Amerika dan 11 buah negara lain termasuk Malaysia yang terlibat dalam sebuah rundingan untuk perjanjian dagangan pasaran bebas TPPA selama hampir 1 tahun sudah sampai ke penyudahannya. Pelbagai negara dari 3 buah benua yang merangkumi 40% ekonomi dunia sudahpun menandatangani perjanjian ini.

Kemerosotan ekonomi Amerika merupakan punca utama kepada usaha membuat perjanjian ini. Ekonomi Amerika yang mengalami krisis kewangan pada tahun 2008 belum dapat pulih sepenuhnya. Tambahan pula, perjanjian TPPA ini adalah selaras dengan cita-cita Obama yang ingin meluaskan pengaruh ekonomi Amerika Syarikat di rantau Asia Tenggara yang kini didominasi oleh negara China. Butiran perjanjian dan hasil rundingan TPPA adalah berbentuk rahsia dan tidak didedahkan kepada rakyat. Beberapa laporan mengatakan bahawa para perunding tidak dibenarkan mengambil sebarang nota bagi mengelakkan daripada maklumat perjanjian itu bocor ke media.

Disebabkan oleh kesangsian yang wujud disebabkan oleh sifat berahsia oleh golongan pemerintah, rakyat biasa di pelbagai negara bangkit menentang proses perjanjian ini. Di beberapa negara seperti New Zealand, Malaysia termasuk di Amerika Syarikat sendiri, rakyat biasa telah melancarkan aksi protes bagi membantah langkah-langkah kerajaan. Walau bagaimanapun, hasil beberapa pendedahan yang terhad oleh pihak berkuasa, adalah didapati bahawa TPPA merupakan sebuah perjanjian pasaran bebas antara negara-negara yang terlibat dan perjanjian ini akan memberikan kesan yang mendalam bagi ekonomi negara tersebut.

Beberapa pakar ekonomis sendiri telah mengaku bahawa TPPA merupakan agenda neo-liberal yang ingin menswastakan segala pemilikan awam dan memudahkan peralihan modal bagi keuntungan golongan pemodal. Dengan perjanjian TPPA, Malaysia akan tertakluk kepada undang-undang hak cipta yang akan menghalang segala salinan buku atau dokumen yang hanya boleh dibeli dengan harga yang ditetapkan. Anak muda terutamanya golongan mahasiswa akan menghadapi kesukaran disebabkan oleh kenaikan harga buku dan kos pendidikan.

Sebarang perubatan generik juga akan menjadi larangan yang akan mengakibatkan peningkatan dalam kos perubatan. Pada masa ini sistem perubatan di Malaysia menggunakan hampir 80% perubatan generik yang mempunyai kos yang lebih murah walaupun fungsinya sama dengan perubatan tidak generik atau asli. Dengan perjanjian ini, rakyat biasa akan terus dibebankan dengan peningkatan kos perubatan yang sudahpun meningkat akibat pengenalan cukai GST dan kenaikan harga barangan.

TPPA Protes
Protes Bantah TPPA di Kuala Lumpur

Perjanjian TPPA seperti perjanjian pasaran bebas lain akan mendedahkan tenaga kerja tempatan untuk dieksploitasi dan ditindas oleh kapitalis-kapitalis antarabangsa. Ia akan menjurus kepada serangan ke atas hak-hak pekerja dan organisasi-organisasi yang melindungi hak pekerja seperti kesatuan dan sebagainya. Selain itu, ramai juga yang menyatakan kerisauan mereka terhadap kesihatan alam semula jadi dan sumber alam yang akan menjadi sasaran utama pemodal dan pengusaha antarabangsa.

Perjanjian TPPA oleh kelas pemerintah kita merupakan sebuah serangan ekonomi bagi jutaan kelas pekerja dan rakyat miskin Malaysia. Kerajaan Malaysia bertanggungjawab untuk mendedahkan kelas pekerja Malaysia untuk dieksploitasi oleh kapitalis-kapitalis antarabangsa. Walaupun kerajaan Malaysia yang telah menandatangani perjanjian ini, pihak pembangkang juga tidak membantah TPPA dengan sepenuh tenaga.

Walaupun isu transparensi atau sifat rahsia rundingan TPPA dipersoalkan, pembangkang tidak mengambil sebuah posisi yang jelas untuk membantah perjanjian ini. Pihak pembangkang yang juga merupakan pendokong agenda neo-liberal seharusnya menyokong perjanjian seumpama TPPA ini secara senyap-senyap. Segala kritikan mereka hanya merujuk kepada pihak BN dan tidak mendedahkan agenda sebenar disebalik perjanjian TPPA yang bertujuan untuk menindas rakyat biasa.Akhirnya rakyat biasa akan menjadi mangsa percaturan kapitalis dan hegemoni neo-liberalis.

Kempen Solidariti Pekerja di Protes TPPA
Kempen Solidariti Pekerja di Protes TPPA

Segala perjanjian ekonomi antara negara-negara lain harus mendapat persetujuan daripada rakyat daripada negara tersebut. Butiran rundingan harus didedahkan kepada rakyat biasa untuk diteliti dan sebuah persetujuan harus dicapai. Kelas pekerja dan rakyat biasa yang akan menjadi mangsa akibat perjanjian-perjanjian yang cuma akan menguntungkan segelintir pihak kapitalis. Maka, rakyat biasa juga perlu membuat usaha untuk mencabar kekuasaan politik oleh kelas kapitalis yang mengambil segala keputusan. Hanya dengan memahami dan menguasai arena politik, kelas pekerja dan rakyat biasa akan dapat melaksanakan dasar-dasar yang memihak kepada mereka.

Polisi-polisi yang menindas seperti TPPA hanya boleh dikalahkan dengan sebuah gerakan massa yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat tidak kira kaum dan agama. Untuk memobilasi sebuah gerakan sebegitu, anak muda dan kelas pekerja harus mencari jalan untuk membina kepimpinan yang mampu membawa program yang dapat menyatukan dan menggerakkan rakyat kearah kemenangan. Kepimpinan yang sedia ada tidak berjaya membawa aspirasi rakyat ke hadapan dan kita harus mencari atau membina sebuah organisasi alternatif yang dapat membawa program dan hala tuju yang jelas.

Protes TPPA
Bahan-bahan kempen di Protes TPPA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *