PRK Ayer Kuning: Kelesuan dalam kalangan pengundi terhadap proses politik dan peningkatan undi yang ketara untuk parti PSM

Calon PRK Ayer Kuning 2025, dari kiri: Mohamad Yusri Bakir (BN), Bawani KS (PSM), dan Abdul Muhaimin Malek (PN)

Sementara parti yang berjaya mengambil jumlah undi terbanyak dalam PRK Ayer Kuning 26 April yang lalu adalah Barisan Nasional iaitu 60.70% diikuti dengan PAS dengan jumlah undi 33.23%, ini tidak bermakna kedua-dua parti layak dikatakan “menang”.

Wajar kita rujuk kembali pecahan undi PRK Negeri Perak 2022 DUN Ayer Kuning untuk mendapatkan analisa yang lebih menyeluruh:

Calon dan parti / gabungan

Jumlah undi 

Peratus 

Ishsam Shahruddin / BN–UMNO

9,088 

38.73%

Mohd Nazri Hashim / PH–AMANAH

6,875

29.30%

Muhammad Noor Farid Zainal / PN–PAS

6,812

29.03%

Bawani Kaniapan / PSM

586

2.50%

Maziah Salim / GTA–PEJUANG

105

0.45%

Jumlah pengundi hadir, 23,906 iaitu 74.85%. Manakala pecahan undi bagi PRK Ayer Kuning 26 April yang lalu pula:

Calon dan parti / gabungan

Jumlah undi 

Peratus 

Mohamad Yusri Bakir / BN–UMNO

11,065

60.70%

Abdul Muhaimin Malek / PN–PAS

6,059

33.23%

Bawani Kaniapan / PSM

1,106

6.07%

Jumlah pengundi hadir: 18,230 undi iaitu 58.06%.

Jika kita teliti kemenangan calon BN–UMNO, kelihatan peningkatan yang besar dalam jumlah peratus undi. Tetapi PRN DUN Ayer Kuning tahun 2022 merupakan tahun tertubuhnya kerajaan Madani ataupun kerajaan perpaduan yang telah menggabungkan parti pembangkang PH terdahulu dan UMNO. Ini bermakna jumlah peratus undi bagi parti kerajaan BN–UMNO sebenarnya mengalami penurunan jumlah undi. Iaitu jika kita gabungkan jumlah undi daripada calon BN–UMNO dan PH–AMANAH pada PRN Ayer Kuning 2022, jumlah yang mengundi pada kedua-dua parti adalah 15,963, dan PRK terkini adalah 11,065. Ini menunjukkan hampir 5,000 pengundi mengambil sikap berkecuali ataupun mengundi parti lain.

Tetapi di sebalik penurunan jumlah undi yang keluar mengundi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah berjaya menggandakan jumlah undi mereka iaitu daripada 586 jumlah undi pada PRN 2022, kepada 1,106. Peningkatan sebanyak 520 jumlah undi berbanding sebelum. Walau bagaimanapun jumlah pengundi yang keluar menunjukkan penurunan yang ketara iaitu 74.85% kepada 58.06%.

Terdapat pelbagai spekulasi untuk menjelaskan penurunan jumlah pengundi. Seperti faktor musim cuti perayaan dan PRK yang berlangsung di luar PRU. Walau bagaimanapun situasi ekonomi dan sosial penduduk di Ayer Kuning tidak merasakan perubahan yang signifikan walaupun telah bertukar kerajaan kepada kerajaan perpaduan. Ditambah lagi dengan permainan politik perkauman yang dipergunakan oleh kedua-dua parti utama BN dan PAS tanpa membawa sebarang penyelesaian. Ini mungkin menjadi faktor kelesuan di kalangan pengundi.

Parti PSM pada waktu ini sedang mendapat lampu pentas politik dengan peningkatan jumlah undi dua kali ganda berbanding pilihanraya Ayer Kuning sebelumnya pada tahun 2022. Terdapat pelbagai faktor yang memungkinkan situasi ini berlaku — di sebalik jumlah pengundi yang keluar merosot dalam pilihanraya kali ini.

Rakyat menolak parti berasaskan kaum dan agama?

Persoalan seperti ini wujud kerana politik Malaysia telah sekian lama dipengaruhi politik perkauman. Hanya pada tahun 2018, kerajaan pemerintahan UMNO, sebuah gabungan parti-parti kaum yang telah berkuasa sejak merdeka 1957 bertukar ganti kerajaan. Sememangnya pembentukkan kerajaan setelah pilihanraya umum pada tahun itu tidak berjalan lancar, dengan peristiwa Langkah Sheraton dan penukaran perdana menteri lebih dari 3 kali dalam tempoh 4 tahun. Tetapi pembentukkan kerajaan hari ini tetap melihatkan naratif perkauman dan agama berulang seperti dahulu. Komposisi parti yang berasaskan kaum juga turut membentuk kerajaan pada hari ini dengan parti DAP yang memenuhi 40 kerusi dalam kerajaan berbanding PKR dengan hanya 31 kerusi. Komposisi ini telah dipergunakan parti pembangkang PAS untuk melancarkan kempen-kempennya yang berasaskan kaum dan agama.

Seperti dalam isu ladang babi yang dirungkaikan oleh YB Ahli Parlimen Manjoi dalam persidangan parlimen bulan lepas sebagai masalah kaum Melayu Islam. Sedangkan isu ladang babi turut memberi kesan pada kaum bukan Melayu yang lain. Bau busuk dan pencemaran sehingga menyebabkan penyebaran virus berbahaya seperti demam babi Afrika dan JE, adalah isu komuniti setempat yang melibatkan semua bangsa dan agama. Naratif yang didendangkan ini memencil dan mengasingkan bangsa dan agama lain yang turut mempunyai keperluan yang sama untuk hidup dalam suasana bersih dan selamat.

Manakala PSM pula hadir sebagai parti pilihan ketiga dalam pilihanraya kecil Ayer Kuning kali ini. Namun apakah hasrat ini sekadar retorik pilihanraya adalah persoalan yang wajar untuk diketengahkan. Ini disebabkan kemunculan MUDA dalam kempen-kempen PSM telah banyak menimbulkan persoalan dan kritikan daripada anak muda dan kelas pekerja yang mengikuti perkembangan politik negara. Terutama dalam persoalan rasuah dan isu perkauman di Malaysia, MUDA telah gagal menunjukkan profil yang bersih dari awal lagi. Pengasas parti MUDA Syed Saddiq itu sendiri dikenakan hukuman untuk empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram. Malah Syed Saddiq merupakan bekas pemimpin pemuda parti sayap kanan Bersatu — kemudian menubuhkan MUDA untuk menentang beberapa pemimpin DAP yang mencabar Mahathir pada tahun 2018.

Peningkatan jumlah undi kepada PSM meskipun dalam situasi jumlah peratus undi yang merosot — adakah rakyat melihat PSM sebagai parti yang sebenarnya mampu menjadi alternatif adalah persoalan yang harus dipandang serius oleh kepimpinan parti PSM. Situasi ekonomi dan sosial di Ayer Kuning yang realitinya tidak melihatkan perubahan yang signifikan walaupun telah berubah kerajaan, memungkinkan bahawa pengundi di Ayer Kuning mengundi PSM untuk menghukum parti-parti kerajaan.

Namun ini tetap harus dianggap peluang untuk meningkatkan lagi kesedaran politik rakyat terhadap kuasa mereka sendiri dan mengangkat kepimpinan dari kalangan kelas pekerja.

Wajarkah PSM bekerjasama dengan MU+DA dalam pilihanraya?

Bagi kami PSM selaku parti kiri tidak memerlukan parti MUDA untuk menang dalam pilihanraya. Sebarang niat untuk bekerjasama dengan parti-parti sosial demokrat atas alasan “praktikal”, membawa maksud parti kiri di Malaysia menyerah diri pada tekanan politik kapitalis dan gagal untuk mengangkat kepimpinan dari kelas pekerja yang harus dibina dari peringkat akar umbi. Pembinaan kepimpinan kelas pekerja ini bukan sesuatu yang mustahil. Sebuah tuntutan yang menyeru kepada penyatuan yang berasaskan kelas harus dibina untuk mendedahkan jurang kekayaan dan agenda kelas kapitalis — sekaligus merentasi garis perkauman dan agama.

Kronisme lawan neoliberalisme

Sejarah politik negara yang melihatkan UMNO turun pemerintahan pada tahun 2018 merupakan perlawanan antara parti kroni dan parti neoliberal iaitu PH. Ini menjelaskan mengapa penduduk di Ayer Kuning tidak merasai perubahan yang signifikan walaupun bertukar kerajaan. Perkara ini harus jelas bagi PSM agar tidak terjebak dalam tekanan politik kapitalis dan bertahan dengan politik mandiri yang berasaskan anti-kapitalisme. Kedua-dua parti UMNO dan PH merupakan parti kapitalis dari kem yang berbeza. Meskipun kedua-duanya kelihatan seperti regu yang bersaing, namun kedua-duanya sama dari segi mengekalkan sistem ekonomi kapitalis yang berasaskan keuntungan dan pasaran bebas. Begitu juga dengan parti MUDA yang tidak membawa apa-apa kejelasan dalam tuntutan ekonomi. 

PSM sebagai sebuah parti sosialis seharusnya membina tuntutan yang bersifat untuk mendedahkan parti-parti kapitalis sama ada parti kroni seperti BN dan DAP atau neoliberal seperti PKR mahupun MUDA. Ini mampu mengangkat keyakinan rakyat untuk berjuang menentang sistem yang bersifat eksploitatif terhadap kelas pekerja dan rakyat miskin. Pada tahap ini, meskipun hanyalah pilihanraya kecil untuk menggantikan tempat kosong setelah penyandang sebelum meninggal dunia, tetap mempunyai potensi untuk berkembang di peringkat nasional. 

Dan parti yang kononnya berasaskan kepelbagaian kaum tetapi berasaskan ekonomi neoliberal dan keterbukaan pasaran bebas seperti PH telah pun membuktikan kegagalan mereka untuk membawa perubahan bagi kelas pekerja dan rakyat miskin dalam negara. Malah projek-projek penswastaan di bawah pemerintahan Najib tetap diteruskan. 

PSM hanya akan dapat membezakan diri mereka dari parti kapitalis melalui tuntutan ekonomi untuk melemahkan asas dalam sistem kapitalis dan menggantikannya dengan asas demokrasi kelas pekerja. Asas perjuangan akar umbi yang telah membina profil PSM selama ini harus terus digunakan untuk berkempen terhadap susunan kelas pekerja atas perjuangan politik anti-kapitalisme. Ruang-ruang tertutup bagi kelas pekerja untuk berjuang seperti birokrasi kesatuan sehingga menyebabkan kurangnya penyertaan pekerja, tidak harus dianggap sebagai pekerja tidak mempunyai kesedaran politik. Tetapi menjadi tugas alami parti kiri untuk mengagitasi dan mendidik kesedaran politik kelas di kalangan pekerja. 

Pilihanraya Ayer Kuning bagi PSM seharusnya dianggap sebagai kempen nasional bagi idea kiri dan anti-kapitalisme. PSM mampu menjadi faktor untuk menyatukan kelas pekerja sekiranya PSM memutuskan hubungan dengan parti-parti kapitalis seperti MUDA dan membawa tuntutan ekonomi yang mencabar kelas kapitalis neoliberal dan kroni. 

Penurunan jumlah undi yang merosot dalam masa yang sama peningkatan jumlah undi kepada PSM adalah satu perubahan yang cukup menarik dan memungkinkan satu perkembangan baru dalam arena politik negara. Apakah langkah seterusnya bagi PSM amat dinanti-nantikan.

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

Kenyataan Hari Buruh 2025 oleh Sosialis Alternatif: Kelas pekerja harus bangkit bina perjuangan dalam era cabaran baru!
2025 04 28 sepanduk pekerja kenyataan hari buruh 2025 sosialis alternatif PRK Ayer Kuning: Kelesuan dalam kalangan pengundi terhadap proses politik dan peningkatan undi yang ketara untuk parti PSM Sosialis Alternatif
Tahun ini, kelas pekerja di seluruh dunia menyambut Hari Pekerja dalam ketidaktentuan ekonomi dan politik yang mencerminkan cabaran era baru. Perang dagang antara AS dan China, konflik dan kemusnahan di Timur Tengah, telah menjadi ciri...
BACA
Gempa Bumi Terkuat dalam Sejarah Melanda Myanmar Ketika Negara dalam Perang Saudara
2025 04 25 gempa bumi myanmar perang saudara sosialis alternatif PRK Ayer Kuning: Kelesuan dalam kalangan pengundi terhadap proses politik dan peningkatan undi yang ketara untuk parti PSM Sosialis Alternatif
Musibah bencana alam dalam situasi konflik bersenjata, kemiskinan dan masa depan yang tidak menentu adalah kondisi yang tidak layak untuk mana-mana individu. Terutama rakyat miskin dan kelas pekerja yang tidak mempunyai akses untuk membebaskan...
BACA
Remembering Lenin
2025 04 22 remembering vladimir lenin 155th birth anniversary moscow speech may 1920 with trotsky sosialis alternatif PRK Ayer Kuning: Kelesuan dalam kalangan pengundi terhadap proses politik dan peningkatan undi yang ketara untuk parti PSM Sosialis Alternatif
On this day 155 years ago, Lenin was born in Tsarist Russia. An unapologetic Marxist and brilliant revolutionary strategist, he lived much of his life as the leader of the Bolshevik Party, which led the Russian working class and peasantry...
BACA

PRK Ayer Kuning: Kelesuan dalam kalangan pengundi terhadap proses politik dan peningkatan undi yang ketara untuk parti PSM

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *