Bolehkah parti MUDA membawa solusi kepada krisis politik dan ekonomi yang sedang parah? Adakah ia merupakan alternatif kepada kepimpinan anak muda?

Bolehkah parti MUDA membawa solusi kepada krisis politik dan ekonomi yang sedang parah? Adakah ia merupakan alternatif kepada kepimpinan anak muda?

Posted by

Bekas pemimpin sayap pemuda parti Bersatu dan ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq telah baru-baru ini mengumumkan keputusannya untuk tidak menyertai parti Pejuang Tanah Air yang diasaskan oleh mentornya Mahathir dan sebaliknya akan mengusahakan pembinaan sebuah parti baru yang berdasarkan kepada anak muda. Berita ini telah mendapat pelbagai reaksi yang bercanggah daripada ahli-ahli politik, para penganalisa politik tempatan dan rakyat biasa. Tetapi, persoalan utama bermain di fikiran semua rakyat adalah jika usaha ini akan berjaya membuahkan hasil dan akan membawa sebuah solusi yang munasabah kepada krisis politik yang wujud di Malaysia pada waktu ini. 

Bekas perdana menteri dan beberapa ahli politik lain telah meluahkan rasa kekecewaan mereka dengan tindakan Syed Saddiq yang dianggap sebagai sebuah usaha yang sekadar angan-angan dan tidak akan tertunai. Manakala, sebahagian daripada kumpulan anak muda yang mempunyai latar belakang aktivisme ataupun penyertaan dalam pertubuhan politik telah menyambut baik usaha ini dan telah memberikan sokongan mereka. 

Motif Syed Saddiq dan Muda Malaysia 

Walaupun pada waktu ini segala butiran mengenai parti baru ini belum jelas, Syed Saddiq dan beberapa anak muda dari pertubuhan dan latar belakang berbeza telah membuat sebuah mesyuarat dan menamakan kumpulan mereka sebagai ‘Muda Malaysia’. Sebilangan anak muda di kalangan pekerja profesional, aktivis, usahawan, ahli akademik, para teknokrat, pendakwah agama dan ahli-ahli politik telah dikenalpasti sebagai anggota kumpulan ini dan dijangka akan mengusahakan pembinaan sebuah parti politik baru. Berikutan, pada 17 September lalu, sebuah parti politik yang dinamakan ‘Malaysia United Democratic Alliance’ (MUDA) telah didaftarkan. Menurut jurucakap dan pengasas MUDA Syed Saddiq, mereka belum pasti jika sempat untuk menamakan calon dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan berlangsung tidak lama lagi. 

Langkah Syed Saddiq yang tidak mengikut panduan bekas PM Mahathir dan mengambil keputusan untuk mengambil jalan lain sememangnya telah datang secara mengejut. Tidak lama sebelum ini, Syed Saddiq telah memberikan gambaran bahawa kedua-dua pemimpin utama parti Bersatu iaitu Muhyiddin dan Mahathir merupakan figura politik yang sangat dihormati olehnya dan merupakan mentor politik bagi dirinya. Tetapi, hanya selepas menjalinkan hubungan politik selama lebih kurang dua tahun, pakatan tersebut telah pecah dan masing-masing memilih haluan yang berbeza. 

Walaupun begitu, ini bukan kali pertama Syed Saddiq telah mengambil keputusan yang mengejutkan dan dilihat sebagai bercanggah dengan prinsip dan pendiriannya sendiri. Pada awalnya, Syed Saddiq telah cuba menarik sokongan dari kalangan anak muda dengan mendekati para aktivis politik dan dengan menubuhkan sebuah NGO yang berdasarkan kepada aspirasi pemuda, iaitu Challenger. Syed Saddiq yang cuba menarik anak muda dengan retorik perjuangan rakyat, perpaduan, anti-korupsi, tuntutan demokrasi dan sebagainya telah pada akhirnya menyertai sebuah pertubuhan politik yang berdasarkan pada satu kaum dan di dominasi oleh ahli-ahli politik yang sudah tua dan mempunyai rekod buruk dalam waktu pengurusan mereka dalam kerajaan. Mahathir misalnya dikenali sebagai seorang diktator yang telah melakukan ratusan tahanan politik bagi kepentingan dirinya sendiri sepanjang pemerintahan BN di bawah naungannya. Keputusan Syed Saddiq untuk menyertai parti Bersatu pada masa itu juga telah menimbulkan kecurigaan berkenaan dengan motif sebenar di belakang langkah pemuda ini. 

Undi golongan belia menjadi rebutan ahli politik 

Golongan belia merupakan blok yang sangat besar di dalam Pilihan Raya dan merangkumi sebanyak 46% daripada pengundi. Tambahan pula, dengan penggubalan Perlembagaan yang telah diluluskan oleh kerajaan lepas, semua pemuda berumur 18 di Malaysia akan di daftarkan secara automatik sebagai pengundi. Ini telah meningkatkan jumlah pengundi di Malaysia sebanyak hampir 8 juta orang. Pada Pilihan Raya Umum lepas, pengundi anak muda merupakan antara faktor utama yang telah memberikan kemenangan kepada kem PH yang sebahagian besar (pantai barat) telah mengundi kepada pembangkang. Oleh itu, semua pertubuhan politik pada waktu ini sedang merebut-rebut sesama mereka untuk mendapatkan sokongan dari golongan anak muda. 

Pada PRU lepas, PH sudahpun membuat beberapa langkah-langkah untuk memenangi undi anak muda. Satu, dengan menaburkan janji yang khusus kepada anak muda bagi memikat mereka, satu lagi dengan meletakkan calon-calon yang berusia muda dan datang dari latar belakang aktivisme. Beberapa daripada calon tersebut merupakan figura-figura anak muda yang popular dan dikenali oleh orang ramai dan sangat sesuai untuk dijadikan sebagai ‘gimik’ politik untuk meraih undi dari rakyat. Syed Saddiq sendiri merupakan produk daripada ‘gimik politik’ yang dimainkan oleh kem pembangkang untuk mengalahkan BN. Sepertimana Khairy Jamaludin telah diberikan jawatan Menteri dalam usia yang muda untuk memikat imaginasi anak muda, begitu juga dengan Syed Saddiq yang diangkat oleh ahli politik PH. 

Sifat oportunis Syed Saddiq

Tetapi, jika diteliti, sebenarnya Syed Saddiq tidak membawa sebarang perubahan yang ketara kepada kehidupan anak muda dan telah gagal untuk meraih keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya. Segala janji PH kepada anak muda untuk membawa pendidikan percuma, melebarkan demokrasi, menghapuskan akta-akta yang menindas, mewujudkan peluang pekerjaan dan sebagainya telah dilupakan. Sepanjang pemerintahan PH, Syed Saddiq tidak pernah mewakili suara anak muda dan memperjuangkan tuntutan mereka di dalam kerajaan. Sebaliknya, pemuda yang kononnya ingin mengubah politik tempatan telah menjadi pengampu kepada golongan birokrat yang korup dan dihadkan dengan politik oportunis yang hanya mementingkan cita-cita politik sendiri. 

Syed Saddiq telah memimpin pemuda Bersatu untuk melancarkan kempen menentang beberapa pemimpin DAP, kononnya untuk mempertahankan Mahathir daripada serangan. Kempen itu juga membawa propaganda perkauman dan boleh dikatakan sebagai salah satu penyebab yang telah menjurus kepada perpecahan koalisi PH. Tambahan pula, apabila parti Bersatu mula menerima ahli-ahli Parlimen korup yang melompat dari BN, ketua pemuda parti tersebut yang kononnya progresif dan anti korupsi langsung tidak menyuarakan sebarang bantahan dan merestui segala helah politik itu. Ini mendedahkan sifat oportunis Syed Saddiq yang tidak ikhlas dalam perjuangan dan mirip dengan semua ahli politik lain, cuma dalam usia yang lebih muda dan dengan penerampilan moden. 

Langkah untuk menubuhkan sebuah parti baru pada waktu ini juga merupakan sebuah langkah oportunis yang ingin merebut sokongan anak muda yang mempunyai bilangan pengundi yang banyak. Tambahan pula, kebanyakan daripada anak muda yang merasa kecewa dengan pertubuhan politik arus perdana yang wujud pada masa ini sedang mencari sebuah alternatif politik yang tidak korup dan membawa aspirasi rakyat biasa. Dengan mendapatkan undi anak muda, Syed Saddiq boleh mendapat kuasa untuk berunding dengan mana-mana pihak untuk menubuhkan kerajaan dan untuk menjamin posisi yang penting bagi dirinya. Walaupun Mahathir telah meluahkan kekecewaan terhadap langkah Syed Saddiq, tetapi, pada masa yang sama, Mahathir juga tidak menolak sebarang potensi untuk menjalinkan hubungan politik dengan parti MUDA pada masa yang akan datang.

Pertubuhan multi-etnik?

Menurut Syed Saddiq, parti baru ini akan membawa ciri multi-etnik dan akan dianggotai oleh anak muda yang datang dari kaum dan latar belakang yang berbeza. Ini bercanggah dengan hala tuju politik Mahathir yang telah menubuhkan parti yang hanya membawa perjuangan golongan Melayu untuk kali kedua dalam beberapa tahun sahaja. Bagi Syed Saddiq, walaupun pernah menjadi anggota parti Bersatu yang juga merupakan parti yang berdasarkan kepada satu kaum, langkah Mahathir tidak akan berjaya menarik sokongan dari kalangan anak muda yang sudah muak dengan politik perkauman di Malaysia. Oleh itu, Syed Saddiq dan para pemuda lain yang mempunyai kepentingan dan cita-cita politik, sedang cuba membina sebuah alternatif yang nampak lebih progresif berbanding parti-parti tradisional bagi meraih undi PRU dari anak muda. 

MUDA merupakan platform bagi ahli-ahli politik untuk memperjuangkan kepentingan dan kedudukan politik mereka dan ia bukanlah sebuah platform yang memberikan suara kepada jutaan anak muda dan rakyat tertindas. Sebelum ini, parti-parti multi-etnik lain seperti PKR dan DAP telah menggunakan retorik yang sama untuk meraih undi rakyat. Menurut mereka, parti-parti yang dibentuk daripada pelbagai kaum akan berjaya membawa kemuafakatan dikalangan kaum berbeza dan membawa kepada kesuburan ekonomi. Tetapi, sepertimana yang dilihat dalam pemerintahan PH selama 2 tahun, parti-parti ini bukan sahaja gagal untuk membina perpaduan antara kaum berbeza, malah mereka gagal untuk mengekalkan sokongan dari rakyat biasa. 

Ini adalah disebabkan oleh intipati parti-parti ini yang tidak berteraskan kepada perjuangan rakyat biasa dan lebih tertumpu kepada kemakmuran sistem kapitalisme dan kelas majikan kaya. Disebabkan oleh keterikatan mereka dengan kemahuan kelas kapitalis, segala janji-janji ekonomi PRU tidak berjaya ditunaikan. Tambahan pula, semua polisi-polisi ekonomi yang diangkat oleh PH adalah lebih kurang serupa dengan BN dan tidak membawa sebarang perubahan kepada kehidupan rakyat miskin. 

Disebabkan oleh kegagalan PH untuk membawa polisi ekonomi yang berpihak kepada rakyat biasa, pertubuhan-pertubuhan politik pembangkang dan konservatif telah mempergunakan situasi ini untuk menyemai dan menyemarakkan unsur-unsur perkauman di dalam masyarakat kita. Hasilnya, unsur perkauman telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.  

Pengalaman di bawah kerajaan PH telah mendedahkan bahawa hanya dengan mengundi kepada parti-parti yang kononnya multi-etnik sahaja tidak akan menjurus kepada penghapusan semua unsur rasisme di dalam masyarakat. Unsur-unsur perkauman yang sudah berakar semenjak penjajahan kuasa kolonial British lagi tidak boleh dihapuskan tanpa membawa solusi ekonomi yang mampu membebaskan kelas pekerja dan rakyat miskin daripada kemiskinan dan penindasan. Selagi sistem kapitalisme dibenarkan untuk bermaharajalela, kelas kapitalis kaya yang merupakan minoriti daripada populasi negara akan sentiasa mencari jalan untuk memecahkan perpaduan di kalangan rakyat massa bagi tujuan melindungi kekayaan peribadi. Kelas kapitalis amat khuatir dengan perpaduan di kalangan rakyat yang akan mengancam kebolehan mereka untuk mengeksploitsi tenaga kerja rakyat demi keuntungan. 

Parti-parti arus perdana sudah mengecewakan rakyat

BN, PH dan gabungan baru PN telahpun mendedahkan warna sebenar mereka yang tidak ikhlas dengan perjuangan demi kebajikan rakyat dan boleh di hakimi dengan pemerintahan mereka di dalam kerajaan selama ini. Walaupun parti pemerintah bersilih ganti, kedudukan kelas pekerja dan rakyat biasa sedang semakin merosot. Pada masa yang sama, keuntungan pihak kelas majikan dan kapitalis kaya sedang semakin meningkat setiap tahun. Dalam masa pandemik Covid19 yang sedang menggugat keselamatan dan kesihatan rakyat, kapitalis kaya masih mempergunakan kerajaan bagi menyelamatkan perniagaan mereka walaupun terpaksa mengorbankan kebajikan sosial yang amat diperlukan oleh rakyat. Oleh itu, Malaysia pada masa ini bukan sahaja sedang menghadapi sebuah krisis politik, malah juga sedang berhadapan dengan krisis pengangguran, pemotongan dana kebajikan dan sebuah krisis ekonomi yang parah. Tetapi, semua pertubuhan politik yang merupakan perwakilan kepada kelas kapitalis tidak mempunyai sebarang solusi kepada masalah yang sedang dihadapi oleh jutaan rakyat biasa. 

Walaupun Syed Saddiq mendendangkan retorik untuk memerangi korupsi dan berjuang demi rakyat, sehingga ke hari ini, parti baru ini belum mengeluarkan sebarang pendirian mereka dalam isu-isu yang sedang bangkit di Malaysia. Perbincangan mereka adalah tertumpu pada Pilihan Raya dan strategi-strategi untuk mendapatkan sokongan daripada anak muda. Parti MUDA sedang membayangkan sebuah sambutan politik di PRU seperti Future Forward Party di Thailand yang telah meraih sokongan yang hebat dari kalangan anak muda negara itu. Tetapi, sama seperti FFP, MUDA juga tidak mempunyai sebarang program yang boleh menghubungkan perjuangan anak muda dan perjuangan rakyat biasa bagi mencari sebuah alternatif politik di luar cengkaman para kapitalis. Sebahagian besar daripada anggota MUDA sudah boleh dikenalpasti sebagai golongan kapitalis yang kaya-raya dan menindas pekerja mereka demi keuntungan peribadi. Parti politik ini juga menunjukkan ciri-ciri yang sama dengan semua pertubuhan kapitalis lain dan tidak menjamin sebarang perubahan yang bermakna bagi rakyat biasa. 

Anak muda dan pecahan kelas

Di dalam masyarakat, semua anak muda bukannya mempunyai kehendak yang sama dan mereka juga terbahagi kepada kelas-kelas tertentu. Misalnya, tuntutan dan aspirasi seorang anak muda dari kelas pekerja akan berbeza dan bercanggah dengan seorang anak muda dari latar belakang kelas kapitalis. Ini adalah disebabkan oleh kontradiksi antara dua kelas ini yang mempunyai kemahuan yang bertentangan. Bagi kelas pekerja, mereka ingin mendapatkan sebuah pekerjaan yang akan memberikan gaji yang berpatutan disamping memberikan ruang dan masa untuk menjalankan kehidupan dengan bermaruah. Tetapi, jika tuntutan pekerja itu tertunai, ini bermakna bahawa kelas kapitalis akan terpaksa menanggung pengurangan keuntungan peribadi mereka yang dihasilkan melalui eksploitasi tenaga kerja rakyat. Oleh itu, persoalan utama di sini adalah, adakah parti baru yang berteraskan kepada anak muda yang sedang diusahakan oleh individu tertentu akan berpihak kepada kelas pekerja dan rakyat biasa, ataupun adakah ia akan meneruskan legasi semua parti arus perdana yang datang sebelum ini untuk mengangkat kehendak para kapitalis?

Setakat ini tidak ada sebarang tanda-tanda yang menunjukkan bahawa parti MUDA akan membawa harapan anak muda dan memberikan sebuah solusi kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. Walaupun belum lagi jelas pada waktu ini, kebanyakkan besar anggota pertubuhan ini merupakan golongan usahawan, teknokrat, pendakwah dan aktivis yang muda dan mempunyai sedikit pengaruh di kalangan rakyat biasa, terutamanya di kalangan golongan belia. Oleh itu, walaupun tidak membawa sebarang solusi untuk rakyat biasa, usaha ini mungkin boleh meraih sedikit sokongan daripada anak muda pada awalnya. Tetapi, sepertimana yang dilihat dalam pertubuhan-pertubuhan politik yang lain, tanpa sebuah program yang kukuh dan alternatif yang jelas kepada sistem ekonomi yang didominasi oleh kelas kapitalis, parti ini juga akan menjadi kuda tunggangan orang berada dan akan akhirnya mengecewakan penyokong mereka.

Oleh itu, anak muda, kelas pekerja dan rakyat biasa harus mengelakkan diri mereka daripada dipergunakan demi kepentingan kelas atasan dan mula membina sebuah alternatif yang tulen bagi perjuangan rakyat. Sepertimana yang dilihat di bawah pemerintahan PH, hanya sekadar menaburkan janji-janji PRU sahaja tidak boleh memuaskan hati rakyat biasa yang sudah sedar dengan gelagat ahli politik yang tidak segan untuk menipu rakyat. 

Pembinaan alternatif politik 

Rakyat Malaysia dan dunia yang sedang menghadapi krisis ekonomi dan politik sedang mencari sebuah alternatif yang boleh mengubah kehidupan mereka. Pada waktu ini, terutamanya dengan ancaman pandemik Covid-19 yang sedang mengakibatkan pengangguran dan keruntuhan ekonomi bagi majoriti daripada kelas pekerja, rakyat biasa amat memerlukan sebuah solusi ekonomi yang munasabah. Sistem kapitalisme yang hanya mementingkan keuntungan golongan kaya sedang mengakibatkan kebinasaan kepada umat manusia dan alam sekitar. Tanpa sebuah tindakan balas daripada rakyat tertindas yang bersatu, sistem kapitalisme akan meneruskan agenda mereka untuk meraih keuntungan melalui aktiviti ketenteraan, eksploitasi alam semula jadi dan penindasan jutaan warga miskin dan kelas pekerja. 

Anak muda harus menjadi peneraju kepada pembinaan sebuah gerakan rakyat yang mampu menjurus kepada pembinaan alternatif politik massa yang benar-benar mewakili kepentingan rakyat biasa. Melalui agitasi, kempen dan aktiviti sosial, anak muda harus meningkatkan kesedaran rakyat dan menyeru kepada kelas pekerja untuk mengambil tindakan kolektif bagi mempertahankan hak mereka. Jika kelas pekerja turut serta dalam perjuangan ini dan mula menyusun tenaga bagi melancarkan aksi protes seperti mogok di tempat kerja, ia akan menjadi pencetus kepada pembinaan sebuah kepimpinan politik bagi rakyat massa. 

Semua pertubuhan akar umbi dan organisasi perjuangan anak muda, kelas pekerja dan rakyat biasa harus datang bersama bagi membina sebuah kepimpinan politik yang membawa alternatif ekonomi dan mengangkat aspirasi rakyat tertindas. Sistem ekonomi sosialisme, yang memberikan kawalan ekonomi kepada kelas pekerja dan rakyat biasa majoriti merupakan satu-satunya alternatif yang boleh menggantikan sistem kapitalisme yang dikawal oleh segelintir minoriti kaya. Walaupun sebuah program yang berpihak kepada rakyat boleh di bina oleh kepimpinan politik, tetapi, tanpa membawa perspektif untuk membina sosialisme, semua program tersebut tidak akan berjaya dicapai. Oleh itu, peranan yang paling besar bagi anak muda pada waktu ini adalah untuk terlibat dengan aktif dalam pembinaan sebuah alternatif politik yang bukan sahaja membawa sebuah program ekonomi bagi semua rakyat tertindas, tetapi juga pada masa yang sama membawa sebuah perspektif dan hala tuju politik yang jelas.   

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*