Demonstrasi Rakyat Sudan Di Hadapan Ibu Pejabat Tentera

Demonstrasi Rakyat Sudan Di Hadapan Ibu Pejabat Tentera

Sudan : Bantah Keganasan Rejim dengan Perjuangan Revolusi Sosialisme

Posted by

Setelah hampir 2 bulan sejak penggulingan bekas diktator Omar al Bashir yang memerintah Sudan untuk 30 tahun, kini, pergelutan antara kuasa revolusioner dan kontra revolusioner sedang mencapai tahap kritikal. Protes yang tercetus pada Disember 2018 telah memaksa kuasa-kuasa kerajaan untuk memecat Omar al Bashir selaku ketua kerajaan bagi membendung gerakan rakyat yang membantah rejim tersebut daripada terus berkembang. Majlis Tentera Peralihan (TMC) yang ditubuhkan oleh birokrasi tentera bersama dengan ahli-ahli politik yang pernah berkhidmat di bawah rejim lama telah mengambil alih kuasa kerajaan dan sedang cuba untuk mencantas gerakan rakyat di jalanan dan di tempat kerja. Kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa yang berjuang menentang rejim diktator Omar al Bashir masih tidak berpuas hati dengan kerajaan baru yang merupakan saki baki rejim sebelum ini dan sedang meneruskan perjuangan mereka menentang TMC.

Bagi memperkukuhkan posisinya, TMC sedang melancarkan serangan ke atas para demonstran, aktivis, pekerja yang sedang mogok dan jutaan rakyat yang sedang membanjiri jalan raya di bandar-bandar utama Sudan. TMC juga telah memotong bekalan internet bagi menghalang rakyat, terutamanya dari kalangan anak muda daripada menggunakan kemudahan tersebut untuk mengatur protes dan demonstrasi. Langkah terbaru oleh rejim penindas ini mendedahkan bahawa walaupun internet memainkan peranan yang penting dalam gerakan rakyat di Sudan, ia tidak boleh menggantikan saluran yang konkrit seperti kesatuan sekerja, parti politik, jawatankuasa tindakan rakyat, organisasi akar umbi dan gabungan mahasiswa yang menyusun gerakan rakyat di luar alam internet. Ini merupakan amaran kepada pihak-pihak tertentu yang sering berhujah bahawa organisasi rakyat seperti parti politik dan kesatuan sekerja tidak lagi diperlukan untuk memimpin gerakan yang boleh membawa perubahan sosial dalam ‘zaman digital’ ini.  

Pada 10 Jun lalu, pihak tentera dari Pasukan Bantuan Kilat (RSF) telah menyerang sebuah kem protes di ibu kota Khartoum yang melihat lebih 120 orang terbunuh dan ribuan lain menjadi mangsa penyeksaan, rogol dan ditindas dengan ganas. Serangan tersebut dikendalikan oleh RDF di bawah arahan pemimpinnya Muhamad Hamdan Dagalo, atau lebih dikenali sebagai Hemedti, yang juga merupakan timbalan ketua TMC. RSF merupakan sebuah pasukan paramiliter yang ganas, ditubuhkan pada 2013 oleh bekas diktator Omar al Bashir. Asal usulnya boleh di kesan kepada tentera ‘Janjaweed’ yang dipergunakan oleh rejim sebelum ini untuk melakukan pembunuhan dan penyeksaan massa di Darfur lebih sedekad lalu.

Jutaan para pekerja membalas pembunuhan massa yang berlaku di Khartoum Isnin lepas dengan melancarkan mogok besar-besaran yang mendapat sokongan dari hampir setiap lapisan masyarakat. Mogok tersebut telah menegaskan peranan kelas pekerja yang mampu memimpin massa bukan sahaja untuk menjatuhkan rejim TMC, malah untuk membina struktur sosial baru bagi menggantikan sistem kapitalisme yang toksik di Sudan.

Mogok pekerja

Salah satu kemenangan gerakan revolusi di Sudan adalah pengukuhan organisasi-organisasi pekerja seperti kesatuan sekerja. Para pekerja telah menubuhkan organisasi, koalisi dan gabungan-gabungan baru yang tersusun dan membawa tuntutan yang radikal. Banyak di antara kepimpinan kesatuan sekerja yang menyokong bekas diktator al Bashir ataupun kerajaan TMC telahpun digulingkan dan digantikan dengan kepimpinan yang menghala kepada perjuangan rakyat. Pekerja dari lapisan menengah juga telah menubuhkan organisasi mereka yang mengambil bahagian dalam gerakan revolusi ini seperti Kesatuan Para Peguam Demokratik, Jawatankuasa Doktor Sudan dan lain-lain yang berkerjasama di bawah pertubuhan Persatuan Profesional Sudan (SPA). SPA yang merupakan antara kepimpinan yang penting dalam revolusi Sudan dilihat menggunakan bentuk-bentuk perjuangan yang biasanya dikaitkan dengan kelas pekerja seperti melancarkan mogok dan aksi protes massa di tempat kerja dan di jalanan.

Pada masa yang sama, jawatankuasa komuniti setempat di kalangan rakyat juga mula terbentuk seperti cendawan selepas hujan. Jawatankuasa ini sedang menjadi saluran utama di mana perjuangan menentang rejim disusun dan digerakkan secara massa. Ia juga mempunyai potensi yang tinggi untuk berkembang menjadi organ perjuangan rakyat yang kuat dan alternatif politik yang sah untuk menggantikan rejim TMC.

Perjuangan rakyat yang tidak dapat dibendung ini sedang mewujudkan kegelisaan bukan sahaja dikalangan kelas pemerintah Sudan, malah kelas pemerintah negara lain di rantau itu juga sudah meluahkan kerisauan mereka secara umum. Kelas kapitalis seluruh dunia sudah mula gentar dengan prospek sebuah kuasa kelas pekerja independen di Sudan yang mampu melawan dan menewaskan kerajaan kapitalis. Jika perkara itu berlaku, ia akan mewujudkan keyakinan di kalangan kelas pekerja di negara lain untuk mengikuti jejak kelas pekerja Sudan dan melancarkan serangan ke atas penindasan yang dihadapi di bawah pemerintahan para kapitalis elit.

Wakil-wakil kelas pemerintah dari Ethiopia dan Mesir yang berhubungan dengan Sudan baru-baru ini mencerminkan agenda kelas pemerintah rantau ini yang ingin mengelakkan sebuah situasi revolusi yang boleh mencetuskan gerakan rakyat di negara masing-masing. Pada awalnya, imperialisme Amerika Syarikat menyerahkan tanggung jawab untuk mengawal keadaan di Sudan kepada kuasa-kuasa serantau yang rapat dengan AS seperti Arab Saudi, UAE dan Mesir. Walaupun begitu, Amerika Syarikat akhirnya mengambil keputusan untuk menghantar askar mereka ke Sudan bagi memastikan sebarang peralihan kuasa yang tidak dikehendaki dapat dicegah.Tetapi, walaupun dengan campur tangan dari pelbagai pihak, kerajaan TMC masih sedang gagal untuk mencari sebuah solusi yang boleh memuaskan hati rakyat. Apa sahaja alternatif yang ditawarkan oleh kelas pemerintah kapitalis dunia tidak akan berjaya mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil di Sudan.  

Para pembangkang politik kepada TMC yang bergabung di bawah koalisi Angkatan Kebebasan dan Perubahan (FFC) belum mula membentuk sebuah alternatif politik yang munasabah. SPA, iaitu perwakilan rakyat dan kelas pekerja yang menggerakkan perjuangan akar umbi juga menjadi sebahagian daripada koalisi dalam FFC. Tetapi pada masa yang sama, FFC juga terdiri daripada organisasi pro kapitalis seperti Parti Umma Nasional dan Parti Kongres Sudan. Peranan parti-parti kapitalis ini adalah untuk menghambat gerakan revolusi rakyat, menghadkan gerakan tersebut di dalam batas sistem kapitalisme dan merebut kuasa kerajaan bagi mengukuhkan sistem kapitalisme. Jika rakyat dipedaya untuk meletakkan kepercayaan kepada kuasa-kuasa kapitalis ini, maka revolusi rakyat akan dikuburkan dan sebarang kemenangan revolusi tidak akan berjaya di kekalkan. Kelas pekerja perlu menubuhkan sebuah parti massa dengan segera untuk memimpin perjuangan ini ke penghujungnya. Malangnya, sebuah kepimpinan politik seperti itu belum lagi wujud pada peringkat ini.

Pembangkang Pro Kapitalis

Peranan sebenar parti dan komponen pro kapitalis dalam FFC dapat dilihat pada bulan April lalu apabila mereka cuba untuk mencapai sebuah penyelesaian melalui rundingan dengan diktator Omar al Bashir yang mengkhianati aspirasi jutaan rakyat yang sedang terlibat dalam protes massa. Sekarang, mereka cuba mengulangi taktik tersebut untuk meneruskan proses rundingan dengan kerajaan TMC yang dilihat sebagai kerajaan yang tidak sah di mata majoriti rakyat.

Kuasa-kuasa kapitalis ini juga sentiasa cuba menghadkan sebarang gerakan radikal dari rakyat. Mogok umum sehari yang dilancarkan oleh pekerja tidak digalakkan untuk diteruskan dan kelas pekerja tersusun tidak dilihat sebagai kuasa utama untuk menentang rejim TMC. FFC hanya mempergunakan mogok dan gerakan dari rakyat untuk memaksa rejim TMC ke meja rundingan. Selain itu, ia tidak menawarkan sebarang kepimpinan yang jelas bagi massa yang sedang berjuang di jalanan dan di tempat kerja.

Bagi membawa revolusi ini ke hadapan, sebuah strategi perjuangan yang jelas haruslah di bina secepat mungkin. Jawatankuasa komuniti setempat haruslah dikukuhkan dan dibentuk menjadi organ perjuangan yang berkuasa. Delegasi yang mewakili perjuangan rakyat haruslah dipilih secara demokratik dan dikawal oleh kelas pekerja dan rakyat biasa. Jawatankuasa ini juga perlulah dihubungkan di peringkat daerah, negeri dan negara.

Ia juga amat penting untuk menubuhkan majlis pertahanan bersenjata yang dikawal secara demokratik oleh jawatankuasa rakyat. Ketiadaan sebuah strategi pertahanan juga boleh mengakibatkan penumpahan darah dan kekalahan kepada rakyat yang berjuang. Pada masa yang sama, gerakan ini harus menyeru dan memenangi sokongan daripada askar askar berpangkat rendah yang juga sedang mengalami penindasan dari kelas pemerintah dan birokrasi tentera.

Seperti dalam semua situasi revolusi, gerakan massa di Sudan telah menimbulkan perpecahan di kalangan kelas pemerintah termasuk pemimpin-pemimpin TMC. Menurut beberapa laporan, sudah ada perpecahan yang ketara di antara RSF dan Tentera Darat Sudan. Sekiranya kelas pekerja di Sudan tidak mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memajukan revolusi, situasi boleh merosot ke arah konflik bersenjata di antara faksi-faksi tentera yang berbeza. Perpecahan yang berlaku di kalangan tentera ini bukanlah satu kebetulan. Ia mencerminkan tekanan sosial yang dirasai oleh askar-askar pangkat rendah yang kebanyakkannya datang dari latar belakang atau keluarga kelas pekerja miskin.

Kelas pekerja Sudan harus menyeru kepada askar berpangkat rendah untuk berpecah dengan kepimpinan TMC dan memberikan sokongan kepada gerakan rakyat tertindas. Jawatankuasa tentera yang bebas dari pengaruh birokrasi pegawai berpangkat tinggi haruslah ditubuhkan dengan segera bagi mempertahankan rakyat Sudan yang sedang diganasi oleh kerajaan. Namun, bagi meyakinkan bukan sahaja golongan askar, tetapi semua lapisan masyarakat tertindas yang lain, kelas pekerja haruslah terlibat dalam sebuah aksi mogok yang tidak terbatas dan membawa tuntutan rakyat yang jelas. Mereka juga perlu mewujudkan sebuah kepimpinan politik yang demokratik dan mampu membawa semua perjuangan rakyat ke arah mengubah aturan sosial Sudan yang akan memanfaatkan rakyat miskin terbanyak. Jika perkara ini berjaya dilakukan, maka ia tidak mustahil untuk menubuhkan sebuah kerajaan kelas pekerja revolusioner yang mewakili kepentingan kelas pekerja, rakyat miskin dan semua yang ditindas oleh sistem kapitalisme.

One Comment

  1. They also need to create a democratic political leadership and be able to bring all the people’s struggles towards changing Sudan’s community!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*