Solidariti Pekerja menyokong tuntutan BERSIH 5.0 seperti ‘Pilihanraya Bersih’, ‘Kerajaan Bersih’, ‘Perkukuh Demokrasi Parlimen’ dan ‘Hak Membantah’ yang disuarakan semenjak tahun 2007 lagi. Sudah lama hak-hak yang diperjuangkan oleh BERSIH dicabuli untuk kepentingan kuasa elit dan parti pemerintah. Rakyat daripada berbagai lapisan, kaum dan agama telah melibatkan diri dalam BERSIH dengan harapan untuk melihat satu perubahan dalam sistem demokrasi di dalam negara ini.
Saat ini negara bukan sahaja sedang dibelenggu oleh skandal korupsi seperti 1MDB dan pemerintahan yang tidak telus, bahkan keadaan ekonomi global yang tidak stabil semakin meranapkan taraf hidup rakyat dengan agenda kerajaan yang secara terang-terangan tunduk kepada desakan pelabur dan kapitalis dari dalam dan juga luar negara. Pelaburan daripada negara China yang terkenal dengan penindasan ke atas hak demokrasi rakyatnya, kini diberikan ruang sebesar-besarnya untuk menggondol kekayaan negara ini. Para elit dan kapitalis tempatan sememangnya akan mengalu-alukan kerjasama ekonomi tersebut untuk sama-sama mengaut keuntungan.
Manakala, golongan 40 peratus rakyat berpendapatan rendah (B40) yang kebanyakannya kelas pekerja, dan juga kelas menengah semakin tertekan dengan kenaikan kos keperluan asas seperti minyak masak, gas, petrol, rumah dan tol. Kebanyakan syarikat yang terlibat dengan peningkatan kos tersebut adalah syarikat yang berhubung kait dengan kerajaan (GLC). Ini menunjukkan ketidaksanggupan kerajaan untuk mendesak syarikat-syarikat GLC untuk mengurangkan keuntungan, tetapi malah sanggup memotong subsidi untuk rakyat. Rakyat sedar bahawa langkah kerajaan dengan ‘BRIM di tangan kanan, BN (Barang Naik) di tangan kiri’ tidak akan mengurangkan beban hidup mereka.
Kepincangan dalam hak demokrasi dan ketidakmampuan kerajaan untuk memenuhi keperluan asasi rakyat menunjukkan percanggahan yang wujud dalam sistem pasaran bebas kapitalisme. Skandal korupsi, kenaikan kos hidup, sentimen perkauman/keagamaan, peningkatan jurang kaya miskin, kehancuran alam sekitar adalah gejala-gejala yang ditimbulkan akibat daripada sistem kapitalisme yang diagung-agungkan oleh parti-parti dalam kerajaan pemerintah. Manakala, parti-parti pembangkang yang tidak kurang konfliknya juga tidak mempunyai alternatif untuk mengubati gejala-gejala tersebut yang juga wujud di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka.
Justeru itu, perjuangan hak demokrasi perlu dikaitkan dengan perjuangan hak ekonomi dan sosial serta alternatif kepada sistem kapitalisme. Untuk itu, tuntutan hak demokrasi BERSIH harus digabungkan dengan tuntutan alternatif ekonomi dan sosial yang memihak kepada keperluan dan hak rakyat biasa dengan pembinaan gerakan yang melibatkan kelas pekerja dan anak muda sebagai langkah memperkukuhkan alternatif kepada rakyat biasa.