Thailand : Kebangkitan Anak Muda dan ketidakpopularan rejim junta

Thailand : Kebangkitan Anak Muda dan ketidakpopularan rejim junta

Posted by

Sejak awal tahun ini, Thailand telah menyaksikan kebangkitan anak muda yang telah melancarkan protes besar-besaran di beberapa bandar utama dan institut pengajian tinggi. Walaupun pada awalnya hanya tertumpu di IPT tertentu, protes-protes tersebut sudahpun mula tersebar ke jalan raya dan disertai oleh kelas pekerja dan rakyat biasa. Gerakan ini telah terhenti seketika apabila dunia dilanda dengan pandemik Covid19 dan telah kembali muncul aktif sejak bulan Julai lalu.

Reaksi daripada anak muda dan mahasiswa Thailand ini terjadi apabila kerajaan yang dikawal oleh pertubuhan tentera telah mengharamkan salah sebuah parti politik pembangkang, Future Forward Party yang telah meraih sokongan anak muda di PRU lepas. Walaupun insiden ini menjadi pencetus untuk gerakan demokrasi di Thailand terbaru, sememangnya negara ini sedang dalam sebuah krisis politik yang berpanjangan untuk hampir 2 dekad. Sejak kudeta tentera pada tahun 2006 yang menggulingkan pemerintahan Thaksin Shinawatra, kelas pemerintah Thailand belum berjaya menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil melalui PRU yang adil.

Mengambil kira sejarah, Thailand sudah mengalami sebanyak 12 kudeta dan 7 percubaan kudeta sejak tahun 1932. Golongan pemerintah di Thailand telah berulang kali gagal untuk membina sebuah sistem ekonomi kapitalis di bawah struktur pemerintahan yang kukuh. Thailand juga tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa kolonial. Monarki di Thailand telah berjaya mengekalkan kuasa mereka secara turun-temurun dengan memberikan kerjasama kepada golongan penjajah untuk menubuhkan sistem kapitalisme yang patuh pada pasaran bebas dan aturan yang ditetapkan oleh kuasa-kuasa kolonial besar.

Dengan menggunakan kuasa tentera dan propaganda nasionalis yang patuh kepada golongan monarki, kerajaan-kerajaan di Thailand sering tidak berupaya untuk mengekalkan kestabilan. Ia sering melihat percanggahan dalaman dan penentangan daripada rakyat biasa. Dalam 15 tahun ini, Thailand sudah mengalami 2 kudeta, satu apabila kerajaan Thaksin Shinawatra telah digulingkan oleh tentera pada 2006 dan kedua apabila kerajaan pimpinan adik Thaksin, iaitu Yingluck Shinawatra telah digulingkan pada 2014.

Jika diteliti, figura politik yang menjadi mangsa penindasan tentera seperti Thaksin dan Yingluck berserta parti mereka iaitu Pheu Thai merupakan perwakilan kapitalisme yang saling bermusuhan dengan golongan kapitalis yang rapat kepada monarki dan tentera. Thaksin dan Yingluck merupakan golongan usahawan yang menginginkan sebuah struktur kapitalisme yang lebih bebas daripada cengkaman monarki dan tentera yang dilihat sebagai sedang menghambat perkembangan ekonomi di Thailand. Manakala golongan monarki dan birokrasi tentera pula mempunyai kepentingan peribadi dalam ekonomi Thailand yang dikawal oleh kroni-kroni mereka.

Dalam konflik antara dua perwakilan kapitalis yang berbeza, Pheu Thai, Thaksin dan Yingluck menggunakan agenda populisme untuk mendapatkan sokongan rakyat. Mereka menjanjikan pelbagai insfrastruktur bagi populasi miskin dan memberikan sagu hati berbentuk wang duit, komputer, perkakas rumah, barangan makanan dan sebagainya pada waktu pemerintahan mereka. Oleh itu, kem ini berjaya meraih sokongan daripada rakyat miskin, terutamanya dari golongan petani dari utara Thailand dalam angka yang banyak. Penyokong Thaksin dan Yingluck digelar sebagai gerakan ‘Baju Merah’ dan pernah melancarkan protes-protes gergasi yang dapat melumpuhkan ekonomi Thailand. Gerakan massa ini dilihat berkembang apabila berlakunya kudeta politik, tetapi berjaya dikawal oleh kuasa tentera yang menggunakan kekerasan.

Perwakilan politik bagi golongan monarki dan birokrasi tentera pula merupakan Parti Demokrat yang dipimpin oleh bekas perdana menteri Abishek Vejjajiva. Sejak kehilangan kuasa pada pilihan raya tahun 2005, birokrasi tentera telah mencuba beberapa kali untuk memberikan kuasa kepada Parti Demokrat, tetapi mereka gagal untuk mendapat sokongan di kalangan rakyat. Akibatnya, pihak tentera telah terpaksa untuk mengambil kuasa untuk jangka masa yang panjang dan melaksanakan penggubalan perlembagaan negara bagi menjamin kawalan birokrasi tentera ke atas Thailand sebelum melakukan pilihan raya baru. Penyokong Parti Demokrat diketahui sebagai ‘Baju Kuning’ dan mempunyai sokongan dari kalangan masyarakat yang berada yang bertempat di Bangkok. Tetapi, kuasa utama mereka adalah bergantung dengan propaganda nasionalis yang mengangkat monarki dan institusi tentera.

Pada 2014, selepas kemenangan Parti Pheu Thai dan Yingluck menjadi PM, tentera Thai di bawah arahan general Prayut Chan Ocha telah melancarkan kudeta dan mengambil alih kerajaan Thailand di bawah naungan National Council of Peace and Order (NCPO). Walaupun menjanjikan sebuah PRU dalam masa terdekat, ia telah mengambil 5 tahun sebelum rakyat dapat memilih kerajaan mereka sendiri. Dalam jangka masa ini, kerajaan junta telah menggubal perlembagaan, memperkenalkan beberapa undang-undang yang menindas hak demokrasi rakyat dan mewujudkan sebuah sistem pilihan raya yang rumit dan berpihak kepada birokrasi tentera. Kerajaan junta juga menggunakan kuasa mereka untuk mengharamkan beberapa pertubuhan pembangkang, aktivis dan pihak media yang bersuara menentang penindasan tentera.

Selepas menunggu untuk 5 tahun, akhirnya PRU Thailand telah berlangsung pada 2019. Walaupun wujud pelbagai manipulasi dan taktik kotor untuk menjayakan parti Palang Pracharat yang ditubuhkan oleh birokrasi tentera dan dipimpin oleh Payuth Chan Ocha, masih lagi Pheu Thai telah berjaya mendapat undi yang terbanyak, sebanyak 136 kerusi Parlimen. Palang Pracharat telah mendapat 116 kerusi dan sebuah parti yang baru ditubuhkan, Future Forward Party telah mendapat 81 kerusi. Walaupun begitu, proses pemilihan Perdana Menteri telah diubah daripada sebelum ini dan seramai 250 orang Senator yang dipilih oleh tentera juga akan mengundi untuk memilih PM. Oleh itu, walaupun tidak mendapat majoriti di PRU, Prayuth Chan Ocha telah berjaya menjamin posisinya sebagai PM dengan menggunkanan sokongan 250 senator tersebut. Calon yang benar-benar mendapat majoriti di Parlimen berdasarkan kepada ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat adalah pemimpin parti FFP, Thanathorn Juangroongruangkit.

Dengan sokongan yang tipis di dalam Parlimen, walaupun Prayuth Chan Ocha dapat menjadi PM dan menubuhkan kabinet, dia masih lagi tidak mempunyai kebebasan untuk menggubal undang-undang dan bertindak sesuka hati mereka. Tambahan pula, parti-parti pembangkang di Parlimen juga telah menubuhkan blok ‘anti-junta’ dan sangat vokal dalam kritikan mereka terhadap kerajaan yang dianggap sebagai tidak demokratik dan tidak dipilih oleh rakyat. Di kalangan rakyat biasa, kerajaan pimpinan Prayuth dilihat sebagai sebuah kerajaan yang korup, tidak demokratik dan tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Pada masa yang sama, selepas kematian Raja Bumiphol yang popular dikalangan rakyat pada 2017, tentera Thailand sudah mula kehilangan keyakinan dan kredibiliti, terutamanya apabila pengganti kepada Bumiphol iaitu anaknya Vajralongkorn merupakan seorang figura yang tidak digemari oleh rakyat. Vajralongkorn dianggap sebagai seorang pemimpin yang tidak bertanggung jawab dan sering terlibat dalam skandal-skandal yang tidak bermoral. Raja Thailand juga merupakan monarki yang terkaya di dunia dengan kekayaan yang dianggarkan boleh mencecah 45 Bilion Dolar Amerika.

Pada masa yang sama, juga wujud sebuah konflik dalaman di kalangan monarki. Pada PRU 2019, kakak raja Vajralongkorn, Ubolratana telah di namakan sebagai calon PM bagi sebuah parti baru yang membangkang kerajaan junta. Tetapi, langkah ini telah meraih cemuhan daripada raja Vajralongkorn dan kerajaan junta telah mengharamkan Ubolratana daripada bertanding.

Dalam keadaan ini, dengan ketidakstabilan dan kehilangan kawalan kerajaan, Prayuth Chan Ocha dan rejimnya telah mula meningkatkan penindasan terhadap parti-parti pembangkang. Pemimpin FFP telah dimasukkan ke dalam penjara di atas tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dan parti FFP sendiri telah diharamkan tidak lama selepas itu. Tindakan ini telah meraih kemarahan rakyat, terutamanya anak muda yang telah mencetuskan gerakan-gerakan protes yang disaksikan pada waktu ini.

Walaupun parti FFP mendapat sokongan daripada anak muda Thailand, tetapi parti ini juga merupakan perwakilan kepada kelas kapitalis yang hampir sama dengan parti-parti lain seperti Pheu Thai. Pemimpin FFP merupakan seorang jutawan yang berasal dari sebuah dinasti usahawan yang kaya. Walaupun dianggap sebagai membawa agenda progresif yang telah berjaya memikat sokongan dari anak muda, parti ini juga tidak membawa sebarang jalan penyelesaian yang konkrit kepada masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat Thailand. FFP hanya ingin mereformasi sistem kapitalisme supaya ia dapat berfungsi demi para kapitalis yang bersehaluan dengan mereka. Tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan bahawa rakyat biasa akan mendapat manfaat jika parti ini mengambil alih kawalan kerajaan.

Dalam perkembangan sistem kapitalisme, struktur politik Thailand sedang porak peranda dengan konflik di antara kapitalis kroni yang secara tradisional telah memerintah negara ini dan kapitalis antarabangsa yang ingin membuka pasaran Thailand dan ingin mendominasi kerajaan. Rakyat biasa yang menjadi mangsa krisis ekonomi, keganasan kerajaan dan pemerintahan kuku besi dari rejim tentera tidak mempunyai satu kepimpinan yang benar-benar mewakili kepentingan mereka.

Di rantau Asia Tenggara, Thailand merupakan negara yang paling teruk terkesan dengan penularan pandemik Covid19 yang melihat kehancuran ekonomi pelancongan mereka. Akibat pergantungan dengan industri pelancongan, ekonomi Thailand dijangka akan menyusut hampir 10% pada tahun ini. Kadar pengangguran di Thailand juga dijangka akan mencecah sebanyak 25% tanpa mengambil kira jutaan pekerja informal yang tidak terdaftar di dalam perangkaan negara. Tambahan pula, rakyat juga sedang menghadapi sebuah krisis politik yang sedang berpanjangan selama lebih 15 tahun.

Kelas pekerja dan rakyat biasa di Thailand kini memerlukan sebuah parti pekerja massa yang boleh menyatukan semua perjuangan rakyat dan berjuang demi kehendak majoriti. Semua parti-parti yang wujud di Thailand, termasuk pertubuhan anti-junta seperti Pheu Thai dan FFP, merupakan perwakilan kepada kapitalis minoriti yang bercanggah dengan kepentingan rakyat majoriti biasa. Akhirnya, parti-parti yang kononnya progresif juga akan mengeksploitasi kelas pekerja Thailand dan menindas mereka apabila berjaya mendapat kuasa. Kemarahan rakyat hanya akan digunakan untuk membentuk sistem kapitalisme yang lebih digemari oleh sekelompok kapitalis jika golongan ini dipilih untuk memimpin negara.

Anak muda dan mahasiswa yang sedang melancarkan aksi protes di jalanan telah semakin berani dan juga mengangkat tuntutan yang berbentuk anti-monarki disamping tuntutan untuk mendapatkan demokrasi. Tindakan anak muda ini sangat berani apabila mengambil kira bahawa di Thailand, sebarang kritikan terhadap golongan monarki akan mengakibatkan hukuman penjara yang berat. Oleh itu, kritikan-kritikan terhadap golongan monarki adalah sangat jarang didengari di negara ini.

Pada masa yang sama, anak muda juga harus mengangkat tuntutan dan program-program kelas dan ekonomi bagi menarik kelas pekerja dan golongan petani ke dalam gerakan demokrasi ini. Para mahasiswa juga harus meletakkan tekanan kepada organisasi dan kepimpinan kelas pekerja seperti Kesatuan Sekerja untuk memimpin gerakan ini dan melancarkan aksi-aksi protes seperti mogok umum dan sebagainya bagi melawan rejim yang tidak demokratik.

Pada masa yang sama, Thailand juga memerlukan penubuhan sebuah parti revolusioner yang boleh membawa perspektif politik yang jelas kepada gerakan massa dan kelas pekerja. Sebuah perubahan yang bermakna bagi rakyat tidak boleh dicapai selagi sistem kapitalisme masih berkuasa. Oleh itu, sebuah alternatif iaitu sistem sosialisme yang berfungsi demi rakyat biasa haruslah menjadi landasan kepada perjuangan rakyat. Hanya sistem sosialisme akan dapat mengagihkan kekayaan dengan adil, mewujudkan sebuah kepimpinan yang demokratik dan membawa sebuah masa depan yang sejahtera kepada rakyat Thailand dan dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*