Sosialis Alternatif
Pekerja Kuasa Perubahan
Sosialis Alternatif · Sejarah dari bawah
20.10.1947

HARTALSE-MALAYA

Sejarah perjuangan kelas pekerja yang telah dilupakan.

Pekerja dan sekutunya menghentikan kegiatan harian. Tuntutan mereka: suara dalam masa depan Malaya.

Baca kisah ini
Piket mogok di jeti kereta api Prai, 1946; tarikh tepat foto belum dikenal pasti. Tera air asal dikekalkan.
Piket pekerja kereta api dan jeti, Prai, 1946. Sebelum Hartal 1947. ⤢
Koleksi Hartal 2026
Tarikh20 Oktober 1947

Hari bantahan bersama di Malaya dan Singapura.

TindakanHartal

Pemberhentian kerja, perdagangan dan urusan harian secara massa.

GabunganPUTERA–AMCJA

Perikatan luas yang memperjuangkan perlembagaan alternatif.

79 TAHUN SELEPAS HARTAL SE-MALAYA

Perjuangan kelas pekerja yang telah dilupakan

Acara memperingati Hartal ini merupakan salah satu acara yang paling penting dalam organisasi kami, terutamanya sebagai iktibar buat golongan sosialis di Malaysia – perihal kemuncak kekuatan revolusioner kelas pekerja lebih tujuh dekad yang lepas. Acara ini juga bertujuan sebagai seruan kepada semua untuk menilai semula dan mengambil pengajaran yang tepat – supaya sistem kapitalisme global, yang kini keberadaannya sedang semakin melarat dan kritikal, akhirnya dapat ditumbangkan sepenuhnya.

1945 → 1947

HARTAL 1947

Sejarah pendek berasaskan perspektif kelas

Ketika dunia menyaksikan kehancuran yang terhasil berikutan pengakhiran Perang Dunia Kedua pada Ogos 1945 – rakyat jelata di Malaya dan Singapura pula melihatnya sebagai sebuah peluang yang signifikan. Keberadaan ekonomi telah hancur: kemiskinan dan harga barangan asas meningkat secara ekstrem; kelas pekerja berserta keluarga mereka diancam kelaparan dan pengangguran semakin meluas jadinya. Meskipun begitu, sejak beberapa abad yang lepas, buat pertama kalinya sejak kawasan jajahan di sini tidak lagi dikongkong oleh penguasaan kuasa penjajah, setidak-tidaknya buat seketika waktu sebelum kuasa empayar datang mencengkam kembali kawasan yang menjadi sumber kekayaan mereka.

Baik yang tinggal di kota mahupun di desa – prospek akan sebuah kemerdekaan sudah mulai terasa di kalangan rakyat jelata; dan semakin hari semakin membuaklah akan sebuah keinginan untuk menghalau British keluar dari rantau kita. Makanya dalam keadaan yang benar-benar terdesak berikutan ketidakmampuan lagi untuk mengawal tanah jajahannya yang paling berharga ini, telah menjurus kepada usaha Pentadbiran Tentera British (British Military Administration) untuk menubuhkan Kesatuan Malayan (Malayan Union). Namun seperti mana yang dijangka – usaha ini tidak dapat bertahan lama; ianya ditentang dengan begitu cepat, sepertimana dengan tergopohnya ia dirancang oleh mereka. Golongan nasionalis Melayu secara umum telah melihatnya sebagai ancaman kepada kedaulatan kuasa-kuasa Melayu.

Hatta kekosongan kuasa politik ini telah menemukan dua pesaing utamanya: di satu pihak adalah golongan aristokrat melayu UMNO; manakala yang bertentangan dengannya pula adalah organisasi-organisasi kiri seperti Parti Komunis Malaya (PKM), Kesatuan Demokratik Malaya (MDU), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM); serta barisan-barisan organisasi yang pelbagai – termasuklah sayap anak muda dan wanita. Namun, dengan angkuhnya empayar British itu – meneruskan tindakan kebodohan ini, dengan menubuhkan Malayan Union pada 1 April 1946, tanpa mempedulikan tentangan dan tuntutan organisasi yang membantahnya.

Bangkitnya organisasi seperti UMNO – sebagai sebuah permata di mata empayar telah menyatukan gerakan-gerakan kiri; kendatipun terdapatnya perbezaan di antara mereka. Pada bulan Disember, PKM, MDU dan PKMM telah bersama-sama menubuhkan Pan-Malayan Council of Joint Action (PMCJA – yang kemudiannya ditukar ke ‘All-Malaya’ atau AMCJA); dan hal ini, atas dasar pragmatisme di kalangan mereka – telah menjurus kepada PKMM untuk keluar dari perikatan ini dan menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) bersama-sama organisasi Melayu kiri.

Sementara itu, sebagai sebuah parti yang berpengaruh di dalam gerakan buruh yang sedang pantas berkembang, PKM telah menubuhkan Federasi Kesatuan Sekerja Pan-Malayan (Pan-Malayan Federation of Trade Union; PMFTU) yang jaringan kesatuannya semakin berkembang dan membantu mengorganisasikan pekerja di Malaya dan Singapura. Sementelah kemampuannya untuk menjangkaui perbezaan etnik, agama dan budaya – PMFTU mempunyai sokongan kelas pekerja dari pelbagai sektor: pekerja estet, pelombong, pekerja pengangkutan, para guru, pekerja di bandar, pemilik kedai berskala kecil dan tidak lupa juga para suri rumah – kesemuanya bersatu tenaga dalam menyusun tenaga dan melaksanakan pelbagai mogok berskala besar dan juga protes-protes di keseluruhan kawasan yang dijajah sehingga peristiwa Hartal itu sendiri.

Pemimpin PKMM. Foto ini sendiri dilabelkan 1946; nama-nama asal dikekalkan.
Pemimpin PKMM. Foto ini sendiri dilabelkan 1946; nama-nama asal dikekalkan.Koleksi Hartal 2026
Perhimpunan di pejabat Parti Komunis Malaya di Singapura, dikatalogkan sebagai 1945. Foto ini memberikan konteks politik selepas perang.
Perhimpunan di pejabat Parti Komunis Malaya di Singapura, dikatalogkan sebagai 1945. Foto ini memberikan konteks politik selepas perang.Koleksi Hartal 2026

Sebuah alternatif buat penguasaan pecah dan perintah?

Empayar British – yang ketika itu sedang gusar akan nasibnya yang bakal ditimpa sama seperti empayar Belanda dijatuhkan pejuang Indonesia – secara senyap menjalani rundingan rahsia dengan kepimpinan UMNO; yang akhirnya membuahkan sebuah perjanjian ‘Anglo-Malay’ – di mana intipati perjanjian ini kemudiannya menjadi dasar kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Ketika hal ini berlangsung, di pihak yang bertentangan pula telah tertubuhnya PUTERA – PMCJA pada Mac 1947. Keperluan akan sebuah alternatif yang dapat menggantikan penguasaan neo-kolonial ketika itu – menjadi sebuah hal yang getir buat rakyat yang sedang berjuang.

Maka setelah beberapa bulan berlangsung, sebuah Usul Perlembagaan Rakyat dimuktamadkan pada 10 Ogos 1947 dan dipromosikan kepada umum pada bulan September yang jika dibandingkan dengan program UMNO ketika itu, adalah sebuah hal yang progresif – contohnya pembinaan sebuah ‘Bangsa Melayu’ yang turut merangkumi golongan etnik Cina dan juga India. Kendatipun begitu halnya, walaupun perlembagaan ini bersifat ‘sekular’ dan ‘demokratik’ – ianya tetaplah reformis sifatnya. Kapitalisme sebagai sebuah sistem yang secara alaminya menindas – tidak dihancurkan secara sempurna; malah memberi peluang buat para kapitalis untuk memimpinnya.

Justeru begitulah gerakan rakyat jelata di Malaya telah diambil alih kepimpinannya oleh para kelas kapitalis tempatan dan para kroninya – melalui pertubuhan perniagaan dan perwakilan politik, termasuk tokoh-tokoh yang kemudian menubuhkan MCA pada tahun 1949. Borjuis bukan Melayu bekerjasama dengan organisasi kiri hanya untuk kepentingan kelas mereka – yakni untuk memberi tekanan buat empayar British, agar dapat memberikan kelebihan dan kekuasaan buat mereka. Dalam erti kata lain, para oportunis ini hanya melihat tuntutan kemerdekaan tidak lebih dari hanya menggantikan kapitalis eropah dengan kapitalis tempatan semata-mata.

Pada masa yang sama juga, kejayaan mogok umum di Melaka dan juga di Ipoh pada September memberi kesan yang signifikan dan kemudiannya, PUTERA-AMCJA mengeluarkan Manifesto Hartal – menyeru kepada “semua yang melihat Malaya sebagai rumah mereka yang sebenarnya, untuk berhenti bekerja sepenuhnya dan tinggal di dalam kediaman masing-masing” pada 20hb Oktober 1947.

Constitutional Proposals for Malaya: laporan Jawatankuasa Kerja, Disember 1946. Ini ialah cadangan perlembagaan kolonial, berbeza daripada Perlembagaan Rakyat.
Constitutional Proposals for Malaya: laporan Jawatankuasa Kerja, Disember 1946. Ini ialah cadangan perlembagaan kolonial, berbeza daripada Perlembagaan Rakyat.Koleksi Hartal 2026
Cadangan Perlembagaan Rakyat untuk Malaya, 1947. Halaman judul mengenal pasti PUTERA–AMCJA serta persidangan penggubalan dan kelulusan.
Cadangan Perlembagaan Rakyat untuk Malaya, 1947. Halaman judul mengenal pasti PUTERA–AMCJA serta persidangan penggubalan dan kelulusan.Koleksi Hartal 2026

“Semua yang melihat Malaya sebagai rumah mereka yang sebenarnya, untuk berhenti bekerja sepenuhnya dan tinggal di dalam kediaman masing-masing.”

Seruan Hartal, seperti dipetik dalam esei peringatan

15–16 Oktober 1947

Menyediakan hari bantahan bersama

Laporan ini menggambarkan seruan penganjur untuk penyertaan aman serta rayuan yang diedarkan dalam empat bahasa. Ia merekodkan persediaan, bukan membuktikan tindakan setiap peserta.

“Hartal Should Be Peaceful”, The Straits Times, 15 Oktober 1947, hlm. 6. Laporan arahan PUTERA–AMCJA tentang penyertaan secara aman dan sukarela.
“Hartal Should Be Peaceful”, The Straits Times, 15 Oktober 1947, hlm. 6. Laporan arahan PUTERA–AMCJA tentang penyertaan secara aman dan sukarela.Koleksi Hartal 2026
“Hartal Appeal”, The Straits Times, 16 Oktober 1947, hlm. 7. Laporan ini menyebut risalah dalam bahasa Cina, Inggeris, Melayu dan Tamil, dengan pengecualian bagi perkhidmatan penting.
“Hartal Appeal”, The Straits Times, 16 Oktober 1947, hlm. 7. Laporan ini menyebut risalah dalam bahasa Cina, Inggeris, Melayu dan Tamil, dengan pengecualian bagi perkhidmatan penting.Koleksi Hartal 2026

Segala keadaan menjadi haru biru

Pada hari berlangsungnya Hartal, selain daripada beberapa perniagaan milik Eropah, ekonomi secara keseluruhan telah diberhentikan dan modal tidak lagi dijalankan. Pekerja daripada pelbagai sektor perindustrian dan latar belakang, bersama pekerja ladang, pemilik kedai kecil serta penyokong lain, melibatkan diri dalam mogok umum berskala seluruh tanah jajahan ini. Penyertaan yang meluas telah menghentikan perdagangan dan pengangkutan di banyak bandar.

Sepanjang gelombang perjuangan buruh 1945–48 dan Darurat selepasnya, empayar British terus menindas perjuangan rakyat yang dijajahnya. Dikerahnya dan dihantarnya para samseng, banduan tentera Jepun dan juga polis serta tentera bagi menggugat perjuangan kelas pekerja yang sedang berpiket dan bermogok. Pemantauan ditingkatkan dan media di kawal dengan lebih ketat. Manakala kepimpinan PUTERA-AMCJA, terutamanya antara yang radikal di dalam PKM – telah ditangkap dan ditahan secara paksa; ada pula yang diseksa mahupun dibunuh; sementara yang lain pula dipaksa untuk sembunyikan diri dan keluar jauh dari kawasan sedia ada.

Pada Jun 1948, darurat telah diisytiharkan oleh empayar sebagai pengumuman perang terhadap rakyat yang bangkit berjuang dan sebagai sebuah alat untuk mengabsahkan kediktatoran empayar ketika itu. Ketiadaan akan sebuah program sosialis yang revolusioner buat golongan kiri untuk membela perjuangan ini adalah sebuah tragedi yang tak terelakkan. Gerakan kiri mulai hancur dan berpecah belah. PKMM berpecah dua – di mana golongan moderat kembali ke pangkuan UMNO manakala yang kedua, golongan reformis yang progresif telah mengambil jalan demokrasi sosial dan membina jambatan buat para pejuang pada hari ini. Tidak lupa juga buat MDU, yang turut mengalami nasib yang sama.

Manakala para pemimpin yang lebih “revolusioner” ketika itu telah bersama-sama dengan PKM – yang malangnya meninggalkan perjuangan kelas pekerja di bandar dan mulai mengambil pendekatan perjuangan gerila. Hala tuju tindakan yang berteraskan golongan petani dan perjuangan gerila berdasarkan Maoisme ini menjadi titik permulaan akan kegagalan dan keterasingan PKM pada 12 tahun seterusnya. Dari latar belakang yang telah kita jelaskan ini lah dapat dilihat dan difahami akan kemunduran politik kelas pekerja dan buat rakyat jelata yang ditindas, untuk terus dibungkam oleh kehancuran ekonomi dan keterasingan sosial. Peristiwa yang telah berlangsung beberapa dekad yang lepas ini telah menjadi duri di dalam daging buat golongan kiri; namun, iktibar-iktibarnya – kekal menjadi sebuah hal yang penting untuk difahami dan dipelajari.

S. A. Ganapathy berucap di kongres PMFTU, April 1948. Foto ini diambil selepas Hartal 1947.
S. A. Ganapathy berucap di kongres PMFTU, April 1948. Foto ini diambil selepas Hartal 1947.Koleksi Hartal 2026
Selepas Hartal

Pengorganisasian dan perjuangan industri berterusan hingga 1948. Foto S. A. Ganapathy berucap ini diambil pada April, sebelum pengisytiharan Darurat pada Jun.

Persoalan & Perspektif

Apakah pentingnya Hartal buat seluruh rakyat Malaysia pada hari ini?

Dekad-dekad setelah Hartal menjadi saksi kepada pengukuhan kuasa di kalangan kelas borjuis Melayu nasionalis dan dikembangkannya lagi akan dasar polisi kolonialisme – polisi pecah dan perintah; sementara kekalahan yang signifikan buat golongan kiri semasa Darurat dilaksanakan dan serangan neo-liberalisme yang berlaku seterusnya telah melemahkan perjuangan kelas dan pada masa yang sama, mengukuhkan kedudukan ahli-ahli politik yang mengapi-apikan sentimen perkauman sehingga ke hari ini. Makanya, hanya dengan mengenal pasti dan memahami kegagalan ini – dapatlah kita membina sebuah perspektif revolusioner yang dapat membina semula kekuatan politik Kiri di Malaysia.

Secara khususnya, apakah kesilapan Gerakan Kiri?

Meskipun mempunyai pengaruh yang besar dalam gerakan buruh yang militan, PKM gagal membangunkan program revolusioner yang mandiri untuk memimpin perjuangan antikolonial. Berlandaskan “teori dua tahap” Stalin, kepimpinannya telah menundukkan kelas pekerja secara politik kepada perikatan borjuis-demokratik, dengan bergantung kepada kapitalis tempatan yang kepentingan kelasnya akhirnya bertentangan dengan kepentingan rakyat pekerja. Daripada menghubungkan tuntutan demokratik dengan perjuangan merebut kuasa oleh kelas pekerja, PKM membataskan gerakan tersebut kepada reformasi perlembagaan. Apabila penindasan British semakin memuncak pada tahun 1948, PKM semakin beralih kepada perjuangan gerila yang berinspirasikan Maoisme, lalu meninggalkan asas proletariatnya di bandar. Pengunduran strategik ini, ditambah pula dengan pelaksanaan Rancangan Briggs, semakin mengasingkan gerakan revolusioner dan menyumbang kepada kekalahannya.

Kewajaran teori Revolusi Kekal

Dibandingkan dengan teori “sosialisme satu negara” yang dipelopori oleh Stalin, Trotsky secara tepat telah mengenal pasti akan ketidakmampuan kelas kapitalis yang berasal dari negara mundur untuk melaksanakan revolusi demokratik, apatah lagi revolusi yang bersifat sosialistik. Hal ini terbukti jelas melalui pengalaman Hartal itu sendiri, yang mendedahkan dan menyimpulkan bagaimana sebuah dunia sosialis hanya dapat dilaksanakan di bawah kepimpinan kelas pekerja seluruh dunia.

Tentang edisi web dan suntingan fakta

Esei peringatan organisasi bagi tahun 2025 ini telah dikemas kini untuk ulang tahun ke-79 pada 2026. Acara peringatan asal berlangsung pada 1 November 2025; tarikh itu bukan pengumuman acara akan datang. Hujah sosialis dan analisis kelasnya dikekalkan. Pemisahan perkataan cetakan serta kesilapan tipografi kecil telah dikemas kini.

Edisi web membezakan pemuktamadan Perlembagaan Rakyat pada 10 Ogos 1947 daripada kempen September; mengenal pasti MCA sebagai parti yang ditubuhkan kemudian, pada 1949; serta meletakkan penindasan dalam konteks perjuangan 1945–48 dan Darurat selepasnya. Angka penyertaan 70%, kerugian £4 juta, dan nisbah tepat keahlian PMFTU kepada tenaga kerja yang belum dapat disahkan telah diganti dengan huraian kualitatif. Sumber di bawah membolehkan pembaca membandingkan catatan sezaman.

1946 — 1948

Jalan menuju Hartal

Hartal lahir daripada pengorganisasian di tempat kerja dan pertentangan tentang perlembagaan. Ikuti titik perubahan sebelum dan selepas 20 Oktober.

Mogok umum menghubungkan Singapura dan Johor

General Labour Union menyeru mogok umum di Singapura dan Johor untuk membantah penangkapan anggota kesatuan serta bekas pejuang anti-Jepun.

Baca sumber ↗

Persoalan perlembagaan memasuki fasa baharu

Malayan Union ditubuhkan, sementara Singapura ditadbir secara berasingan. Perdebatan kewarganegaraan dan perwakilan politik menjadi persoalan utama perjuangan pascaperang.

Baca sumber ↗

PUTERA menyatukan gerakan kiri Melayu

Persidangan di Kuala Lumpur membentuk Pusat Tenaga Rakyat, yang menghimpunkan pertubuhan kiri Melayu termasuk PKMM, API dan AWAS.

Baca sumber ↗

Perlembagaan Rakyat menawarkan alternatif

PUTERA–AMCJA memuktamadkan Cadangan Perlembagaan Rakyat sebagai alternatif kepada rancangan Persekutuan rasmi. Perjuangan perlembagaan membangkitkan persoalan siapakah yang berhak menentukan masa depan Malaya.

Baca sumber ↗

Hartal tempatan dan mobilisasi lebih luas

Laporan akhbar September mencatat perancangan hartal serta amaran kerajaan kepada kakitangan. Persediaan pemberhentian kerja seluruh Malaya berkembang sebelum tindakan 20 Oktober.

Baca sumber ↗

HARTAL: pekerja dan sekutu menghentikan kegiatan ekonomi

Pekerja, peniaga dan pertubuhan politik menyertai pemberhentian kegiatan ekonomi yang diselaraskan untuk membantah cadangan perlembagaan rasmi. Laporan Singapura mencatat kedai ditutup, pengangkutan terganggu dan pelabuhan terhenti.

Baca sumber ↗

Persekutuan mula berkuat kuasa

Persekutuan Tanah Melayu menggantikan Malayan Union. Bantahan massa pada 1947 belum berjaya mendapatkan penerimaan Cadangan Perlembagaan Rakyat.

Baca sumber ↗

Pengisytiharan Darurat mengubah kehidupan politik

Langkah Darurat bermula di beberapa bahagian Malaya pada 16 Jun, diperluas ke seluruh Persekutuan pada 18 Jun, dan ke Singapura pada 24 Jun.

Baca sumber ↗

Rakyat & organisasi

Gerakan merentasi sempadan

Kesatuan, pertubuhan politik, anak muda dan wanita bergabung dalam kempen yang menghubungkan kehidupan harian dengan persoalan pemerintahan sendiri. Buka nama di bawah untuk mengenali peranan mereka.

PUTERA

Pusat Tenaga Rakyat
Gabungan pertubuhan kiri Melayu yang ditubuhkan pada 22 Februari 1947. PKMM, API dan AWAS merupakan sebahagian daripada gerakan kiri Melayu yang lebih luas.

AMCJA

All-Malaya Council of Joint Action
Gabungan luas pertubuhan yang menentang penyelesaian perlembagaan rasmi. Bersama PUTERA, ia menggerakkan Perlembagaan Rakyat serta Hartal.

PMFTU

Pan-Malayan Federation of Trade Unions
Persekutuan besar yang menghubungkan kesatuan serta perjuangan industri di Malaya. Pengorganisasiannya membantu menjadikan buruh kuasa politik yang penting.

PKMM

Parti Kebangsaan Melayu Malaya
Pertubuhan nasionalis Melayu di pihak kiri, yang memainkan peranan utama dalam gabungan PUTERA dan perjuangan kemerdekaan.

API / AWAS

Angkatan Pemuda Insaf / Angkatan Wanita Sedar
Pertubuhan pemuda dan wanita dalam gerakan kiri Melayu. Penyertaan mereka mencabar sejarah politik antikolonial yang hanya berpusat pada rundingan golongan elit.

Kumpulan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang berkaitan dengan PKMM, dikatalogkan sebagai 1946.
Kumpulan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang berkaitan dengan PKMM, dikatalogkan sebagai 1946.Koleksi Hartal 2026

Alternatif perlembagaan

Siapa menentukan Malaya?

Perlembagaan Rakyat menawarkan asas yang berbeza untuk pemerintahan sendiri. Antara gagasan utamanya:

  1. Malaya yang bersatu, termasuk Singapura.
  2. Kerajaan yang bertanggungjawab melalui wakil yang dipilih.
  3. Kewarganegaraan bersama dengan nama “Melayu”, melangkaui kategori etnik.
  4. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Panduan tema ringkas, bukan teks penuh cadangan. Baca bersama kritikan artikel terhadap batas reformasi perlembagaan. Rekod penerbitan ↗

Cadangan Perlembagaan Rakyat untuk Malaya, 1947. Halaman judul mengenal pasti PUTERA–AMCJA serta persidangan penggubalan dan kelulusan.
Cadangan Perlembagaan Rakyat untuk Malaya, 1947. Halaman judul mengenal pasti PUTERA–AMCJA serta persidangan penggubalan dan kelulusan.Koleksi Hartal 2026

Baca secara kritis

Satu perjuangan. Pelbagai catatan.

Akhbar sezaman menggambarkan kedai ditutup, pengangkutan terganggu dan pelabuhan terhenti. Jawapan Parlimen kolonial kemudian meremehkan semangat penyertaan serta penglibatan orang Melayu. Catatan ini mencerminkan kepentingan yang berbeza dan perlu dibandingkan, bukan diringkaskan kepada satu peratusan yang tidak disokong.

Esei utama mengemukakan analisis kelas Sosialis Alternatif. Kronologi serta keterangan arkib membantu membezakan tarikh, dokumen dan tafsiran politik.

Imej arkib: koleksi Hartal 2026. Nama serta tera air yang sedia ada dikekalkan. Sesetengah tarikh koleksi ialah anggaran; keterangan menyatakan pengenalpastian yang tersedia.

Sejarah yang lebih luas

Hartal sebahagian daripada perjuangan yang panjang.

Terokai 25 peristiwa sejarah buruh Malaya, dari 1910 hingga 1948.

Terokai garis masa penuh →

Sebarkan sejarah ini. Kongsi halaman, baca sumber, teruskan perbincangan.

ARKIB HARTAL 2026

Buka imej penuh ↗