Vaksin tidak boleh menyelesaikan masalah ekonomi dan politik : Bina perjuangan untuk menuntut alternatif sosialisme!

Program Imunisasi Covid19 Kebangsaan yang berharap untuk mengedarkan vaksin Covid-19 kepada seluruh penghuni Malaysia, termasuk warga asing, telahpun dilancarkan oleh PM Muhyiddin Yassin yang menerima dos pertama vaksin berjenama Pfizer baru-baru ini. Berikutan itu, sebuah risalah yang menggariskan semua butiran berkenaan program ini telah dikeluarkan ke masyarakat umum oleh kerajaan. 

Mengikut risalah tersebut, pihak kerajaan sudahpun membuat perjanjian dengan syarikat-syarikat farmaseutikal yang berkenaan untuk membeli sebanyak 65 juta dos dalam menjayakan program imunisasi ini. Walaupun kos sebenar bagi vaksin tidak diketahui akibat perjanjian rahsia dengan syarikat pengeluar vaksin yang tidak mahu mendedahkan harga jualan (bagi melindungi keuntungan mereka), kerajaan memberi anggaran RM 3 ke 5 bilion sebagai kos keseluruhan di Malaysia. 

Berbanding dengan kebanyakan negara-negara di rantau Asia Tenggara, Malaysia telah berjaya untuk membawa perancangan untuk menyediakan vaksin dalam jangka masa yang singkat. Selain Malaysia, cuma Singapura dan Vietnam dianggarkan untuk menjalankan imunisasi bagi seluruh populasi mereka sebelum akhir tahun ini atau awal tahun depan. Laos, Cambodia dan Myanmar sedang menghadapi masalah logistik dan kekurangan infrastruktur untuk mengedarkan vaksin Covid secara efektif. Indonesia pula menghadapi cabaran dari segi populasi yang besar dan kawasan negara yang luas dan Filipina belum lagi membuat sebarang perancangan yang konkrit untuk mendapatkan vaksin tersebut. 

Kekeliruan dalam jenis-jenis vaksin yang dipasarkan oleh syarikat swasta

Walaupun kebanyakan negara di rantau ini telah mendapatkan vaksin mereka dari China ( memandangkan hubungan perdagangan dan ekonomi yang lebih erat berbanding negara barat ), Malaysia membuat keputusan untuk membeli separuh daripada bekalan vaksin negara dari Pfizer. Selebihnya datang dari AstraZeneca (UK), Sinovac (China), CanSinoBio (China) dan Sputnik V (Russia). Ini bermaksud bahawa separuh daripada bekalan vaksin yang dipilih oleh kerajaan adalah jenis mRNA (teknologi baru dalam vaksin yang digunakan untuk pertama kali) dan selebihnya adalah jenis ‘Vektor Virus’ dan Virus Nyahaktif’ yang pernah digunakan berkali-kali dalam sejarah. 

Vaksin yang datang dari China dan Russia merupakan vaksin yang dihasilkan melalui pengubahsuaian terhadap virus Covid-19 yang disuntik ke dalam badan penerima vaksin. Dengan itu, sistem imun manusia dapat mengenalpasti dengan cepat bahawa virus Covid-19 adalah sebuah organisme yang berbahaya dan harus dihapuskan dengan segera. Ini akan meningkatkan kebarangkalian kepada sistem imun manusia untuk mengesan virus Covid19 dan bertindak sewajarnya. 

Manakala vaksin versi ‘mRNA’ yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal seperti Pfizer dan Moderna tidak mengandungi sebarang organisme dan merupakan sebuah molekul yang akan merangsang imunisasi manusia, tanpa sebarang komponen hidup dan dihasilkan secara sintetik. Ia berbeza daripada kedua-dua jenis vaksin lain dimana ia tidak memerlukan sebarang pengubahsuaian di dalam virus Covid-19 – yang boleh mengambil masa yang lama dan memakan kos yang tinggi. 

Walaupun, vaksin mRNA ini pertama kali digunakan dalam sejarah manusia, tetapi ianya sudahpun mula dikembangkan sejak 1970-an lagi. Kemudahan untuk menghasilkan vaksin jenis mRNA sudahpun wujud dan hanya memerlukan sedikit suntikan dana untuk dikeluarkan. Tetapi, ia tidak pernah dikembangkan sebelum ini oleh mana-mana syarikat farmaseutikal yang sudahpun memiliki teknologi ini untuk berdekad-dekad.

Motif keuntungan syarikat swasta membinasakan kehidupan rakyat biasa

Teknologi mRNA ini sememangya boleh menjadi penyelamat bagi umat manusia yang terdedah kepada pandemik-pandemik seperti Covid-19 pada masa yang akan datang. Dengan menggunakan teknologi ini, vaksin-vaksin yang memainkan peranan yang berbeza boleh dihasilkan dengan murah dan cepat. Tetapi, syarikat-syarikat gergasi yang memegang teknologi ini enggan untuk menggunakannya demi melindungi nyawa dan kesihatan rakyat biasa. Tanpa sebarang insentif untuk membuat keuntungan yang lumayan, syarikat-syarikat gergasi ini sanggup untuk melihat jutaan nyawa terkorban dengan begitu sahaja. 

Itulah yang berlaku sehingga sekarang dalam wabak-wabak yang pernah dialami sebelum ini. Contohnya wabak Ebola yang memakan nyawa ratusan ribuan penduduk di Afrika Barat secara berkala. Ataupun wabak-wabak lain seperti SARS dan MERSCOVI yang telah merebak ke seluruh dunia sebelum ini. Juga, masih ramai di kalangan populasi dunia yang sedang menjadi mangsa penyakit seperti Malaria, Denggi, Chagas dan sebagainya tanpa sebarang penawar.

Disebabkan tidak mempunyai peluang perniagaan dan pasaran yang cukup besar untuk menjamin keuntungan, syarikat-syarikat farmaseutikal yang mempunyai semua kemudahan dan teknologi, langsung tidak berusaha untuk mengeluarkan sebarang vaksin yang berkesan. Pada masa yang sama, syarikat-syarikat farmaseutikal gergasi yang bersaing di antara satu sama lain, sering merahsiahkan penemuan teknologi yang canggih untuk mengelakkan syarikat-syarikat lain daripada membuat untung dengan menggunakan teknologi tersebut. Itulah sebabnya kenapa masyarakat dunia tidak pernah terdengar mengenai teknologi mRNA yang dikatakan dapat menghasilkan pelbagai vaksin dengan kos yang rendah. 

Syarikat-syarikat farmaseutikal gergasi sanggup merahsiakan teknologi, tidak kira betapa penting teknologi tersebut, semata-mata demi melindungi keuntungan syarikat masing-masing. Apabila permintaan untuk vaksin Covid-19 melambung, syarikat-syarikat ini menuntut dana bernilai berbilion USD dari kerajaan Amerika dan Eropah dan menggunakan teknologi mRNA untuk menghasilkan vaksin dalam jangka masa yang luar biasa. Tetapi, sepertimana yang diketahui, intipati dan cara penghasilan vaksin ini dirahsiakan dan Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO) telah memberikan pengecualian kepada pengeluar vaksin mRNA untuk tidak mendedahkan ramuan mereka. 

Walaupun begitu, sejurus teknologi ini digunakan untuk pertama kali, kini, berita-berita mengenai bagaimana teknologi mRNA dapat digunakan untuk menyembuh penyakit-penyakit kronik seperti barah sudah mula kedengaran. Pastinya, pesaing-pesaing Pfizer dan Moderna sudah memulakan penyelidikan mereka sendiri dalam usaha untuk memperoleh teknologi mRNA disebabkan oleh prospek keuntungan yang besar.

Setakat ini, syarikat-syarikat farmaseutikal yang mempunyai aset bernilai berbilion-bilion ini hanya menumpukan perhatian dan menggunakan teknologi perubatan bagi mengembangkan industri kosmetik yang disasarkan kepada segelintir yang kaya dan sanggup membayar kos perkhidmatan yang lumayan. Manakala, penyakit-penyakit yang diketahui umum seperti TB, Denggi, Chagas dan Ebola pula dibiarkan untuk mengancam nyawa jutaan rakyat tanpa sebarang ubat pencegahan ataupun vaksin yang efektif. Amalan ini dapat meningkatkan keuntungan syarikat-syarikat tersebut tanpa mendedahkan teknologi-teknologi yang canggih yang mampu dipergunakan atau diperkembangkan oleh pesaing lain.  

Kerajaan-kerajaan dunia, terutamanya kerajaan Amerika Syarikat dan Britain telah melabur berbilion-bilion USD ke dalam syarikat-syarikat farmaseutikal sebagai insentif untuk menghasilkan vaksin Covid-19 dengan secepat mungkin. Berhadapan dengan malapetaka yang boleh menghancurkan ekonomi global, kerajaan-kerajaan dari negara maju tidak mempunyai sebarang cara lain selain untuk berharap kepada syarikat farmaseutikal untuk menghasilkan vaksin yang selamat dan berkesan. Tambahan pula, kebanyakan negara dunia pertama sudahpun menjanjikan pembelian vaksin ini dengan harga yang tinggi sejurus ia boleh di pasarkan, menjamin keuntungan yang sangat tinggi bagi beberapa badan korporat gergasi. 

Bukan sekadar vaksin mRNA, malah vaksin yang menggunakan virus aktif atau tidak aktif seperti Sputnik V dan Sinovac juga telah dihasilkan dalam jangka masa yang sangat cepat berbanding biasa. Ini menunjukkan bahawa walaupun teknologi perubatan yang sedia ada adalah sangat canggih dan boleh dikerah untuk menyelesaikan permasalahan manusia, ianya semua berada di tangan segelintir korporat kaya yang hanya ingin menggunakan kemajuan sains bagi menjana keuntungan peribadi mereka. Perkembangan teknologi vaksin dalam jangka masa setahun ini mendedahkan bahawa umat manusia sedang dinafikan daripada menikmati manfaat yang boleh diperolehi melalui kemajuan sains. Cuma apabila berada di ambang kemusnahan, para pemerintah dunia terpaksa memberi ‘rasuah’ kepada syarikat-syarikat gergasi untuk mempercepatkan proses mengeluarkan vaksin. 

Monopoli teknologi awam oleh syarikat swasta

Jika diteliti, syarikat-syarikat farmaseutikal gergasi seperti Pfizer dan Moderna tidak mengembangkan teknologi-teknologi perubatan dengan sendiri. Kebanyakan daripada teknologi yang dimiliki mereka, termasuk teknologi mRNA adalah dikembangkan oleh pusat penyelidikan dan institusi awam yang di dana oleh rakyat umum. Para saintis dan pekerja makmal di universiti awam, pusat penyelidikan kerajaan dan sebagainya telah berkorban masa dan tenaga untuk menghasilkan semua teknologi yang wujud. 

Bukan sekadar itu, hampir semua teknologi ini dapat dikembangkan hasil tenaga kerja para pekerja biasa yang membina segala kemudahan dan fasiliti dengan titik peluh mereka. Jutaan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat telah datang bersama dalam mengusahakan segala kemajuan teknologi dan sains yang dapat membantu umat manusia. Tetapi, segala teknologi tersebut kini diberikan kepada segelintir korporat kaya yang hanya tertumpu untuk menjana keuntungan maksimum untuk diri mereka sendiri. Bukan sekadar kesihatan dan nyawa kemanusiaan kini berada di tangan segelintir elit kaya, malah kesihatan alam semula jadi dan kelstarian dunia ini juga telah diamanahkan kepada mereka. 

Motif keuntungan yang menjadi penggerak di sebalik penghasilan vaksin-vaksin ini mewujudkan rasa tidak senang di kalangan masyarakat biasa. Vaksin-vaksin ini tidaklah dihasilkan demi melindungi umat manusia. Itu merupakan persoalan nombor dua. Vaksin-vaksin ini hanya dihasilkan demi menjamin keuntungan yang luar biasa bagi segelintir pemilik syarikat dan pemegang saham besar. Krisis Covid-19 tidak melihat sebarang kerjasama di antara syarikat-syarikat besar, berkongsi pendapat dan teknologi dan menghasilkan sebuah solusi yang efektif dan dapat menyelamatkan penghuni dunia. Sebaliknya, krisis ini menjadi medan pertempuran di antara pengeluar vaksin yang berbeza bagi merebut keuntungan yang lumayan.  

Aspek keselamatan Vaksin

Oleh kerana vaksin-vaksin Covid-19 ini dikeluarkan dalam jangka masa yang singkat berbanding vaksin-vaksin yang pernah dikeluarkan sebelum ini, ramai dikalangan rakyat biasa merasa sangsi dan khuatir untuk mendapatkan rawatan. Ini dapat dilihat di seluruh dunia dengan semakin ramai rakyat biasa dan kakitangan kesihatan yang enggan untuk menerima vaksin tersebut, terutamanya dari pengeluar yang terkenal seperti Pfizer dan Moderna. Disebabkan oleh persaingan di antara pengeluar vaksin yang berbeza, kebanyakan daripada isi kandungan vaksin yang dipasarkan adalah dirahsiakan dan tidak didedahkan kepada masyarakat umum. Tambahan pula, integriti syarikat seperti Pfizer dan AstraZeneca menjadi persoalan apabila mereka kerap kali diheret ke mahkamah dan di dapati bersalah untuk pelbagai skandal korupsi di sepanjang kewujudan mereka. 

Walaubagaimanapun, melihat kepada negara-negara yang sudahpun menerima vaksin-vaksin yang dikeluarkan, ianya belum menunjukkan sebarang tanda-tanda bahaya yang nyata kepada kesihatan manusia dalam angka yang mencemaskan buat waktu ini. Walaupun kesan jangka masa panjang masih tidak diketahui sepenuhnya, kemajuan teknologi yang wujud pada zaman ini adalah sangat berupaya untuk mewujudkan sebuah vaksin yang berkesan dan tidak membawa sebarang ancaman yang serius. Tetapi, akibat sistem ekonomi dan politik yang sepenuhnya bergantung dengan syarikat-syarikat swasta yang hanya mengutamakan keuntungan peribadi mereka, dan pada masa yang sama juga terbukti korup, keraguan yang menghantui pemikiran rakyat biasa adalah sangat munasabah. 

Kapitalisme gagal untuk melindungi manusia

Selepas lebih satu tahun dunia digegarkan dengan berita Covid-19, rakyat biasa yang sedang menghadapi ancaman kesihatan dan keruntuhan ekonomi haruslah sedar dengan kegagalan kelas pemerintah yang tidak berjaya untuk menangani masalah ini dengan sewajarnya. Ratusan ribuan pekerja miskin telah kehilangan kerja dan jutaan lain sedang terseksa dengan peningkatan beban kehidupan yang melampau. Pada waktu ini, pihak kerajaan yang sedang berharap kepada vaksin untuk menyelesaikan semua masalah yang sedang dihadapi tidak mengambil langkah-langkah yang wajar untuk melindungi rakyat biasa. 

Keadaan ekonomi global yang semakin merudum sedang mendedahkan realiti sebenar berkenaan dengan hala tuju sistem ekonomi kapitalisme. Malah kebanyakan pelopor ekonomi kapitalis sendiri mengakui bahawa ia akan memakan masa yang lama bagi kebanyakan negara dunia untuk memulihkan kesihatan ekonomi mereka seperti sedia kala. Malah, selepas pandemik Covid -19 diselesaikan sekalipun, ekonomi dunia dijangka akan terhumban ke dalam satu lagi krisis yang sudahpun berkembang sebelum ketibaan pandemik ini. Dalam keadaan pasaran dunia yang semakin merudum, jutaan rakyat biasa akan menjadi mangsa dan akan ditimpa dengan malapetaka ekonomi. 

Ekonomi Malaysia yang terikat dengan ekonomi global juga sedang terumbang ambing tanpa kawalan. Pelaksanaan program imunisasi yang berjaya sahaja tidak akan memberi sebarang jaminan untuk meningkatkan taraf hidup bagi jutaan kelas pekerja dan rakyat miskin. 

Dalam usaha untuk membendung pandemik Covid-19, kelas pemerintah telah menghabiskan sebahagian besar daripada rizab dan dana awam rakyat biasa. Rizab tersebut yang dikhaskan untuk kegunaan kebajikan rakyat dalam waktu-waktu kecemasan telah dicurahkan kepada syarikat-syarikat besar yang hampir muflis akibat pandemik ini. Manakala, rakyat biasa hanya menerima cebisan yang sedikit dan dipaksa untuk menggunakan wang simpanan hari tua mereka sendiri untuk menampung kos kecemasan Covid-19. Kelas majikan kaya yang selama ini telah menimbun keuntungan mereka langsung tidak ke hadapan dan menghulurkan sebarang bantuan dalam waktu kecemasan ini. Malah, kelas kapitalis dan kelas majikan kayalah yang paling banyak mendapat bantuan kebajikan dan dana Covid-19 untuk memastikan taraf kehidupan mereka tidak terjejas!

Pandemik Covid-19 ini telah memberi impak yang besar kepada jutaan penduduk yang terpaksa mengubah kehidupan mereka selepas ini. Bukan sekadar simpanan kecemasan mereka sudah mengecil, malah peluang pekerjaan dan perniagaan juga semakin berkurangan. Jutaan anak muda dan lepasan universiti yang sedang membuat kerja-kerja gig seperti Grabcar dan Foodpanda sedang berada dalam situasi yang rapuh, tanpa jaminan kerja dan terdedah kepada penindasan dari majikan kaya. Ribuan kelas pekerja yang menikmati kerja yang stabil sebelum ini juga sedang menyaksikan kilang-kilang mereka ditutup. Tekanan yang berlaku akibat kemelesetan ekonomi ini juga memberikan kesan kepada para suri rumah dan kanak-kanak kecil yang tidak mempunyai punca pendapatan mereka sendiri.

Jatuhkan kapitalisme dan bina alternatif sosialisme

Situasi yang muram ini haruslah membuka mata kelas pekerja, anak muda dan rakyat yang sedar akan kerakusan sistem kapitalisme yang sentiasa mengutamakan keuntungan para majikan dan kelas kapitalis walaupun dalam keadaan kecemasan seperti sekarang. Kelas kapitalis yang mempengaruhi kelas pemerintah dan kerajaan merupakan penghambat kepada kemajuan umat manusia dan tidak akan teragak-agak untuk mengancam kehidupan rakyat biasa demi keuntungan mereka. Walaupun sebelum ketibaan Covid19 sekalipun, kelas kapitalis sudahpun mengheret dunia ke arah kemusnahan dengan peperangan yang tiada kesudahan, kehancuran alam sekitar dan keruntuhan ekonomi yang berat sebelah.    

Oleh itu, bagi mengelakkan satu lagi bencana yang mengancam umat manusia dan untuk memanfaatkan segala kemajuan dan teknologi sains bagi kebaikan semua, sistem ekonomi kapitalisme ini tidak boleh dibenarkan untuk meneruskan kekuasaan mereka. Kelas pekerja dan rakyat biasa sudah mula berjuang untuk mempertahankan hak mereka di seluruh dunia. Tetapi, mereka juga harus membekalkan gerakan mereka dengan perspektif untuk melawan sistem kapitalisme yang rakus dan memperjuangkan sebuah alternatif sosialis yang akan berfungsi demi keperluan dan kebajikan kelas pekerja dan rakyat tertindas. 

Kesatuan sekerja, organisasi buruh dan anak muda haruslah berganding bahu dan melancarkan sebuah gerakan untuk membela masa depan kita semua. Kelas pemerintah dan para kapitalis yang berkuasa sedang semakin lemah disebabkan oleh kegawatan ekonomi dan sebuah perjuangan yang bersatu dan jelas dengan hala tuju akan berjaya membawa umat manusia keluar dari krisis ini dan membina sebuah masa depan yang sejahtera. 

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top