Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Ulasan buku ‘Post Capitalism : A guide to our future’ (Paul Mason) oleh Peter Taafe

Kedua-dua Mason dan Rifkin bersetuju bahawa “kematian kapitalisme” akan dibawa oleh pembangunan teknologi yang amat besar, terutamanya teknologi maklumat yang tidak boleh dihadkan di dalam kerangka negara dan cara pengeluaran swasta kapitalisme. Perangsang besar buat produktiviti berpunca perkembangan teknologi ini akan bermakna kos menghasilkan setiap unit tambahan akan mendekati sifar. Ini akan menyebabkan produk-produk menjadi percuma atau hampir percuma. Jika ini berlaku, “keuntungan, iaitu nadi kapitalisme, akan berakhir” (Rifkin).

Rifkin menghormati idea-idea Karl Marx walaupun bukanlah seorang Marxist, sambil mengakui bahawa dia datang dari latar belakang borjuis kecil. Rifkin mewakili konklusi empirikal dari intelektual borjuis yang boleh dipengaruhi oleh Marxisme, terutamanya apabila ia cuba menjawab kontradiksi-kontradiksi sosial. Bukan sahaja itu, seperti yang kami tunjukkan, idea Rifkin menunjukkan kemungkinan memenangi hati individu-individu sebegini, terutamanya intelektual muda ke arah gerakan pekerja.

Paul Mason, sebaliknya, mengaku sebagai seorang Marxist walaupun buku dia menunjukkan pengunduran ideologi daripada Marxisme tulen. Ianya amat pessimistik, terutamanya berkenan prospek-prospek gerakan pekerja dan sosialisme yang dicampak ke masa silam. Sebaliknya, alternatifnya adalah ‘pasca-kapitalisme’. Kedua-dua Rifkin dan Mason, walaupun mengatakan kapitalisme hari ini mempunyai prospek yang menyedihkan, tetapi masih mengusulkan projek-projek utopia: organisasi berdasarkan “orang-orang biasa” (commons) sebagai alternatif. Mason menulis: “Kita sedang melihat kebangkitan spontan pengeluaran bersama.. Mata wang selari, bank-bank masa, koperasi dan ruang yang diurus sendiri.. Bentuk pemilikan baru, bentuk peminjaman baru.. Aku percaya ini semua menawarkan jalan keluar – tetapi hanya jika projek-projek peringkat mikro ini dipupuk, digalakkan dan dipertahankan”.

Dan bagaimana situasi ideal ini dapat direalisasikan? Bukan oleh kelas pekerja dan organisasi-organisasinya, yang dikatakan mewakili masa silam, tetapi oleh “intelektual umum, di mana minda-minda hebat dapat dihubungkan melalui teknologi sosial, di mana ia akan mendatangkan manfaat kepada semua orang”. Mason, sebagai seorang wartawan untuk Channel 4 dan sebelumnya di Newsnight, mencerminkan betapa banyaknya dia dipengaruhi oleh gerakan Occupy.

Occupy sudah pasti melambangkan tingkat penting dalam kebangkitan semula politik generasi baru di Amerika Syarikat dan sedunia, seperti gerakan di Sepanyol, Greece, dll. Gerakan sebegini amat dialu-alukan oleh kami. Tetapi Mason tidak menumpukan perhatian kepada kekuatan dan potensi gerakan ini dan hanya melihat pada kelemahannya: melabelkan gerakan itu sebagai ‘spontan’ dan naif dalam menghadapi kapitalisme. Idea bahawa gerakan umum oleh anak muda yang tidak tersusun dan sedar akan berkembang menjadi sebuah gerakan yang mampu menjatuhkan kapitalisme ‘moden’ dan meneutralkan “jentera-jentera kerajaan” ternyata adalah satu jalan mati. Satu bahagian dalam gerakan Occupy, contohnya di Seattle, melalui pemilihan Kshama Sawant menjadi ahli majlis tempatan, belajar dengan cepat tentang keperluan tindakan politikal untuk mencapai objektif-objektifnya.

Satu proses yang sama berkembang di Sepanyol melalui gerakan “indignados”, yang berjaya memboikot ‘politik’ secara efektif pada pilihan raya umum yang lepas, tetapi telah menyebabkan kemenangan parti sayap kanan Partido Popular. Hasilnya kita menyaksikan kebangkitan kesedaran baru di kalangan massa yang menyedari akan keperluan tindakan politik radikal yang telah dicerminkan dengan kemunculan Parti Podemos. Samada gerakan baru ini dapat menggunakan kesedaran radikal yang wujud dikalangan kelas pekerja Sepanyol adalah persoalan lain. Kepimpinan Podemos, dengan percubaan untuk membina apa yang dikatakan sebuah ‘parti anti-parti’ dengan kritikan yang samar-samar tentang apa yang mereka labelkan sebagai penguasaan ‘kasta’. Seharusnya mereka mengkritik dengan jelas tentang kelas pemerintah, parti-parti dan organisasi-organisasinya yang gagal memenuhi keperluan majoriti rakyat Sepanyol pada peringkat ini.

Salah faham terhadap Marxisme

Mason menyerang Marxisme, terutamanya Friedrich Engels, pengasas sosialisme saintifik bersama Marx, tentang analisanya berkenaan kelas pekerja British. Dia mencemuh Lenin dan parti Bolshevik, termasuk revolusi Rusia yang dipimpin oleh mereka. Beliau juga kritikal terhadap analisis ekonomi Marxis sebelum Perang Dunia Pertama yang didakwa tidak realistik dan telahpun “dibuktikan salah”. Mason juga sering memuji Rudolf Hilferding, ‘ahli ekonomi Marxist’ Austria yang akhirnya berubah menjadi pembela reformis dan menyokong kapitalisme.

Mason salah tafsir apabila dia mendakwa: “Marxisme memandang rendah keupayaan kapitalisme untuk menyesuaikan diri”. Marx pernah berkata bahawa tidak ada sistem ekonomi yang akan hilang dari kacamata sejarah tanpa menghauskan semua kemungkinan yang terpendam di dalamnya. Walaubagaimanapun, perkara ini tidak boleh diterjemah dengan hujah mudah bahawa ekonomi akan menentukan segalanya seperti yang cuba dijelaskan oleh Mason. Perkembangan ekonomi boleh menjadi penentu, tetapi struktur pemerintahan, politik dan faktor-faktor lain memainkan peranan penting dalam proses ini.

Untuk sebab ini, Marxisme mengambil berat bukan sahaja mengenai perspektif ekonomi tetapi juga mengenai ‘politik ekonomi’: perhubungan dialektika di antara perkembangan ekonomi dan politik – ‘punca boleh menjadi akibat, dan akibat boleh menjadi punca’. Sebagai contoh, pengkhianatan massa oleh kepimpinan sosial demokrasi dan Stalinisme selepas Perang Dunia Kedua mewujudkan pra-syarat politik bagi penstabilan kapitalisme dan perkembangan pesat ekonomi kapitalisme dunia dari 1950 hingga 1975.

Untuk sebab-sebab yang sama, kita juga menolak konstruk buatan yang dipinjam dari ahli ekonomi Rusia Nikolai Kondratiev bahawa kapitalisme akan melalui kitaran krisis dalam jangka masa yang khusus. Trotsky menolak teori kitaran 50 tahun yang dijangka Kondratiev, dan sekarang oleh Mason dan lain-lain, yang diperoleh dengan menganalisa proses ekonomi secara linear dan abstrak, tanpa mengambil kira kesan perkembangan politik di peringkat dalam negara mahupun antarabangsa.

Berjuang menyelamatkan kapitalisme?

Ini bukanlah isu-isu abstrak berdasarkan kepentingan sejarah semata-mata. Mason telah berat sebelah dalam analisanya di banyak tempat. Sebagai contoh, petikan berikut daripada buku Mason : “Ia menjadi satu keperluan untuk menjelaskan sesuatu yang boleh menyakiti golongan kiri, iaitu Marxisme telah salah anggar akan kemahuan kelas pekerja. Proletariat merupakan kelas kolektif terhebat yang pernah dihasilkan oleh sejarah masyarakat manusia. Tetapi pengalaman 200 tahun telah menunjukkan bahawa kelas proletariat lebih rela ‘hidup di dalam kerangka kapitalisme’ dan bukan berjuang menumbangkannya… Kesusasteraan kiri telah dipenuhi dengan alasan-alasan untuk kisah kekalahan yang dialami selama 200 tahun ini: pemerintah terlampau kuat, kepimpinan terlalu lemah, birokrasi pekerja terlampau berpengaruh dan banyak lagi… Jauh dari menjadi pembawa sosialisme yang tidak sedar, kelas pekerja sedar dengan apa yang mereka mahukan, dan menyatakannya dengan jelas melalui tindakan-tindakan mereka. Mereka mahukan bentuk kapitalisme yang lebih selamat… Ini bukanlah berpunca dari kemunduran mental. Ia adalah strategi yang berdasarkan sesuatu yang tradisi Marxis tidak akan faham: terdapat kemahiran, autonomi dan status di dalam kehidupan kelas pekerja”. – Mason.

Maka, seluruh abad ke-20 yang telah diselang dengan perang, bencana sosial dan ekonomi, revolusi-revolusi dan kebangkitan-kebangkitan rakyat adalah sekadar satu usaha oleh kaum proletariat untuk mendirikan “kapitalisme yang selamat” dan tidak ada kena-mengena dengan perjuangan ke arah sosialisme. Mason berjaya mengaburi peristiwa-peristiwa bersejarah seperti revolusi Rusia 1917, revolusi Jerman 1918-1923, revolusi China 1925, mogok-mogok dan potensi revolusi di Itali pada 1920 dan di Amerika Syarikat pada era 1930-an, dan revolusi Sepanyol pada 1931-1937 apabila kelas pekerja Sepanyol yang amat berkuasa pada satu tahap mempunyai peluang untuk membawa bukan satu tetapi sepuluh revolusi. Bukan sahaja di Eropah dan China, malah seluruh dunia telah mengalami gelombang revolusi dan kebangkitan kelas pekerja yang jelas menuntut alternatif kepada sistem yang sedia ada.

Kita belum menyentuh peristiwa mogok umum terhebat di dalam sejarah dan okupasi massa di dalam kilang-kilang di Perancis pada 1968, dan juga kebangkitan revolusi di Itali, Sepanyol, Portugis, Greece dan lain-lain pada era 1970-an. Benarkan kami mengingatkan kembali yang pada 1975, akhbar Times pernah mengisytiharkan bahawa “kapitalisme di Portugal sudah mati” selepas kegagalan percubaan rampasan kuasa oleh Spinola. Ini adalah kerana banyak diantara bank-bank besar telah dimiliknegarakan dan 70% industri sudah diambilalih dari kapitalis hasil tekanan daripada kelas pekerja. Adakah ini sekadar sebuah salah faham? Mason cuba meyakinkan kita bahawa semua pengorbanan nyawa dan harta benda daripada massa yang mengeluarkan tenaga yang hebat adalah semata-mata untuk mendirikan kapitalisme yang berbeza bentuk.

Mason juga mendakwa bahawa kita tidak lagi sekadar menghadapi kelas pekerja yang mengambil bentuk yang berbeza mengikut zaman, tetapi pada zaman ini, kelas pekerja dikatakan sudah cair kedalam satu rangkaian kemanusiaan yang samar-samar. Di sana anda lihat: dengan satu pukulan sahaja, seluruh kelas pekerja telah dilarutkan didalam idea kosong. Tidak ada apa-apa yang unik di dalam hujah seperti ini. Mason hanya mengulangi idea-idea yang wujud sebelum ini, terutamanya selepas keruntuhan Stalinisme dimana ramai intelektual yang terpaksa berpindah dan memeluk Euro-komunisme. Mereka menidakkan peranan kelas pekerja semata-mata kerana diri sendiri sudah tidak relevan dan idea mereka ditolak oleh kelas pekerja dunia.

Manakala kelas pekerja di dalam bentuk klasik (pekerja-pekerja industri) sudah berkurangan di negara-negara industri yang maju, tetapi dalam skala dunia ia telah berkembang dalam bilangan yang banyak dan terutamanya melalui perindustrian massa di negara-negara seperti China, India, Brazil dan lain-lain. Kami menyedari bahawa walaupun proses itu telah terlanjur di beberapa buah negara maju tetapi masih ada sebahagian besar kelas pekerja yang bekerja di dalam bidang pengangkutan, industri, pembuatan dan lain-lain. Kehadiran mereka amat dirasai di mogok-mogok umum yang dilancarkan di serata Eropah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Selain itu, juga masih wujud satu proses radikalisasi dikalangan lapisan yang sebelumnya dianggap ‘istimewa’, seperti guru-guru, penjawat awam, pekerja pejabat pos dan pensyarah-pensyarah universiti yang seringkali dibayar gaji yang rendah dan menganggap diri mereka sebagai kelas pekerja, malah menyertai organisasi pekerja seperti kesatuan dan lain-lain. Baru-baru ini kita melihat gerakan-gerakan besar di Amerika Syarikat menuntut gaji minimum 15 USD sejam, seiringan dengan pekerja di Britain yang menuntut 10 GBP sejam. Mogok, piket dan aksi bantahan di tempat-tempat kerja sudah semakin bertambah di negara-negara maju. Perjuangan mereka sedang dipengaruhi oleh suasana umum kelas pekerja secara keseluruhan dan tidak tertumpu pada lapangan industri sahaja. Ia juga sedang berkembang pesat dari segi persoalan mengenai susunan politik dan sosial yang menjadi bahan perbincangan yang serius.

Kesedaran Sosialis

Masih tidak wujud satu perkembangan kesedaran sosialis yang luas, walaupun di Greece yang dihumban ke dalam krisis ekonomi yang telah membangkitkan kemarahan dan tindakan kelas dari skala yang besar. Tetapi kita telah menyaksikan lebih 30 mogok umum di mana kelas pekerja telah menggoncangkan kerangka kapitalisme Greece, kebangkitan besar-besaran di Sepanyol dan Portugal, sebagaimana di Britain dan di Amerika Syarikat dengan fenomena Corbyn dan Sanders. Ini menunjukkan kebangkitan politik kelas pekerja dan anak muda yang telah mengejutkan pemikir borjuis, termasuk dari kem sosial demokrasi.

Situasi dimana kelas pekerja belum menerima idea sosialisme ini telah dijelaskan oleh penganalisa Marxis berulang kali tetapi ini dilihat sebagai sekadar ‘alasan’ dan ditolak oleh Mason. Dia memiliki pandangan yang kaku (deterministic) dan berat sebelah yang telah dibentuk melalui campuran pelbagai peristiwa dengan tidak tersusun. Parti sosial demokratik pada zaman kegemilangannya iaitu akhir abad ke-19 di Jerman di bawah pengaruh Marx dan Engels, dan pada dekad-dekad awal abad ke-20, meneruskan pendidikan sosialis yang sistematik bagi ribuan pekerja. Ini, seterusnya telah menyemai jutaan rakyat dengan idea sosialisme, menghubungkannya dengan pengalaman harian mereka. Ketidakcukupan kapitalisme telah didedahkan dengan luas melalui ucapan, artikel akhbar, risalah dan sebagainya.

Mitologi Rumawi mengatakan bahawa Minerva muncul terbentuk dalam keadaan siap sepenuhnya daripada kepala Jupiter. Mason juga secara terang-terangan percaya bahawa kesedaran kelas pekerja terbentuk seumpama itu, dengan keadaan siap dan tanpa dipengaruhi perubahan-perubahan objektif. Bagaimana untuk mengungkapkan cara pemikiran Mason yang berhujah bahawa: “Dalam tempoh 25 tahun yang lalu, secara terang-terangan projek kiri telah runtuh. Pasaran bebas telah menggagalkan ekonomi terancang, individualisme menggantikan kolektivisme dan solidariti, tenaga kerja dunia yang berkembang pesat nampak membawa rupa bentuk ‘proletariat’ tetapi tidak berfikir dan bertindak sepertimana ia pernah dahulu”. Kenyataan sebegini mendedahkan bahawa Mason tidak memahami bagaimana keruntuhan Stalinisme, berikutan dengan perkembangan pesat ekonomi kapitalis zaman 90-an yang telah memberikan kesan besar, dan masih memberikan pengaruh besar dalam pandangan politik kelas pekerja umum.

Penghapusan ekonomi terancang yang telah menjadi titik rujukan buat kelas pekerja sedunia, walaupun dengan kehadiran birokrasi yang memudaratkan demokrasi, memberikan ruang kepada kelas pemerintah untuk menjalankan kempen besar-besaran memuji kelebihan kapitalisme jika dibandingkan dengan ‘sosialisme yang sudah tercemar’. Peristiwa ini menandakan satu kekalahan politik, pengurangan kesedaran buat gerakan buruh dan kelas pekerja sedunia yang masih sedang membayangi gerakan mereka. Walaupun begitu, kemunduran ini tidak boleh dibandingkan dengan kehancuran organisasi dan gerakan kelas pekerja yang melewati kejayaan fasisme pada era 1930-an di Eropah.

Malah, selepas krisis 2007/08 para kapitalis masih sedang memalu gendang propaganda bahawa tidak ada sebarang alternatif terhadap ‘pasaran bebas’. Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja dan sosial demokrasi juga turut mendendangkan mesej ini sambil beralih sedikit demi sedikit ke arah posisi politik kanan. Inilah puncanya kenapa walaupun melemparkan diri mereka di dalam perjuangan terhadap serangan kapital, kelas pekerja yang sedar masih belum mengangkat alternatif sosialisme demokratik sebagai pengganti kepada sistem kapitalisme yang sedia ada.

Walaubagaimanapun, sepertimana yang dibuktikan dengan pemilihan Kshama Sawant dari Sosialis Alternatif di Seattle dan kempen Bernie Sanders untuk presiden Amerika Syarikat baru-baru ini, tanah perjuangan sudah cukup subur bagi benih-benih kesedaran sosialis baru untuk membunga. Kesedaran sosialis dapat dilihat berkembang walaupun di kubu kuat kapitalisme dunia seperti Amerika Syarikat. Eropah dan negara-negara dunia yang lain yang sedang menghadapi krisis yang parah juga berada tidak jauh dibelakang kesedaran kelas pekerja Amerika Syarikat.

Sosialisme Utopia

Alternatif yang dicadangkan Paul Mason bagi permasalahan yang sedang di hadapi bukanlah sesuatu yang moden seperti yang cuba digambarkan. Ia adalah pengunaan balik idea-idea sosialisme utopia yang pernah diajukan oleh tokoh-tokoh sosialis sebelum abad ke-19. Sebagaimana yang diakui oleh Mason sendiri, ia adalah pengembalian kepada idea koloborasi melalui koperasi. Namun, secara realitinya, ini adalah idea yang dibawa oleh Robert Owen, Saint Simon dan lain-lain yang telah mendahului penemuan sains Marxisme dan kemunculan gerakan kelas pekerja yang sedar secara politik. Owen adalah seorang genius yang telah memberikan kita gambaran tentang apa yang boleh dicapai melalui sosialisme. Namun, ia terbukti sebagai satu utopia dan projeknya telah gagal. Ia adalah percubaan berani untuk membina pulau-pulau sosialisme di lautan kapitalisme.

Mason mendakwa bahawa sosialis utopia gagal kerana kekurangan sumber dan teknologi yang wujud pada waktu itu tetapi sekarang, dengan penemuan-penemuan baru dan aplikasi teknologi maklumat, perkongsian dan sebagainya, projek tersebut dianggap akan berjaya. Analisa Mason silap di dalam beberapa perkara. Seperti apa yang Marx dan Engels tegaskan, sosialis utopia terpaksa mengambil bentuk sedemikian kerana kelas pekerja pada masa itu masih belum matang sepenuhnya sebagai satu kuasa bebas dengan kesedaran kelas. Walaubagaimanapun, di dekad-dekad seterusnya, perkembangan tersebut mula mencorak melalui gerakan ‘Chartisme’, iaitu manifestasi pertama gerakan kelas pekerja yang bebas dalam sejarah.

Dalam masa 10 tahun, gerakan Chartis memanifestasikan semua fasa dalam perjuangan kelas, daripada petisyen aman sehingga mogok umum yang bersifat revolusioner. Inilah pengalaman yang ditulis oleh Engels di dalam bukunya ‘The Conditions of Working Class’ pada 1844, di mana Mason mengutuk karya tersebut sehabis-habisnya tanpa sebuah pemahaman yang jelas.

Dalam konklusinya, Mason mengaku: “Kita tidak perlu malu dengan idea-idea yang utopia”. Beliau telah mencapai matlamat dalam model skemanya yang tidak menunjukkan sebarang hubungkait dengan peristiwa yang terungkap di Britain dan di seluruh dunia dalam masa-masa yang akan datang. Mason mendedahkan asas ideologi kepada analisanya apabila dia menulis: “Usahawan-usahawan paling efektif pada masyarakat pasca-kapitalisme adalah mereka yang berfikir secara utopia, dan begitu juga dengan semua pelopor pembebasan manusia lain”. Kesimpulannya langsung tidak menyentuh tentang sosialisme atau kelas pekerja dalam konteks perjuangan -perjuangan yang bakal tiba.

Adalah jelas bahawa semangat Mason telah terjejas dengan kegagalan gerakan-gerakan radikal – terutamanya pengkhianatan Alexis Tsipras (Syriza) di Greece yang tidak berani menghadapi birokrasi kapitalisme yang semakin melemah. Tetapi ini merupakan hanya tahap permulaan dalam perjuangan kelas. Kelas pekerja di Greece, Eropah dan di serata dunia akan mendapat pengajaran besar daripada pengalaman-pengalaman pahit ini. Kita perlukan bukan sahaja organisasi kelas pekerja yang kuat tetapi juga kepimpinan yang mampu bergerak bersama massa sehingga ke akhirnya untuk membasmi kapitalisme dan membuka era sosialis baru.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *