Sri Lanka: Rakyat Massa Serbu Bandar Colombo dan Menghalau Keluar Presiden Gotabaya

9 Julai 2022 menjadi hari bersejarah di Sri Lanka apabila rakyat massa dari seluruh negara telah turun ke ibu kota Colombo dan bertempur dengan pihak berkuasa untuk menyingkirkan Presiden Gotabaya Rajapaksa (dikenali sebagai Gota). Jutaan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat telah bersatu hati dan bertekad untuk menggulingkan keluarga Rajapaksa yang dianggap korup dan gagal untuk menyelesaikan masalah ekonomi rakyat.

Gerakan rakyat ini telah tercetus pada awal April lalu dengan protes-protes membantah kenaikan kos kehidupan dan harga barangan. Sejak itu, Sri Lanka diisytiharkan sebagai muflis dan kadar inflasi juga sedang semakin parah. Pihak kerajaan pula tidak berupaya untuk memulihkan keadaan ekonomi ini dan hanya menyerang rakyat biasa yang melancarkan protes-protes aman untuk mengemukakan kesengsaraan mereka. Kenaikan harga makanan dan barangan asas telah mengancam kehidupan majoriti daripada rakyat miskin Sri Lanka yang baru mengalami kecemasan Pandemik dan kejatuhan industri-industri utama. 

Oleh itu, pada 9 Mei lalu, rakyat telah berarak ke kediaman Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa (abang Gota) yang di benci dan membakar bangunan tersebut sampai hangus. Akibatnya, Mahinda telah terpaksa berundur dari jawatan PM dan Ranil Wickramasinghe dari parti pembangkang UNP dilantik menjadi PM baru. Walaupun begitu, Ranil juga terus menyerang rakyat yang protes tanpa memberikan sebarang solusi yang munasabah untuk masalah yang dihadapi negara. Gota dan Ranil juga mendeklarasi darurat untuk menghalang gerakan rakyat dari terus berkembang. 

Akibatnya, rakyat mengajukan kemarahan mereka juga terhadap Ranil yang dilihat sebagai boneka Gota dan salah sebuah ahli politik yang elit dan tidak memahami keadaan sebenar rakyat biasa. Sebagai tindak balas yang terdesak, rakyat yang marah telah membakar sebanyak 100 buah rumah ahli-ahli Parlimen yang dianggap korup. Tetapi penindasan terhadap mereka hanya meningkat dan kerajaan terus melancarkan serangan-serangan ganas keatas rakyat yang terlibat dalam protes.   

9 Julai dipilih oleh rakyat sebagai tarikh untuk melancarkan protes gergasi yang berupaya untuk menggulingkan Gota dari jawatan Presiden untuk selama-lamanya. Mogok pekerja pengangkutan dibatalkan bagi membolehkan rakyat biasa pergi ke Colombo. Rakyat mengumpul dana untuk membiayai perjalanan bagi mereka yang tidak berupaya. Malah perniagaan kecil juga telah memberikan sumbangan kewangan untuk menjayakan gerakan ini. 

Walaupun Gota telah menguatkan pertahanan pasukan bersenjata di halaman rumahnya dan di tempat-tempat utama, rakyat yang mara tidak berjaya di hentikan. Pihak berkuasa telah mendirikan benteng dan melepaskan tembakan ke arah rakyat yang telah membunuh beberapa daripada mereka. Tetapi massa telah terus merempuh benteng-benteng tersebut dan menyerbu masuk ke kediaman Presiden. Tetapi, didapati bahawa Presiden Gota, bersama keluarganya sudah lama meninggalkan tempat itu dan sedang berkomplot untuk melarikan diri ke luar negara.

Akhirnya rakyat telah berjaya memaksa Gota untuk meletakkan jawatannya sebagai Presiden. Tetapi Ranil masih berdegil dan menegaskan bahawa dia akan terus berpegang pada kuasa PM sehingga pembentukkan kerajaan baru. Ini tidak boleh diterima oleh rakyat yang inginkan reformasi terhadap seluruh sistem pemerintahan dan menuntut kepimpinan baru yang boleh membawa solusi yang munasabah untuk memulihkan ekonomi negara. Semua kepimpinan yang sedia ada di dalam Parlimen bukan sahaja sudah mengecewakan rakyat biasa, malah mereka belum lagi mencadangkan sebarang jalan keluar kepada krisis ekonomi yang dihadapi. Semua solusi yang dibawa melibatkan pemotongan dana awam yang akan merosotkan lagi taraf kehidupan rakyat yang sudahpun sangat teruk. 

Oleh itu, gerakan rakyat tersebut tidak terhenti dengan hanya menduduki istana Presiden. Sebilangan daripada peserta protes (jumlah dan identiti belum dikenalpasti) telah  membakar kediaman PM Ranil. Harus diteliti bahawa walaupun rakyat pernah membakar kediaman ahli-ahli politik yang rakus pada bulan Jun lalu, protes kali ini tidak melihat kehancuran harta di kedua-dua kediaman rasmi Presiden dan kediaman rasmi PM. Malah rakyat telah memulangkan wang tunai sebanyak 50 ribu USD yang ditemui di dalam kediaman Presiden kepada kerajaan.

Walaupun Gota dan seluruh keluarga Rajapaksa termasuk bekas Menteri Kewangan Basil dan bekas PM Mahinda Rajapaksa sudah berundur dari kerajaan, rakyat masih belum balik ke halaman rumah mereka. Mereka terus menduduki kedudukan rasmi Presiden dan PM dan menjadikannya seakan-akan sebuah museum di mana rakyat biasa boleh melihat dengan mata sendiri akan kemewahan yang dikumpul oleh ahli-ahli politik yang membiarkan rakyat hidup kebuluran. Puluhan ribuan rakyat biasa sedang berpusu-pusu ke Colombo untuk melihat kemenangan rakyat yang mengalahkan korupsi. Rakyat massa bertekad untuk terus menduduki bangunan-bangunan tersebut dan memberi tekanan kepada kerajaan untuk memperbaiki kondisi kehidupan mereka. 

Ekoran daripada krisis di Sri Lanka, kerajaan-kerajaan Barat seperti Amerika Syarikat dan negara jiran India telah menggesa ahli-ahli politik di Sri Lanka untuk membentuk sebuah kerajaan baru dengan segera. Tetapi, pembentukkan sebuah kerajaan baru dengan ahli-ahli politik yang sedia ada di dalam Parlimen pada waktu ini tidak akan diterima oleh rakyat yang sedang protes.

Oleh itu, ada kemungkinan di mana semua parti-parti politik yang juga berada di luar Parlimen akan diundang bersama-sama dengan wakil kepimpinan dari gerakan rakyat untuk menubuhkan sebuah kerajaan interim. Idea ini sudahpun diapungkan oleh beberapa pihak. Parti Sosialis Bersatu (USP) dan wakil CWI di Sri Lanka berhujah bahawa kerajaan interim ini tidak akan berupaya untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan menunaikan tuntutan rakyat, walaupun untuk masa yang singkat. Kerajaan sementara ini hanya bertujuan untuk meredakan kemarahan rakyat pada masa ini. Sejurus rakyat pulang ke rumah masing-masing, kuasa-kuasa lama, termasuk keluarga Rajapaksa yang diguling boleh menyelinap masuk ke dalam kerajaan negara. 

Kenyataan Parti Sosialis Bersatu (USP)

Semua serpihan rejim lama dan kelas pemerintah yang rakus harus ditolak. Kuasa-kuasa imperialis barat bersama dengan negara India sedang bekerjasama dengan sekutu tempatan mereka untuk membentuk sebuah kerajaan sementara yang terdiri daripada pelbagai parti. Ini merupakan agenda mereka untuk meneruskan sistem ekonomi yang kekal di bawah kawalan negara-negara imperialis, dan tidak boleh di kerah untuk kepentingan rakyat biasa. Ahli-ahli politik lama yang korup dipaparkan sebagai solusi baru. 

Tidak ada seorang pun di kalangan ahli-ahli Parlimen atau ahli politik yang wujud mempunyai sebarang jalan keluar yang konkrit untuk mengatasi masalah ekonomi yang dihadapi rakyat. Sampai ke 9 Julai, masing-masing telah mengikut rentak Gotabaya dan  menyokong tindakan kerajaan untuk menyerang dan menghukum kelas pekerja, rakyat miskin dan anak muda yang menyuarakan bantahan terhadap kondisi kehidupan mereka yang semakin merosot. Sebelum ini, ahli-ahli politik tersebut telah berpakat untuk menjual tanah dan sumber asli negara kepada para kapitalis dan pemodal besar dunia semata-mata untuk mengisi poket masing-masing dengan wang.    

Apakah yang sudah berubah sekarang? Adakah ahli-ahli politik yang ada sedang mengemukakan sebarang jalan keluar kepada krisis? Mereka adalah musuh rakyat dan oleh itu telah dilucutkan dari jawatan mereka oleh gerakan massa. Kenapa rakyat harus membenarkan sosok-sosok ini untuk mengambil kembali kuasa kerajaan? Gerakan rakyat tidak seharusnya terhenti dengan hanya menggulingkan ‘pemimpin-pemimpin’ lama. Ada juga wujud ahli-ahli politik muka baru yang juga korup dan sedang menunggu peluang untuk mengambil alih kuasa kerajaan. 

Sri Lanka memerlukan masa depan yang baru. Kerajaan Sementara yang dibentuk dengan berkongsi kuasa dengan ahli-ahli politik yang rakus akan hanya memberikan masa dan ruang kepada mereka untuk kembali bermaharajalela. Ahli-ahli politik elit yang masih belum melarikan diri kini sedang berucap tentang ‘perpaduan’ dan kerajaan ‘semua parti’. Ya, kita inginkan perpaduan, perpaduan dikalangan rakyat yang bekerja, miskin dan dieksploitasi bagi memenangi masa depan yang lebih baik. Bukan ‘perpaduan’ dengan si penindas dan pengampu kelas kapitalis! Kita ada alternatif, rakyat sudahpun menunjukkan kuasa mereka, dan kuasa ini boleh diselaraskan dan diatur di luar dinding parlimen dan kediaman Presiden.

Marilah kita membina jawatankuasa di tempat kerja dan di pekan dan setiap kampung. Jawatankuasa ini harus segera mengatur pengagihan bekalan secara demokratik kepada penduduk yang memerlukan bantuan. Jawatankuasa ini boleh menghantar wakil mereka ke badan kebangsaan. Ayuh kita tubuhkan Majlis Negara menerusi jawatankuasa-jawatankuasa ini. Selain menjadi kepimpinan kepada gerakan dan aspirasi rakyat, Majlis Negara juga boleh mengawal hal ehwal negeri – sambil bersiap sedia untuk pilihan raya demokrasi dewan konstituen revolusioner. Ini akan benar-benar mencerminkan aspirasi semua lapisan masyarakat.

Kerajaan interim tidak perlu mempunyai unsur-unsur rejim lama di dalamnya. Ia juga tidak perlu memasukkan ahli politik kapitalis yang korup. Ia boleh dibentuk oleh wakil-wakil kesatuan sekerja yang dipilih secara demokratik, kepimpinan Aragaliya (gerakan rakyat), pemimpin petani dan aktivis sosialis yang berjuang bersama-sama dengan massa yang di kawal oleh Majlis Negara yang dibentuk oleh kelas pekerja dan rakyat biasa.

Badan inilah yang akan melaksanakan tuntutan Aragaliya dan boleh berkembang lebih jauh daripada itu. Jika kerajaan interim merangkumi elemen-elemen lama, mereka akan membeli masa untuk membolehkan wakil kelas pemerintah mendapatkan kembali kuasa kerajaan dan mengalahkan tuntutan teras orang ramai.

Mereka mungkin bersetuju untuk melakukan beberapa konsesi pada peringkat ini selepas menyaksikan kuasa gerakan rakyat jelata. Tetapi konsesi ini tidak akan dijamin dan boleh ditarik balik sejurus selepas mereka konsolidasi kembali kuasa mereka. Janganlah kita menghidupkan kembali mayat yang sudah busuk dengan membawa mereka kembali ke dalam kerajaan interim.

Kita mesti menuntut pembatalan segera semua hutang – pembayaran balik hutang makro mesti dihentikan dengan serta-merta. Kelas kapitalis yang mengambil kekayaan mereka dan melarikan diri secara rahsia juga harus dihentikan. Kita mesti dengan segera merampas kekayaan yang dirompak dan melaksanakan kawalan modal yang lebih ketat daripada apa yang ada sekarang. Tindakan ini sahaja akan memberikan wang dan sumber yang mencukupi untuk menangani masalah kekurangan makanan, bahan api dan barangan keperluan lain untuk sementara waktu. Jawatankuasa perancangan kecemasan perlu ditubuhkan segera untuk melaksanakan pelan ekonomi kecemasan.

Kami merayu kepada semua yang sedang berjuang untuk menolak kerajaan interim yang dibentuk dengan gabungan semua parti yang sedia ada di Parlimen dan kuasa pro-kapitalis yang lain. Walaupun mereka cuba memasukkan wakil gerakan protes dalam kerajaan interim ini, kita mesti mempersoalkan, apakah kuasa yang akan diberikan kepada kita? Apakah peranan yang boleh kita mainkan? Adakah parlimen bersetuju sepenuhnya dengan tuntutan yang rakyat kemukakan? Kita tidak boleh berkompromi dengan kerajaan ‘perpaduan’ yang ingin mengekalkan sistem ekonomi kapitalisme yang telah mengecewakan rakyat Sri Lanka, dan rakyat jelata di seluruh dunia.

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top