Skandal SPRM dan Azam Baki: Masalah Individu Atau Sistem?

Laporan Bloomberg mendedahkan Azam Baki dan jabatan tertentu telah digunakan oleh rangkaian mafia untuk menekan, mengugut dan mengancam para pemilik syarikat tertentu untuk menyerahkan pegangan saham mereka dan dijual dengan harga yang rendah.

Pada bulan Mac 2026, Bloomberg telah menulis sebuah laporan pendedahan mengenai sebuah rangkaian yang dipanggil ‘mafia korporat’, yang didakwa beroperasi dengan restu dan kerjasama langsung daripada pucuk kepimpinan agensi anti-rasuah SPRM. Laporan tersebut mendakwa bagaimana Azam Baki dan jabatan tertentu telah digunakan oleh rangkaian mafia tersebut untuk menekan, mengugut dan mengancam para pemilik syarikat tertentu untuk menyerahkan pegangan saham mereka dan dijual dengan harga yang rendah. Ianya melibatkan tindakan seperti serbuan, pembekuan aset dan ugutan pendakwaan bagi beberapa syarikat yang dilihat sebagai pesaing kepada tokoh korporat seperti yang dinamakan iaitu Victor Chin Boon Long, iaitu dalang utama dalam pengambilan paksa syarikat. Demikian juga skandal ini turut mendedahkan ketempangan yang melibatkan orang-orang politik juga, apabila syarikat yang terlibat di dalam skandal ini membabitkan sosok bernama Farhash Wafa Salvador yang merupakan bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini. Bukan hanya itu sahaja, baru-baru ini juga Victor Chin juga ada mengeluarkan kenyataan bahawa seorang ahli parlimen PKR, yang tidak dinamakannya dan hanya berurusan dengan orang tengah yang diberi nama Mr. R telah meminta rasuah sejumlah 9.5 juta ringgit bagi menyelesaikan kes jenayah ini.

Skandal yang terpalit dengan Azam Baki bukanlah sebuah hal yang baharu, bahkan sebelum ini pada awal tahun 2022 turut didedahkan bagaimana Azam Baki memiliki jutaan unit saham yang melanggar peraturan pemilikan penjawat awam. Kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang tegas telah mencetuskan reaksi protes jalan di Kuala Lumpur yang diberi nama #TangkapAzamBaki, yang penuh ironinya turut melibatkan Anwar Ibrahim dan sosok kepimpinan kerajaan Madani yang lain, yang ketika ini diam membisu, bahkan membela posisi Azam Baki daripada tuntutan perletakkan jawatan. Ketika artikel ini ditulis, sudahpun tertubuhnya Sekretariat Turun Azam Baki yang akan mengadakan himpunan protes pada 25hb April akan datang.

Sekali lagi Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki terpalit dengan skandal yang telah didedahkan melalui laporan antarabangsa iaitu Bloomberg. Sekali lagi ia membuka pelbagai persoalan yang berhubungan dengan soal integriti institusi anti-rasuah itu sendiri dan bagaimana skandal ini menjurus kepada persoalan yang lebih besar: apakah hal ini semata-mata tertumpu kepada sosok individu iaitu Azam Baki semata-mata, ataupun hal ini merupakan sebahagian daripada sebuah ekosistem yang secara asasnya membenarkan rasuah dan skandal seperti ini berleluasa dan sejauh manakah tindakan reformasi institusi ini dapat menyelesaikan masalah yang sedang membelenggu negara selama ini?

Ternyata apa yang berlaku ketika ini mendedahkan sebuah ketempangan yang besar, di mana sebuah agensi anti-rasuah, yang sepatutnya bertanggungjawab untuk menyelesaikan kes-kes rasuah dan memastikan bahawa negara dan masyarakat sentiasa telus dalam menguruskan hal ehwal pemerintahan, terpalit dengan percanggahan yang tidak terdamaikan iaitu dengan sebuah skandal rasuah dalaman. Namun hipokrasi ini bukan sahaja berlaku di dalam agensi anti-rasuah semata-mata, sebaliknya sudah menjadi sebati di dalam pemerintahan negara Malaysia itu sendiri. Skandal yang besar seperti 1MDB, Felda, Tabung Haji dan seumpamanya mendedahkan bagaimana isu-isu rasuah ini telah merebak luas dan menunjukkan bagaimana hanya dengan menyelesaikan satu isu sahaja, tidak berjaya dan tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah-masalah asas yang membelenggu sistem pemerintahan negara.

Sistem kapitalisme yang dibangunkan melalui aparatus kerajaan semenjak Merdeka telah dipimpin, dikuasai dan diuruskan oleh golongan elit yang tidak sesekali mewakili kepentingan majoriti kelas pekerja dan hanya bersekongkol dengan kepentingan kelas kapitalis tempatan dan antarabangsa, begitu juga bersama-sama golongan birokrat atasan dan golongan bangsawan untuk terus mengaut keuntungan dan membolot kekayaan, sementara majoriti kelas pekerja dan rakyat miskin diperah dan dieksploitasi semenjak zaman kolonial lagi. Pelbagai analisis dan laporan telah mendedahkan bagaimana ketempangan dan salah tadbir urus yang berpaksikan motif keuntungan untuk kelas kapitalis menjurus kepada skandal rasuah dan keborosan pentadbiran yang memakan duit rakyat berjumlah berbilion-bilion ringgit.

Azam Baki ketika ini telah dipanggil oleh pihak polis dan laporan siasatan telah diberikan kepada pihak kerajaan. Pada masa yang sama, Azam Baki pula telah menafikan hal ini, bahkan ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak Bloomberg. Ini menunjukkan bahawa Azam Baki tidak akan berdiam diri dan akan mengambil posisi yang lebih defensif dalam hal ini. Tuntutan untuk meletakkan jawatan dan juga siasatan dalaman semata-mata tidak memadai. Sebuah jawatankuasa bebas yang terdiri daripada perwakilan dan penyertaan maksimum daripada kelas pekerja, organisasi kesatuan dan masyarakat sivil dan bebas sepenuhnya daripada campur tangan dan kawalan eksekutif dan elit politik perlu ditubuhkan dalam kadar yang segera. Tidak hanya itu, siasatan seperti ini mesti dijalankan secara terbuka, melalui akses penuh kepada dokumen-dokumen yang berkaitan dengan skandal tersebut. Tidak lagi siasatan sebegini hanya dibiarkan dan diuruskan oleh pihak yang mempunyai kepentingan yang tidak berpihak kepada kepentingan majoriti kelas pekerja.

Bahkan kami berhujah bahawa institusi dan aparatus kerajaan perlu diletakkan di bawah kawalan pekerja secara demokratik bagi memastikan fungsi sebenar dalam membanteras rasuah itu tidak lagi dapat dimanipulasi, diambil kesempatan dan dipengaruhi oleh kepentingan kelas elit. Skandal ini telah mendedahkan bagaimana aparatus dan institusi kerajaan, selama berdekad-dekad lamanya tidak lagi memainkan peranan yang sebenarnya. Ini bukan lagi soal membersihkan institusi kerajaan untuk bebas daripada segala bentuk rasuah, tetapi lebih kepada soal pengambilalihan secara menyeluruh oleh kelas pekerja itu sendiri. Begitu juga, gerakan protes yang berlangsung ketika ini perlu mengangkat tuntutan perubahan sistem dan pembentukan jawatankuasa bertindak di keseluruhan institusi kerajaan dan keseluruhan sektor ekonomi bagi membendung gejala rasuah yang melampau ini. Perjuangan tuntutan reformasi ini perlu dihubungkan dengan perjuangan demokratik dan ekonomi yang lebih meluas. Ia mesti dihubungkan dengan usaha pembinaan kuasa politik kelas pekerja yang militan dan tersusun, bagi menyatukan tuntutan-tuntutan ini ke dalam satu strategi yang lebih jelas sifatnya. Pembinaan sebuah parti pekerja menjadi sebuah hal yang perlu bagi kelas pekerja, sebagai alat utama bagi menuntut hak kebajikan dan juga memastikan reformasi yang seadilnya dihubungkan dengan persoalan perubahan sistem yang lebih egalitarian — yakni ke arah Sosialisme, di mana kekayaan sosial dikawal secara demokratik oleh majoriti, dan pengeluaran disusun berdasarkan keperluan, bukan keuntungan.

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

Skandal Azam Baki: Reformasi Tidak Memadai
2026 04 25 skandal azam baki kenyataan sosialis alternatif Skandal SPRM dan Azam Baki: Masalah Individu Atau Sistem? Sosialis Alternatif
Skandal Azam Baki telah mendedahkan bagaimana aparatus dan institusi kerajaan, selama berdekad-dekad lamanya tidak pernah memainkan peranan yang sebenar-benarnya berpihak kepada majoriti rakyat pekerja. Ini bukan hanya soal membersihkan...
BACA
PRN Sabah 2025: Krisis Politik Elit dan Keperluan Pembinaan Kuasa Politik Kelas Pekerja di Malaysia
2026 03 12 prn sabah 2025 sosialis alternatif Skandal SPRM dan Azam Baki: Masalah Individu Atau Sistem? Sosialis Alternatif
Sosialis Alternatif menegaskan bahawa persoalan nasional di Sabah dan Sarawak hanya boleh diselesaikan melalui pembinaan kuasa politik yang berdikari dalam kalangan kelas pekerja. Pembebasan kelas pekerja di Borneo tidak boleh dipisahkan...
BACA
Keganasan Seksual Terhadap Wanita dan Kanak-kanak: Krisis sosial yang memerlukan penyelesaian sistemik
2026 03 08 hari wanita antarabangsa kenyataan sosialis alternatif Skandal SPRM dan Azam Baki: Masalah Individu Atau Sistem? Sosialis Alternatif
Situasi krisis geopolitik yang menyebabkan perang sedang menyaksikan krisis pelarian, kemusnahan harta benda juga keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. Peperangan di Palestin sedang mendedahkan kekejaman Israel mempergunakan tubuh...
BACA

Skandal SPRM dan Azam Baki: Masalah Individu Atau Sistem?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *