50 Tahun Selepas Peristiwa 13 Mei, Sentimen Perkauman Masih Berleluasa. Apakah Jalan Penyelesaian?

50 Tahun Selepas Peristiwa 13 Mei, Sentimen Perkauman Masih Berleluasa. Apakah Jalan Penyelesaian?

Posted by

Tahun ini merupakan ulang tahun ke 50 peristiwa berdarah 13 Mei yang menjadi titik hitam dalam sejarah Malaysia. Akan tetapi, peristiwa ini hanya dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menakutkan rakyat dan tiada analisa yang ikhlas dan mendalam dilakukan untuk mencari satu penyelesaian. Malah dalam buku teks sejarah sekolah juga, hanya beberapa ayat mengenai peristiwa ini ditera, dan sebarang butiran dan pengajaran penting tidak dibincangkan. Sehingga ke hari ini, pihak berkuasa seringkali merujuk kepada peristiwa yang berlaku 50 tahun lalu ini untuk mewujudkan ketakutan dan syak wasangka terhadap sesiapa yang mengkritik struktur politik dan ekonomi yang berdasarkan kaum di negara ini.

PERISTIWA 13 MEI

Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku sejurus selepas Pilihan Raya Umum yang melihat Parti Perikatan (kini Barisan Nasional) gagal untuk meraih majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan. Tambahan pula, di Negeri Selangor dan Perak, sebuah pemilihan semula telah di spekulasi akibat ketiadaan majoriti yang jelas dan persaingan yang sengit di kalangan Koalisi Perikatan, Parti DAP dan Parti Gerakan. Hari-hari berikutnya, selepas beberapa perarakan yang dianjurkan oleh Parti Gerakan, DAP dan UMNO, sebuah rusuhan kaum telah berlaku di kawasan-kawasan tertentu yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan dan kemusnahan harta benda. Sehingga ke hari ini, peristiwa ini menjadi mimpi ngeri dan rujukan yang mengingatkan rakyat Malaysia mengenai kepentingan untuk menjalinkan silaturahim antara masyarakat dari pelbagai latar belakang kaum, agama dan budaya.

Peristiwa 13 Mei merupakan tujahan yang tercetus selepas untuk berdekad lamanya rakyat dipupuk dengan propaganda dan sentimen perkauman yang telah dipelopori oleh bekas penjajah British dan seterusnya diikuti oleh parti pemerintah tempatan yang mewarisi kepimpinan kerajaan selepas Merdeka. Lama sebelum mencapai kemerdekaan, pihak British menggunakan pelbagai polisi dan taktik untuk memecah belahkan rakyat mengikut garis-garis perkauman tertentu. Ini adalah untuk mempermudahkan eksploitasi tenaga kerja rakyat dan petani miskin serta mencegah sebarang usaha dari rakyat untuk bersatu dan melancarkan gerakan pembebasan negara. Bekas penjajah British bertanggungjawab untuk mewujudkan perpecahan yang terbentuk di kalangan masyarakat berbilang kaum bagi mempertahankan posisi dan kawalan ke atas sumber-sumber kekayaan di negara ini. Perkara ini adalah sesuatu yang diketahui umum, menjadi polisi terbuka British yang dikenali sebagai ‘pecah dan perintah’ dan hampir semua negara jajahan British telah menjadi mangsa polisi ini.

Walaupun begitu, rakyat Malaysia pada waktu itu juga berjaya mengatasi segala perpecahan yang sengaja dipupuk dan melancarkan gerakan-gerakan menentang penjajahan British dan membawa aspirasi untuk pembebasan nasional. Aksi mogok umum yang dikenali sebagai Hari Hartal yang berlaku pada 1947 misalnya berjaya membawa kelas pekerja dan rakyat biasa dari semua jenis latar belakang ke dalam satu gerakan bersama yang menentang penjajah British. Pihak British mendapat penentangan hebat dari kalangan rakyat dan selepas kehilangan kawasan jajahan di negara-negara lain seperti Sri Lanka, India dan Ghana, mereka bertindak untuk membentuk sistem politik tempatan yang mampu menyambung polisi pecah perintah walaupun terpaksa meninggalkan tanah jajahan. Agenda pecah perintah ini merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi politik, ekonomi dan keadaan sosial Malaysia sehingga ke hari ini, walaupun dengan penukaran kerajaan BN kepada Pakatan Harapan pada tahun lalu.

HUBUNGAN POLARISASI KAUM DENGAN PENINDASAN SOSIAL DAN EKONOMI

Kelas pemerintah selepas Merdeka menggunakan sentimen perkauman untuk membentuk perlembagaan, menggunakan media dan sistem pendidikan untuk membina sebuah struktur politik yang mengutamakan propaganda perkauman. Kedudukan masyarakat Melayu yang mundur dari segi ekonomi akibat polisi-polisi British dipergunakan untuk membawa kebencian dan kesangsian terhadap masyarakat lain terutamanya dari etnik Cina yang menduduki bandar dan menikmati taraf kehidupan yang lebih baik.

Sejak tahun 60an, sebuah pergelutan politik mula berlaku di dalam UMNO (parti terbesar dalam Parti Perikatan), di antara lapisan bangsawan di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman yang telah memberikan keutamaan kepada golongan kapitalis bukan Melayu atau asing, dan satu lagi pihak yang inginkan kelebihan untuk kapitalis dan elit Melayu yang dipimpin oleh orang seperti Mahathir. Walaupun UMNO telah cuba meningkatkan taraf kehidupan orang Melayu dengan membuat pelaburan di kawasan luar bandar dan memberikan beberapa insentif khas kepada rakyat Melayu, tetapi ianya tidak menjurus kepada pembahagian kekayaan yang adil dan saksama akibat eksploitasi yang berterusan oleh para kapitalis dan elit di kalangan ahli politik. Hanya segelintir rakyat Melayu berjaya menjadi kapitalis dan elit yang kaya raya dan kebanyakan yang lain masih miskin dan tidak mendapat peluang untuk memperbaiki keadaan hidup mereka. Walaupun sebuah lapisan menengah masyarakat Melayu mula terbentuk, tetapi masih lagi ianya tidak menyeluruh sehingga boleh memuaskan hati jutaan lain yang sedang menjalani kehidupan yang miskin atau sederhana terutama di kawasan luar bandar.

Dengan pembangunan negara yang berkembang, jurang kekayaan di antara segelintir kapitalis dan majoriti daripada rakyat biasa yang terdiri daripada kelas pekerja dan petani mula meningkat. Kapitalis dari berbilang etnik mempergunakan parti politik yang berdasarkan kepada kaum untuk mengukuhkan posisi mereka untuk terus mengeksploitasi rakyat yang telahpun dipecahbelahkan melalui propaganda dan sentimen perkauman. Disebabkan oleh keadaan sosial rakyat terus merosot walaupun dengan kekayaan kapitalis kaya bertambah, ia mewujudkan prasangka dan kesangsian antara satu sama lain di kalangan rakyat biasa.

Golongan Melayu merasa marah kepada kerajaan yang dianggap sebagai memberi ruang kepada rakyat Cina untuk mengawal ekonomi negara dan golongan Cina pula rasa tidak puashati dengan polisi-polisi kerajaan yang dilihat sebagai berat sebelah dan memberi keistimewaan kepada masyarakat Melayu. Ahli-ahli politik pula mempergunakan situasi ini untuk melemparkan tuduhan dan saling menyalahkan kaum lain semata-mata untuk cuba meraih undi di PRU. Parti-parti yang kononnya memperjuangkan kaum masing-masing menonjol sebagai wira bangsa dan mula membentuk politik perkauman yang menguasai naratif politik Malaysia sehingga ke hari ini. Situasi ini telah mewujudkan ketegangan antara dua kaum tersebut yang mula memuncak selepas PRU 1969 apabila Parti Perikatan yang di kawal oleh UMNO telah kehilangan sokongan rakyat dan hampir dikalahkan.

Kelas kapitalis kaya dan golongan atasan menggondol kekayaan negara dengan sewenang-wenangnya, dengan mempergunakan perpecahan dan kesangsian yang diwujudkan di antara satu sama lain. Di kalangan minoriti kelas atasan kaya, mereka boleh bersatu tanpa mengira perbezaan etnik atau agama bagi berkomplot dan mengeksploitasi tenaga rakyat biasa. Parti Perikatan dan seterusnya Barisan Nasional mempergunakan polisi pecah perintah tinggalan penjajah untuk lebih 6 dekad untuk meraih undi majoriti di PRU sehinggalah kalah pada tahun lepas.

Peristiwa 13 Mei merupakan sebuah peristiwa yang sangat malang dan telah menyebabkan kehilangan nyawa untuk hampir 200 orang dari kalangan semua etnik dan beratus-ratus lain telah tercedera. Anggota polis yang menerima arahan dari pihak atasan juga telah menembak dan membunuh lebih dari 50 orang. Selepas insiden tersebut, darurat telah diumumkan dan hampir 10 ribu orang ditahan dan dipenjara.

Sehingga ke hari ini, butiran terperinci mengenai peristiwa ini masih samar-samar dan kedua-dua rakyat etnik Melayu dan Cina menuding ke arah satu sama lain apabila punca rusuhan ini dipersoalkan. Ada banyak bukti dan saksi yang menolak laporan rasmi pihak polis dan menegaskan bahawa insiden ini dicetuskan dengan sengaja oleh ahli-ahli politik bagi mewujudkan situasi huru-hara di Malaysia. Parti-parti politik dari kedua-dua belah telah memberikan ucapan-ucapan yang berbaur perkauman sepanjang dan selepas PRU tersebut dan didapati telah memainkan peranan batu api sehingga mewujudkan rusuhan antara kaum. Pada masa yang sama, ada juga laporan yang mengatakan bahawa terdapat campur tangan dari beberapa kumpulan kongsi gelap yang telah mengeksploitasi keadaan tegang ini untuk meningkatkan pengaruh mereka.

Pihak Parti pemerintah pada waktu itu yang sudah semakin kurang sokongan dari rakyat telah menggunakan peristiwa ini untuk menguatkan kembali cengkaman dan memperkukuhkan posisi politik mereka. Ramai di kalangan pihak pembangkang kerajaan telah dituduh sebagai ‘komunis’, ditangkap dan di penjara dengan kejam di atas nama ‘menjaga keamanan’. Peristiwa Mei 13 ini seringkali menjadi rujukan apabila terdapat sebarang penentangan terhadap politik perkauman yang di junjung oleh parti-parti politik tempatan.

KEGAGALAN DASAR EKONOMI BARU

Selepas peristiwa Mei 13, dan selepas penubuhan Barisan Nasional pada 70an, parti pemerintah berjaya mempergunakan tenaga kerja dan sumber alam Malaysia untuk mewujudkan sebuah ekonomi yang berkembang dan stabil. Polisi-polisi ekonomi seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan untuk mendapat sokongan daripada majoriti masyarakat Melayu dan pada masa yang sama, sistem ekonomi pasaran bebas kapitalisme yang berorientasi kepada ekspot dan pelaburan asing menjadi fokus utama. Tetapi, polisi-polisi yang memberi keistimewaan kepada kaum tertentu masih tidak berjaya mengurangkan jurang di antara orang kaya dan miskin yang terus melebar sehingga ke hari ini. Pada masa yang sama, ia juga mengekalkan perpecahan di kalangan kaum-kaum berbeza bagi mengukuhkan politik perkauman sepertimana yang dikehendaki oleh pihak kapitalis yang merasakan bahawa amalan ini mewujudkan kestabilan untuk tujuan mereka. Kestabilan yang diagung-agungkan ini sebenarnya tidak lebih dari mencetuskan ketakutan rakyat untuk mempersoal sebarang aturan ekonomi dan politik negara yang selalu berpihak kepada golongan kapitalis kaya. Dalam ketiadaan sebarang cabaran kepada kerajaan pemerintah, kelas kapitalis berjaya mengekalkan dominasi mereka dan meneruskan agenda mereka untuk mengeksploitasi tenaga pekerja bagi menjana keuntungan.

Namum, ekonomi ekspot Malaysia yang bergantung dengan keadaan ekonomi dunia telah tergugat beberapa kali dalam sejarah. Misalnya apabila berlaku krisis kewangan Asia pada 1997 atau krisis ekonomi global pada 2007 yang memberi kesan kepada sokongan yang dinikmati oleh BN selama ini. Akibat keadaan ekonomi yang semakin tenat, akhirnya BN gagal untuk mengekalkan kuasa mereka dan diganti pula dengan PH yang membawa harapan baru dengan janji-janji populis mereka. Malangnya, PH yang juga mewakili kepentingan para pemodal dan kapitalis seperti BN, terpaksa akur dengan penetapan pasaran bebas kapitalisme yang dalam konteks Malaysia beroperasi berdasarkan politik perkauman.

KEKUATAN KELAS PEKERJA PERLU UNTUK MEMBINA PERPADUAN ANTARA MASYARAKAT PELBAGAI KAUM DAN AGAMA

Malaysia merupakan antara negara yang telah mengalami kemajuan yang pesat semenjak kemerdekaan. Segala kemajuan infrastruktur, pembangunan dan kemewahan adalah hasil titik peluh jutaan kelas pekerja dan rakyat miskin yang datang dari semua jenis etnik dan latar belakang. Para pemodal dan jutawan kaya di Malaysia yang menikmati keuntungan yang melimpah tidak akan berniat untuk merakamkan penghargaan kepada jutaan rakyat majmuk yang berganding bahu dan menggerakkan ekonomi kita. Malah, para kelas majikan itu juga tidak akan berterima kasih kepada pekerja migran yang menyumbang bagi pembangunan negara terutamanya dalam dekad-dekad kebelakangan ini. Kelas pekerja yang menghadapi kondisi kehidupan yang hampir serupa seharusnya tidak perlu merasa curiga dan membenci antara satu sama lain hanya kerana perbezaan kaum dan agama. Sebetulnya, mereka harus menjalinkan solidariti dengan semua kelas tertindas yang lain dan melancarkan perjuangan bersama terhadap pihak yang membawa agenda pecah perintah bagi keuntungan peribadi segelintir kaya.

Walaupun pemerintahan BN sudahpun digantikan dengan parti pemerintah yang baru, masih lagi ianya mustahil untuk mengubah sistem politik perkauman yang menjadi asas kepada struktur sosio-politik Malaysia yang diwarisi sejak sebelum Merdeka lagi. Pakatan Harapan yang membawa pelbagai janji untuk mereformasi sistem politik negara sedang gagal dan sebaliknya sedang memberikan lebih banyak ruang untuk perkembangan politik perkauman. Akibat kegagalan PH untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi rakyat, pihak-pihak tertentu sedang mengambil peluang ini untuk menyebarkan propaganda permusuhan antara kaum yang boleh menguntungkan mereka. Masyarakat Malaysia pada waktu ini sedang menjadi mangsa permainan politik perkauman golongan pemerintah dan ketegangan di kalangan kaum-kaum yang berbeza sudah mula wujud dengan jelas. Pada masa yang sama, masalah utama yang sedang dihadapi oleh rakyat majoriti adalah isu-isu berkaitan dengan ekonomi seperti kenaikan kos kehidupan, pendidikan, kesihatan disamping kadar pengangguran yang tinggi di kalangan belia dan degradasi alam sekitar yang semakin parah. Isu-isu berkenaan kaum dan agama dipergunakan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah asas dengan mewujudkan salah faham dan persengketaan di antara mereka.

Bagi membina sebuah masyarakat yang majmuk dan bebas dari masalah perkauman, sistem kapitalisme yang menjadi tunjang permasalahan ini haruslah dicabut dari akarnya dan digantikan dengan sebuah sistem yang demokratik dan berpihak kepada kehendak kelas pekerja dan rakyat biasa. Kelas kapitalis tidak boleh dibenarkan untuk memaksa agenda perkauman mereka yang bertujuan semata-mata untuk menjamin keuntungan golongan minoriti ini. Rakyat biasa dari semua kaum, etnik dan budaya harus menjalinkan perpaduan kelas dan menubuhkan pemerintahan yang berlandaskan aspirasi massa, iaitu, untuk menjamin sebuah kehidupan yang bermaruah dan aman damai.

BINA POLITIK BERLANDASKAN KELAS PEKERJA DAN SOSIALISME

Selepas kemenangan pilihan raya umum yang lalu, kerajaan Pakatan Harapan meletakkan agenda ‘Malaysia Baru’ dengan matlamat memupuk keharmonian dan kesaksamaan antara rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini dengan beberapa program pembaharuan ekonomi dan sosial yang dijanjikan melalui manifesto pilihan raya. Tetapi, semenjak mengambil alih, Mahathir dan kerajaan PH sentiasa berdolak-dalih dengan janji-janji pilihan raya, dengan memberikan pelbagai alasan seperti hutang negara yang tinggi dan keadaan ekonomi global yang tidak menentu. Di antara janji-janji yang tidak dipenuhi adalah, menaikkan gaji minimum kepada RM1500, penghapusan tol, pengurangan harga barangan, pendidikan percuma, hak perumahan kepada semua, pekerjaan yang cukup kepada anak muda, hak dan keadilan kepada warga pekerja.

Dengan janji tinggal janji, rakyat yang mempunyai harapan tinggi kepada PH rasa kecewa dan marah, apabila keadaan ekonomi dan sosial mereka masih kekal sama atau semakin teruk berbanding dengan pemerintahan BN. Perubahan ekonomi dan sosial adalah tuntutan dan harapan utama kebanyakan rakyat pelbagai kaum di bandar dan luar bandar. Kegagalan PH menunaikan janji-janji pilihan raya dipergunakan oleh parti-parti pembangkang BN dan PAS untuk menyerang kerajaan PH termasuk menaikkan sentimen perkauman. Sentimen perkauman juga semakin meningkat apabila kerajaan PH membawa agenda seperti ICERD, dan isu-isu seperti kematian Adib, Zakir Naik, Khat dan lain-lain muncul. Kegagalan PH memberikan keutamaan kepada peningkatan hak ekonomi dan sosial rakyat telah mewujudkan ruang kepada politik perkauman. Yang jelas, setiap parti politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang cuba berpihak kepada kaum tertentu tanpa satu penyelesaian yang adil dan saksama kepada semua. PH yang cuba mencerminkan politik adil kepada semua, juga terjerat dengan struktur politik perkauman ini semata-mata untuk memastikan sokongan kaum tertentu terus kekal untuk parti mereka.

Dalam sejarah, dan dalam pengalaman yang diperoleh melalui perjuangan kelas pekerja pada hari ini, kita dapat pelajari bahawa perpaduan di kalangan rakyat biasa boleh menjana gerakan yang sangat berkuasa. Pada Revolusi Russia 1917, kelas pekerja dari berbilang kaum telah bersatu dan memimpin seluruh masyarakat ke arah menubuhkan sebuah sistem sosial yang bermanfaat untuk semua. Walaupun Revolusi tersebut merosot dan di telan balik oleh kapitalisme disebabkan oleh faktor-faktor tertentu, banyak pelajaran dapat diteladani oleh kelas pekerja mengenai peranan mereka dalam gerakan sosial dan kepentingan untuk mengatasi perpecahan kaum dan agama yang boleh memudaratkan perjuangan. Rakyat harus disedarkan bahawa perjuangan berdasarkan kelas dan bukan kaum atau sentimen agama merupakan perjuangan yang akan benar-benar membawa manfaat kepada semua.

Permainan sentimen dan politik perkauman adalah sebahagian daripada sifat sistem pasaran bebas kapitalisme (pemodal) yang berlandaskan kepada persaingan dan keuntungan. BN dan PH mendukung sistem ini, dan kerajaan menjadi alat kepada syarikat-syarikat multinasional dan kapitalis (pemodal) tempatan dan antarabangsa untuk mempertahankan agenda mereka. Rakyat pelbagai kaum tidak boleh mendapat keadilan ekonomi dan sosial yang diimpikan di bawah kerajaan yang menyokong sistem kapitalisme yang terus menyemarakkan sentimen dan konflik perkauman melalui pelbagai perbezaan yang wujud. Sentimen dan konflik perkauman mampu diatasi dengan keadilan sosial dan ekonomi kepada semua melalui politik berlandaskan kelas pekerja dan sosialisme (hak ekonomi dan sosial yang adil dan saksama). Untuk itu, pekerja yang menjadi nadi penggerak kepada ekonomi negara mampu membawa perubahan ini dengan membina kepimpinan dan gerakan pekerja yang juga disokong oleh anak muda dan golongan tertindas yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*