Apabila Sosialisme Menjadi Saintifik

Karl Marx, sambil memegang Neue Rheinische Zeitung bersama Frederick Engels dalam revolusi Jerman 1848. Pada waktu itu Liga Komunis sedang dibina sebagai parti kelas pekerja moden yang pertama. Engels menulis, “Komunisme bukanlah satu doktrin tetapi satu gerakan; ia tidak berpunca daripada prinsip, tetapi daripada fakta.”

Nota penerbit: Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 5 Julai 2014.

Pada 21hb Februari selama 177 tahun dahulu, Komunis Manifesto yang ditulis oleh Karl Marx dan Friedrich Engels telah diterbitkan di London. Risalah ini telah diterjemahkan kepada lebih 200 bahasa dan telah menjadi bahan bacaan pekerja dan rujukan organisasi sosialis di seluruh dunia. Sehingga hari ini Komunis Manifesto menjadi antara risalah yang paling berpengaruh.

Adakah sosialisme yang dipelopori Karl Marx dan Engels merupakan sebuah idea utopis? Sejak penerbitan Komunis Manifesto pada 1848, penulisan ini masih relevan sehingga kini dalam menjawab percanggahan-percanggahan yang wujud dalam sistem kapitalisme dan bagaimana kelas pekerja secara saintifik merupakan kuasa perubahan yang dapat membawa masyarakat ke arah yang lebih progresif.

Apabila sosialisme menjadi saintifik, kapitalisme menjadi utopis

Salah sebuah kritikan terbesar terhadap Sosialisme Saintifik atau Marxisme adalah bahawa ia merupakan sebuah utopia yang tidak akan dicapai. Kritikan ini diatur oleh pelopor kapitalis yang membuat kesimpulan mudah bahawa Soviet Union dan China adalah sebuah projek eksperimen Marxisme yang telah gagal dengan kejatuhan tembok Berlin.

Kesimpulan mudah sebegini ditujukan untuk memperdaya pemikiran manusia yang sepatutnya mampu untuk memahami dinamika pergerakan sosial yang mempunyai catatan sejarah yang panjang. Soviet Union itu sendiri mempunyai sejarah yang kompleks yang telah menyebabkan ia terpesong daripada Marxisme dari awal penubuhannya lagi. Kegagalan Soviet untuk mencapai sosialisme adalah disebabkan oleh pelbagai faktor.

Adakah kehendak untuk sebuah masyarakat yang lebih adil satu utopia?

Kebangkitan golongan hamba di Rom pada 70 SM yang diketuai oleh Spartacus telah bermimpi untuk mengakhiri sistem hamba lebih 1,000 tahun sebelum ia akhirnya dihapuskan. Pelbagai faktor telah memainkan peranan dalam kegagalan pergerakan hamba di Rom pada masa itu, tetapi keadaan seperti itu telah berulang beratus-ratus kali sebelum akhirnya sistem hamba terpaksa digantikan dengan sistem feudal. Perkara yang sama juga boleh diteliti apabila golongan borjuis telah melancarkan peperangan terhadap pemerintahan feudal yang telah mengalami segala jenis kegagalan sehingga mencapai kemenangan mutlak dalam Revolusi Perancis 1789.

Pergerakan sosial tidak bergerak dengan lurus ke arah suatu matlamat yang mutlak. Ia akan mencapai kemenangan dan kegagalan, mengambil satu langkah ke hadapan dan kadangkala terpaksa undur dua langkah ke belakang. Walau bagaimanapun, menggunakan kaedah analisa dialektika ataupun Marxisme, kita dapat meneliti nilai segala pengalaman yang dilalui oleh kelas pekerja itu secara menyeluruh. Di setiap revolusi yang diketengahkan oleh kelas pekerja dan massa, walaupun berakhir dengan kegagalan, ia tetap dapat mengumpul pengalaman dan materi-materi yang penting untuk perjuangan di masa hadapan.

Dalam setiap perjuangan massa, pengalaman akan terbina dan perubahan materi akan berlaku sebagaimana tenaga haba dalam air akan bertambah apabila dipanaskan. Pengajaran Marxisme di sini adalah bahawa air dapat menampung seberapa kuantiti tenaga haba sebelum ia bertukar sifat. Misalnya, jika air itu dipanaskan melebihi 100 darjah Celsius, maka kualiti air akan berubah kepada wap adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Dan sebelum air mencecah 100 darjah Celsius ia tidak akan boleh bertukar menjadi wap. Marxisme menjelaskan pergerakan massa dengan menggunakan kaedah yang hampir serupa. Penukaran sistem akan berlaku hanya apabila penambahan materi adalah cukup untuk melaksanakan tugas tersebut.

Sistem sosialisme yang disarankan oleh Marx mempunyai sejarah utopia sebelum ia dijadikan sebuah subjek yang saintifik sebagaimana sesebuah idea boleh wujud walaupun materi tidak mencukupi. Leonardo Da Vinci telah melakarkan rajah kapal terbang dan bermimpi untuk mengelilingi dunia dengan sejenis mesin beratus-ratus tahun sebelum adik-beradik Wright dapat mengumpul materi yang mencukupi untuk menukar utopia Da Vinci kepada realiti.

Pelopor-pelopor sosialisme utopis seperti Jacques Rousseau, Fourier dan Owen telah bermimpi untuk membawa sosialisme tetapi telah gagal kerana idea mereka tidak disokong oleh materi yang mencukupi pada masa itu. Sistem feudal tidak dapat mengumpul materi yang diperlukan untuk pembinaan sosialisme. Kelas borjuis terpaksa memimpin gerakan massa untuk mewujudkan sistem kapitalisme yang telah mewujudkan sebuah kelas baharu iaitu kelas pekerja. Kewujudan kelas pekerja adalah asas kepada kewujudan materi untuk ke arah sosialisme, dan idea sosialisme yang telah wujud ratusan tahun sebelum kelahiran Marx telah dapat dijadikan saintifik.

Pelbagai aspek lain telah menyumbang ke arah sosialisme saintifik. Kelahiran pemikiran dialektika Hegel dalam dunia falsafah adalah penyumbang terbesar. Cetusan Revolusi Perancis pada abad ke-18 misalnya telah diteliti dan diinterpretasi secara falsafah. Tetapi, seperti yang pernah disebutkan oleh Marx, ahli falsafah hanya mampu mengintepretasi sebuah gerakan massa tetapi tidak mempunyai daya untuk mengubahnya. Walaupun Hegel merupakan seorang yang genius, kegagalannya untuk melihat sesuatu perubahan masyarakat sebagai sesuatu yang sentiasa bergerak, pendiriannya dianggap idealistik bagi penuntut Marxisme. Idea untuk mengubah sesuatu masyarakat seperti yang Revolusi Perancis yang tercetus misalnya bagi Hegel, merupakan emansipasi idea bernas daripada beberapa individu yang kemudian dipersetujui oleh massa. Berbeza bagi pendapat Marx yang mengasaskan pendiriannya melalui analisa secara dialektika materialisme, iaitu melihat sesuatu masyarakat melalui lensa materi yang sentiasa bergerak dan mempunyai latar belakang sejarah tersendiri, menganggap sesuatu idea itu terbentuk melalui keadaan materi sesuatu masyarakat.

Seperti Leonardo Da Vinci yang membayangkan manusia akan mampu untuk terbang di masa hadapan adalah disebabkan pemerhatiannya melihat burung yang terbang. Sekiranya tidak ada hubungan materi ini, idea untuk manusia meneroka sains di sebalik kaedah untuk terbang itu tidak akan wujud. Manakala dalam kes Revolusi Perancis pada abad ke-18, Marx menyorot kondisi-kondisi objektif iaitu penindasan ekonomi terhadap kelas pekerja pada waktu itu dan pengalaman-pengalaman perjuangan sebagai sebahagian dari penyebab tercetusnya revolusi — bukan semata-mata menggunakan idea seperti yang dipelopor oleh Hegel. Kaedah pemikiran Marxisme memberikan sumbangan yang besar dalam membina gerakan revolusi dan masih segar hingga ke hari ini. Kaedah saintifik yang digunakan oleh Marx telah mengupas setiap faktor yang akan menggerakkan revolusi secara saintifik. Seperti hujah Marx mengenai sebuah kerajaan dan negara sebagai sebuah produk antagonisme kelas antara kelas buruh dan kelas penguasa, hujah ini mempunyai asas dari penelitian sejarah, pengumpulan maklumat daripada pelbagai bentuk masyarakat sama ada dalam masyarakat moden mahupun dalam masyarakat primitif.

Trotsky dan Lenin antara pemimpin sosialis revolusioner yang telah berjaya memimpin revolusi Rusia pada tahun 1917 sehingga kelas pekerja berjaya mengambil alih kuasa kerajaan telah merujuk karya-karya Marx dalam mengatur dan membina parti revolusi Bolshevik pada waktu itu. Malah Program Transisi yang dibangunkan oleh Trotsky untuk membina strategi gerakan sosialis yang militan dan berkesan, banyak merujuk karya-karya Marx seperti “Materialisme dalam Sejarah”, dan ucapan Marx yang bertajuk “Nilai, Upah dan Keuntungan”. Pada hari ini meskipun kelas pemerintah kapitalis cuba untuk menghapuskan idea sosialisme dengan menuduhnya sebagai idealis, tetapi kaedah penelitian secara saintifik yang digunakan tidak dapat menenggelamkannya dan masih relevan sehingga hari ini. Revolusi bukan sesuatu yang mustahil dan kewujudan parti revolusi yang secara konsisten berpegang pada asas-asas Marxisme menjadi sebuah organisasi yang penting dalam menjawab segala krisis dan percanggahan yang wujud dengan menghapuskan sistem kapitalis dan menggantikannya dengan sosialisme iaitu sebuah sistem yang secara saintifik jauh lebih progresif, demokratik dan adil kepada semua masyarakat. Seperti apa yang disebut Karl Marx, “Untuk semua mengikut keperluan, daripada semua yang berkemampuan”.

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

Labour Day 2026 and the Crisis of Capitalism
2026 05 14 labour day 2026 political analysis sosialis alternatif scaled e1778736606299 Apabila Sosialisme Menjadi Saintifik Sosialis Alternatif
In this year’s International Workers’ Day, the global working class is facing a deepening crisis of capitalism alongside escalating geopolitical tensions. Wars and armed conflicts continue to spread from Palestine, Sudan and the Democratic...
BACA
Hari Pekerja 2026 dan Krisis Kapitalisme
2026 05 14 hari pekerja 2026 analisis politik sosialis alternatif scaled e1778734057576 Apabila Sosialisme Menjadi Saintifik Sosialis Alternatif
Dalam suasana sambutan Hari Pekerja tahun ini, kelas pekerja sedunia sedang berhadapan dengan krisis kapitalisme yang semakin mendalam serta ketegangan geopolitik dunia yang semakin meruncing. Peperangan dan konflik bersenjata terus merebak...
BACA
Skandal Azam Baki: Reformasi Tidak Memadai
2026 04 25 skandal azam baki kenyataan sosialis alternatif Apabila Sosialisme Menjadi Saintifik Sosialis Alternatif
Skandal Azam Baki telah mendedahkan bagaimana aparatus dan institusi kerajaan, selama berdekad-dekad lamanya tidak pernah memainkan peranan yang sebenar-benarnya berpihak kepada majoriti rakyat pekerja. Ini bukan hanya soal membersihkan...
BACA

Apabila Sosialisme Menjadi Saintifik

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *