Trump Epitome Sistem Kapitalisme Global dalam Krisis : Ini masanya untuk membina penentangan solidariti kelas Pekerja bersama anak muda secara tersusun
Trump — yang memimpin suara sayap kanan, yang mengangkat langkah-langkah militeristik dalam pemerintahan kerajaan untuk mengekang gerakan massa, juga mengangkat politik yang bersifat pecah belah serta pelopor sistem ekonomi kapitalis yang menjadi asas agenda perang — bukanlah satu-satunya figura yang wujud dalam pemerintahan kerajaan dunia dalam era baru yang dipenuhi krisis.
Pada dasarnya sistem kapitalisme global tidak berkembang dengan aman sejak 50 tahun lalu. Sistem kapitalis yang berasaskan keuntungan, prinsip yang dibanggakan seperti yang disebut Lionel Barber telah membawa situasi kolonialisme dan imperialisme bagi rakyat biasa dan miskin demi agenda kelas kapitalis terutama AS dan Eropah untuk mengembangkan kuasa masing-masing. Kemusnahan akibat perang yang telah mengakibatkan korban yang besar bagi kelas kapitalis adalah perkara biasa demi prinsip sistem kapitalisme yang berasaskan keuntungan. Pada dasarnya sistem kapitalisme yang kononnya dikatakan memberikan keamanan, dan kemajuan teknologi hanyalah untuk segelintir kelas kapitalis elit dan kelas menengah sementara kelas pekerja dan anak muda hidup dalam serba sederhana dengan masa depan masa depan yang tidak menentu.
Tetapi kini, krisis ekonomi kapitalis global sedang memasuki era baru, pasca pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi yang tidak pernah diselesaikan sejak era kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2007–2008. Ini dapat disaksikan melalui hutang dunia yang sekiranya disatukan dengan hutang-hutang kerajaan mahupun syarikat-syarikat swasta, mencecah 300–325% berbanding KDNK Global, dan dijangkakan terus meningkat. Kelas kapitalis yang terdesak untuk melindungi kedudukan masing-masing menggunakan apa saja termasuk kerajaan sebagai alat untuk mengkonsolidasi kuasa dan meletakkan figura bigot seperti Trump dalam arena politik negara.
Trump — yang memimpin suara sayap kanan, yang mengangkat langkah-langkah militeristik dalam pemerintahan kerajaan untuk mengekang gerakan massa, juga mengangkat politik yang bersifat pecah belah serta pelopor sistem ekonomi kapitalis yang menjadi asas agenda perang — bukanlah satu-satunya figura yang wujud dalam pemerintahan kerajaan dunia dalam era baru yang dipenuhi krisis. Malah figura seperti Trump adalah simptom kepada krisis ekonomi global yang turut memberi impak kepada politik kerajaan kapitalis di seluruh dunia.
Di Indonesia, Prabowo Subianto, yang merupakan menantu dan general kepada diktator Suharto ketika waktunya memerintah, telah melakukan pelbagai tindakan kejam ke atas rakyat biasa yang berprotes dengan melanggar pelbagai bentuk hak asasi manusia dalam gerakan reformasi 1998. Kini di bawah pemerintahan Prabowo, menurut aktivis hak asasi dan kiri seperti Perserikatan Sosialis dalam kempen bantah militerisme di Indonesia, menyatakan Prabowo sedang membawa semula elemen-elemen ‘dwi fungsi’ yang telah digunakan ketika waktu Suharto bagi melancarkan agenda ekonomi neoliberal yang dinamakan ‘Orde Baru’.
Manakala di Filipina, Bongbong Marcos Ferdinand anak kepada diktator Marcos Junior, figura yang penuh dengan skandal korupsi dan pelanggaran hak asasi manusia, telah menjadi presiden pada tahun 2022. Media melaporkan tindakan kejam pihak berkuasa terhadap rakyat yang berprotes dengan memukul dan menahan sewenang-wenangnya termasuk kanak-kanak yang hanya memerhati. Mirip bapanya yang menggunakan kuasa untuk menindas gerakan massa melalui kekerasan. Manakala India, di bawah pemerintahan Narendra Modi, Hindu nasionalisme dan kebencian terhadap golongan Muslim — seringkali terarah ke Pakistan, dipergunakan untuk mengukuhkan kuasa politik. Termasuk posisi mereka terhadap Israel yang semakin rapat. Menurut Modi, Israel dan India mempunyai musuh yang sama iaitu golongan Muslim. Begitu juga Netanyahu yang merupakan pemimpin bagi kerajaan paling sayap kanan sejak kewujudan Israel.
Negara yang telah disebut sebagai contoh setiap darinya sedang menghadapi situasi ekonomi krisis impak dari krisis ekonomi global. Malah di Israel itu sendiri sebelum pandemik COVID-19 gerakan protes dan aksi pekerja menuntut hak ekonomi dan keselamatan yang lebih baik telah pun tercetus. Kini kerajaan Netanyahu sedang berhadapan dengan kebangkitan massa oleh rakyat Israel menuntut kerajaan membawa pulang rakyat yang ditangkap oleh Hamas terutama dalam kejadian 7 Oktober 2022 yang lalu, sekaligus menuntut kerajaan Israel menghentikan peperangan yang tidak bermoral di Gaza.
Di Malaysia walaupun situasi gerakan massa tidak terekspresi seperti di Indonesia atau Filipina, namun disebabkan krisis ekonomi global, kerajaan Anwar telah mengambil peluang sebagai pengerusi ASEAN tahun ini untuk menjemput Trump ke Malaysia. Menurut kerajaan, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini harus mengambil langkah yang pragmatik agar ekonomi di rantau ini dapat kekal stabil dalam era perang dagang antara kuasa kapitalis terbesar seperti AS dan China. Lawatan Trump juga menurut kerajaan akan digunakan sebagai peluang untuk ‘memujuk’ agar Netanyahu menghentikan perang di Palestine.
Ini adalah alasan semata-mata demi memuaskan kehendak kelas kapitalis negara dan Asia Tenggara untuk terus mengeksploitasi kelas pekerja dan sumber alam. Lebih-lebih lagi dalam era persaingan kemajuan teknologi kecerdasan buatan AI dan kenderaan bertenaga elektrik, keuntungan yang dapat ‘dilombong’ melalui pertemuan ASEAN Summit bersama Trump adalah sesuatu yang amat dinantikan bagi kelas kapitalis elit. Rantau Asia Tenggara yang kaya dengan sumber alam semula jadi seperti di Indonesia yang memiliki sumber nikel terbesar di dunia, adalah peluang bagi kelas kapitalis untuk menadah keuntungan. Sementara agenda untuk hak kelas pekerja dan miskin serta kelestarian alam sekitar adalah agenda sampingan.
Dalam era di mana figura seperti Donald Trump yang menjadi simbol keruntuhan sistem kapitalisme global, satu keruntuhan struktur yang menempatkan kelas pekerja sebagai mangsa utama. Sistem kapitalis yang tidak lagi mampu membawa keamanan atau kesejahteraan bagi majoriti, kini menuntut satu perubahan radikal yang disusun oleh kelas pekerja, bersama anak muda dan seluruh rakyat tertindas.
Ini masanya untuk membina penentangan kelas yang tertindas secara tersusun. Kesatuan sekerja seperti MTUC yang seharusnya memainkan peranan menyusun kelas pekerja telah mendedahkan lemahnya kemahuan politik untuk berjuang menghapuskan sistem kapitalis yang barbarik dan menindas ini. Ini juga menekankan keperluan yang mendesak untuk membina sebuah platform pekerja yang mandiri dan anti kapitalis. Kesatuan sekerja yang secara alaminya memainkan peranan untuk membawa perjuangan kelas pekerja — asas bagi pembinaan parti pekerja untuk membawa politik kelas pekerja yang lebih progresif harus dibina. Begitu juga anak muda dan pelajar yang harus turut menyusun bersama-sama solidariti kelas pekerja untuk membina penentangan yang kukuh.
Sistem kapitalisme sistem barbarik, ayuh gantikannya dengan sistem yang dipimpin oleh kelas pekerja, disokong oleh anak muda dan rakyat biasa secara demokratik iaitu sosialisme.
Tuntutan dan Program Perjuangan Kelas Pekerja
1. Hentikan Sistem Kapitalisme Barbarik – Gantikan dengan Sosialisme Demokratik
- Gantikan sistem ekonomi berasaskan keuntungan dengan ekonomi sosialis demokratik yang dikawal secara demokratik oleh kelas pekerja dan rakyat biasa.
- Meletakkan sektor strategik seperti tenaga, air, pengangkutan, pendidikan, kesihatan, dan sumber semula jadi di bawah kawalan kelas pekerja secara demokratik.
- Hapuskan kebergantungan terhadap modal asing dan korporat global yang mengeksploitasi buruh dan sumber Asia Tenggara.
2. Perjuangan Kelas Pekerja yang Tersusun
- Bangunkan semula peranan kesatuan sekerja sebagai alat perjuangan kelas pekerja — bukan sekadar perunding gaji, tetapi jentera politik untuk perubahan sosial.
- Tubuhkan Majlis Aksi Pekerja dan Anak Muda di tempat kerja, kilang, kampus dan komuniti untuk menyusun aksi massa melawan dasar kapitalis dan kerajaan pro-korporat.
- Tuntut hak mogok, hak bersuara, dan kebebasan berorganisasi tanpa sekatan undang-undang.
3. Bina Parti Pekerja yang Mandiri dan Anti-Kapitalis
- Bina parti politik pekerja yang bebas dari pengaruh kapitalis, berasaskan prinsip demokrasi pekerja dan anti-imperialisme.
- Satukan gerakan kiri, progresif, sosialis dan kesatuan akar umbi untuk membina alternatif politik baharu kepada kerajaan korup dan neoliberal hari ini.
- Guna ruang pilihan raya dan aksi massa untuk mengangkat suara kelas pekerja dan anak muda secara tersusun.
4. Solidariti Antarabangsa dan Anti-Imperialisme
- Tolak semua bentuk penjajahan dan imperialisme moden, termasuk kerjasama ekonomi atau militer dengan kuasa besar seperti AS dan Israel.
- a perjuangan rakyat Palestin, pekerja Indonesia, Filipina, dan seluruh dunia menentang kapitalisme global dan penindasan rejim autoritarian.
- Galakkan aksi solidariti antarabangsa seperti Global Sumud Flotilla dan kempen anti-perang di Asia Tenggara.
5. Keadilan Ekonomi dan Sosial untuk Pekerja dan Anak Muda
- Tuntut kenaikan gaji minima sejajar dengan inflasi sebenar, penghapusan sistem kontrak dan pekerjaan tidak tetap.
- Turunkan kos sara hidup dengan mengawal harga makanan, perumahan, pendidikan dan kesihatan.
- Jaminan kerja untuk semua melalui pelaburan awam dalam tenaga hijau, pengangkutan awam, perumahan dan infrastruktur rakyat.
- Bina semula sistem pendidikan awam percuma dan berkualiti untuk melahirkan generasi muda yang kritikal dan berdaya juang.
- Menghapuskan hutang-hutang yang menjerat kelas pekerja ke dalam lembah kemiskinan.
6. Demokrasi Sejati dan Hak Asasi Rakyat
- Hentikan penindasan terhadap aktivis, pelajar, pekerja dan petani.
- Tuntut hak kebebasan berhimpun dan bersuara tanpa ugutan undang-undang seperti Akta Hasutan dan undang-undang keselamatan yang menindas.
- Demokrasikan institusi negara — polis, tentera, mahkamah dan media mesti dikawal oleh rakyat, bukan elit kapitalis.
7. Keadilan Alam Sekitar dan Ekonomi Hijau untuk Rakyat
- Hentikan pembalakan dan perlombongan yang merosakkan alam sekitar demi keuntungan kapitalis.
- Kembangkan pelan ekonomi hijau yang dikawal oleh pekerja dan komuniti — bukan syarikat multinasional.
- Pertahankan hak masyarakat Orang Asli dan penduduk tempatan terhadap rampasan tanah dan eksploitasi korporat.
8. Pembinaan Jaringan Solidariti Pekerja Serantau dan Antarabangsa
- Tidak kepada model ASEAN yang berpihak kepada kelas kapitalis — ke arah pembinaan kerjasama sesama kelas pekerja di Asia Tenggara yang bertujuan untuk membebaskan kelas pekerja daripada penindasan kelas kapitalis.
- Ke arah penubuhan federasi sosialis Asia Tenggara dan pembinaan kerjasama antarabangsa sesama kelas pekerja di seluruh dunia.
Kongsi Artikel Ini
Artikel Berkaitan