hanyalah kesinambungan kepada masalah-masalah yang telah wujud sebelum ini.

Gambaran ekonomi pesat 1990-an telah dipergunakan oleh Mahathir untuk memenangi pilihan raya dan terus berkuasa. Tetapi sejak krisis kewangan 1997, lebih banyak serangan sosial dan ekonomi dilancarkan oleh rejim BN telah meningkatkan tekanan hidup kepada rakyat biasa. Jurang kaya miskin yang semakin melebar, dan pendapatan isirumah yang tidak memadai serta hutang isirumah yang tinggi untuk kebanyakan rakyat menunjukkan bagaimana ekonomi kapitalisme memanfaatkan segelintir kapitalis dan menindas majoriti rakyat. Malah, kelas menengah yang menjadi kebanggaan ‘Ekonomi Harimau’ Mahathir, kini kebanyakkannya tertekan dengan peningkatan kos hidup yang mendadak. Jelas bahawa polisi-polisi kerajaan seperti Wawasan 2020, TPPA, GST dan lain-lain yang dipaparkan untuk menjadikan ekonomi negara maju, terus memperkasakan Malaysia sebagai padang permainan kapitalis-kapitalis antarabangsa dan tempatan untuk mengaut keuntungan maksimum dengan agenda-agenda neo-liberal, dan serangan demi serangan ke atas hak ekonomi dan sosial rakyat biasa pula terus dilancarkan.

Konflik politik dalam UMNO di antara Mahathir dan Anwar pada tahun 1998 adalah akibat kepincangan dalam ekonomi, dan telah mencetuskan gerakan reformasi yang memberikan harapan kepada anak muda untuk satu perubahaan. Manakala, kemenangan besar Pakatan Rakyat di PRU-12 dan PRU-13 juga adalah akibat kegagalan Abdullah Badawi dan Najib untuk keluar daripada kerangka ekonomi yang dibentuk oleh Mahathir. Rakyat mengundi Pakatan Rakyat dengan harapan supaya mereka boleh keluar daripada tekanan sosial dan ekonomi yang diwujudkan oleh BN. Hanya dengan meletakkan ‘Harapan’ dalam pakatan pembangkang yang baru, tanpa alternatif kepada agenda ekonomi dan sosial kapitalis, ini hanyalah satu lagi harapan kosong yang tidak akan menyelesaikan isu-isu asas rakyat. Tanpa kepimpinan kelas pekerja dan anak muda, kemarahan rakyat biasa akan terus dimanfaatkan oleh parti-parti pembangkang untuk mendapatkan kuasa. Dengan warga pekerja yang tidak diorganisasi dan kepimpinan kesatuan sekerja yang lemah, pekerja mungkin kelihatan tidak berdaya, tetapi dengan keadaan sosial dan ekonomi yang semakin merosot, pekerja bersama anak muda, dan rakyat biasa yang lain tidak mempunyai pilihan selain daripada berjuang dan membina alternatif kepada parti-parti pro-kapitalis.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *