Solidariti buat PPPMEU, EIEUNR, NUTEAIW dan EIEUSR
Bantah taktik union busting yang menghapuskan kuasa kesatuan sekerja melalui pembinaan kesatuan yang berdikari dan mampu membawa politik kelas pekerja!
Pekerja-pekerja daripada beberapa kesatuan nasional bersolidariti bangkit lawan union busting pagi ini di hadapan bangunan Parlimen.
Namun dalam setiap langkah yang ingin dibina oleh kepimpinan kesatuan, sama ada melalui undi sulit ataupun cubaan untuk mengadakan mesyuarat di tempat kerja sekalipun — kelas kapitalis akan menentang dan mengekang sebarang bentuk usaha untuk bersatu secara kolektif dalam menentang segala bentuk penindasan yang dilakukan oleh mereka.
Telahpun dilaporkan oleh KESUMA (Kementerian Sumber Manusia), di mana terdapat 246 aduan telah difailkan dalam masa sedekad berikutan cubaan majikan untuk memusnahkan kuasa kesatuan sekerja (union busting). Seperti mana yang turut dijelaskan di dalam info jemputan acara bantahan ini, kesemua kesatuan yang terlibat menghadapi tindakan union busting melalui pelbagai taktik yang keji — pekerja dipecat, rundingan ditangguh dan proses pengundian disabotaj dan pelbagai hal lagi.
Diterukkan lagi dengan sikap acuh tak acuh yang diambil oleh pegawai dari Jabatan Perhubungan Perusahaan mahupun Jabatan Tenaga Buruh dalam menyelesaikan isu ini secara tegas — mendedahkan bagaimana pihak kerajaan tidak berpihak kepada kelas pekerja.
Seruan kami kepada pekerja yang sedang berjuang membantah agenda Union Busting
Pihak Jaringan Solidariti Pekerja dan Sosialis Alternatif menyokong usaha kesatuan PPPMEU (Kesatuan Pekerja-Pekerja Pembuatan Kertas dan Produk Kertas), EIEUNR (Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Utara), NUTEAIW (Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-Alat Pengangkutan dan Sekutu), EIEUSR (Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan) dan juga Pertubuhan IndustriALL Malaysia dalam perjuangan mereka menentang tindakan majikan yang ingin melemahkan gerakan kolektif kelas pekerja dan barisan kepimpinan yang bersatu tenaga dalam menyusun kekuatan kesatuan di kesemua industri kebangsaan.
Kami menyokong tuntutan-tuntutan utama yang diangkat oleh kepimpinan kesatuan sekerja, dan kami juga menyeru, tuntutan reformasi undang-undang Perhubungan Perusahaan dan juga penguatkuasaan jabatan kerajaan untuk mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap kelas kapitalis, hanya dapat diselesaikan melalui gerakan penentangan dan aksi industri yang lebih militan dan pendirian politik yang bersifat anti sistem kapitalisme yang hanya melebihkan agenda kelas kapitalis. Tindakan mogok serentak di kalangan semua pekerja dalam kesatuan yang terlibat, serta tindakan solidariti dari kesatuan lain yang menyokong perjuangan membantah union busting seperti piket, dapat dijadikan sebagai senjata permulaan yang ampuh dan efektif.
Kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim ternyata tidak ada beza dari kerajaan di bawah pemerintahan UMNO yang mementingkan kehendak kelas kapitalis elit. Ambil saja contoh gaji minimum yang seharusnya menjadi penanda aras untuk sebuah kehidupan yang lestari bagi kelas pekerja — RM 1,700 merupakan jumlah gaji yang terletak jauh di bawah paras garis kemiskinan iaitu RM 2,700 pada tahun ini. Anak muda dan kelas pekerja terpaksa bertungkus lumus menjalankan dua kerja serentak hanya untuk menampung kos kehidupan yang semakin meningkat ketika ini. Tidak hanya dengan itu saja, servis-servis awam seperti sistem kesihatan dan pendidikan yang menjadi asas kehidupan kelas pekerja sedang terhakis disebabkan sikap kerajaan yang mementingkan kehendak dan agenda kelas kapitalis. Ini yang menyebabkan peningkatan isu-isu sosial seperti keganasan di dalam sekolah yang berlaku di SMK Bandar Utama 3 minggu yang lalu. Kesinambungan eksploitasi dan penindasan yang telah berlangsung semenjak kapital bermaharajalela di rantau kita — dari zaman kolonialisme hinggalah ke zaman neo-liberalisme yang sedang kita hadapi ketika ini, menunjukkan bahawa kelas kapitalis dan kerajaan yang berpaksikan sistem kapitalisme tidak akan sesekali memberi muka kepada perjuangan kelas pekerja. Perjuangan gerakan buruh ini bukanlah sebuah hal yang terasing, melainkan sebuah perjuangan yang berskala internasional dan menyaksikan penindasan kelas majikan berlaku di seluruh pelusuk dunia.
Hanya melalui gerakan politik yang berprinsipkan kelas pekerja yang berdikari dan anti kapitalisme — juga menghubungkan tuntutan perjuangan rakyat massa, sebuah penyelesaian yang lebih adil dapat dilaksanakan. Tuntutan gerakan buruh sedia ada tidak dapat diasingkan daripada perjuangan yang lebih meluas, merangkumi harapan majoriti kelas pekerja yang lain — termasuklah anak-anak muda, golongan ibu tunggal, golongan minoriti yang tertindas dan seumpamanya.
Perjuangan kesatuan buruh dan pekerja dari seluruh industri
- Membina sebuah jawatankuasa bertindak sesama kesatuan dan industri dalam membina solidariti dalam menentang tindakan union busting melalui tindakan perindustrian seperti mogok dan piket.
- Membina jaringan solidariti sesama gerakan buruh dan kesatuan sekerja di rantau Asia Tenggara dan antarabangsa.
- Menuntut pemansuhan akta-akta yang menindas gerakan kebangkitan rakyat. Termasuk akta-akta yang menghalang pembinaan kesatuan di tempat kerja (union busting) dan hak mahasiswa berpolitik di institusi pendidikan. Akta seperti AUKU dan Akta Hasutan 1948 contohnya — hanyalah bukti bagaimana ianya dikuatkuasakan bagi membungkam kebangkitan gerakan rakyat yang ingin menuntut hak keadilan buat mereka.
Demokrasi dan hak asasi
- Menuntut hak buat pekerja buruh migran untuk berjuang melalui kesatuan sekerja dan organisasi buruh yang lainnya. Pembinaan solidariti antarabangsa di antara kelas pekerja tempatan dan buruh migran — selaku kelas pekerja yang ditindas di bawah kapitalisme seluruh dunia.
- Menuntut pengiktirafan pekerja gig dan juga pekerja tidak formal bagi mendapatkan hak yang sama seperti mana yang termaktub di dalam Akta Kerja 1955 dan juga hak untuk berkesatuan dan berjuang secara kolektif bagi mendapatkan hak pekerjaan yang bermaruah.
- Menuntut pendidikan percuma dan memansuhkan hutang PTPTN — kelas pekerja dan anak muda tidak perlu dibebankan dengan hutang pendidikan dan bebas untuk menuntut ilmu secara percuma demi kebaikan masyarakat secara umum.
Ekonomi dan sosial
- Menuntut gaji minimum RM 20 sejam / RM 3,200 – RM 3,600 sebulan. Peningkatan gaji yang selayaknya dan bermaruah buat kelas pekerja. Berjuang demi kadar gaji yang selaras dan adil mengikut inflasi dan kos kehidupan yang semakin meningkat!
- Menghakmilikrakyatkan industri, aset dan perkhidmatan utama negara seperti minyak, air, sektor perumahan dan perkhidmatan kesihatan — hala tuju ekonomi perlu ditentukan oleh kelas pekerja secara demokratik dan tidak didominasi oleh logik keuntungan kelas kapitalis semata-mata.
Politik dan strategi perjuangan
- Perikatan politik yang berdikari di antara kelas pekerja, kelas petani, mahasiswa dan golongan minoriti yang ditindas; ke arah pembinaan parti pekerja massa yang revolusioner — sebagai platform politik alternatif untuk menggantikan politik kelas kapitalis dan membawa politik kelas pekerja ke arena politik negara dan seluruh dunia!
- Pembinaan gerakan perjuangan ekonomi dan perjuangan politik — gerakan buruh perlu memainkan peranan utama dalam membimbing masyarakat melawan penindasan kelas kapitalis dan kelas penguasa di negara kita dan juga di seluruh dunia.
- Hapuskan sistem ekonomi kapitalisme yang menghasilkan rasuah, ketirisan dan kesenjangan ekonomi yang ekstrem! Ke arah pembinaan sebuah masyarakat yang berpaksikan kepentingan kelas pekerja dan bukannya kelas kapitalis; ke arah sistem Sosialisme!
Kongsi Artikel Ini
Artikel Berkaitan