INDONESIA : 50 Tahun Selepas Pembunuhan Massal
Sempena memperingati lebih satu juta mangsa yang terkorban dalam peristiwa pembunuhan massal yang berlaku di Indonesia pada 1965, kami menerbitkan kembali artikel yang ditulis pada tahun lepas. Jika kita menyusun senarai tragedi kemanusiaan yang paling kejam pernah berlaku dalam dunia moden ini, maka pembunuhan besar-besaran terhadap orang-orang yang dituduh komunis di Indonesia sudah pasti berada dalam urutan lima terbesar. Dalam tempoh tiga tahun sahaja (1965-1968), pembunuhan terancang terhadap ahli dan penyokong Parti Komunis Indonesia (PKI) telah menamatkan riwayat lebih satu juta nyawa. Tahun 2015 ini, telah lima puluh tahun peristiwa berdarah itu berlalu, tetapi kontroversi sejarah mengenainya masih tiada penghujungnya. PERKEMBANGAN PKI PKI yang ditubuhkan pada tahun 1921 adalah pertubuhan politik pertama yang menggunakan nama ‘Indonesia’ sebagai nama organisasi di kawasan yang pada masa itu masih disebut sebagai Hindia Belanda. Dipimpin oleh anak-anak muda seperti Semaun dan Tan Malaka, PKI berjaya mendapat sokongan rakyat kebanyakan, termasuk bekas ahli Syarikat Islam. Pada tahun 1926, PKI melancarkan satu pemberontakan terhadap Belanda di pelbagai daerah. Tindakan ini ditumpaskan oleh pemerintah, dan ramai pemimpinnya ditahan atau melarikan diri ke luar negara. Perdebatan dalaman mengenai strategi pemberontakan itu juga menyebabkan parti itu berpecah. Pada masa inilah sokongan terhadap Parti Nasionalis Indonesia (PNI) di bawah pimpinan Soekarno meningkat. Walaupun Indonesia sudah mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 1945, Belanda baru sepenuhnya melepaskan seluruh daerah kekuasaannya kepada pemerintah Indonesia pada tahun 1948. Sebelum ini, para pemimpin PKI selepas pemberontakan 1926 tetap bergerak di bawah tanah sama ada di Hindia Belanda atau di luar negara dengan misi membina semula parti . Atas arahan Stalin, PKI yang baru mula kembali aktif di bawah pimpinan Muso melakukan sebuah tindakan insurgensi di bandar Madiun, Jawa Timur. Tindakan pramatang ini berjaya ditumpaskan oleh tentera dan sekali lagi PKI mesti memulakan untuk membina parti dari awal lagi. Pada tahun 1951, DN Aidit mengambil alih kepimpinan PKI dan dalam masa yang singkat berjaya membina parti menjadi salah satu yang terkuat di Indonesia. Dalam pilihan raya pertama yang pernah diadakan di Republik itu pada tahun 1955, PKI menduduki tangga keempat selepas PNI dan dua parti Islam, iaitu Parti Nahdatul Ulama, dan Parti Masyumi. Kerajaan pakatan PNI, PKI dan parti-parti Islam ditubuhkan oleh Soekarno. Demokrasi liberal yang dilaksanakan pada waktu itu menyebabkan kerajaan tidak stabil dengan peneraju pemerintahan dan perlembagaan negara kerap berubah. Situasi ini dipergunakan oleh Soekarno untuk mengeluarkan sebuah mandat presiden pada tahun 1959 yang mengangkat dirinya sendiri sebagai presiden seumur hidup. Gaya pentadbiran Soekarno dengan slogan-slogan seperti ‘demokrasi terpimpin’, ‘marhain’ cenderung kepada pentadbiran autoritarian dan nasionalisme, dan PKI meneruskan kesepakatan mereka tanpa kritikal kepada pendekatan politik dan program-program ekonomi dan sosial kerajaan Soekarno yang tidak mampu menyelesaikan masalah petani dan pekerja. Tetapi kerapatan PKI dan Soekarno serta perkembangan pesat sokongan rakyat kepada PKI yang dianggap parti yang tidak korup berbanding parti-parti lain, menyebabkan kerajaan Soekarno menjadi sasaran untuk dijatuhkan oleh blok Barat. Pada masa itu adalah puncak perang dingin dan Soekarno melancarkarkan dasar anti Amerika. Apalagi pada waktu itu PKI sudah menjelma menjadi sebuah parti komunis ketiga terbesar di dunia dan mempunyai hubungan rapat dengan Kesatuan Soviet dan Republik Rakyat China. Salah satu faktor peningkatan sokongan rakyat kepada PKI adalah program reformasi tanah yang memang disokong oleh majoriti penduduk Indonesia yang merupakan petani. Barisan Tani Indonesia (BTI), iaitu pertubuhan petani di bawah PKI memimpin penentangan terhadap perampasan tanah oleh tuan-tuan tanah. Sikap konfrantasi mereka menimbulkan konflik langsung dengan tuan-tuan tanah yang majoritinya adalah penyokong parti-parti Islam dan mereka juga dipertahankan oleh tentera. Ini menambah tahap konflik di antara golongan ulama dan tuan-tuan tanah, dan tentera di satu pihak, dan PKI di pihak yang lain. Soekarno dengan golongan nasionalisnya berada di tengah-tengah, walaupun tentera dan parti-parti Islam menganggap beliau terlalu memihak kepada PKI. Persaingan politik di antara PKI dan tentera bersama golongan parti-parti Islam dipergunakan oleh Barat untuk menghancurkan PKI. Isu bahawa terdapat “dewan Jeneral” yang hendak mengambil alih kuasa secara paksa dari Soekarno dihembuskan. PKI kemudian terpancing dengan isu ini dan mengambil sikap menentang kewujudan “dewan jeneral”. Pengakhiran nasib PKI bermula pada 30 September 1965 yang dikenali sebagai peristiwa G30S. Satu plot rampasan kuasa telah dilancarkan oleh sekumpulan puak tentera yang menculik enam orang jeneral, membunuh mereka, dan mencampakkan mayat di sebuah perigi tua di daerah Lubang Buaya, Jakarta. Pihak tentera kemudian langsung mengatakan bahawa pembunuhan jeneral itu dilakukan oleh PKI. Sampai saat ini, ada beberapa versi sejarah tentang siapa dalang sebenar di sebalik pembunuhan jeneral itu. Namun analisis yang paling kuat menunjukkan bahawa agensi perisik antarabangsa Amerika Syarikat CIA memainkan peranan di dalam insiden itu. Ini dilakukan untuk menjadikan PKI sebagai kambing hitam dan alasan untuk menumpaskan mereka sampai ke akarnya. Suharto yang merupakan boneka Amerika Syarikat, dan antara dalang dalam perancangan untuk menghancurkan PKI, mengambil alih kepimpinan negara. PEMBUNUHAN BESAR-BESARAN Maka bermulalah sebuah sejarah hitam bagi rakyat Indonesia. Sesiapa sahaja yang dianggap mempunyai kaitan dengan PKI kemudian menjadi mangsa pembunuhan besar-besaran. Aksi pembunuhan besar-besaran tersebut dilakukan oleh kumpulan-kumpulan sivil yang anti komunis dengan sokongan tentera. Salah satu laporan menyebut bahawa pembunuhan terhadap orang-orang yang dituduh komunis dan ahli keluarga mereka bermula apabila tentera menghantar satu batalion menuju ke Jawa Tengah pada 17 Oktober 1965. Pembunuhan terhadap orang-orang yang dituduh sebagai PKI terus berlanjutan sehingga tahun 1968. Dalam tempoh tiga tahun tersebut, dijangkakan lebih satu juta nyawa terkorban. Mereka yang terselamat dari pembunuhan, diseksa, dirogol, kemudian dihantar ke penjara tanpa melalui proses mahkamah. Empat belas ribu diasingkan ke Pulau Buru dan menjadi buruh paksa. Banyak mangsa sebenarnya tidak tahu apa yang sedang berlaku, satu persatu diambil paksa dari rumah mereka, dibawa ke suatu tempat, dan dibunuh bersama mangsa lain. Daripada kaedah bagaimana pembunuhan itu dilakukan, jelas ini merupakan tindakan yang terancang. Sarwo Edhie, komander tentera yang bertanggungjawab terhadap aksi pembunuhan ini mengatakan: “Di Jawa kami harus menghasut penduduk untuk membantai orang-orang komunis. Di Bali kami harus menahan mereka, untuk memastikan bahawa mereka tidak bertindak terlalu jauh. ” Pada 11 Mac 1966, Suharto secara rasmi mengambil alih kerusi presiden dari Soekarno melalui sebuah surat perintah. Maka bermulalah dasar negara yang pro kepada Amerika Syarikat di mana Orde Baru membuka seluas-luasnya peluang kepada kapitalis-kapitalis antarabangsa