Catalonia/Sepanyol: Aksi massa diperlukan untuk menjatuhkan kerajaan PP!

Untuk Sebuah Republik Sosialis Catalan! Pada 1 Oktober lalu, hampir di setiap pelosok, negeri Catalonia menjadi huru-hara seakan-akan berada di bawah pemerintahan tentera. Beribu-ribu polis dan penguat-kuasa sivil – yang dihantar oleh kerajaan Partido Popular (Partai Rakyat / PP) dan Jabatan Kehakiman Negara – telah menggunakan kekerasan yang melampau untuk menghalang pemungutan suara dalam referendum pembebasan Catalonia dan melakukan keganasan terhadap puluhan ribu rakyat biasa. Mereka menghancurkan panel kaca sekolah dan mencuri kotak-kotak undi. Lebih 400 buah sekolah menjadi mangsa tindakan ganas ini. Kerajaan persekutuan yang ingin meneruskan penjajahan mereka terhadap rakyat Catalonia sedang melakukan apa sahaja bagi menindas sebarang gerakan rakyat yang sedang menuntut kemerdekaan daripada kawalan Sepanyol. Beratus-ratus cedera Menurut data rasmi, seramai 844 orang telah tercedera dalam pergelutan dengan pihak penguasa dan dua daripada mereka berada dalam keadaan serius di hospital Barcelona. Imej dan rakaman ribuan pasukan polis yang bertindak dengan ganas terhadap penduduk Catalan bagi menghalang mereka dari mengekspresi diri secara demokratik, sedang tersebar ke seluruh dunia. Media antarabangsa sedang membandingkan tindakan-tindakan penindasan ini dengan zaman pemerintahan diktator Franco yang berakhir pada tahun 70-an. Imej-imej rejim Franco telah kembali dan kali ini dikuatkuasakan oleh Perdana Menteri Rajoy bersama sokongan golongan sayap kanan nasionalis Sepanyol. Tindakan mereka untuk cuba menghukum rakyat Catalonia yang sedang menuntut kemerdekaan telah meraih kemarahan berjuta-juta anak muda dan kelas pekerja negeri tersebut. Pelajaran politik tentang apa yang berlaku di Catalonia akan direkodkan dalam kesedaran berjuta-juta orang, baik dari Catalonia dan juga di seluruh dunia. Justifikasi bahawa PP dan pemerintahnya ‘hanya menerapkan undang-undang yang wujud’, tidak dapat melindungi fakta bahawa undang-undang itu sendiri tidak adil, tidak demokratik dan menindas aspirasi berjuta-juta rakyat Catalonia. PSOE [Partido Socialista Obrero Español – parti sosial-demokratik] pula, nampaknya lebih gemar membuat sekutu dengan penindas PP daripada mengakui hak rakyat Catalonia untuk menentukan masa depan mereka. Kemuflisan politik kepimpinan PSOE Semua harapan yang ada bahawa kepimpinan baru PSOE di bawah Pedro Sanchez akan membawa parti ini balik ke pangkuan perjuangan rakyat telah hancur sama sekali dengan pendirian mereka dalam persoalan pembebasan nasional masyarakat Catalonia. Keterlibatan para pemimpin PSOE dengan PP dalam cubaan untuk menindas rakyat Catalonia dan menghalang mereka daripada mengundi pada 1 Oktober akan tercatat dalam sejarah parti demokrasi sosial itu sebagai satu titik hitam. Hujah-hujah kepimpinan PSOE dan Pedro Sanchez yang mempertahankan nasionalisme sayap kanan dan kekerasan polis terhadap rakyat biasa mencerminkan kemuflisan politik yang sedang dialami oleh parti bersejarah ini. Para pemimpin PSOE mendedahkan akibat buruk yang boleh mucul daripada memeluk nasionalisme Sepanyol dan bergabung dengan kelas pemerintah. Mereka bukan sahaja meninggalkan kedudukan sosialis mengenai persoalan nasional – yang sentiasa mempertahankan hak penentuan nasib sendiri bagi negara-negara yang ditindas – tetapi mereka juga cuba lari dari tanggungjawab mereka dengan menggunakan retorik “rundingan” dan “dialog”. Hujah bahawa referendum ‘1-O’ adalah sebuah ‘kudeta’ atau ‘anti-demokratik’ kepada penduduk Catalan adalah sebuah bohong besar yang cuba diputarkan oleh media kawalan kapitalis Sepanyol. Sekiranya Kerajaan Persekutuan PP, Parti nasionalis Ciudadanos dan kepimpinan PSOE sangat yakin bahawa rakyat Catalonia tidak mahu berpisah daripada Sepanyol, maka mengapa tidak membenarkan pungutan suara tersebut berlangsung dengan aman? Mengapa cuba menghalang orang daripada mengundi dengan menggunakan kekerasan daripada pihak berkuasa? Perlembagaan 1978 Jutaan anak muda, kelas pekerja dan warga Catalan telah mempersoalkan sifat otoritaris dan oligarkis rejim kapitalis yang ditubuhkan pada tahun 1978. Bagi membantutkan segala gerakan revolusi yang wujud, para kapitalis Sepanyol dan pemimpin organisasi kiri (PCE [Parti Komunis Sepanyol] dan PSOE) mencapai persetujuan untuk melanjutkan sistem kapitalisme demi mengekalkan beberapa konsesi demokratik yang telahpun dimenangi oleh perjuangan rakyat di jalan raya. Dengan cara ini, transformasi masyarakat ke arah sosialisme telah dihalang dan para kapitalis berjaya mengekalkan kawalan mereka melalui rejim monarki dan struktur politik parlimen yang mengekalkan unsur-unsur pemerintahan kuku besi. Perlembagaan 1978 telah membawa banyak perubahan sosial, tetapi aparatus kerajaan kapitalisme terus dipelihara; badan kehakiman, polis dan kuasa tentera kekal di tangan golongan reaksioner yang sama. Sudah tentu ekonomi “pasaran bebas” dan jaminan kuasa mutlak bagi para kapitalis juga tidak dipersoalkan, dan hak penentuan nasib sendiri untuk Catalonia, Basque dan Galicia dinafikan sama sekali. Kelas pekerja dan anak muda dari seluruh dunia harus memahami bahawa nasib penduduk Catalonia juga akan melanda kita semua. “Orang yang menindas orang lain tidak boleh merasai kebebasan,” kata Karl Marx. Itulah sebabnya gerakan-gerakan buruh sepanjang sejarah sering menjulang bendera perjuangan pembebasan nasional dan hak untuk menentukan nasib sendiri bagi masyarakat yang tertindas sebagai sebahagian daripada perjuangan ke arah sosialisme. Hari ini di Catalonia, kita sedang berjuang untuk kebebasan demokratik yang sepatutnya sudahpun dimenangi pada tahun 1970-an. Jika hari ini kerajaan persekutuan membalas dengan kekerasan bagi tuntutan demokrasi rakyat Catalonia, apakah yang akan berlaku keesokan hari? Jawapannya tidak sukar untuk difikirkan. Besok mereka akan meningkatkan penindasan terhadap semua yang bangkit melawan ketidakadilan dan menyoal penindasan dan pemerintahan mereka. Mereka akan meluluskan undang-undang baru, langkah-langkah penindasan yang luar biasa dan tidak akan teragak-agak untuk melangkaui zaman kediktatoran Franco. Kelas pemerintah Sepanyol menyediakan serangan baru terhadap Catalonia Referendum 1 Oktober menandakan titik perubahan dalam perjuangan kelas bukan sahaja di Catalonia, tetapi di seluruh negara Sepanyol. Akibat tindakan regresif, kelemahan pemerintahan PP sedang semakin terdedah dan legitimasinya sudah mula dipersoalkan. Percubaan PP dan kuasa-kuasa sayap kanan untuk memobilisasi demonstrasi bantah referendum juga mengundang persoalan dimana kumpulan-kumpulan ekstremis yang hadir telah menyayikan lagu-lagu berunsur fasisme. Walaubagaimanapun, demonstrasi anjuran PP telah menghadapai kegagalan dengan kekurangan hadirin dan dikalahkan oleh demonstrasi massa yang membawa aspirasi pembebasan Catalonia. Seperti dalam semua peristiwa sejarah yang besar, tindakan langsung massa dan campur tangan revolusioner mereka yang telah mengubah keseluruhan senario. Rejim politik Sepanyol, dari segi penguasaan kapitalis yang berdiri teguh selama empat dekad, kini sedang huyung-hayang dilanda krisis. Keputusan Generalitat [kerajaan Catalonia] untuk membentangkan hasil referendum sebelum sidang Parlimen (kira-kira 2,100,000 undi – 90% memihak kepada pemisahan dengan negara Sepanyol), merupakan sebuah berita ngeri di kalangan kelas pemerintah Sepanyol. Cabaran yang begitu besar telah memaksa kerajaan PP untuk memberikan ancaman rampasan kuasa terhadap institusi Catalan, membubarkan kerajaan Catalan dan menamatkan autonomi yang dinikmati. Editorial akhbar El Mundo berkata: “Dalam menghadapi pemberontakan ini terhadap pemerintahan yang sah, dan dalam konteks revolusioner yang merangkumi seruan dari organisasi buruh untuk