Pekerja Foodpanda Melancarkan Aksi Mogok di Seluruh Malaysia!

Pekerja Foodpanda Melancarkan Aksi Mogok di Seluruh Malaysia!

Posted by

Pekerja penghantar makanan Foodpanda dari hampir setiap pelusuk negara sedang melancarkan protes dan mogok bagi memperjuangkan hak mereka. Bermula dengan pekerja Pulau Pinang dan Johor pada minggu lepas, kini, mogok tersebut telah tersebar ke Negeri Sembilan, Perak, Sabah dan termasuk di beberapa kawasan di Lembah Kelang. Pada 30 September lepas, seramai 200 pekerja Foodpanda telah berhimpun di beberapa lokasi yang di kenalpasti sebagai pejabat penyelenggaraan syarikat tersebut bagi mempertahankan diri mereka daripada terus di tindas oleh para majikan. Mereka juga melakukan aksi simbolik untuk meletakkan semua alat komunikasi telefon bimbit di lantai dan enggan untuk menerima pesanan untuk menghantar makanan.

Walaupun pekerja Foodpanda diistilahkan sebagai pekerja ‘freelance’ ataupun pekerja ekonomi ‘gig’ seperti pemandu Grabcar, dan tidak diberikan sebarang kontrak pekerjaan yang rasmi sepertimana yang ditetapkan mengikut akta kerja, mereka masih lagi merupakan kelas pekerja yang sedang bertungkus lumus demi keuntungan majikan mereka. Sebelum ini, pekerja Foodpanda diberikan gaji sebanyak Rm 4 sejam (kurang daripada gaji minimum yang ditetapkan kerajaan sebanyak Rm 5.30 sejam) dan akan menerima pembayaran tambahan bagi setiap penghantaran yang dibuat. Tetapi, bermula daripada bulan Oktober ini, syarikat Foodpanda memperkenalkan skim pembayaran baru yang akan memansuhkan segala pembayaran mengikut jam dan hanya akan memberikan gaji mengikut setiap penghantaran. Walaupun pihak majikan meningkatkan jumlah pembayaran bagi setiap pesanan yang dihantar, dengan pemansuhan gaji jam yang sedia ada, pekerja Foodpanda akan mengalami kerugian dan pengurangan gaji yang mendadak.

Mengikut ketua pengarah syarikat Foodpanda Satyantan Das, melalui skim pembayaran yang baru ini, para pekerja akan dapat meningkatkan pendapatan keseluruhan mereka disebabkan oleh beberapa insentif khas yang baru. Misalnya, setiap penghantaran makanan akan memperoleh 1 atau 2 ringgit kenaikan dan pekerja yang berkerja selama lebih 60 jam seminggu akan mendapat bonus sebanyak Rm 100. Ini merupakan penyelewengan daripada pihak majikan yang menganggap bahawa para pekerja boleh di tipu dan diperdaya seperti budak kecil. Hakikatnya, para pekerja ini dapat melihat muslihat majikan yang ingin memangsakan mereka dengan jelas dan mengambil keputusan untuk melancarkan mogok.

Pekerja Foodpanda sedang berkerja dalam keadaan yang ditindas oleh majikan kaya yang menggunakan istilah ‘freelance’ untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab yang sudah ditetapkan oleh undang-undang pekerjaan di Malaysia. Mereka terpaksa berkerja dengan bayaran bawah gaji minimum, tanpa sebarang kelebihan yang diperoleh oleh pekerja biasa seperti cuti tahunan berbayar, cuti sakit berbayar, pembayaran tambahan bagi kerja lebih masa dan banyak lagi faedah yang sudah diperjuangkan oleh para pejuang pekerja di masa lampau bagi menjamin kebajikan pekerja di seluruh Malaysia. Hasilnya, para majikan yang kaya raya diberikan ruang untuk mengeksploitasi tenaga kerja kelas pekerja tanpa sebarang sekatan atau pengawasan undang-undang.

Melihat protes pekerja Foodpanda yang tersebar dan makin berkembang, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq telah menjemput para pekerja ini ke rumah kediamannya kononnya untuk mengadakan sebuah sesi dialog bersama mereka. Hakikatnya, kerajaan PH yang menjadi pengampu golongan majikan sama seperti kerajaan BN sebelum ini, termasuk juga Menteri tersebut, merupakan pendokong tegar sistem ekonomi kapitalisme yang menggalakkan eksploitasi para pekerja bagi keuntungan pihak korporat kaya yang mengawal ekonomi negara. Jemputan pekerja Foodpanda ke rumahnya untuk berbincang merupakan sekadar sebuah propaganda politik yang dilakukan untuk menonjolkan dirinya sendiri sebagai pejuang rakyat dan tidak mengandungi sebarang keikhlasan untuk membantu para pekerja yang sedang merana. Jika betul pihak kerajaan dan Syed Sadiq benar-benar ingin menangani masalah kelas pekerja, maka mereka sepatutnya sudah mengenakan regulasi yang sepatutnya ke atas syarikat-syarikat gergasi seperti Foodpanda supaya penindasan seperti ini tidak akan berlaku. Walaupun sebelum para pekerja mula melancarkan mogok, mereka sudahpun ditindas dengan teruk dan diperah secukup-cukupnya untuk meraih keuntungan yang besar bagi kelas majikan.

Dalam keadaan kekurangan peluang pekerjaan di Malaysia, terutamanya bagi anak muda, pihak kerajaan langsung tidak membawa sebarang inisiatif yang berkesan untuk menangani masalah ini. Tidak kurang daripada mereka juga yang telah memuji ekonomi ‘gig’ ini sebagai sektor yang akan memberi peluang pekerjaan yang banyak bagi anak muda. Sebenarnya, ekonomi ‘gig’ ini hanya dipergunakan oleh majikan kaya untuk mencari jalan pintas untuk melanggar segala undang-undang pekerjaan dan penetapan yang wujud yang melindungi hak para pekerja. Tambahan pula, kerajaan PH yang menabur segala jenis janji manis sebelum pilihanraya dan berikrar untuk mengutamakan para pekerja, kini sedang berdiam diri dalam menghadapi isu-isu yang melibatkan para pekerja yang secara umumnya sedang bertambah setiap hari. Kenaikan gaji minimum sebanyak rm100 pada hujung tahun lepas mencerminkan sifat kerajaan PH yang tidak jauh berbeza daripada sifat pemilik syarikat Foodpanda yang melihat para pekerja hanya sebagai sebuah mesin untuk menjana kekayaan diri sendiri, bukan sebagai sebuah kelas yang bertanggungjawab dalam menggerakkan ekonomi dan kehidupan semua rakyat.

Para pekerja Foodpanda harus bergabung tenaga dengan semua pekerja syarikat ini dari seluruh negara dan juga dengan semua pekerja lain yang digolongkan dalam ekonomi ‘gig’. Kelas pekerja memiliki kuasa dan merupakan punca segala kekayaan yang sedang dinikmati oleh segelintir golongan kaya raya. Hanya dengan membina sebuah perjuangan yang bersatu dengan semua pekerja, nasib para pekerja ini akan dapat di bela dan hak mereka akan berjaya dipulihkan.

Para pemimpin kesatuan sekerja dari semua industri juga harus memberikan sokongan solidariti dengan pekerja Foodpanda yang sedang mogok dan sedang merancang aksi-aksi mogok di masa yang akan datang. Melalui perjuangan tersusun oleh kelas pekerja yang bersatu, kelas majikan atau pihak kerajaan tidak akan mempunyai cara lain selain untuk memberi konsesi yang sewajarnya. Selain itu, perjuangan ini juga akan mampu menyedarkan pekerja ekonomi ‘gig’ mengenai kuasa sebenar mereka dan boleh mendorong mereka untuk menubuhkan sebuah kesatuan sekerja yang boleh berjuang untuk mengubah kondisi mereka yang semakin merosot dan tidak diendahkan oleh mana-mana pihak berkuasa. Dengan sebuah kepimpinan yang jelas dan perpaduan yang erat, kelas pekerja akan mampu membawa tuntutan-tuntutan yang menjangkaui had kerja mereka dan membawa manfaat kepada semua kelas pekerja tertindas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*