ORANG ASAL TERTINDAS DI BAWAH KAPITALISME

ORANG ASAL TERTINDAS DI BAWAH KAPITALISME

Posted by

Masyarakat pribumi, lebih dikenali sebagai masyarakat Orang Asli atau Orang Asal, telah wujud di Malaysia sejak 60,000 tahun dahulu. Masyarakat ini kaya dengan pelbagai budaya, adat, bahasa, kepercayaan, malah ilmu pengetahuan yang mendalam mengenai flora dan fauna. Bagi pengkaji perkembangan sosial dalam masyarakat seperti Karl Marx dan Engels, masyarkat pribumi selalu dijadikan contoh masyarakat yang hidup tanpa struktur kelas. Ertinya, tiada kelas atasan yang lebih berkelebihan, dan kelas buruh yang bekerja untuk kelas atas. Hasil lebihan seperti makanan, ubat-ubatan dan juga peralatan produksi di kongsi secara adil dalam masyarakat tersebut. Berbanding dalam masyarakat kita hari ini, dengan teknologi dan pengetahun-pengetahuan baru serta kekayaan yang melimpah ruah, jurang antara golongan kaya dan miskin dianggap menjadi biasa.

Namun, masyarakat ini semakin diancam kepupusan akibat pembangunan yang tidak dirancang. Seperti aktiviti pembalakan hutan, satu kegiatan utama yang menyebabkan kekurangan sumber seperti makanan dan kesihatan bagi masyarakat pribumi. Ini memaksa mereka untuk keluar ke pasaran untuk membeli. Situasi ini pasti begitu janggal bagi mereka, kerana mereka hidup dalam ekonomi yang berasaskan perkongsian bersama. Untuk mendapatkan wang pula, mereka terpaksa meninggalkan tempat tinggal dan berhijrah ke bandar untuk menjual tenaga kerja mereka. Pemerasan terhadap masyarakat pribumi ini telah dilakukan sejak bermulanya masyarakat kelas 10 ribu tahun lalu. Bermula dari sistem perhambaan, sistem feudal, dan pada hari ini, sistem pasaran bebas kapitalisme, pemerasan terhadap masyarakat pribumi masih kekal, cuma terbit dengan wajah yang berbeza.

Perjuangan masyarakat pribumi, telah menjangkaui lebih 500 tahun

Sebagai satu masyarakat yang telah wujud sebelum zaman koloni, masyarakat pribumi telah berhadapan dengan perubahan-perubahan sistem ekonomi dan bentuk-bentuk kelas pemerintah terdahulu. Sabah misalnya, yang kini memiliki lebih 30 suku masyarakat pribumi dengan etnik Kadazan-Dusun yang membentuk hampir 30% daripada jumlah keseluruhan penduduk negeri tersebut mempunyai sejarah yang boleh dikesan kembali kepada kira-kira 20,000 – 30,000 tahun. Sebelum bergelar Sabah, penjajah British menamakannya sebagai Syarikat Berpiagam Borneo Utara dari tahun 1881 sehingga 1942. Sabah juga pernah ditakluk oleh kerajaan Srivijaya, Majapahit, dan Parameswara dalam sistem perhambaan sehingga abad ke 15.

Sistem perhambaan ini adalah sistem kelas yang pertama wujud apabila wujud kelas kaya yang memiliki harta dan status lebih tinggi dalam masyarakat serta kelas pemerintah. Manakala dalam sistem itu juga, masyarakat pribumi adalah masyarakat yang ditukarkan kepada golongan hamba dalam bentuk paksaan. Tetapi dalam sistem kapitalisme pada hari ini, paksaan untuk menukarkan masyarakat pribumi kepada kelas pekerja masih berlaku, tetapi melalui cara yang lebih sistemik. Penukaran status masyarakat suku kepada Bumiputra, pembalakkan haram dan tidak haram melalui rasuah dan kronisme, penswastaan pusat-pusat kemudahan awam seperti klinik dan hospital, serta pemotongan dana terhadap masyarakat Pribumi antaranya adalah langkah licik pihak kerajaan kapitalis untuk menukarkan masyarakat Pribumi kepada tenaga pekerja.

Tetapi berubahnya wajah pemerasan terhadap masyarakat pribumi oleh kelas pemerintah dari terang-terangan kepada sembunyi-sembunyi ini merupakan hasil perjuangan masyarakat pribumi sendiri yang menentang sistem pemerintahan yang mengancam kehidupan mereka sejak dari zaman perhambaan lagi. Masyarakat Bugis misalnya, pernah melawan penjajahan Belanda pada tahun 1667. Ontoros, pejuang suku kaum Murut yang menentang buruh paksa ketika penjajahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara, dan Datu Tating, pahlawan Sulu yang digeruni oleh pihak British antaranya, merupakan contoh pejuang dan perjuangan masyarakat Pribumi yang bangkit menentang bentuk-bentuk penjajahan yang mengancam kehidupan mereka sejak dari dulu lagi.

Kitaran yang membunuh flora dan fauna, dan usaha sulit melenyapkan masyarakat pribumi

Bagaikan beliung dan asahan, begitulah masyarakat pribumi yang tidak dapat berpisah dengan flora dan fauna. Nipisnya hutan negara, tipislah juga peluang bagi mereka untuk meneruskan kehidupan. Peta Hutan Global dengan kerjasama Google mencatatkan Malaysia telah kehilangan 47,278 kilometer persegi hutan iaitu satu kawasan yang lebih besar daripada Denmark dalam tempoh tahun 2000-2012. Kebanyakkan dari penebangan ini dilakukan untuk penanaman kelapa sawit. Iaitu satu komoditi yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara melalui satu sistem negara yang dirancang segelintir elit atas motif keuntungan. Akibatnya, kehilangan hutan di Malaysia berlaku di hutan yang paling padat, yang umumnya menyimpan paling banyak karbon dan paling kaya dengan hidupan liar, termasuk orang utan yang terancam, gajah pygmy, badak sumatera, dan harimau dahan.

Tentu sahaja masyarakat pribumi mendapat kesan dari keadaan ini. Bencana alam yang menyusul seperti hakisan tanah, dan ancaman penyakit dari luar seperti kes di Gua Musang, 17 suku kaum Batik Kuala Ko dikatakan mati akibat dari penyakit yang masih belum diketahui puncanya. Pada tahun 1939, dalam perang dunia ke – 2, pada ketika itu Jepun menyerang Malaya yang sedang berada di tangan pihak British. Pada masa yang sama, ketegangan antara kaum semakin meningkat, dan Parti Komunis Malaya (PKM) pula semakin popular di kalangan masyarakat pribumi. British dalam keadaan terdesak, sebelum rakyat biasa menyedari perpecahan antara kaum ini berpunca dari agenda pecah perintah pihak mereka, berkempen habis-habisan menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan sokongan dari golongan biasa. Pada tahun itu juga, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) ditubuhkan selepas penguatkuasaan ‘Perak Aboriginal Tribes Enacment’, No.3 sebagai satu usaha British untuk mendapatkan sokongan dari masyarakat Pribumi.

JHEOA yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sudah melalui pelbagai perubahan dalam bentuk-bentuk pengurusan pentadbiran. Misalnya pada tahun 1950an, walaupun selepas kerjasama PKM dengan pihak British dalam peperangan tersebut, PKM masih lagi popular di kalangan masyarakat Pribumi. Malah menjadi komponen sokongan yang penting bagi PKM dalam perang darurat 1948. Menyedari ancaman yang akan dihadapi akibat perkembangan tersebut, kerajaan mula mengambil perhatian dengan mengadakan polisi penempatan semula Orang-orang Asli di kawasan yang jauh dari pengaruh komunis.

Walaubagaimanapun, langkah ini tidak berjaya, sebaliknya Orang Asli semakin rapat dengan PKM dan mengambil sikap anti-kerajaan. Oleh itu pada tahun 1953, kerajaan mula membenarkan urusan-urusan pentadbiran dan perlindungan kepada Orang-orang Asli di pedalaman dan tidak lagi berusaha membawa mereka keluar dari kawasan pedalaman tempat tinggal mereka. Berikutan itu Pejabat Kebajikan Orang Asli mula diperbesarkan.

Tahun 1953 boleh dianggap sebagai tahun ‘kegemilangan’ masyarakat orang Asli. Hak untuk menentukan nasib sendiri bagi masyarakat pribumi adalah satu kemenangan yang diidam-idamkan oleh banyak masyarakat pribumi lain di negara lain seperti masyarakat di Papua hari ini. Tetapi, di bawah pentadbiran kerajaan yang bekerja untuk sistem kapitalisme, keuntungan merupakan satu-satunya motif yang menentukan masa depan masyarakat Orang Asli. Pada tahun 1961, kerajaan menarik semula keistimewaan ini melalui satu dasar baru untuk Pentadbiran Orang Asli dengan dasar yang lebih ‘canggih’. Pentadbiran baru bertanggungjawab untuk mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi orang Asli melalui rancangan perumahan, pertanian, dan pendidikan. Meskipun ia memberikan gambaran bahawa pihak kerajaan berusaha untuk menunaikan tanggungjawab terhadap masyarakat Pribumi, tetapi realitinya, matlamat kerajaan kapitalis adalah untuk menyerap masuk masyarakat Pribumi ke dalam sistem pasaran bebas sebagai pekerja dan masyarakat konsumer.

Sosialisme, satu sistem ekonomi terancang oleh kelas pekerja dan rakyat biasa

Oleh sebab itu, ada masyarakat Pribumi yang memilih untuk keluar dari kehidupan asal dan menyertai kehidupan dalam sistem pasaran bebas, ini menyebabkan wujudnya perbezaan kelas di dalam masyarakat Pribumi. Ada yang keluar dari kehidupan asal untuk mendapatkan pendidikan lebih tinggi, berniaga, berpolitik, dan bekerja dalam sektor pentadbiran. Seperti pada bulan Mac 2019, seorang ahli Parlimen pertama dari suku kaum Semai telah mengangkat sumpah sebagai wakil parlimen kawasan Cameron Highlands. Meskipun begitu, masyarakat Pribumi masih lagi golongan yang termiskin diantara kaum lain di Malaysia. Isu Tanah Adat antaranya masih lagi menjadi isu yang belum sehingga hari ini.

Tetapi realitinya, definisi Tanah Adat bagi masyarakat Pribumi itu tidak sama dengan definisi dalam sistem pasaran bebas, kerana ada antara suku dalam masyarakat Pribumi di Malaysia yang masih lagi hidup secara nomad. Undang-undang harta persendirian tidak logik bagi masyarakat Pribumi. Pembelaan terhadap masyarakat Pribumi hanya dapat dilakukan dengan satu penukaran sistem yang bukan berasaskan keuntungan dan kepentingan segelintir kelas elit kaya, tetapi rakyat biasa dan masyarakat Pribumi yang ditindas. Menyusun tenaga sebagai satu komuniti setempat menjadi langkah pertama dalam membina benteng terhadap penindasan dan menuntut hak, seperti kemenangan masyarakat Pribumi yang menghalang pembinaan empangan Baram di Sarawak.

Tetapi perjuangan masyarakat Pribumi pasti tidak sepi dari campur tangan golongan politik kapitalis. Justeru hanya dengan penyatuan bersama kelas pekerja akan mampu membawa aspirasi masyarakat Pribumi secara keseluruhan. Aspirasi kelas pekerja dan masyarakat Pribumi dapat disimpulkan dalam satu aspirasi anti kapitalisme. Hak tempat tinggal, seperti masyarakat Pribumi yang diancam pembangunan, kelas pekerja turut merasainya dengan ketiadaan hak perumahan awam dan harga rumah yang tinggi melambung. Isu pengangguran disebabkan sistem pasaran yang tidak menentu sementara masyarakat Pribumi terdesak dengan ketiadaan sumber terpaksa keluar menjadi pekerja dengan gaji yang murah. Sistem kapitalisme menyerang semua lapisan masyarakat demi keuntungan segelinitir elit kaya. Hanya dengan jalan revolusi kearah sistem terancang oleh kelas biasa iaitu sistem sosialisme dapat memberikan pembelaan kepada semua.

Tuntutan kami :

  • HAK TANAH DAN PEMELIHARAAN ADAT UNTUK MASYARAKAT ORANG ASAL
  • PEMBANGUNAN MAMPAN DAN PEMBINAAN KEMUDAHAAN KESIHATAN DAN PENDIDIKAN MELALUI PENGLIBATAN SECARA DEMOKRATIK MASYARAKAT ORANG ASAL
  • BINA SOLIDARITI ANTARA PERJUANGAN ORANG ASAL DENGAN KELAS PEKERJA DAN GOLONGAN TERTINDAS YANG LAIN DENGAN MATLAMAT MEMBINA ALTERNATIF POLITIK
  • LAWAN KAPITALISME YANG MEMENTINGKAN KEUNTUNGAN DENGAN MEMBINA POLITIK ALTERNATIF BERLANDASKAN SOSIALISME YANG BERLANDASKAN KEPADA KEPERLUAN HAK DAN KEBAJIKAN RAKYAT
  • BINA PARTI MASSA PEKERJA UNTUK MEMPERJUANGKAN HAK KELAS PEKERJA BERSAMA HAK ORANG ASAL DAN RAKYAT TERTINDAS YANG LAIN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*