Kenyataan dari CWI Venezuela (Izquierda Revolucionaria) 24/1/2019

Sejak sehari lepas, situasi politik di Venezuela sedang semakin genting dan huru hara. Pemimpin blok sayap kanan Venezuela, Guaido (presiden baru di dalam Dewan Undangan Nasional yang didominasi oleh pembangkang kerajaan) telah mengumumkan dirinya sebagai Presiden interim bagi Venezuela dan mendeklarasi bahawa kepimpinan Maduro adalah tidak sah. Guaido menyeru kepada penyokongnya untuk membuat demonstrasi besar-besaran di jalanan bagi menggulingkan kerajaan Maduro secara paksa. Berikutan, kerajaan-kerajaan reaksioner di Latin Amerika dan di seluruh dunia bermula dari Bolsanaro dari Brazil dan Trump dari Amerika Syarikat telah memberikan sokongan kepada percubaan kudeta ini dan mengiktiraf Guidao sebagai Presiden yang sah di Venezuela.

Kudeta yang dirancang oleh imperialisme dengan sokongan kuasa politik sayap kanan dunia

Setiausaha kerajaan Amerika Syarikat dan bekas pengarah jabatan risikan CIA, Mike Pompeo, telah memberikan amaran kepada kerajaan Maduro untuk menarik diri dari segala jawatan kerajaan dan memberi laluan kepada Guaido untuk menjadi Presiden. Presiden Trump pula tidak menolak kemungkinan bahawa tentera Amerika boleh melakukan intervensi bersenjata di Venezuela. Canada, German dan beberapa negara dunia pertama yang mempunyai agenda mereka sendiri ke atas sumber keuntungan yang terdapat di Latin Amerika dan pada masa yang sama juga ingin membina hubungan perdagangan yang baik dengan pihak AS sedang memberikan sokongan kepada Guaido secara membuta-tuli. Bersama mereka, pemimpin-pemimpin dunia yang mendokong polisi neo-liberal dan membawa politik sayap kanan seperti Macri (Presiden Argentina), Duque (Presiden Colombia), Hernandez (Presiden Honduras), Pablo Cassado (pemimpin parti sayap kanan di Spain, Vox (parti sayap kanan fasis) dan ramai lagi sedang melancarkan sebuah kempen antarabangsa bagi meletakkan sebuah boneka kapitalis sayap kanan yang akan patuh pada semua kemahuan imperialisme.

Guaido dan kuasa-kuasa sayap kanan di Venezuela sedang cuba untuk mempergunakan situasi krisis ekonomi dan sosial yang sedang dihadapi oleh rakyat biasa sebagai alasan untuk melancarkan kudeta ini dan cuba merampas kuasa kerajaan secara paksa. Taraf kehidupan rakyat biasa telah jatuh lebih 50% dalam 4 tahun dan kadar kenaikan inflasi bagi beberapa barangan sudah mencecah hampir 1000% pada tahun ini. Keadaan ini telah melemahkan sokongan rakyat terhadap presiden Maduro dan kerajaan koalisi PSUV yang telah gagal untuk menyelesaikan krisis ekonomi ini. Tetapi pada masa yang sama, rakyat juga tidak memberikan sokongan kepada pihak pembangkang yang terdiri daripada ahli-ahli politik sayap kanan yang menginginkan penswastaan pesat dan mendokong polisi-polisi neo-liberal yang hanya menguntungkan golongan korporat dan kapitalis imperialis. Tambahan pula, pihak tentera yang terikat dan mempunyai kepentingan bersama dengan kerajaan Maduro telah enggan untuk memberikan sokongan kepada Guaido dan hanya mengiktiraf Maduro sebagai Presiden yang sah. Ini merumitkan keadaan dan sedang mencegah pihak pembangkang untuk melakukan rampasan kuasa dengan mudah.

Kerjasama kerajaan dan pihak kapitalis telah membuka ruang reaksi ini untuk berlaku

Terdapat perbezaan yang besar di antara percubaan kudeta yang sedang berlangsung pada waktu ini dengan percubaan kudeta yang berlaku ke atas Chavez pada 2002. Kali ini, kepimpinan sayap kanan yang korup dan bersifat parasit telah berjaya mobilisasi demonstrasi massa dalam skala yang besar. Dari bulan Mac ke Julai 2017, kepimpinan sayap kanan telah berjaya menggerakkan ribuan golongan profesional, anak muda dan pekedai dari kelas menengah di demonstrasi jalanan yang ganas dan telah menyebabkan lebih 100 kematian. Pada masa ini, bukan sahaja golongan kelas menengah, malah ramai diantara golongan kelas pekerja yang miskin juga telah mula menyertai demonstrasi yang dianjurkan oleh golongan sayap kanan akibat keadaan ekonomi dan sosial yang sedang merosot.

Apabila semua cara lain tidak menjadi, kerajaan Maduro telah melancarkan sebuah program bernama Pelan Reaktivasi Ekonomi pada Ogos lepas bagi menangani masalah ekonomi dan krisis inflasi yang dihadapi oleh Venezuela selama bertahun-tahun lamanya. Pihak kerajaan telah mengambil langkah untuk menggantikan mata wang lama dengan mata wang baru yang dikenali sebagai Sovereign Bolivar (BS) dengan harapan untuk menstabilkan nilai mata wang negara. Walaupun pada awalnya nilai mata wang baru ini ditukar pada kadar 60 BS setiap Dollar US, sekarang ia berada pada kadar 3000 BS bagi setiap USD!. Sesetengah pakar ekonomi sedang meramalkan kadar peningkatan inflasi sebanyak 6 atau 7 angka di Venezuela pada tahun ini.    

Dalam cuma beberapa hari, harga barangan dan servis telah meningkat mendadak akibat inflasi yang tidak terkawal. Misalnya, kos konsultasi klinik swasta telah meningkat dari 2 ribu BS kepada 15 ribu BS. Disebabkan oleh kemerosotan dalam sistem kesihatan awam akibat kekurangan dana kerajaan, ramai dikalangan kelas pekerja miskin juga terpaksa bergantung dengan klinik swasta yang sedang menjadi terlalu mahal setiap hari. Syarikat telefon milik negara Movilnet telah menaikkan kadar mereka dari 169 ke 1300 BS. Sebiji bawang merah boleh mencecah 500 BS atau sebiji telur berharga 250 BS! Harga barangan asas telah mula berganda setiap 19 hari sejak akhir tahun lalu. Kerajaan Maduro pula hanya menawarkan kenaikan gaji sebanyak 400% bagi semua pekerja kerajaan (dari 4500 BS ke 18 000 BS sebulan) sambil meningkatkan harga barangan dan servis kerajaan. Walaupun kelihatan seperti banyak, apabila diteliti, kenaikan itu hanya membawa nilai sebanyak 6 USD dan langsung tidak berjaya menampung kenaikan inflasi yang mencecah beribu-ribu peratus.

Kenaikan inflasi yang mendadak, bersama dengan birokrasi pihak pemerintah yang tidak bertolak ansur dengan protes dari massa, kelakuan mendisiplin pihak pekerja yang melancarkan mogok untuk mengetengahkan masalah mereka dan kemewahan atau keistimewaan yang dinikmati oleh pegawai-pegawai kerajaan yang berjawatan tinggi dan banyak lagi kelemahan dalam kepimpinan Maduro dan PSUV telah menaikkan kemarahan rakyat terhadap mereka. Atas dasar objektif ini, kuasa-kuasa sayap kanan telah memperoleh inisiatif untuk melancarkan sebuah percubaan untuk merampas kuasa kerajaan.

Tetapi kemenangan kuasa sayap kanan tidak akan berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat miskin di Venezuela. Kemungkinan besar, keadaan akan menjadi lebih teruk daripada sekarang dengan penguasaan penuh golongan korporat ke atas kehidupan rakyat biasa. Pihak Guaido pada masa ini sedang cuba untuk mendapatkan sokongan kuasa-kuasa tentera yang mempunyai ideologi sayap kanan untuk cuba menggulingkan Maduro. Jika ini berjaya, pihak sayap kanan akan cuba konsolidasi kuasa mereka dengan mengukuhkan ketenteraan, menghadkan elemen demokrasi, membuat persekutuan dengan kuasa-kuasa imperialis dunia dan menindas segala bentuk penentangan yang wujud. Posisi kepimpinan tentera merupakan persoalan yang penting dalam situasi kudeta ini.

Selama bertahun-tahun lamanya, Maduro telah terpaksa memberi konsesi yang besar dari segi kuasa ekonomi dan politik kepada kepimpinan tentera negara bagi memastikan dirinya tidak digulingkan secara paksa. Oleh itu, sebahagian besar daripada kepimpinan tentera negara Venezuela masih memihak kepada Maduro. Tetapi, situasi ini boleh berubah dengan sekelip mata kerana kepimpinan Angkatan Bersenjata Negara Bolivarian (FANB) ini juga terdiri daripada para birokrat yang hanya mementingkan agenda peribadi mereka. Dengan kekurangan sokongan daripada rakyat bagi pihak Maduro, beberapa kepimpinan tentera ini boleh dibeli oleh pihak lawan atau mengubah posisi mereka bagi memelihara kekuasaan politik dan ekonomi yang sedang dinikmati.   

Birokrasi PSUV tidak mempertahankan sosialisme

Media-media kawalan korporat dunia sedang menginterpretasi kejadian yang sedang berlaku di Venezuela sebagai kegagalan sistem sosialisme. Di Venezuela sendiri, akibat langkah kepimpinan PSUV yang melaksanakan polisi-polisi ekonomi dengan kerjasama kelas majikan di bawah retorik ‘menuju ke arah sosialisme’, kini, pihak sayap kanan telah diberikan peluang untuk mendendangkan propaganda mereka. Kuasa politik kanan sedang mempergunakan bencana ekonomi yang sedang berlaku di Venezuela untuk memperkecilkan idea sosialisme dan perjuangan kelas pekerja. Pada masa yang sama, mereka juga sedang melancarkan serangan ideologi ke atas semua organisasi dan pergerakkan yang membawa idea-idea politik kiri.

Sebenarnya, program yang dilaksanakan oleh Maduro dan kepimpinan PSUV adalah jauh dan seringkali bertentangan dengan idea sosialisme dan sangat bercanggah dengan kemahuan jutaan rakyat yang telah menyokong mereka untuk berdekad-dekad lamanya. Bersama dengan beberapa kerajaan dunia yang tidak seiring atau sedang bersaing dengan AS seperti China, Maduro sedang cuba meyakinkan dunia bahawa mereka boleh membawa Venezuela keluar dari krisis kapitalisme yang terburuk yang pernah berlaku di negara itu. Dalam beberapa tahun lepas, kerajaan Maduro telah meluluskan pemotongan gaji pekerja, pemotongan dana sosial dan pemotongan tenaga kerja yang banyak semata-mata untuk menarik pelaburan asing dan untuk mengembangkan perniagaan korporat. Langkah-langkah ini terbukti tidak berjaya memulihkan ekonomi dan hanya menghakis segala sokongan sosial yang pernah dinikmati oleh kerajaan Maduro.

Golongan kelas majikan dan korporat yang telah menandatangani pelbagai perjanjian dengan Maduro sekarang sudah mengubah posisi mereka dan sedang bergerak seiring dengan kemahuan imperialis dan kapitalis global untuk mendapatkan kawalan penuh kerajaan. Krisis ini berpunca akibat model ekonomi yang dikawal oleh birokrasi pegawai-pegawai kerajaan yang korup, tentera, dan pihak-pihak lain yang telah menikmati keistimewaan dan kemewahan dan sedang berjuang untuk mempertahankan keistimewaan tersebut. Perkataan ‘sosialisme’ hanya digunakan sebagai retorik untuk mengaburi mata jutaan rakyat bagi meraih sokongan mereka. Tindakan kerajaan ini telah menjejaskan semangat revolusi Bolivar dan membenarkan golongan reaksioner untuk berkembang.

Wujudkan Jawatankuasa Tindakan di setiap komuniti setempat dan di setiap kilang. Bina barisan bersatu kuasa kiri untuk mengalahkan kudeta dan menghentikan kapitalisme dan birokrasi.

Guaido merupakan perwakilan agenda golongan sayap kanan yang sedang berselindung dibelakang retorik keamanan dan perpaduan. Jika kuasa sayap kanan ini dibenarkan untuk mengambil kuasa, ia akan membawa bencana sosial dan ekonomi yang berterusan bagi jutaan pekerja dan petani miskin. Agenda politik dan ekonomi sayap kanan hanya boleh dilaksanakan seiring dengan penswastaan yang pesat, pemotongan tenaga kerja yang banyak, pemotongan dana sosial, penindasan terhadap kesatuan sekerja, menghancurkan organisasi kiri dan dengan meningkatkan kuasa ketenteraan dan aparatus kerajaan. Keadaan ini boleh mewujudkan situasi kekecohan yang huru-hara dan ganas dan boleh memberikan kesan yang lebih teruk daripada keadaan sekarang.

Tugas pertama bagi kelas pekerja dan lapisan rakyat yang sedar adalah untuk mengatur sebuah penentangan yang tersusun terhadap percubaan rampasan kuasa oleh sayap kanan yang sedang berlaku sekarang. Kita harus bermula dengan mengkritik dan mendedahkan agenda sebenar disebalik percubaan rampasan kuasa oleh Guaido dan sekutunya. Kita perlu menganjurkan perjumpaan awam di tempat kerja seperti di kilang-kilang untuk membincangkan mengenai bagaimana agenda kuasa politik sayap kanan akan membawa bahaya yang tidak terhingga. Pada masa yang sama, kita juga perlu mewujudkan Jawatankuasa Tindakan di setiap tempat kerja bagi mempertahankan hak pekerja dan program sosialis yang benar-benar membawa manfaat bagi majoriti rakyat. Program sosialis tersebut harus membawa perspektif bahawa kelas pekerja perlu mengambil alih kawalan bank dan industri-industri besar untuk diuruskan secara demokratik bagi mengawal inflasi, dan bagi peralihan kuasa dari birokrasi kerajaan kepada pertubuhan yang dikawal secara demokratik oleh rakyat biasa dan kelas pekerja. Kita harus menganjurkan sebuah gerakan massa bagi mempertahankan rakyat tertindas dari keganasan pihak sayap kanan.

Daripada pengalaman lepas, adalah jelas bahawa Maduro, birokrasi kerajaan dan pertubuhan kerajaan yang korup tidak boleh diamanahkan untuk mengalahkan serangan dari politik sayap kanan. Polisi Maduro, birokrasi kerajaan dan ahli-ahli politik kerajaan yang korup merupakan sebab utama bagi kebangkitan kuasa sayap kanan dan percubaan rampasan kuasa yang sedang berlaku pada masa ini. Satu-satunya cara untuk mengelakkan diri daripada tragedi yang bakal berlaku adalah dengan mewujudkan sebuah barisan bersatu kuasa politik kiri yang bebas dari pengaruh pihak Maduro dan Guaido, yang berjuang untuk memenangi kuasa kerajaan melalui pertubuhan yang demokratik dan bertekad untuk membawa program yang akan mempertahankan kepentingan kelas pekerja dan rakyat biasa menentang ancaman kapitalisme. Barisan bersatu kiri ini juga harus membezakan sosialisme yang telah dipraktik oleh kerajaan Chavez/Maduro selama ini dan membawa idea sosialisme yang benar-benar membawa aspirasi rakyat biasa, dengan meletakkan kuasa kerajaan dibawah kawalan penuh pertubuhan massa yang dikawal secara demokratik oleh kelas pekerja dan rakyat tertindas.

Rakyat Venezuela sedang kesuntukkan masa. Sebuah penentangan besar-besaran dari bawah harus dibina segera bagi menentang agenda imperialisme dan kapitalisme dan pada masa yang sama mengangkat sebuah program sosialis revolusioner yang bersifat antarabangsa. Rakyat dan kelas pekerja di seluruh dunia, bermula dari rakyat di Latin Amerika, mempunyai tanggungjawab untuk menentang percubaan rampasan kuasa yang sedang berlaku di Venezuela sekarang. Hanya kelas pekerja yang mampu untuk menyelamatkan rakyat tertindas!    

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *