LEBIH SETAHUN KERAJAAN BERUBAH, RAKYAT TERUS TERTEKAN, GOLONGAN MINORITI DENGAN BERBILION RINGGIT TERUS KAYA

LEBIH SETAHUN KERAJAAN BERUBAH, RAKYAT TERUS TERTEKAN, GOLONGAN MINORITI DENGAN BERBILION RINGGIT TERUS KAYA

Posted by

Ketika pilihanraya umum ke-14, Pakatan Harapan (PH) berjanji dalam manifesto bahawa selepas setahun mereka mentadbir, beban hidup rakyat akan dikurangkan. Tetapi, rakyat biasa dan warga pekerja merasakan harga barang dan perkhidmatan semakin meningkat, sekaligus meningkatkan kos dan beban hidup walaupun GST di bawah pemerintahan BN sudah pun dimansuhkan. Kini ramai mampu membuat kesimpulan bahawa politik PH sama sahaja dengan politik BN, di mana permainan politik mereka adalah untuk memperjudikan harapan dan kemahuan rakyat, semata-mata untuk membolehkan mereka menikmati kemewahan dan keistimewaan melalui pentadbiran kerajaan. Golongan yang dianggap progresif atau reformis dalam PH yang berikrar untuk membina Malaysia Baru sebelum pilihanraya, kini terpaksa akur kepada ‘sistem pasaran bebas’ dengan membelakangkang kehendak dan hak anak muda dan rakyat terbanyak.

Manakala polisi-polisi ekonomi PH yang berlandaskan pasaran bebas dan kapitalisme (sistem pemodal) amat memihak kepada golongan minoriti yang mempunyai kekayaan berbilion ringgit daripada Malaysia dan antara bangsa. Di Malaysia, seramai 50 orang termasuk Robert Kuok, Ananda Krishnan dan Syed Mokhtar Albukhary terus menggondol dan mengawal lebih 40 peratus kekayaan negara berbanding jumlah penduduk di Malaysia seramai 32 juta yang mana sebahagian besar semakin miskin akibat beban hidup yang kian meningkat. Kerajaan PH tidak meningkatkan cukai ke atas golongan kaya-raya ini supaya pengagihan kekayaan yang saksama dan adil dilaksanakan untuk mengurangkan beban hidup yang sedang diharungi oleh rakyat biasa.

Syarikat-syarikat multinasional dan pelabur-pelabur antara bangsa termasuk daripada negara Amerika, China dan Jepun pula terus diberikan berbagai habuan dan kelonggaran untuk mengaut keuntungan besar di negara ini. Ini termasuk kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dalam akta pekerjaan yang dipergunakan oleh majikan untuk menindas hak pekerja. Syarikat-syarikat besar ini bukan sahaja menindas keperluan dan hak pekerja Malaysia, mereka juga menindas keperluan dan hak pekerja di negara masing-masing dan juga di negara-negara lain dengan nama keuntungan. Sebab itu pekerja sedunia perlu bersatu untuk melawan penindasan syarikat-syarikat ini.

Kapitalis (pemodal) dan multinasional mengawal polisi kerajaan supaya memihak kepada mereka, dan kerajaan biasanya tunduk atas desakan mereka. Misalnya, dalam isu Lynas, rakyat biasa di negeri Pahang menolak syarikat Lynas disebabkan oleh risiko radioaktif yang mampu membahayakan kesihatan, tetapi hujah rakyat tidak menjadi keutamaan kepada Mahathir, apabila beliau berkata “Tidak boleh halau Lynas, pelabur perhati”. Kemahuan pelabur diutamakan, hak pekerja dan rakyat biasa dipinggirkan. Begitu juga pengangguran anak muda semakin meningkat, dan golongan lain seperti petani, peneroka FELDA, nelayan dan orang asli juga tertindas di bawah sistem pemodal pasaran bebas. Adakah pekerja dan rakyat biasa didesak mengundi setiap 4 atau 5 tahun, semata-mata untuk memilih kerajaan yang memihak kepada 50 orang terkaya di negara ini, dan pelabur-pelabur antarabangsa yang bermotifkan keuntungan maksimum semata-mata ?

Ternyata jelas bahawa perubahan ekonomi dan sosial yang memihak kepada rakyat biasa dan warga pekerja seperti kenaikan gaji yang setimpal dengan sara hidup, dan kawalan harga barang dan kos perkhidmatan, tidak mampu dikotakan oleh PH sepertimana BN. Warga pekerja dan rakyat biasa yang menjadi nadi penggerak ekonomi negara tidak boleh percaya kepada parti-parti yang mementingkan keuntungan dan kemewahan pelabur dan golongan kaya-raya. Parti massa pekerja perlu dibina dan diperkembangkan melalui kepimpinan yang berlandaskan kepada program sosialis dengan keperluan yang memihak kepada pekerja, rakyat biasa, anak muda dan golongan tertindas yang lain, supaya satu perubahan ekonomi dan sosial yang dikehendaki oleh mereka mampu diperjuangkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*