Gempa Bumi Terkuat dalam Sejarah Melanda Myanmar Ketika Negara dalam Perang Saudara
Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang terperangkap di sebalik runtuhan bangunan akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda pada 28hb Mac, antara yang terkuat dalam sejarah Myanmar, yang menggegarkan negara yang sedang dilanda perang saudara.
Kira-kira jam 1 tengahari gempa pertama tercetus di Mandalay dan gempa kedua dengan magnitud 6.4 tercetus 12 minit kemudian – 18 km dari pusat gempa yang pertama. Lebih 10000 bangunan perumahan dan pusat ibadah dilaporkan musnah dan akses pengangkutan seperti laluan keretapi dan jalan raya juga tersekat. Bagi rakyat muslim di Myanmar, ini merupakan satu tragedi dalam bulan ramadhan tahun ini. 28 Mac yang merupakan hari Jumaat terakhir dalam bulan tersebut telah mengambil lebih 700 nyawa dalam kemusnahan akibat gempa yang tercetus pada waktu solat Jumaat, dimana rakyat muslim berkumpul untuk solat berjemaah. Rakyat Myanmar yang trauma dengan bantuan yang sukar untuk diperoleh, terpaksa tidur di tepi jalan. Bau busuk dari mangsa yang terkorban dan belum diselamatkan turut membungkam suasana.
Cuaca yang panas sehingga mencecah 100 darjah celcius dan hujan menyukarkan misi menyelamat. Dan sehingga hari ini jumlah kemusnahan masih belum dapat dipastikan. Kerajaan junta Myanmar ataupun SAC State Administrative Council telah menyekat ataupun sensor laporan-laporan yang berkaitan dengan gempa. Ini disukarkan lagi dengan kemudahan elektrik dan internet yang terputus untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci. Keperluan bantuan kemanusian amat mendesak bagi mangsa gempa di Myanmar, tetapi keperluan ini disekat oleh birokrasi kerajaan junta Myanmar yang mempunyai agenda untuk mengukuhkan kuasanya sendiri.
Bencana alam menambah buruk situasi di Myanmar
Sejak kuasa ketenteraan yang dipimpin oleh General Min Aung Hlaing merampas kuasa pada Februari 2021 yang lalu, situasi ekonomi dan kehidupan rakyat Myanmar semakin merosot. Disukarkan lagi dengan pandemik COVID 19 yang menyebabkan krisis ekonomi global, bencana gempa di Myanmar memburukkan lagi situasi bagi rakyat di Myanmar. Sebelum rampasan kuasa ketenteraan yang berlaku pada 2021, jumlah rakyat Myanmar yang hidup dalam ketiadaan jaminan makanan adalah seramai 2.8 juta. Tetapi selepas kudeta, jumlah meningkat kepada 15 juta. Manakala jumlah rakyat yang hilang tempat tinggal ataupun gelandangan termasuk etnik Rohingya disebabkan konflik bersenjata meningkat daripada 370 000 kepada 3.5 juta populasi.
Krisis pengangguran yang terutamanya memangsakan pekerja wanita dan kenaikan harga barangan asas dengan mendadak seperti beras turut melatari krisis gempa di Myanmar. Keadaan yang terdesak untuk bantuan kemanusiaan bagi lebih 2 juta mangsa gempa di Myanmar tidak dapat di selindung lagi. Tetapi konflik politik nasional telah memainkan peranan birokratik dalam misi bantuan kemanusiaan. Malah pada hari gempa berlaku, beberapa jam selepas tercetus, pihak tentera telah melancarkan serangan udara terhadap kumpulan etnik di daerah utara Shan, membunuh 7 individu. Ini menunjukkan SAC lebih mengutamakan agendanya sendiri untuk mengukuhkan kuasa walaupun rakyat berada dalam situasi darurat. Ini dapat dilihat pada tahun 2023 apabila taufan Mocha melanda kem pelarian Rohingya di Bangladesh dan daerah utara Rakhine serta Chin, SAC telah menyekat bantuan kemanusian di kedua-dua daerah. Langkah ini dianggap untuk melemahkan kumpulan-kumpulan etnik bersenjata yang telah berkuasa di kawasan tersebut.
Kemasukan bantuan kemanusian mendedahkan hubungan geopolitik
Walaubagaimanapun bencana kali ini telah membuka beberapa bantuan kemanusian ke Myanmar. Bandar Naypyitaw yang menjadi antara kawasan yang musnah akibat gempa merupakan bandar kedua terbesar di Myanmar dibawah takluk tentera junta daripada kumpulan etnik pemberontak. Mandalay pula merupakan majoriti rakyat beragama Budha. Ini menjadi faktor penting untuk memelihara kempen nasionalisme Buddhisme dan anti Muslim yang telah dipergunakan SAC untuk mendapat pengaruh politik di kalangan militer. China sehingga pertengahan April yang lalu telah mengumumkan bantuan mencecah $150 juta kepada Myanmar. Ini termasuk pasukan keselamatan, trak kelengkapan kecemasan dan makanan serta pasukan pencari dan penyelamat. Sementara itu Rusia tidak mendedahkan jumlah perbelanjaan bantuan kepada Myanmar, tetapi merupakan antara pasukan terawal yang menghantar 120 pekerja penyelamat dan pencari, pekerja kesihatan, dan 68 tan bantuan makanan, generator, khemah dan kit kecemasan.
Di sebelah pihak Amerika Syarikat pula, mereka mengumumkan untuk menghantar hanya 3 individu dalam pasukan USAID dengan bantuan sekadar $2 juta pada peringkat awal kemudian menambah $7 juta lagi pada 31 Mac lalu menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira $9 juta sahaja. Jumlah yang rendah dan inisiatif yang minimum dari pihak AS menjadi persoalan apakah rancangan kerajaan Trump 2.0 menghadapi persaingan China di Myanmar dan rantau Asia Tenggara. Penstrukturan semula USAID (US Agency for International Development) yang meskipun menghadapi banyak kritikan disebabkan fungsinya sebagai alat imperialis AS untuk mengembangkan projek-projek internasional di negara-negara miskin, situasi bagi rakyat Myanmar yang sedang berada dalam darurat amat memerlukan bantuan kemanusiaan. Kami berhujah, apa jua bantuan dari siapapun, tidak kira apa jua misi, operasi atau kit-kit bekalan untuk bencana harus dikawal selia secara demokratik oleh kelas pekerja dan rakyat biasa. Ini untuk memastikan setiap mangsa mendapat perhatian secukupnya tidak kira apa jua identiti etnik atau agama. Begitu juga dalam misi mencari dan menyelamat yang mesti mendapat penglibatan sepenuhnya secara demokratik oleh kepimpinan kelas pekerja dan rakyat Myanmar.
Langkah-langkah kerajaan Trump 2.0 yang tidak menentu merupakan reaksi terhadap sistem kapitalisme yang sedang berada dalam krisis. Seperti pengumuman tariff kepada negara bukan sekutu terutama China menggunakan formula yang direka sendiri, kemudian mengubah semula, menunjukkan bagaimana kelas kapitalis AS sedang berada dalam posisi terdesak untuk mengekalkan kuasa sebagai kuasa kapitalis dunia yang utama. Penstrukturan semula USAID itu sendiri menunjukkan ketidak mampuan AS untuk mendanai projek-projek mengembangkan imperialisme mereka sendiri.
Pun begitu, mustahil bagi AS untuk melepaskan Myanmar begitu saja. Konflik yang sedang wujud antara kerajaan junta, kumpulan etnik pemberontak dan NUG serta kebangkitan sentimen anti China boleh dipergunakan oleh AS untuk mendapatkan kuasa. Lokasi yang strategik di Asia dengan pantai sejauh 2000 kilometer sepanjang Teluk Benggala dan laut Andaman, terletak hampir dengan pintu masuk barat Selat Melaka dan berhubung terus ke Lautan Hindi, ditambah lagi dengan kekayaan alam semula jadi seperti petroleum, emas dan tembaga untuk kegunaan pembuatan teknologi kini, menjadikan Myanmar sebuah lokasi yang cukup strategik di Asia bagi kapitalis AS dan sekutu. Kepentingan geopolitik yang sama juga terpakai dalam konteks China dan Rusia sebagai kuasa kapitalis yang ingin mengembangkan kuasa geopolitik dan merebut kekayaan hasil sumber.
Meskipun China dan Rusia dianggap sekutu pada waktu kini, tetapi persaingan merebut kuasa dan kekayaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Persaingan jual beli kapal selam antara China dan Rusia kepada Myanmar misalnya menunjukkan perebutan antara kedua-dua negara kapitalis. Laman web Irrawaddy, platform media liberal memetik One Guide, media berbahasa cina yang melaporkan konflik pergolakan di utara Myanmar mendedahkan bahawa junta menggunakan Russian Wagner Group; kumpulan militer yang diasaskan menggunakan ideologi ultranasionalis di Myanmar. Ironinya, Rusia dan China adalah pendorong terbesar konflik bersenjata di Myanmar sebagai pembekal senjata utama di negara itu. Jet dan dron serangan telah dijual kepada junta oleh China dan Rusia dan menyebabkan situasi bertambah buruk selepas kudeta bagi rakyat biasa di Myanmar.
Musibah bencana alam dalam situasi konflik bersenjata, kemiskinan dan masa depan yang tidak menentu adalah kondisi yang tidak layak untuk mana-mana individu. Terutama rakyat miskin dan kelas pekerja yang tidak mempunyai akses untuk membebaskan diri dari kondisi yang melarat. Oleh itu tidak ada cara lain bagi rakyat di Myanmar melainkan sebuah perjuangan politik dan ekonomi yang berasaskan prinsip yang merentasi identiti bangsa dan agama. Momentum dari protes menentang kudeta pada Februari 2021 yang lalu harus dilanjutkan dengan kesedaran bahawa perubahan yang benar-benar bermakna hanya wujud di tangan rakyat biasa dan kelas pekerja. Bukannya individu elit seperti Aung San Suu Kyi, atau mana-mana perwakilan NUG, mahupun kumpulan etnik bersenjata yang tidak mampu membawa sebarang alternatif terhadap situasi di Myanmar.
Sememangnya diakui sukar bagi anak muda dan kelas pekerja untuk menyusun perjuangan akar umbi di Myanmar pada waktu ini. Oleh itu seruan yang berasaskan solidariti kelas pekerja serantau dan internasional juga harus dibuat bagi melindungi gerakan sebagai satu gerakan menentang agenda kapitalisme yang hanya mementingkan kedudukan dan kepentingan agenda mereka walau apa jua yang harus ditanggung rakyat biasa.
Baca versi Bahasa Inggeris artikel ini di laman web Internasional kami (CWI) di sini. / Read the English version of this article on our International (CWI) website here.
Kongsi Artikel Ini
Artikel Berkaitan



Berita & Analisa Terkini




