PM dan Menteri Tenaga Kerja menetapkan gaji minimum kemiskinan sebanyak Rm1100 bagi pekerja Malaysia

PM dan Menteri Tenaga Kerja menetapkan gaji minimum kemiskinan sebanyak Rm1100 bagi pekerja Malaysia

Tuntut Peningkatan Gaji Minimum dari Kerajaan PH

Posted by

Gaji Minimum RM1100 : Kerajaan PH menepati kehendak kapitalisme dengan mengabaikan kebajikan pekerja

Pada pembentangan Bajet 2019, kerajaan PH mengumumkan peningkatan gaji minimum sebanyak RM100 yang diselaraskan di seluruh Malaysia kepada RM1100. Pengumuman ini telah mewujudkan reaksi yang bercampur dari pelbagai pihak. Seperti yang dijangkakan, organisasi majikan MEF telah mencemuh langkah kerajaan dan menuduh bahawa peningkatan ini bercanggah dengan janji kerajaan kepada mereka pada bulan September lalu. Walaupun kerajaan PH menetapkan gaji minimum RM1500 dalam manifesto pilihanraya yang lalu, pada awalnya telah mengumumkan peningkatan gaji minimum sebanyak RM50 pada September lalu dan terpaksa meningkatkan angka tersebut apabila mendapat tentangan daripada kelas pekerja dan pihak Kesatuan MTUC. Pada 17 Oktober lalu, Gabungan Bantah RM1050 bersama kepimpinan MTUC, para pekerja dan organisasi lain telah berarak ke pintu Parlimen dan menyerahkan memorandum bantahan terhadap langkah kerajaan yang dilihat sebagai pengkhianatan kepada pengorbanan pekerja.
(klik di sini untuk membaca kenyataan Gabungan RM1050 pada Oktober lepas)
(klik di sini untuk membaca laporan Protes Pekerja di Parlimen menuntut gaji minimum yang adil) 

Walaupun kerajaan telah mengkaji semula dan menambah jumlah peningkatan gaji minimum ke RM100, ia masih sangat jauh daripada jumlah yang mencerminkan produktiviti sebenar kelas pekerja dan kadar kenaikan inflasi di Malaysia. Kelas pekerja, terutamanya yang bergaji rendah sentiasa bertungkus lumus membangunkan ekonomi negara, tetapi setiap kali bajet diumumkan mereka dipinggirkan. Hasilnya juga boleh dilihat dengan kadar keuntungan korporat besar meningkat pada kadar 30% setiap tahun, ketika purata kenaikan gaji masih mendatar (stagnan). Walaupun kekayaan golongan kaya 1% meningkat tanpa halangan, kekayaan majoriti rakyat biasa terutamanya dari golongan B40 semakin berkurangan, dan hutang isi rumah bagi golongan ini sudah sampai ke tahap yang kritikal. Ini bermaksud, walaupun kekayaan negara dan jutawan sedang meningkat setiap tahun, pihak kerajaan tidak sanggup untuk menghadkan keuntungan pihak jutawan kaya dan terus memangsakan jutaan rakyat biasa yang sedang ditimpa dengan kenaikan kos hidup yang tinggi.

Setakat ini, walaupun sudah jauh menjangkaui hari ke-seratus, ia masih menjadi persoalan jika PH akan mengusahakan janji-janji pilihanraya mereka. Penghapusan GST diganti dengan SST dan kroni BN kini diganti dengan kroni-kroni baru yang menyebelahi agenda kapitalisme PH. Sebahagian besar daripada laporan bajet 2019 oleh kerajaan baru merupakan sambungan polisi-polisi kerajaan sebelum ini, dan tidak mencerminkan sebarang unsur ‘reformasi’ yang dilaung-laungkan oleh PH sebelum PRU ke-14. Walaupun nama B40 diketengahkan dalam belanjawan tahun ini, jika diteliti, sebenarnya kerajaan telah membuat banyak pemotongan dana kebajikan kepada golongan ini termasuk pemotongan bantuan pendidikan, pemotongan dana bagi nelayan, petani dan penduduk luar bandar dan sebagainya. Sektor kebajikan hal ehwal wanita juga telah melihat pemotongan dana yang akan memberikan kesan kepada golongan yang paling tertindas dalam masyarakat. Pada bulan Mac lalu, Mahathir berjanji akan mengekalkan bantuan BRIM jika dipilih menjadi PM. Tetapi skim Bantuan Sara Hidup oleh kerajaan baru hanya memberikan bantuan kepada isi rumah dan mengetepikan jutaan individu miskin, terutamanya golongan muda.

Rakyat yang hidup merana di bawah pemerintahan BN yang sering menyebelahi kelas kapitalis sambil meminggirkan kebajikan rakyat biasa kini terus merana di bawah pemerintahan PH yang mempunyai sifat yang sama. Kerajaan yang menetapkan gaji kemiskinan RM1100 kepada jutaan rakyat miskin dan tidak mengubah kadar pencukaian kepada para jutawan dan kelas majikan mendedahkan kepentingan mereka yang terselindung selama ini. Segala laungan ‘reformasi’ dan perjuangan rakyat yang diangkat oleh pihak PH adalah sekadar retorik kosong yang bertujuan untuk menarik sokongan daripada rakyat biasa. Apabila menduduki tampuk kekuasaan, keutamaan dan agenda mereka untuk menyokong aspirasi golongan minoriti jutawan menjadi semakin jelas.

Walaupun pihak kerajaan sedar dengan laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara pada tahun lepas yang menunjukkan bahawa gaji kehidupan yang berpatutan adalah di sekitar RM2700 untuk seorang individu di Kuala Lumpur, ia masih sanggup menetapkan satu jumlah yang kurang separuh daripada gaji kehidupan yang disarankan oleh badan kerajaan sendiri. Malah, peningkatan gaji minimum ke RM1800 yang disarankan oleh perwakilan pekerja dan MTUC langsung tidak dilayan sama sekali. Seramai 14 juta kelas pekerja yang mengundi dan menyokong janji pihak PH untuk mengutamakan para pekerja akan kecewa dan marah dengan pengkhianatan ini.    

Setakat ini kerajaan PH sedang menggunakan hutang negara yang tinggi dan keadaan ekonomi negara yang murung sebagai alasan untuk melarikan diri daripada menunaikan janji mereka dan untuk memotong beberapa dana kebajikan rakyat. Ini merupakan alasan yang tidak boleh diterima oleh jutaan rakyat biasa yang juga sedang menghadapi krisis ekonomi dan hutang dalam kehidupan harian mereka sendiri. Sebuah kajian yang dibuat oleh Bank Negara menyatakan bahawa 3 daripada 4 rakyat Malaysia tidak dapat menampung suatu kecemasan yang akan memakan belanja RM1000. Tambahan pula, separuh daripada tenaga kerja negara hanya menerima RM1700 sebagai gaji bulanan. Pihak kerajaan seharusnya prihatin dengan situasi kelas pekerja miskin dan meletakkan polisi-polisi ekonomi yang lebih adil, terapi sepeti BN, PH juga tunduk kupada desakan kapitalisme.

Dalam situasi ini, jurang diantara golongan kaya yang mendapat jutaan ringgit setiap bulan dan majoriti kelas pekerja di Malaysia semakin melebar. Bandingkan dengan pendapatan CEO seperti Genting Lim Kok Tai yang mendapat RM170 juta atau CEO CIMB yang mendapat hampir 10 juta ringgit tahun lepas sahaja. Robert Kuok, orang terkaya di Malaysia dan salah seorang penasihat utama Perdana Menteri meningkatkan kekayaannya pada kadar 1 billion ringgit setiap tahun. Walaupun kerajaan mempunyai kuasa untuk meletakkan cukai yang tinggi kepada pihak kelas majikan bagi menampung dana kebajikan rakyat, tetapi kepimpinan kerajaan ini lebih rela untuk akur dengan kemahuan kelas kapitalis dan meminggirkan aspirasi rakyat yang mengundi untuk mereka.

Dengan pengumuman gaji minimum yang amat rendah,  MTUC yang mewakili kelas pekerja melalui pelbagai kesatuan sekerja perlu mengambil tanggungjawap dan kepimpinan untuk mengerakkan kempen gaji minimum RM1800 di seluruh Malaysia dengan penglibatan kesatuan sekerja dan warga pekerja dalam berbagai sektor pekerjaan. Melalui kempen sebegini, MTUC dan kesatuan-kesatuan sekerja juga harus membincangkan dengan pekerja tentang tindakan susulan termasuk langkah piket dan mogok nasional. Hanya dengan kekuatan pekerja sahaja satu perubahan sebenar kepada hak dan kebajikan pekerja mampu dicapai.    

Jutaan rakyat biasa dan kelas pekerja yang rasa tertipu dengan kerajaan PH perlu mencari sebuah alternatif yang akan mampu menunaikan aspirasi mereka. Jika sebuah alternatif yang sesuai belum wujud, maka ia haruslah di bina bersama dengan penyertaan daripada rakyat tertindas dari setiap lapisan masyarakat. Parti-parti arus perdana yang wujud hanya mementingkan kebajikan kelas kapitalis kaya yang kurang 1% daripada populasi negara. Kita memerlukan sebuah parti massa yang dipimpin oleh pertubuhan kelas pekerja yang demokratik dan jelas dengan hala tuju mereka. Parti tersebut harus membina sokongan melalui tuntutan rakyat dan berhujah untuk pembinaan sebuah sistem ekonomi alternatif yang akan berkhidmat untuk majoriti rakyat biasa dan bukan untuk golongan minoriti kaya 1%.    

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*