Skandal Azam Baki: Reformasi Tidak Memadai

Rombakan total institusi di bawah kawalan kelas pekerja

Isu ini melangkaui individu seperti Azam Baki, ia membuka persoalan lebih mendasar tentang integriti institusi anti-rasuah itu sendiri: adakah skandal ini berpunca daripada kegagalan individu, atau daripada sebuah ekosistem yang membenarkan rasuah berakar? Dan sejauh mana reformasi serta tuntutan sedia ada benar-benar mampu menyelesaikan krisis yang sedang membelenggu negara?

Pada bulan Februari 2026, laporan Bloomberg mendakwa bahawa wujudnya sebuah rangkaian yang disebutnya sebagai ‘mafia korporat’, yang didakwa beroperasi dengan restu dan kerjasama langsung daripada pucuk kepimpinan agensi anti-rasuah SPRM. Laporan tersebut mendakwa bagaimana Azam Baki dan jabatan tertentu telah digunakan oleh rangkaian mafia tersebut untuk menekan, mengugut dan mengancam para pemilik syarikat tertentu untuk menyerahkan pegangan saham mereka dan dijual secara terpaksa dengan harga yang rendah. Ianya melibatkan tindakan-tindakan seperti serbuan, pembekuan aset dan ugutan pendakwaan terhadap syarikat-syarikat yang disenaraikan sebagai syarikat pesaing kepada tokoh korporat yang dinamakan Victor Chin Boon Long, sosok yang didedahkan sebagai dalang utama di dalam modus operandi ini.

Demikian jugalah bagaimana skandal ini turut mendedahkan ketempangan sistemik yang lebih meluas, apabila ianya telah melibatkan perselingkuhan orang-orang politik secara langsung. Bukti paling ketara yang kami maksudkan adalah dakwaan pembabitan Farhash Wafa Salvador, bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Hubungan dan jaringan antara kelas elit ini terdedah apabila Farhash telah dibawa masuk ke dalam lingkungan perniagaan Victor Chin sebagai Pengerusi dengan penguasaan 20 peratus kepentingan saham di dalam MMAG Holdings Bhd. Bahkan, rangkaian ini turut meluaskan cengkamannya apabila proksi-proksi di bawah kem Farhash didakwa cuba merampas kawalan ke atas NexG Bhd—sebuah syarikat pemegang kontrak kerajaan yang bernilai RM2.5 bilion — dipercayai bagi memindahkan sub-kontrak lumayan kepada HeiTech Padu yang mana beliau pernah menjadi pemegang saham utama.

Taktik ‘cuci tangan’ para golongan birokrat elit ini terserlah apabila Farhash secara mengejut telah meletakkan jawatan dan melupuskan kesemua pegangan sahamnya pada Januari 2026, sejurus sebelum siri pendedahan Bloomberg mula diterbitkan. Kepincangan ini mencapai kemuncaknya apabila Perdana Menteri dilaporkan terpaksa campur tangan secara peribadi pada Mac 2026 untuk mengarahkan Farhash berundur daripada perebutan kuasa korporat tersebut, sekaligus membuktikan bagaimana skandal pengumpulan modal ini sentiasa dibayangi dan dikawal selia melalui ‘pintu belakang’ hierarki eksekutif tertinggi. Bukan hanya itu sahaja, baru-baru ini Victor Chin juga ada mengeluarkan kenyataan bahawa seorang ahli parlimen PKR, yang tidak dinamakannya dan hanya berurusan dengan orang tengah yang diberi nama Mr. R, telah meminta rasuah sejumlah RM9.5 juta bagi menyelesaikan kes jenayah ini. Namun sehingga hari ini, hal ini masih tidak ada apa-apa perkembangan sekalipun, bahkan Victor Chin terus berdiam diri. Seperti mana-mana skandal besar yang berlaku sebelum ini, ia dibiarkan hanyut oleh masa, dengan memikirkan bahawa rakyat kebanyakan akan melupakan ketempangan busuk seperti ini.

Kapitalisme di Malaysia telah menjadikan kontrak kerajaan, konsesi dan akses kepada projek bernilai tinggi sebagai lubuk dan sumber utama kepada keuntungan para birokrat dan kelas kapitalis. Makanya sebuah ekosistem di antara kapitalis, elit politik, agensi negara dan badan penguatkuasaan menjadi sebuah realiti yang tidak terelakkan, bahkan sebagai sebuah logik ekonomi yang telah berkembang seiring dengan negara Malaysia ini. Skandal yang terpalit dengan Azam Baki bukanlah sebuah hal yang baharu, bahkan sebelum ini, pada awal tahun 2022 telah didedahkan juga bagaimana Azam Baki memiliki jutaan unit saham yang melanggar peraturan pemilikan penjawat awam. Kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang tegas telah mencetuskan reaksi protes jalanan di Kuala Lumpur yang diberi nama #TangkapAzamBaki, yang penuh ironinya turut disokong oleh Anwar Ibrahim dan sosok kepimpinan kerajaan Madani yang lain. Mereka ketika ini sedang diam membisu, bahkan membela posisi Azam Baki daripada tuntutan perletakkan jawatan. Berbeza dengan kepentingan politik yang sebelumnya, kini kepimpinan Madani berada di sudut yang bertentangan, mengambil pendirian untuk membela Azam Baki demi konsolidasi kuasa mereka sendiri.

Kini, dengan tertubuhnya Sekretariat Turun Azam Baki, yakni sebuah inisiatif yang kedua yang bertujuan untuk mendedahkan permasalahan ini kepada pihak awam dan juga, bagi membina tekanan politik untuk melaksanakan tindakan yang tegas terhadap Azam Baki itu sendiri. Antara tuntutan-tuntutan yang diperjuangkan oleh sekretariat ini antaranya adalah penangkapan dan peletakan jawatan Azam Baki, reformasi suruhanjaya anti-rasuah, perlindungan whistleblower yang lebih meluas serta menjalankan siasatan bebas dan berdikari terhadap kes-kes dan skandal yang besar seperti ini. Begitu juga, dari sudut pandangan yang lain juga, skandal ini menjadi titik perjuangan bagi segelintir aktivis politik dan juga beberapa NGO untuk menghidupkan semula gerakan perjuangan rakyat yang pernah aktif lebih kurang pada sedekad yang lepas.

Ya, sekali lagi Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki terpalit dengan skandal yang telah didedahkan melalui laporan antarabangsa iaitu Bloomberg. Sekali lagi ia membuka pelbagai persoalan yang berhubungan dengan soal integriti institusi anti-rasuah itu sendiri dan bagaimana skandal ini menjurus kepada persoalan yang lebih besar: apakah hal ini semata-mata tertumpu kepada sosok individu iaitu Azam Baki semata-mata, ataupun hal ini merupakan sebahagian daripada sebuah ekosistem yang secara asasnya membenarkan rasuah dan skandal seperti ini berleluasa dan sejauh manakah tindakan reformasi institusi ini dapat menyelesaikan masalah yang sedang membelenggu negara selama ini? Apakah tuntutan sedia ada ini mencukupi dan apakah ia memberi jaminan bahawa ini akan menyelesaikan masalah yang sebenarnya?

Salah satu tuntutan utama para aktivis yang memperjuangkan hal ini adalah dengan meletakkan agensi anti-rasuah ini di bawah kuasa Parlimen dan bukannya di bawah Jabatan Perdana Menteri, seperti mana ia diletakkan semenjak tertubuhnya Badan Pencegah Rasuah pada tahun 1959 lagi. Reformasi institusi ini, menurut mereka, akan dapat memastikan bagaimana segala siasatan jenayah rasuah tidak akan berhubungan dengan kepentingan politik dan tidak dapat diselewengkan demi kepentingan segelintir pihak. Namun reformasi seperti ini, jika tidak dihubungkan dengan soal percanggahan ekonomi kapitalisme itu sendiri, yang membenarkan pengumpulan kekayaan yang ekstrem di pihak kapitalis dan kepimpinan politik yang begitu korup, sementara kelas pekerja diperah dan dieksploitasi seteruknya, makanya ia tidak akan menghapuskan punca kepada rasuah dan skandal yang berleluasa ketika ini. Pelbagai analisis dan laporan mendedahkan bagaimana ketempangan dan salah tadbir urus yang berpaksikan motif keuntungan untuk kelas kapitalis menjurus kepada skandal rasuah dan keborosan pentadbiran yang memakan duit rakyat berjumlah berbilion-bilion ringgit.

Ternyata apa yang berlaku ketika ini mendedahkan sebuah ketempangan yang besar, di mana sebuah agensi anti-rasuah, yang sepatutnya bertanggungjawab untuk menyelesaikan kes-kes rasuah dan memastikan bahawa negara dan masyarakat sentiasa telus dalam menguruskan hal ehwal pemerintahan, terpalit pula dengan sebuah skandal rasuah dalaman. Meskipun begitu, hipokrasi ini tidak pula berlaku di dalam agensi anti-rasuah semata-mata, sebaliknya sudah sebati di dalam pemerintahan negara Malaysia itu sendiri. Skandal yang besar seperti 1MDB, Felda, Tabung Haji dan seumpamanya mendedahkan bagaimana isu-isu rasuah ini telah merebak luas dan menunjukkan bagaimana hanya dengan menyelesaikan satu isu sahaja, tidak berjaya dan tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah-masalah asas yang membelenggu sistem pemerintahan negara. Rasuah bagi negara membangun dijadikan sebagai sarana bagi mendapatkan apa yang diinginkan oleh kelas-kelas elit dan para birokrat.

Azam Baki ketika ini telah dipanggil oleh pihak polis dan laporan siasatan telah diberikan kepada pihak kerajaan. Pada masa yang sama juga, Azam Baki pula telah menafikan hal ini, bahkan ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak Bloomberg. Ini menunjukkan bahawa Azam Baki tidak akan berdiam diri dan akan mengambil posisi yang lebih defensif dalam hal ini. Tuntutan Azam Baki meletakkan jawatan, ditangkap dan juga siasatan dalaman adalah sebuah keperluan ketika ini, namun berpendapat bahawa kita perlu bergerak dengan lebih lanjut lagi. Sebuah jawatankuasa bebas yang terdiri daripada perwakilan kelas pekerja, organisasi kesatuan sekerja dan masyarakat sivil, yang bebas sepenuhnya daripada campur tangan dan kawalan eksekutif dan elit politik perlu ditubuhkan dalam kadar yang segera. Tidak hanya dengan itu, siasatan seperti ini mesti dijalankan secara terbuka, melalui akses penuh kepada dokumen-dokumen yang berkaitan dengan skandal yang terpalit ini. Kami katakan tidak kepada sebuah bentuk siasatan yang tidak telus dan terselindung daripada pemantauan dan siasatan yang berasaskan kepentingan majoriti kelas pekerja. Usaha seperti ini, yang dikelola dan diuruskan oleh kepimpinan kelas pekerja yang berdikari perlu mencakupi keseluruhan urusan pemerintahan kerajaan, termasuklah agensi-agensi dan institusi yang selama ini turut juga terpalit dengan barah skandal dan rasuah seperti ini.

Lebih-lebih lagi, organisasi Sosialis Alternatif turut berhujah bahawa institusi dan aparatus kerajaan perlu diletakkan di bawah kawalan pekerja secara demokratik bagi memastikan fungsi sebenar untuk membanteras rasuah itu tidak lagi dapat dimanipulasi, diambil kesempatan dan dipengaruhi oleh kepentingan kelas elit dan kelas kapitalis. Skandal ini telah mendedahkan bagaimana aparatus dan institusi kerajaan, selama berdekad-dekad lamanya tidak pernah memainkan peranan yang sebenar-benarnya berpihak kepada majoriti rakyat pekerja. Ini bukan hanya soal membersihkan institusi kerajaan untuk bebas daripada segala bentuk rasuah, tetapi lebih kepada soal pengambilalihan secara menyeluruh oleh kelas pekerja itu sendiri. Makanya gerakan protes yang berlangsung ketika ini perlu mengangkat tuntutan perubahan sistem dan pembentukan jawatankuasa bertindak di keseluruhan institusi kerajaan dan keseluruhan sektor ekonomi bagi membendung gejala rasuah yang melampau ini. Namun ianya tidak akan membawa apa-apa perubahan tanpa ianya dipimpin oleh sebuah kuasa revolusioner yang mampu menggugat dan merombak struktur ekonomi dan sistem yang membenarkan barah skandal ini berleluasa.

Dalam keadaan di mana institusi negara masih dikuasai oleh kelas elit politik dan kapitalis, perjuangan tuntutan reformasi ini perlu dihubungkan dengan perjuangan demokratik dan ekonomi yang lebih meluas. Melalui perjuangan tuntutan-tuntutan ini, kelas pekerja bukan sahaja menuntut reformasi, tetapi turut memulakan pembinaan kapasiti organisasi dan kepimpinan yang diperlukan untuk mengambil alih fungsi kawalan terhadap institusi dan ekonomi secara lebih luas. Ia mesti dihubungkan dengan usaha pembinaan kuasa politik kelas pekerja yang militan dan tersusun, bagi menyatukan tuntutan-tuntutan ini ke dalam sebuah strategi yang lebih jelas sifatnya. Pembinaan sebuah parti pekerja menjadi sebuah hal yang perlu bagi kelas pekerja, sebagai alat utama bagi menuntut hak kebajikan dan juga memastikan reformasi yang seadilnya dihubungkan dengan persoalan perubahan sistem yang lebih egalitarian — yakni ke arah Sosialisme, di mana kekayaan sosial dikawal secara demokratik oleh majoriti, dan pengeluaran disusun berdasarkan keperluan, bukan keuntungan.

Kami menuntut:

Siasatan bebas di bawah kawalan demokratik kelas pekerja

  • Penubuhan jawatankuasa siasatan bebas yang terdiri daripada wakil kesatuan sekerja perkhidmatan awam dan swasta serta organisasi masyarakat sivil.
  • Semua prosiding dijalankan secara terbuka dengan akses penuh kepada dokumen-dokumen yang berkaitan.
  • Perlindungan terhadap pemberi maklumat (whistleblowers) di bawah kawalan badan ini, bukan kerajaan.

 

Pembukaan buku dan dokumen perniagaan dan syarikat-syarikat korporat

  • Audit terbuka terhadap syarikat-syarikat yang terlibat dalam skandal.
  • Pendedahan semua hubungan dan rangkaian di antara syarikat korporat, ahli politik, dan agensi negara.
  • Hak pekerja dalam syarikat tersebut untuk mendapatkan maklumat kewangan dan operasi.

 

Kawalan demokratik pekerja ke atas institusi dan agensi negara

  • Pemilihan dan penarikan balik (right to recall) pegawai tinggi institusi seperti SPRM oleh badan perwakilan rakyat pekerja dan bukannya pemilihan dari kelas eli
  • Elaun dan gaji pegawai tinggi kerajaan perlu dihadkan setara dengan pekerja mahir.

 

Jawatankuasa bertindak di tempat kerja dan komuniti

  • Penubuhan jawatankuasa akar umbi yang berdikari dan terdiri daripada kepimpinan pekerja untuk memantau rasuah di tempat kerja, sektor awam, dan komuniti.
  • Penyelarasan jawatankuasa ini di peringkat nasional.

 

Pengukuhan hak demokrasi dan hak berkesatuan sekerja

  • Membina sebuah jawatankuasa bertindak sesama kesatuan dan industri dalam membina solidariti dalam menentang tindakan union busting melalui tindakan perindustrian seperti mogok dan piket.
  • Membina jaringan solidariti sesama gerakan buruh dan kesatuan sekerja di rantau Asia Tenggara dan antarabangsa.
  • Menuntut pemansuhan akta-akta yang menindas gerakan kebangkitan rakyat. Termasuk akta-akta yang menghalang pembinaan kesatuan di tempat kerja (union-busting) dan hak mahasiswa berpolitik di institusi pendidikan. Akta seperti AUKU dan Akta Hasutan 1948 contohnya — hanyalah bukti bagaimana ianya dikuatkuasakan bagi membungkam kebangkitan gerakan rakyat yang ingin menuntut hak keadilan buat mereka.

 

Memiliknegarakan industri utama di bawah kawalan pekerja

  • Industri dan sektor-sektor utama yang merupakan tulang belakang ekonomi negara perlu diuruskan dan diletakkan di bawah kawalan pekerja, melalui penubuhan organisasi berdikari dan dikawal selia secara demokratik, bagi memastikan bahawa segala keborosan dan ketirisan dapat dihapuskan melalui ketelusan dan perancangan majoriti pekerja yang terlibat.
  • Syarikat yang terbukti terlibat di dalam skandal dan rasuah diambil alih tanpa pampasan kepada pemilik besar mahupun pegawai tinggi yang terlibat.

 

Perjuangan hak ekonomi dan sosial yang lebih bermaruah

  • Kenaikan gaji minimum RM20 sejam dan melaksanakan kawalan harga barang asas.
  • Jaminan pekerjaan kepada semua dan perlaksanaan perlindungan sosial yang berkualiti dan bermaruah.
  • Pengagihan semula kekayaan melalui percukaian progresif terhadap kelas pemodal yang besar.

 

Pembinaan Parti Politik Kelas Pekerja

  • Keperluan mendesak untuk sebuah parti yang bebas dan berdikari daripada semua blok kapitalis dan kuncu-kuncu parti politiknya.
  • Pembinaan sebuah program politik yang egalitarian, berasaskan demokrasi pekerja dan sosialisme antarabangsa.

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

PRN Sabah 2025: Krisis Politik Elit dan Keperluan Pembinaan Kuasa Politik Kelas Pekerja di Malaysia
2026 03 12 prn sabah 2025 sosialis alternatif Skandal Azam Baki: Reformasi Tidak Memadai Sosialis Alternatif
Sosialis Alternatif menegaskan bahawa persoalan nasional di Sabah dan Sarawak hanya boleh diselesaikan melalui pembinaan kuasa politik yang berdikari dalam kalangan kelas pekerja. Pembebasan kelas pekerja di Borneo tidak boleh dipisahkan...
BACA
Keganasan Seksual Terhadap Wanita dan Kanak-kanak: Krisis sosial yang memerlukan penyelesaian sistemik
2026 03 08 hari wanita antarabangsa kenyataan sosialis alternatif Skandal Azam Baki: Reformasi Tidak Memadai Sosialis Alternatif
Situasi krisis geopolitik yang menyebabkan perang sedang menyaksikan krisis pelarian, kemusnahan harta benda juga keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. Peperangan di Palestin sedang mendedahkan kekejaman Israel mempergunakan tubuh...
BACA
5 Reports of Rape Every Day: What is to be done while Parliament laments low prosecution rate?
2026 03 03 womens march 2020 against rape sexual violence sosialis alternatif Skandal Azam Baki: Reformasi Tidak Memadai Sosialis Alternatif
Between 2015 and 2025, Malaysia witnessed a staggering 17,609 reported rape cases — an average of five rape reports every single day… Only 7,090 of these cases, or roughly 40%, resulted in charges being filed… in an earlier decade only...
BACA

Skandal Azam Baki: Reformasi Tidak Memadai

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *