RUU Pekerja Gig : Hak Pekerja Sedia Ada Diketepikan, Kelas Pekerja dan Anak Muda Harus Bina Penentangan yang Mandiri — Tuntut Akta Pekerja yang Lebih Progresif

Kementerian Sumber Manusia, KESUMA telah meluluskan RUU Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada awal September yang lalu dan bakal dibentangkan untuk perkenan YDPA sebelum dikuat kuasakan sepenuhnya. Penggubalan yang mengambil masa 7 tahun, dikatakan merupakan salah satu kejayaan terbesar kerajaan Madani. Menurut Menteri Sumber Manusia Steven Sim, ini merupakan hadiah Hari Merdeka bagi 3.09 juta pekerja gig yang sebelum ini tidak dilindungi sebarang akta sebagai pekerja.

RUU Pekerja Gig akan memperkenalkan beberapa definisi baru dalam istilah perundangan iaitu gig worker, contracting entity, platform provider dan service agreement. Ini bermaksud RUU Pekerja Gig tidak terhad untuk pekerja e-hailing dan p-hailing, ia turut merangkumi pekerja freelance seperti perkhidmatan tutor, servis penjagaan kanak-kanak dan perkhidmatan jururawat peribadi. Dengan wujudnya kategori baru ini, pekerja dikatakan akan diberikan hak dari segi perlindungan undang-undang. 

Pertama, melalui penubuhan saluran khas iaitu Tribunal Pekerja Gig, sebuah majlis rundingan yang bersifat 3 penjuru atau ‘tripartite’, iaitu antara syarikat, kerajaan dan pekerja, pekerja dapat membela diri untuk isu yang berkaitan upah seperti pemotongan yang tidak wajar, juga berkaitan pemecatan kerja, seperti penyahaktifan tanpa sebab yang munasabah. Menurut kerajaan ini mengurangkan perbelanjaan kos kerajaan dari segi penggunaan mahkamah, kos membayar hakim, dan kos-kos lain seperti bahan-bahan dokumen. 

Selain itu, pekerja di bawah kategori ini juga berhak untuk menubuhkan persatuan di bawah Akta Pertubuhan 1966 (ROS). Dari segi tabung perlindungan pekerja pula, pekerja gig kini wajib mendaftar di bawah skim PERKESO tetapi khususnya di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017. Bermaksud sebanyak 1.25% daripada pendapatan bulanan pekerja akan dicarum oleh pekerja sendiri — sementara pihak syarikat tidak perlu membuat apa-apa caruman untuk simpanan keselamatan pekerja, walaupun pekerja telah bekerja untuk keuntungan syarikat. Pengenalan undang-undang berat sebelah ini menggariskan usaha strategik pihak kerajaan untuk menghapuskan tanggungjawab sosial keatas kelas kapitalis dan majikan. Manakala dalam persoalan tabung simpanan hari bersara pekerja gig KWSP pula, Steven Sim memberi alasan agar pekerja bersabar atas sebab teknikal.

Penghakisan hak kelas pekerja secara sistemik

Pengenalan akta bagi pekerja gig sedang menghakis hak kelas pekerja yang telah dimenangi melalui perjuangan terdahulu secara sistemik. Setiap penambahan baru yang berkaitan pekerja gig tidak memberikan apa-apa jaminan yang benar-benar konkrit dalam melindungi pekerja gig. Sama ada jaminan gaji, jam kerja, keselamatan waktu kerja, perlindungan pembuangan kerja, mahupun jaminan masa depan selepas bersara. Sementara pertubuhan NGO seperti Gabungan Badan Bertindak Sahabat E-hailing Malaysia (GBBSEM) dan Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM), termasuk Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) yang menyatakan sokongan, ini hanya menambah keyakinan kerajaan Madani untuk memajukan kepentingan pasaran bebas dan kehendak kelas kapitalis elit. 

Lebih-lebih lagi kategori pekerja gig ini hanya dibenarkan untuk menubuhkan persatuan, bukan kesatuan. Kedua-dua badan pertubuhan ini jauh berbeza dalam peranan untuk membawa tuntutan pekerja. Sebuah kesatuan secara alaminya adalah watak yang berperanan antara hubungan majikan dan pekerja yang tersusun dalam kesatuan. Jika merujuk Akta Perhubungan dan Perusahaan 1967, tertakluk undang-undang bagi proses perundingan kolektif antara majikan atau syarikat, juga undang-undang perjanjian kolektif — yang mana kontrak yang telah menetapkan perjanjian, mewajibkan majikan untuk menuruti perjanjian kolektif atau dikenakan tindakan undang-undang. Ini sama sekali tidak wujud dalam Akta Perundangan Pertubuhan 1966 ROS yang kononnya akan ‘dibenarkan’ oleh pihak kerajaan. 

Ini harus dilihat sebagai usaha kerajaan untuk melenyapkan peranan kesatuan dan memecahkan platform suara perjuangan pekerja yang bangkit secara tersusun melalui kesatuan. Terutama apabila semua kesatuan dari setiap sektor menyatakan perpaduan solidariti menentang aturan sistem kapitalisme. Seperti kesatuan Pan Malayan Federation of Trade Unions (PMFTU) yang melancarkan kempen penyatuan solidariti kelas pekerja untuk mengusir penjajah British pada tahun 1940 an. Kelas pekerja dan anak muda juga harus melihat majlis rundingan ‘tribunal pekerja gig’ dari perspektif kritikal. Bukan saja perwakilan berbentuk ‘tripartite’ — antara kerajaan, pihak majikan dan pekerja adalah tidak adil dan lebih menyebelahi kepentingan kelas majikan serta kuasa pasaran bebas, pengenalan majlis rundingan ‘tribunal pekerja gig’ juga sedang menghakis hak-hak pekerja yang asas. 

Akta Buruh 1955, telahpun meletakkan undang-undang minimum untuk perlindungan hak pekerja seperti jam kerja, cuti sakit dan keistimewaan bekerja pada cuti umum. Hak-hak seperti ini bukan saja tidak dapat dinikmati oleh pekerja gig, malah pengenalan tribunal pekerja gig sedang melemahkan hak-hak minimum yang sewajarnya diperoleh selaku kelas pekerja yang menggerakkan keuntungan ekonomi negara secara kolektif.  Pengenalan tribunal pekerja gig adalah satu pengulangan akta dalam undang-undang hak pekerja atau ‘redundansi’ untuk mengurangkan fungsi akta-akta pekerja sedia ada. 

Seperti akta gaji minimum yang mana pekerja gig bukan saja tidak tertakluk dibawah kategori ini untuk menyatakan sebarang tuntutan, juga tidak dilindungi jika majikan enggan membayar gaji selaras dengan akta gaji negara. Isu ini bagi pekerja gig hanya dapat dituntut melalui Tribunal Pekerja Gig tanpa platform kesatuan yang dapat membawa tuntutan pekerja dengan lebih kukuh. Bagi kami Sosialis Alternatif dan Solidariti Pekerja telah secara konsisten memberi kesedaran bahawa akta-akta pekerja sedia ada merupakan akta yang minimum bagi kelas pekerja dan merupakan undang-undang yang direka oleh kelas kapitalis untuk mengekang gerakan dan melimitasikan tuntutan kelas pekerja. Ada darinya diwujudkan ketika waktu penjajahan British dan masih dikitar semula sehingga hari ini. Oleh itu, kami amat mengalu-alukan perubahan yang lebih progresif bagi kelas pekerja dan anak muda. Namun bagi kami, setiap perubahan akta harus dilihat secara objektif dari perspektif kelas pekerja dan faktor ekonomi yang menentukan hala tuju kerajaan yang sedang berasaskan sistem kapitalisme.

Pekerja gig dan seluruh kelas pekerja serta anak muda, bangkit berjuang untuk akta pekerja yang lebih progresif

Menurut analisa kami sistem ekonomi kapitalisme global yang berada dalam krisis terutama setelah pandemik COVID 19 yang telah memperlihatkan kerajaan di seluruh dunia menggunakan sumber negara dalam jumlah terbesar dalam sejarah, dan mengambil hutang untuk membelanjakan kos pandemik, sedang menyaksikan kelas kapitalis di seluruh dunia, mengalihkan beban kerugian ekonomi ke atas kelas pekerja melalui langkah-langkah neoliberal seperti program penjimatan. Negara kapitalis terbesar AS dibawah pemerintahan Trump yang mengenakan tarif ke atas negara-negara yang tidak bersekutu dan kebangkitan massa menentang dan menggulingkan kerajaan-kerajaan korup seperti di Indonesia, Nepal dan Bangladesh, memberikan indikasi kemerosotan sistem kapitalisme yang sedang menghampiri kemusnahan. Dan hakikatnya, pengenalan teknologi baru dalam pasaran buruh terutama dalam sektor servis melalui aplikasi tidak seharusnya dipandang sebagai cabaran baru bagi pihak kerajaan untuk mengendalikannya sehingga sanggup menghakis akta-akta perlindungan pekerja sedia ada. 

Alasan hak pekerja gig tidak dapat disesuaikan dengan pekerja biasa menurut Steven Sim disebabkan faktor teknikal adalah alasan yang tidak munasabah dan jelas mendedahkan keutamaan pentadbiran kerajaan untuk memelihara kepentingan kelas kapitalis. Sekiranya syarikat-syarikat besar dari luar negara seperti Food Panda, atau Grab menarik diri dari membuka platform aplikasi dalam negara, masih banyak lagi aplikasi tempatan yang dapat digunakan untuk kepentingan harian bagi rakyat biasa. Malah umum semakin menyedari kepentingan aplikasi servis dalam menguruskan kehidupan seharian terutama dalam membantu golongan yang sakit dan kurang upaya pada waktu pandemik. Ini telah memperlihatkan kemunculan aplikasi-aplikasi baru yang dibina secara tempatan seperti MyCar, Motorist, dan pelbagai lagi. Oleh itu wajar pekerja gig dan seluruh kelas pekerja membantah pengenalan RUU Pekerja Gig dan menuntut pekerja gig dikategorikan sebagai pekerja yang sah, sekaligus mengangkat tuntutan hak-hak pekerja yang berkaitan seperti gaji minimum dan jaminan jam bekerja yang stabil walaupun jadual kerja yang bersifat fleksibel.

Membina platform perjuangan pekerja yang mandiri dan anti kapitalis

Selain beberapa persatuan pekerja seperti e hailing, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia atau MTUC, bersama-sama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan NGO yang berkaitan dengan PSM turut menyatakan sokongan. Sependapat dengan mereka dalam persoalan RUU Pekerja Gig adalah Persatuan Majikan Malaysia (MEF) yang telah secara konsisten membantah sebarang kenaikan gaji minimum sejak penubuhannya. Ini mendedahkan ketempangan pendirian politik kelas pekerja dalam MTUC dan PSM yang gagal melihat implikasi negatif dengan pengenalan RUU sedangkan masing-masing seharusnya menjadi platform yang penting untuk membawa tuntutan dan politik kelas pekerja. 

Akta pekerja pada dasarnya memerlukan keterlibatan kelas pekerja secara demokratik untuk menggubal dan menghasilkannya. Hanya melalui cara itu saja setiap akta pekerja dapat melindungi pekerja tanpa mengira apa jua kategori samaada pekerja gig, pekerja kontrak, internship (pelajar lepasan universiti kolej dalam tempoh praktikum) atau pekerja migran. 

Oleh itu, adalah satu keperluan yang mendesak bagi kelas pekerja untuk membina sebuah kesatuan sekerja yang mandiri untuk menyusun kelas pekerja dan sebuah parti pekerja massa yang dibina secara demokratik yang dapat menyatukan semua pekerja tanpa mengira sektor untuk membawa politik kelas pekerja ke arena politik negara yang ketandusan alternatif untuk mengemudi ekonomi negara yang semakin merosot disebabkan krisis ekonomi global. Hak pekerja sedia ada harus dipertahankan dan tuntutan yang lebih progresif harus diperjuangkan oleh kelas pekerja. Pada waktu ini bukan semua pekerja gig yang menyambut baik pengenalan RUU — pekerja p hailing yang hampir 50% dari jumlah keseluruhan 3.09 juta pekerja gig tidak menyatakan sokongan. Faktor ini amat mustahak untuk diambil kira, tambahan lagi pekerja p hailing kebanyakannya merupakan pekerja muda yang terdiri dari latar ekonomi yang berasaskan gaji minimum atau baru untuk mulakan kehidupan. 

Sekiranya anda bersetuju dengan perspektif kami Sosialis Alternatif dan Solidariti Pekerja, mengapa tidak sertai kami dalam pembinaan politik pekerja dengan penyusunan kelas pekerja melalui kesatuan sebagai sel-sel untuk membina kekuatan politik pekerja dari akar umbi dan sebuah parti pekerja massa yang demokratik.

Artikel berkaitan

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

Kongres Dunia CWI 2025 ke-14, Sosialis Alternatif Menghantar 2 Delegasi
2025 08 17 kongres dunia 2025 cwi sosialis alternatif RUU Pekerja Gig : Hak Pekerja Sedia Ada Diketepikan, Kelas Pekerja dan Anak Muda Harus Bina Penentangan yang Mandiri — Tuntut Akta Pekerja yang Lebih Progresif Sosialis Alternatif
Pada 27 Julai hingga 31 Julai yang lalu, Sosialis Alternatif Malaysia telah menghantar 2 ahli untuk menghadiri Kongres Dunia ke-14 Committee for a Workers International (CWI) yang diadakan di Berlin. Kongres telah menghimpunkan delegasi,...
BACA
Pinjaman PTPTN Cecah Hampir RM40 Billion Awal 2025: Penyelesaian Reformis Gagal Menangani Akar Krisis
2025 08 16 pinjaman ptptn cecah 40 billion sosialis alternatif RUU Pekerja Gig : Hak Pekerja Sedia Ada Diketepikan, Kelas Pekerja dan Anak Muda Harus Bina Penentangan yang Mandiri — Tuntut Akta Pekerja yang Lebih Progresif Sosialis Alternatif
... jelas bagaimana pendidikan telah dikomodifikasikan dan dijadikan alat pengumpulan modal kapitalis. Dengan merendahkan peruntukan kepada pendidikan awam dan mewujudkan PTPTN, kelas kapitalis mengaut keuntungan — pertama melalui pemotongan...
BACA
Menuntut Keadilan untuk Zara Qairina melalui Solidariti Pekerja
2025 08 13 keadilan untuk zara qairina kenyataan solidariti pekerja foto 2 sosialis alternatif RUU Pekerja Gig : Hak Pekerja Sedia Ada Diketepikan, Kelas Pekerja dan Anak Muda Harus Bina Penentangan yang Mandiri — Tuntut Akta Pekerja yang Lebih Progresif Sosialis Alternatif
Laman Utama » Berita & Analisa Menuntut Keadilan untuk Zara Qairina melalui Solidariti Pekerja OlehSosialis Alternatif pada13/08/2025 suntingan terkini13/08/2025 Himpunan solidariti untuk Zara Qairina dilaporkan berlaku di beberapa...
BACA

RUU Pekerja Gig : Hak Pekerja Sedia Ada Diketepikan, Kelas Pekerja dan Anak Muda Harus Bina Penentangan yang Mandiri — Tuntut Akta Pekerja yang Lebih Progresif

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *