Sistem Kapitalisme Semakin Parah – Berjuang Ke Arah Pemerkasaan Gerakan Buruh

Baru-baru ini, akhbar Kosmo melaporkan bahawa selama berlangsungnya PKP, seramai 1700 lebih kematian penunggang yang terlibat di dalam perkhidmatan penghantaran makanan. Jumlah ini merangkumi sebanyak dua pertiga daripada total keseluruhan kematian penunggang motosikal yang terbabit. Seperti kita semua yang turut membaca berita sebelum ini, terdapat banyak kes kematian melibatkan faktor-faktor luaran seperti keadaan jalan raya yang tidak selamat dan keadaan trafik yang membahayakan. Malah baru-baru ini impak alam sekitar terhadap kawasan negara kita telah meningkatkan lagi risiko penunggang perkhidmatan yang terpaksa meredah ribut petir bagi memastikan makanan ataupun barangan dapat dihantar.

Bagi memahami situasi seperti ini, kita tidak dapat melihat hal ini melalui lensa yang berasingan dan sebaliknya perlu mengambil kira faktor-faktor luaran (selain penunggang itu sendiri) yang menjadi asas kepada permasalahan yang dinyatakan. Kes-kes yang telah didedahkan sebelum ini menjelaskan bagaimana pekerjaan di negara kita, baik di sektor perindustrian, pembangunan mahupun pengangkutan seringkali diabaikan dan sekaligus, mengakibatkan pekerja terpaksa menghadapi hari-hari mereka dalam keadaan yang membahayakan, penuh risiko dan terdedah kepada kecelakaan. Tambahan lagi, jenis-jenis insentif yang kian menekan para penunggang telah meletakkan mereka di dalam situasi mengejar waktu bagi memaksimumkan gaji yang bakal diperoleh mereka. Penyelesaian kepada tragedi ini, jika benar-benar dirancang, ditingkatkan dana pembaik pulih dan mengutamakan kesihatan pekerja – dapat memberi jaminan bahawa pekerjaan yang membahayakan ini dapat dielakkan secara total.

Pada 18hb April hari yang lepas, akhbar Berita Harian melaporkan seramai 73.9 % pihak majikan gagal memenuhi kemudahan penginapan asrama pekerja. Justeru, sebanyak 625 siasatan dibuka atas kesalahan seperti menyediakan tempat penginapan yang tidak mematuhi undang-undang pihak berkuasa tempatan. Informasi seperti ini menunjukkan bahawa betapa mudahnya para majikan melanggar apa-apa akta yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan tanpa segan silunya, terus menerus menindas situasi kelas pekerja di sini. Janganlah pula kita terkejut dengan berita seperti ini, kerana jenis-jenis penindasan seperti ini tidak terhasil secara tiba-tiba – melainkan sebuah praktik yang telah lama dijalankan oleh pihak majikan dengan penuh rasa bongkak dan jahil terhadap ketidakadilan yang dilaksanakan oleh mereka. Masakan pihak Kementerian Sumber Manusia boleh saja melaporkan data pelanggaran yang menghampiri jumlah 75% tanpa mengakui ataupun mengenal pasti bahawa permasalahan ini bukanlah hal yang baru ataupun perkara yang berada di luar jangkaan mereka. Harapan yang telah pula kita letakkan kepada pihak kerajaan untuk membela rakyat kian lama terhakis dan hipokrasi para menteri dengan segala macam keistimewaan gaji besar dan kekayaan mereka telah menunjukkan pihak mana yang mereka bela – iaitu pihak para kapitalis dan pihak majikan – dengan keji mengagungkan konsep “keharmonian” di antara pekerja dan majikan tanpa melihat betapa kejamnya tindakan kuasa-kuasa elit mengaut kekayaan yang dihasilkan oleh kita semua.

Justeru, tragedinya di bawah sistem ini – keuntungan para pemilik modal diutamakan dan diangkat sebagai kayu ukur kejayaan tanpa mengambil kira daya utama yang menjadi penggerak keuntungan mereka – iaitu tenaga para buruh di seluruh dunia. Tidak dilupakan juga, dengan kadar pengangguran negara yang tinggi di Asia Tenggara dan sebahagian besarnya terdiri daripada golongan anak muda – telah menghasilkan situasi yang benar-benar membimbangkan. Laman portal berita Ekonomi Rakyat turut menjelaskan bagaimana 1.9 juta anak muda bekerja di bawah kelayakan mereka. Ini menjurus kepada keterdesakan yang tidak dapat dibendung dan memaksa anak muda menerima situasi pekerjaan yang tidak setimpal dan membahayakan. Laporan yang dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan baru-baru ini, menyatakan bahawa seramai 200 penunggang baru mendaftar diri untuk menyediakan servis perkhidmatan penghantaran makanan setiap hari. Sektor ekonomi gig meningkat naik dengan keterlibatan anak muda yang kebanyakannya menganggur ataupun dibuang kerja. Justeru, jumlah kematian yang meresahkan ini tidak dapat kita fahami sepenuhnya, tanpa turut mengambil kira situasi dan latar belakang yang sedang berlangsung sekarang.

Di sudut lain pula, para media kapitalis mulai melaporkan perihal perkembangan salah satu syarikat e-hailing terbesar di Asia – iaitu syarikat Grab Holdings Inc yang akan disenaraikan di Amerika Syarikat dan dijangka mempunyai nilai pasaran sebanyak RM 163.47 bilion. Ini menunjukkan bagaimana ekonomi gig menjadi medan pengumpulan modal yang berjaya mencapai tahap keuntungan yang benar-benar tinggi. Namun, persoalan yang juga perlu kita utarakan adalah sumber keuntungan yang dihasilkan ini datang dari mana? Bagaimana dengan para penunggang individual yang selama mereka berkhidmat tidak dijamin keselamatan baik dirinya mahupun motosikalnya sendiri. Tiada caruman yang dilaksanakan oleh pihak syarikat untuk jaminan pencen mahupun caruman kebajikan pekerja. Malah insentif baru juga mengurangkan kadar gaji yang dapat dikumpul oleh para pekerja. Dengan lebih tragik, situasi pekerja gig ekonomi tidak berhubungan dengan syarikat aplikasi dalam kerangka yang konvensional – iaitu di antara pekerja dengan majikan; sebaliknya berhubungan melalui kontraktor bebas dengan syarikat.

Hal yang lebih kurang sama juga turut berlaku sewaktu berlangsungnya pandemik ini – di mana kilang pembuat sarung tangan yang mengaut keuntungan berbilion ringgit turut didedahkan perihal layanan dan keadaan kehidupan para pekerja di kilang mereka. Tidak ada tindakan tegas yang dilakukan terhadap pihak-pihak majikan yang menindas para pekerja di sini. Laporan demi laporan ditulis mengenai keadaan mereka, tidak ada apa-apa perubahan yang dapat kita saksikan. Ini disebabkan tekanan terhadap isu-isu seperti ini, akhirnya diletakkan ke atas tanggungjawab para menteri mahupun wakil rakyat yang secara asasnya, tidak pernah berpihak kepada golongan rakyat kebanyakan. Ya, masih ada wakil rakyat yang menulis dan mendendangkan keluhan nasib pekerja di sini namun jalan penyelesaiannya tidak menjurus kepada perubahan yang menyeluruh. Tidak ada seruan mahupun program bagi memperkasakan kelas pekerja yang ditindas ini melalui penubuhan kesatuan dan berusaha bagi mendapatkan perjanjian kolektif yang benar-benar berpihak kepada kita. Malah para pemimpin kesatuan sekerja kini sedang berada dalam keadaan yang benar-benar lesu – tanpa apa-apa program kebangsaan yang dapat mengangkat dan membela keadaan pekerja merentas industri dan sektor. Tidak ada koordinasi di antara pemimpin kesatuan bagi menekankan keperluan bagi membela kebajikan pekerja yang kian lama terhakis dek krisis ekonomi yang semakin merosot.

Di balik keresahan rakyat yang dibelenggu krisis ekonomi, terdapat suatu keperluan bagi mendirikan sebuah kuasa mandiri yang tertumpu kepada kepentingan asas pekerja. Kelas pekerja menjadi satu-satunya kuasa yang berjaya menuntut sebuah perubahan tanpa disaluti janji-janji para elit birokrat mahupun pemimpin kesatuan yang lali. Di mana-mana negara yang berada di ambang krisis, kelas pekerja pada akhirnya tidak lagi termakan janji dan mulai mengambil inisiatif mandiri dan membela hak kebajikan sendiri. Lihat saja perjuangan buruh di India, Myanmar mahupun di negara jiran kita iaitu di Indonesia – di mana gerakan buruh mulai mengambil inisiatif yang mandiri bagi menentang segala bentuk penindasan yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

Kami di Jaringan Solidariti Pekerja, berhujah bahawa melalui pengukuhan kuasa di antara pekerja – terutamanya melalui pembentukan kesatuan sekerja di sektor-sektor sedia ada – sebuah kuasa mandiri dapat dibawa dan diangkat sebagai alternatif kepada situasi porak peranda yang sedang berlangsung kini. Ini disebabkan kepentingan kelas pekerja – pada akhirnya akan mendedahkan percanggahan kepentingan yang wujud di antara kita dengan majikan. Kami juga mengambil pendirian bahawa alternatif kepada kapitalisme adalah sosialisme – sebuah aturan masyarakat yang meletakkan kuasa-kuasa produksi di bawah kawalan pekerja secara demokratik. Melalui perubahan ke arah sosialisme – sebuah jaminan kehidupan yang adil buat pekerja dapat dilaksanakan.

Akhir kata, pendedahan isu-isu pekerja yang dijadikan sebagai contoh ini, bertujuan untuk mendedahkan bagaimana sistem kapitalisme yang sedang kita jalani merupakan sebuah sistem yang bercanggah – berpihak kepada kelas kapitalis dan bukannya kelas pekerja; memberi kekayaan kepada para pemilik modal dan pemegang saham dan memudaratkan kehidupan kelas pekerja; menghancurkan alam sekitar tanpa memikirkan kualiti alam sekitar yang lestari buat generasi akan datang.  Perubahan untuk menghancurkan sistem kapitalisme perlu diperkasakan melalui sebuah gerakan buruh yang benar-benar lantang menentang kuasa pemodal dan memerlukan sebuah revolusi politik yang berpaksikan kepada kekuatan gerakan buruh.

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top