atlas

Seramai 55 pekerja kilang ATLAS cawangan Nilai telah berjaya menuntut majikan untuk membuat caruman KWSP untuk bayaran komisen selepas mengetahui salahlaku di pihak majikan yang selama ini telah menyembunyikan hak pekerja tersebut. Majikan kilang ais ATLAS hanya mencarum untuk gaji pokok tetapi tidak membuat caruman KWSP untuk komisen seperti yang diwajibkan oleh undang-undang. Para pekerja ATLAS yang kebanyakannya pemandu lori dan pembantu lori dibayar komisen secara bulanan berlandaskan kepada jumlah jualan beg ais, selain daripada gaji pokok. Kebanyakan mereka yang bergaji rendah, amat mengharapkan kepada komisen untuk menambah pendapatan bulanan mereka, dan tabung KWSP amat penting untuk membantu mereka di hari tua. Tetapi, dengan majikan tidak mencarum sebanyak 13 peratus selama lebih 10 tahun, majikan telah menipu ratusan ribu ringgit yang sepatutnya dibayar kepada simpanan KWSP pekerja.

Apabila para pekerja mengetahui penipuan telah berlaku selama ini, mereka melalui Jawatankuasa Pekerja Atlas Nilai telah menuntut supaya majikan membayar 13 peratus caruman terhadap komisen yang tidak dimasukkan ke KWSP serta memulakan pembayaran caruman KWSP untuk komisen. Atas desakan para pekerja, majikan bersetuju untuk mencarum mulai Mei 2015, dan setelah beberapa rundingan oleh Jawankuasa Pekerja ATLAS, majikan akhirnya bersetuju untuk membayar 13 peratus daripada komisen selama 7 tahun termasuk dividen tahunan KWSP. Pada akhir bulan November, majikan telah membayar sejumlah RM200,000 untuk 55 pekerja ATLAS.

Jamuan Meraikan Kejayaan Perjuangan Pekerja Atlas Ais

Jamuan Meraikan Kejayaan Perjuangan Pekerja Atlas Ais

Pekerja ATLAS Nilai yang tidak ada kesatuan sekerja telah menubuhkan Jawatankuasa Pekerja ATLAS Nilai untuk memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja semenjak 2012.Jawatankuasa Pekerja dengan sokongan padu pekerja sebelum ini telah memenangi beberapa hak dan kebajikan daripada majikan. Di antaranya, pakaian perlindungan (uniform, baju hujan dan kasut); membaikpulih lori-lori lama dan menggantikan tayar celup dengan tayar original; pemberian cuti tahunan mengikut keperluan pekerja; memberhentikan pemotongan caj perkhidmatan untuk pembayaran gaji melalui bank; menuntut pengurus menghormati pekerja dan berunding dengan jawatankuasa pekerja; dan juga dalam isu yang berkaitan dengan pembayaran gaji dan bonus.

Beberapa kejayaan pekerja ATLAS Nilai mencerminkan dengan kepimpinan pekerja yang berpihak kepada keperluan pekerja, dan mendapat keyakinan majoriti, hak dan kebajikan pekerja boleh dipertingkatkan. Sebegitu juga dengan kepimpinan kesatuan sekerja yang berpihak kepada keperluan pekerja dan sanggup berjuang untuk hak dan kebajikan mereka, akan sentiasa disokong oleh pekerja.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *