Pada 24 April 2016, sebagai protes terhadap penswastaan ​​air di Republik Ireland, sebuah komuniti kelas pekerja telah menghalang kereta bekas Timbalan Perdana Menteri Joan Burton dalam sebuah aksi duduk dan bantah di bandar Jobstown. Sekarang, para peserta protes tersebut sedang didakwa sebagai melakukan penculikan. Joan Burton yang juga adalah pemimpin Parti Labour merupakan antara orang yang bertanggungjawab untuk melaksanakan pemotongan perbelanjaan sosial yang memangsakan komuniti miskin seperti Jobstown. Pada hari peristiwa itu berlaku, Joan Burton sedang menghadiri sebuah majlis graduasi tempatan apabila berita mengenai kehadirannya tersebar di seluruh Jobstown melalui media sosial. Dalam beberapa minit sahaja, seramai 500 rakyat bandar itu turun ke dewan graduasi tersebut dan melancarkan sebuah protes duduk dan bantah di hadapan kereta Timbalan Perdana Menteri dan tidak membenarkan dia untuk beredar daripada tempat itu.

Bantahan itu telah berlaku pada kemuncak gerakan bantah caj air di Ireland. Dua minggu sebelum peristiwa itu berlaku, seramai 200 ribu rakyat Republik Ireland telah keluar ke jalan-jalan raya, membanjiri bandar-bandar utama di seluruh negara dalam satu aksi bantahan caj air yang besar. Kerajaan Ireland yang takut dengan kebangkitan massa, mempergunakan media arus perdana untuk mencemar nama baik gerakan bantah caj air dan menggunakan kekerasan polis dan undang-undang untuk menindas para aktivis yang terlibat dalam gerakan tersebut. Pada masa ini, mereka sedang berusaha untuk memangsakan rakyat Jobstown bagi menekan gerakan massa yang boleh tercetus pada bila-bila masa sahaja.

Hak rakyat biasa untuk membantah sedang diserang oleh kerajaan Republik Ireland. Ianya sangat merunsingkan apabila seorang anak muda berusia 17 tahun ( 15 tahun pada masa peristiwa ) juga turut didakwa dan di bicara di bawah kes penculikan akibat menyertai protes duduk bantah tersebut. Jika di sabit kesalahan, 23 orang biasa termasuk seorang MP, seorang ahli majlis dan 2 orang aktivis ‘bantah penjimatan’ boleh menerima hukuman penjara seumur hidup. Disamping mendatangkan kesengsaraan bagi yang terlibat dan bagi ahli keluarga mereka, ahli Parlimen Paul Murphy yang berjuang demi rakyat juga akan kehilangan kerusinya. Ini menjejaskan mandat demokrasi yang diberikan oleh rakyat dan secara jelas boleh diterjemah sebagai langkah kerajaan untuk melemahkan orang-orang yang mewakili suara politik bagi rakyat biasa.

Serangan kerajaan ini jika dibiarkan begitu sahaja akan melemahkan gerakan rakyat pada tahun-tahun yang akan datang. Ia akan memberikan kesan kepada aktivis kesatuan sekerja, aktivis hak asasi manusia, aktivis alam sekitar atau aktivis hak wanita dan semua gerakan akan terjejas akibat perbicaraan Jobstown dan tindakan kerajaan Ireland ini harus dibantah dengan tegas.

Sebagai perwakilan politik rakyat biasa dan kelas pekerja, bantahan rakyat harus dilihat sebagai sah dan bukan sebuah jenayah. Di seluruh Eropah dan di dunia, kita melihat lebih ramai orang sedang terlibat dalam membantah polisi penjimatan kerajaan kapitalis bagi memelihara kehidupan yang lebih bermakna. Protes-protes massa dalam skala yang tidak terlihat sebelum ini sedang tercetus di serata dunia mempersoalkan hegemoni neo-liberalisme yang sedang menggugat kehidupan rakyat biasa. Perkenalan caj air di Ireland juga merupakan antara agenda neo-liberalisme yang paling dibenci oleh rakyat dan mereka dengan jelas membantah polisi tersebut. Serangan kerajaan terhadap protes merupakan langkah-langkah untuk mempertahankan agenda mereka yang menyebelahi pihak kapitalis korporat dan memangsakan rakyat biasa.

Pada masa-masa seperti ini, di mana pihak berkuasa menggunakan kekerasan dengan nama demokrasi untuk menekan rakyat biasa, kita harus bersatu dan menunjukkan solidariti dengan mereka-mereka yang tertindas. Kami membantah tindakan kerajaan Republik Ireland dan berdiri dalam perpaduan dengan mereka-mereka yang tertuduh dalam protes duduk bantah Jobstown dan menyokong kempen #JobstownNotGuilty. Kami juga menuntut supaya semua tuduhan terhadap rakyat Jobstown dan MP Paul Murphy untuk digugurkan dan supaya hak demokrasi bagi rakyat untuk membantah diperkukuhkan.

Kami :

Mengutuk tindakan kerajaan Republik Ireland untuk memangsakan seorang belia berumur 17 tahun yang turut serta dalam protes duduk bantah bersama 500 masyarakat Jobstown yang lain.

Kami menyeru untuk pertahankan hak demokrasi rakyat untuk membantah polisi kerajaan yang dianggap tidak adil.

Menyeru untuk menggugurkan semua dakwaan undang-undang terhadap rakyat Jobstown berkaitan dengan protes duduk bantah.

Kami menyokong penuh kempen #JobstownNotGuilty ( Jobstown tidak bersalah ) yang memperjuangkan nasib orang biasa menghadapi ancaman daripada pihak berkuasa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *