Pada bulan November 2016, perhimpunan agung MTUC (Kesatuan Sekerja Malaysia) telah memilih kepimpinan baru dengan Solomon sebagai setiausaha agung. Solomon juga merupakan setiausaha agung NUBE (Kesatuan Sekerja Nasional Pekerja-Pekerja Bank) yang juga merupakan kesatuan yang paling aktif di Malaysia.

Sebelum pemilihan kepimpinan MTUC, pasukan Solomon telah berkempen untuk menukar imej MTUC kepada kesatuan kebangsaan yang aktif dan disegani. Mereka juga bertekad untuk membina solidariti untuk memperkuatkan pekerja dengan ‘mengkordinasi, mengorganisasi dan konsisten’ dalam semua perkara yang memberikan kesan kepada pekerja di negara ini. Pada masa ini ada sebanyak 733 kesatuan sekerja dengan 901499 ahli di mana 480 dalam sektor swasta, 146 dalam sektor awam dan 107 dalam badan-badan berkanun. Ini hanyalah 7 peratus daripada hampir 15 juta pekerja di Malaysia.

Solidariti Pekerja mempunyai pandangan yang sama dengan Solomon yang berhujah bahawa, “Dalam kesatuan sekerja, sekiranya bilangan ahli semakin ramai, lebih kukuh kuasa tawar-menawar untuk kesatuan untuk berkhidmat kepada pekerja. Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk MTUC untuk memobilisasi lebih ramai pekerja untuk Malaysia mara ke hadapan.” Tetapi MTUC haruslah mengambil isu warga pekerja tanpa mengira sama ada mereka adalah pekerja tempatan atau migran, dan juga mengorganisasi lebih 90 peratus pekerja yang tidak mempunyai kesatuan.

Adalah tidak dapat dinafikan, dengan keadaan ekonomi yang semakin merosot, warga pekerja semakin tertindas dan hak mereka dikikis satu demi satu. Penindasan boleh mendesak pekerja untuk berorganisasi dalam kesatuan untuk memperjuangkan hak mereka. Tetapi pada masa yang sama, sifat kesatuan dan kepimpinan yang menerajui kesatuan juga memainkan peranan untuk merangsang pekerja terutamanya yang muda untuk menjadi ahli kesatuan. Lebih 40 peratus pekerja pada masa kini adalah dalam umur 20an dan 30an, dan mereka perlu diorganisasi dalam kesatuan. Kebanyakannya melihat kesatuan dan kepimpinanya sebagai pengampu majikan, penuh birokrasi dan tidak demokratik, dan hanya mengutamakan yuran keahlian.

Jika kesatuan dan kepimpinan mempunyai imej ‘sanggup berjuang’ dan ‘turun padang’, dan mampu mencerminkan secara praktikal bahawa dengan perjuangan dan solidariti, kejayaan boleh dicapai, maka ini secara langsung akan merangsang lebih ramai pekerja untuk menjadi ahli kesatuan. Pada masa yang sama, kesatuan juga perlu radikal dan mengambil tindakan-tindakan industri dengan membincangkan dengan pekerja, bukannya membuat keputusan berlandaskan arahan majikan dan kerajaan. Jika pekerja mempunyai keyakinan yang tinggi kepada kesatuan dan kepimpinan, mereka juga akan mempunyai semangat yang tinggi untuk menyumbang yuran dan tenaga untuk memantapkan kesatuan. Dengan pendekatan ini MTUC dan perjuangan pekerja mampu dikukuhkan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *