15% RAKYAT BERADA DI DALAM SITUASI KEMISKINAN…BN DAN PH TIADA PENYELESAIAN.

15% RAKYAT BERADA DI DALAM SITUASI KEMISKINAN…BN DAN PH TIADA PENYELESAIAN.

Posted by

BINA PARTI PEKERJA SEBAGAI LANDASAN POLITIK PEKERJA DAN RAKYAT BIASA

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang telah melakukan sebuah kajian di Malaysia telah mendapati bahawa angka rasmi yang diberikan oleh pihak kerajaan mengenai kadar kemiskinan negara merupakan angka yang tidak berpatutan dan tidak selari dengan realiti. Laporan dan hujah kerajaan bahawa Malaysia mempunyai kadar kemiskinan yang paling rendah di dunia pada hanya 0.4% adalah palsu dan dilaporkan bahawa hampir 1 daripada 6 rakyat Malaysia ataupun 15% rakyat berada di dalam situasi kemiskinan. Laporan tersebut juga mendedahkan bahawa lapisan miskin ini berada dalam situasi krisis dan memerlukan bantuan sosial dengan secepat mungkin.

Di kalangan rakyat miskin dan masyarakat terpinggir ini adalah juga termasuk orang asli, pekerja migran, pelarian perang atau ekonomi, golongan miskin bandar dan penduduk kawasan pedalaman. Laporan ini juga mendapati bahawa walaupun kekayaan negara meningkat berdasarkan pendapatan tahunan negara (KDNK) pada kadar 5% setahun, kerajaan Malaysia masih gagal untuk menangani masalah kemiskinan yang sedang semakin parah. Malah, pihak kerajaan seperti Menteri Ekonomi Azmin Ali terus menafikan hasil kajian tersebut sebagai tidak benar dan bertegas bahawa statistik yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan adalah lebih tepat. Ahli politik di Malaysia sedang beranggapan bahawa jumlah RM980 adalah cukup untuk menampung perbelanjaan sebuah keluarga yang mengandungi 4 orang untuk sebulan! Ini mendedahkan bahawa bukan sahaja ahli-ahli politik ini tidak memahami sejauh mana krisis kemiskinan sedang melanda negara ini, malah mereka sanggup menafikan kajian-kajian pakar dengan begitu angkuh sekali bagi mempertahankan naratif palsu mereka.

Solomon, pemimpin MTUC yang merujuk kepada kajian PBB, dan maklumbalas daripada ahli politik, menyuarakan bahawa “masa telah berubah, dan sekiranya ahli politik terus mengabaikan suara kelas pekerja, ini boleh menyebabkan kemungkinan lahirnya Parti Buruh yang baru dalam politik Malaysia…ini akhirnya boleh menjadi jawapan paling mujarab untuk memenuhi kepentingan 15 juta pekerja yang keluarga mereka membentuk kebanyakan penduduk Malaysia ”. Sosialis Alternatif bersetuju dengan hujah Solomon tentang keperluan segera dalam pembinaan Parti Buruh memandangkan hak dan kebajikan kelas pekerja terus terhakis dan parti-parti politik berhaluan kanan gagal untuk membawa perubahaan dalam kehidupan kelas pekerja. Solomon dan MTUC Bersama kesatuan-kesatuan sekerja yang lain perlu menerajui inisiatif pembinaan Parti Buruh untuk merealisasikan hak dan kebajikan kelas pekerja dan rakyat biasa.

Kerajaan PH yang dipilih oleh rakyat untuk memulihkan keadaan hidup mereka yang sedang merosot didapati langsung tidak mengendahkan keluhan rakyat biasa. Bagi kerajaan PH, sama seperti kerajaan BN sebelum ini, keuntungan para pemodal kaya dan kestabilan sistem pasaran bebas merupakan perkara yang lebih penting daripada menangani masalah yang sedang dihadapi oleh sekitar 7 juta rakyat miskin di Malaysia dalam kategori masyarakat B40 yang sedang menghadapi kesukaran untuk mengharungi kehidupan harian akibat pendapatan yang kecil. Pada masa yang sama, gaji pengarah dan CEO syarikat-syarikat besar termasuk GLC seperti Petronas, TNB terus meningkatkan kekayaan mereka. Misalnya, gaji bulanan CEO TNB adalah dalam RM 600,000, iaitu lebih 500 kali ganda daripada gaji minimum bulanan pekerja iaitu RM1100.

Laporan Pegawai Khas PBB Philip Alston Mendedahkan Bahawa Statistik Rasmi Kerajaan Adalah Palsu dan Kadar Kemiskinan di Malaysia adalah Jauh Lebih Tinggi Daripada Laporan Rasmi

Kelas pekerja dan rakyat biasa harus menentang aturan ekonomi negara yang hanya menguntungkan segelintir para pemodal kaya dan membawa keseksaan bagi jutaan rakyat miskin. Walaupun kelas pemerintah berubah wajah, jika sistem kapitalisme masih di kekalkan, kekayaan negara yang dihasilkan melalui usaha bersama tidak akan dapat dinikmati oleh rakyat jelata. Kelas kapitalis yang mendominasi sistem ini akan menggondol sebahagian besar daripada kekayaan ini sebagai harta peribadi dan rakyat biasa akan terpaksa berebut dan bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan serpihan yang tinggal.

Bagi membolehkan kekayaan negara di bahagi secara adil, sistem kapitalisme yang menindas haruslah digantikan dengan sistem sosialisme yang demokratik, berfungsi untuk memenuhi keperluan rakyat biasa dan bebas dari kongkongan golongan minoriti kaya yang tamak. Sebuah alternatif sosialis hanya boleh di bawa melalui sebuah kerajaan yang di pimpin oleh jutaan kelas pekerja secara demokratik dan terdiri daripada pelbagai komposisi kaum dan latar belakang. Kelas pekerja yang sedang mengawal segala produksi yang dikeluarkan oleh negara kita juga merupakan penggerak ekonomi yang paling penting. Tanpa pengorbanan, usaha dan kerjasama dari jutaan kelas pekerja setiap hari, ekonomi negara ini tidak akan dapat berfungsi. Sebagai kuasa sosial yang paling mustahak, kelas pekerja mempunyai tugas dan tanggung jawab untuk membina sebuah parti massa yang mampu memimpin semua rakyat tertindas ke arah penubuhan sebuah sistem ekonomi dan politik yang mampu menyelesaikan segala masalah ekonomi dan sosial yang sedang dihadapi oleh rakyat pada hari ini. Pembinaan Parti Buruh boleh menjadi landasan ke arah pembinaan politik alternatif kepada kelas pekerja dan rakyat biasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*