Protes Mahasiswa dan Anak Muda: Rakyat Benci Rasuah

Sidang media Sekretariat Rakyat Benci Rasuah (SRBR) mengenai pengumuman Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan diadakan pada Sabtu, 25 Januari 2025 ini.

Kesinambungan daripada protes Gempur Rasuah yang dianjurkan mahasiswa dan anak muda di Sabah dalam menutup tirai 2024, kini mahasiswa dan anak muda di semenanjung pula sedang mengorak langkah. Ketika penulisan ditulis, mereka sedang mengatur protes berupa perarakan di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Protes yang dinamakan Rakyat Benci Rasuah merupakan satu refleksi dalam krisis ekonomi kapitalis yang diterukkan lagi dengan krisis politik yang tidak berkesudahan.

Himpunan solidariti Najib dan pelantikan Tun Musa Aman sebagai YDP negeri Sabah merupakan antara contoh krisis terkini dalam keretakan di dalam politik negara. Individu-individu korup terus diangkat menjadi pemimpin di dalam kerajaan Anwar. Bermula dengan pelantikan Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri, ini diteruskan lagi dengan beberapa pemimpin kerajaan yang dibebaskan dari tuduhan korupsi seperti Bung Mokhtar dan isterinya. Masing-masing mempunyai tuduhan korupsi bernilai jutaan ringgit dan pelbagai tuduhan salah guna kuasa.

Anak muda yang menyaksikan ini sementara krisis ekonomi dan sosial semakin meruncing merasakan tidak adanya jaminan masa depan yang stabil melainkan sebuah situasi yang lebih teruk berbanding ketika zaman usia muda ibu bapa mereka. Pertubuhan HARAM iaitu sebuah inisiatif daripada gabungan lima kesatuan mahasiswa yang bertujuan untuk merapatkan jurang politik antara rakyat tertindas telah diwujudkan pada Julai lalu. Hal yang tercetus berikutan penentangan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah terhadap pengurusan kerajaan negeri dalam isu air dan kemiskinan yang menyebabkan anak muda di Sabah yang terpinggir ditindas lebih teruk dalam masyarakat. Misalnya Sekolah Alternatif, sebuah usaha mahasiswa di Sabah untuk memberikan akses pendidikan kepada masyarakat terpinggir telah menyaksikan sendiri kekejaman pihak kerajaan negeri mengancam pembangunan dan aktiviti sekolah yang mereka bina dan rumah keluarga anak murid mereka dibakar oleh pihak pemaju dan penduduk diusir dari kawasan tempat tinggal.

Ini telah memaksa anak muda untuk memilih jalan alternatif iaitu protes di jalanan untuk memberi tekanan pada pihak kerajaan agar menghentikan permainan politik elit dan mengutamakan keadaan rakyat. Kita harus akui bahawa protes Rakyat Benci Rasuah yang akan diadakan oleh mahasiswa dan anak muda pada akhir Januari ini merupakan aksi yang berani kerana berhadapan dengan bukan saja undang-undang, tetapi juga status mereka sebagai mahasiswa di universiti. Wajar kita ambil penghargaan akan pengorbanan mahasiswa untuk membawa isu rasuah dalam pengurusan kerajaan ke hadapan. Bagi mahasiswa sebagai anak muda yang terpelajar, pastinya persoalan masa depan yang mungkin akan tertangguh disebabkan risiko yang ditanggung akibat menyusun dan menyertai protes ini terlintas dalam fikiran mereka.

Tetapi pada tahap ini, pada era pasca pandemik COVID-19, dengan perubahan perdana menteri lebih dari 3 kali dalam tempoh kurang dari 2 tahun sejak PRU ke-15 sementara penindasan terhadap rakyat dan politik rasuah masih berterusan, bermakna anak muda dan mahasiswa sudah tidak percayakan politik elit dan memaksa mereka menuntut perubahan yang benar-benar konkrit di jalanan. Ekspresi kebencian melalui protes Rakyat Benci Rasuah sememangnya dikongsi oleh kebanyakkan rakyat dan tuntutan umum untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas ahli politik yang korup sememangnya harus disambut. Tetapi harus kita fahami ekspresi ini membawa maksud tersirat untuk sebuah politik alternatif baru yang lebih progresif dan berasaskan kepentingan rakyat. Gerakan mahasiswa dan anak muda melalui protes Rakyat Benci Rasuah berhasrat untuk mencabar status quo.

Pada peringkat ini, adakah gerakan ini akan mirip dengan protes Bersih pada 2016 yang membawa tuntutan kerajaan dan pilihanraya ‘bersih’ dari pemimpin elit korup — masih belum jelas. Apa yang pasti bagi anak muda dan mahasiswa serta kepimpinan kelas pekerja harus melihat perkembangan ini sebagai satu perkembangan positif. Terutama setelah Anwar Ibrahim memegang kuasa kerajaan dan aktivis akar umbi terdahulu seperti Adam Adli dan Maria Chin telah mendapat jawatan, ini merupakan satu perkembangan progresif. Lapisan aktivis sosial yang baru muncul harus dilihat sebagai peluang untuk berdiskusi dalam menjalinkan hubungan antara kelas pekerja dan mahasiswa. Naratif yang berasaskan perspektif politik kelas pekerja harus dibawa ke arena politik negara setelah ia dirampas oleh pembangkang Pakatan Harapan melalui pelbagai kempen untuk kepentingan mereka. Seperti Asalkan Bukan Umno (ABU) termasuklah NGO Bersih itu sendiri yang pernah dipergunakan oleh Pakatan Harapan.

Malah Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga terpedaya dengan janji mereka dan memberikan harapan kepada PH. Kata Dr Jeyakumar yang bertanding di Sungai Siput di bawah bendera PSM pada 2018 berkata “sejak dari hari pertama kita telah menyatakan sokongan kepada PH, jadi undilah kami jika PH tidak bertanding kawasan anda”. Kemuflisan politik alternatif yang kini wujud dalam negara telah membawa kepada inisiatif mahasiswa dan anak muda dalam protes Rakyat Benci Rasuah. Bagi mereka, penentangan terhadap permainan politik elit tidak mempunyai kepimpinan yang benar-benar membawa suara rakyat. Setiap parti politik elit pada waktu ini mempunyai agenda masing-masing sama ada PN mahupun PAS.

Meskipun mereka cuba untuk membawa imej sebagai pejuang keadilan dan penegak undang-undang tetapi kedangkalan mereka kerana memberi solidariti kepada pemimpin korup Najib dalam Solidariti Najib dan tiadanya penentangan terhadap pelantikan Musa Aman sebagai YDP negeri Sabah antaranya jelas telah mendedahkan sikap parti-parti elit yang hanya mempergunakan isu negara untuk mengukuhkan status mereka sendiri. Apa yang diperlukan untuk membawa tuntutan sehingga politik rasuah dapat dihapuskan sepenuhnya adalah sebuah platform politik yang dapat membawa tuntutan yang berasaskan kelas. Kerana hakikat isu rasuah yang berleluasa dalam politik dan mempengaruhi efisiensi kerajaan adalah isu sistemik yang berasas dari struktur kerajaan yang tidak demokratik dan mementingkan kelas elit borjuis.

Soal ketelusan dalam kerajaan harus diberikan kepada urus tadbir rakyat dan kepimpinan kelas pekerja. Hak untuk menarik semula jawatan serta semak dan imbang harus diberikan kepada integriti kepimpinan kelas pekerja yang jauh lebih boleh dipercayai berbanding kelas politik elit borjuis. Perjuangan ini harus bermula dari peringkat akar umbi dengan penyertaan aktif anak muda dan kepimpinan kelas pekerja dalam membawa naratif ini ke arena politik negara. Ayuh bina perjuangan bersama Sosialis Alternatif dan juga Solidariti Pekerja dalam perjuangan menghapuskan politik rasuah. Kepimpinan mahasiswa yang inginkan perubahan kekal dalam mengakhiri ketirisan dan korupsi harus bangkit dan berjuang bersama-sama, berganding bahu dengan kepimpinan kelas pekerja yang turut mempunyai kesedaran yang sama untuk mengakhiri ketirisan kerajaan secara sepenuhnya.

  1. Rasuah tidak dapat dipisahkan dari sistem kapitalisme. Hapuskan punca kepada simptom rasuah dengan meletakkan ekonomi negara di bawah kawalan pekerja secara demokratik.
  2. Menentang ilusi demokrasi borjuis dan sistem perundangannya. Gantikan demokrasi kelas kapitalis dengan demokrasi kelas pekerja; menuntut hak pekerja untuk menarik semula jawatan kepimpinan politik pada bila-bila masa.
  3. Menuntut pemansuhan akta-akta yang menindas gerakan kebangkitan rakyat. Termasuk akta-akta yang menghalang pembinaan kesatuan di tempat kerja dan hak mahasiswa berpolitik di institusi pendidikan. Mansuhkan AUKU, dan Akta Hasutan 1948!
  4. Perikatan politik independen di antara kelas pekerja, mahasiswa dan golongan minoriti yang ditindas; ke arah pembinaan parti pekerja revolusioner sebagai platform politik alternatif untuk menggantikan politik elit dan membawa politik kelas pekerja ke arena politik negara dan seluruh dunia!
  5. Peningkatan gaji yang selayaknya dan bermaruah buat kelas pekerja. Menuntut kadar gaji yang selaras dan adil mengikut inflasi dan kos kehidupan yang semakin meningkat!
  6. Hapuskan sistem ekonomi kapitalisme yang menghasilkan rasuah, ketirisan dan kesenjangan ekonomi yang ekstrem! Ke arah pembinaan sebuah masyarakat yang berpaksikan kepentingan kelas pekerja dan bukannya kelas kapitalis; ke arah sistem Sosialisme!

 


Jemput baca penulisan terkini kami berkaitan dengan gerakan mahasiswa dan isu korupsi:

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ): Bak kata pepatah ‘beri betis hendak peha’
2025 02 02 js sez zon ekonomi khas singapura malaysia sosialis alternatif Protes Mahasiswa dan Anak Muda: Rakyat Benci Rasuah Sosialis Alternatif
Laman Utama » Kenyataan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ): Bak kata pepatah ‘beri betis hendak peha’ OlehZ pada02/02/2025 suntingan terkini02/02/2025 Antara hal yang dibincangkan antara PM Lawrence Wong dan PM Anwar Ibrahim...
BACA
Public Health for Profits: Malaysian healthcare at the crossroads
2025 01 22 wbb shift system healthcare at crossroads contract doctors picket sosialis alternatif Protes Mahasiswa dan Anak Muda: Rakyat Benci Rasuah Sosialis Alternatif
The Madani state's reform agenda has since its rise to power in 2022 turned out to include not only intensifying the exploitation of public health workers via its brutal imposition of one austerity policy after another, but also its continued...
BACA
Politik dari Penjara: Titah addendum untuk Najib
2025 01 17 titah addendum najib perhimpunan umno pas sosialis alternatif Protes Mahasiswa dan Anak Muda: Rakyat Benci Rasuah Sosialis Alternatif
Persoalan dan kedudukan Najib ketika ini akan dilihat sebagai cerminan kepada ketidakmampuan kepimpinan kerajaan Madani untuk memastikan golongan kleptokrat dan perasuah untuk kekal berada di dalam penjara... Selagi mana institusi-institusi...
BACA

Protes Mahasiswa dan Anak Muda: Rakyat Benci Rasuah

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *