Berikutan pandemik Covid-19 yang telah menghancurkan ekonomi dunia selama hampir 2 tahun, kerajaan telah memberi kelonggaran kepada para pencarum KWSP untuk mengeluarkan wang simpanan mereka bagi menampung beban kehidupan yang meningkat akibat pandemik ini. Para pekerja yang kehilangan kerja, kehilangan elaun-elaun tertentu dan mengalami pemotongan gaji di sepanjang pendemik ini telah terpaksa mengorbankan wang simpanan hari tua mereka sendiri bagi menghadapi situasi kecemasan yang telah mengancam nyawa dan harta mereka. 

Walaupun pendapatan para pekerja telah terkesan akibat pandemik, tetapi, mereka masih perlu membayar sewa rumah, membiayai pendidikan anak, menjelaskan bil utiliti, menampung kos makanan yang sedang meningkat dan banyak lagi keperluan harian terpaksa ditanggung dengan sendiri. Kempen ‘bendera putih’ yang telah merebak ke seluruh Malaysia merupakan simbol kepada keadaan rakyat yang semakin terdesak dan terbeban untuk menampung keperluan asas mereka. Pihak kerajaan yang seharusnya peka dalam keadaan kecemasan ini pula hanya memberikan beberapa bantuan kecil yang langsung tidak merujuk kepada kesengsaraan yang sedang dihadapi oleh majoriti rakyat biasa. Rizab negara yang bernilai beratus bilion dan aset-aset awam yang mewah seharusnya boleh digunakan untuk membantu masyarakat miskin yang memerlukan. Sebaliknya, pihak kerajaan telah menggunakan wang simpanan hari tua para pekerja sendiri untuk menampung kehidupan mereka selama ini. 

KWSP merupakan lembaga kerajaan yang diwujudkan sebagai dana kelas pekerja bagi menampung perbelanjaan kehidupan mereka selepas bersara. Pihak kerajaan yang mengawal lembaga ini tidak membenarkan para pekerja untuk mengeluarkan wang KWSP dengan sewenang-wenangnya, termasuk dalam keadaan kecemasan bagi pekerja tertentu. Kononnya, wang ini harus dilindungi bagi menjamin kehidupan yang bahagia untuk kelas pekerja di hari tua mereka. Namun, walaupun terdapat pelbagai cara lain untuk menyediakan dana kecemasan bagi rakyat, pihak kerajaan masih memilih untuk menggunakan wang KWSP untuk membiayai sebahagian daripada kos pandemik ini. 

Pihak kerajaan boleh memilih untuk mengurangkan peruntukkan dana awam kepada pemilik syarikat-syarikat besar yang sudahpun kaya raya dan mempunyai harta peribadi yang cukup untuk menampung kehidupan keluarga mereka. Kerajaan juga boleh memilih untuk meningkatkan cukai terhadap syarikat-syarikat besar yang telah mendapat keuntungan yang berganda-ganda seperti Top Glove. Selain itu, kerajaan juga boleh memilih untuk mengambil alih industri-industri perubatan, pembuatan dan sebagainya untuk memastikan bahawa kebajikan dan kehidupan rakyat biasa akan terpelihara. 

Sebaliknya, pihak kerajaan hanya memilih untuk menghabiskan rizab negara dan mengambil hutang yang luar biasa semata-mata untuk memenuhkan dompet kelas majikan yang kaya. Sebahagian besar daripada wang yang dibenjakan untuk menghadapi Covid-19 tidak disalurkan kepada kelas pekerja dan keluarga-keluarga yang miskin. Sebaliknya, pemilik syarikat-syarikat besar seperti Tony Fernandez dari Air Asia telah mendapat dana bernilai berbilion-bilion dari kerajaan, walaupun syarikat tersebut telah memecat ribuan pekerja mereka semata-mata untuk melindungi keuntungan syarikat. 

Dalam keadaan yang penuh dengan ketidaktentuan, sebahagian daripada kelas pekerja telah menghembus nafas lega berikutan pengumuman kerajaan yang membenarkan pengeluaran wang KWSP secara berkala. Sekurang-kurangnya, mereka dapat meneruskan kehidupan mereka dengan bermaruah untuk beberapa bulan dengan wang pengeluaran ini. Tetapi kini, seramai 3.6 juta pekerja ataupun pencarum KWSP didapati hanya mempunyai kurang daripada RM1000 dalam simpanan mereka. Kira-kira separuh daripada pencarum KWSP ataupun sebanyak 6.1 juta ahli pula hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM10000. 

Pada 2018, lembaga KWSP sendiri telah menetapkan sasaran simpanan minimum pada RM240 000 sebagai jumlah yang wajar untuk menampung perbelanjaan persaraan seseorang pekerja untuk 20 tahun. Tetapi, pada waktu ini, hanya 3 peratus daripada pencarum KWSP mempunyai jumlah simpanan yang dianggap cukup untuk menampung perbelanjaan hari tua mereka. Lebih daripada 95 peratus daripada para pekerja lain tidak mempunyai sebarang penyelesaian kepada masalah yang akan dihadapi pada satu hari nanti. 

Ini mencerminkan keadaan majoriti daripada kelas pekerja yang menerima gaji yang tidak cukup untuk menampung keperluan kehidupan harian mereka. Gaji yang sedikit ini menjurus kepada simpanan KWSP yang sedikit. Tambahan pula dengan langkah kerajaan terbaru untuk mengurangkan kadar sumbangan KWSP majikan daripada 11 peratus ke 9 peratus, ia adalah mustahil bagi kebanyakkan daripada pekerja untuk mencapai sasaran simpanan minimum yang boleh menjamin masa depan mereka. Malah dalam jangka masa 2 tahun ini, sebanyak 100 Bilion daripada wang simpanan pekerja telahpun lesap akibat kegagalan kerajaan untuk mencari jalan lain untuk menyediakan dana kecemasan pandemik kepada kelas pekerja. 

Kajian mendapati bahawa sebanyak 50 peratus daripada kelas pekerja di Malaysia mendapat kurang daripada RM 1700 sebagai gaji bulanan. Sebahagian besar di kalangan mereka pula hanya menerima gaji minimum, ataupun sebanyak RM 1200 setiap bulan. Merujuk kepada peningkatan kos kehidupan seperti harga sewa rumah, kos pengangkutan, makanan dan sebagainya, majoriti daripada kelas pekerja sudahpun berada dalam keadaan yang sangat tersepit dari segi ekonomi, walaupun sebelum ketibaan pandemik ini. Sekarang, dengan kemelesetan ekonomi dunia dan tempatan, beban ekonomi kelas pekerja dan rakyat miskin sedang terus meningkat. 

Apabila tahun 2021 mencapai kesimpulannya pada akhir Disember ini, kebanyakkan daripada kelas pekerja akan merasa gelisah untuk menghadapi tahun 2022 yang tidak menawarkan sebarang perubahan dalam keadaan kehidupan mereka. Cuma, majoriti daripada kelas pekerja kini telah menjadi lebih miskin berbanding daripada permulaan pandemik Covid-19 pada Mac tahun lepas. Pada masa yang sama, kelas majikan kaya pula telah meningkatkan kekayaan mereka secara berganda-ganda. Dunia telah melihat peningkatan sebanyak 2600 Bilionair baru pada tahun lepas, termasuk 3 dari Malaysia.

Tambahan pula, pihak kerajaan yang telah mengambil hutang dalam jumlah berbilion-bilion juga akan meletakkan semua beban untuk menjelaskan hutang tersebut ke atas bahu kelas pekerja dan rakyat biasa. Dana perbelanjaan sosial akan terus di potong, termasuk dana kemudahan awam seperti sekolah dan hospital, dan keperluan rakyat biasa akan terus dipinggirkan. Kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat jelata selama 2 tahun akan berterusan ke tahun hadapan jika tiada sebarang perubahan yang drastik dilakukan segera. 

Kelas pekerja dan rakyat biasa sedang semakin hilang harapan dengan pertubuhan-pertubuhan politik dan kerajaan yang bersilih ganti, tetapi tidak berjaya meringankan beban ekonomi rakyat biasa. Ahli-ahli politik arus perdana hanya berupaya untuk menaburkan janji untuk memikat para pengundi, tetapi akan melupakan tanggung jawab mereka sejurus memegang kuasa politik. 

Pada masa ini, kelas pekerja dan rakyat biasa haruslah memilih jalan perjuangan untuk mempertahankan hak mereka dan pada masa yang sama untuk menjamin kebajikan yang mencukupi. Kerajaan yang dibentuk oleh ahli-ahli politik pertubuhan haruslah ditekan untuk membawa perubahan yang bermakna bagi rakyat atau di lucutkan daripada kuasa politik mereka. Pertubuhan politik yang membawa penyertaan massa dan program rakyat untuk melawan agenda politik kelas majikan haruslah didirikan dengan semangat solidariti yang menyentuh semua rakyat tertindas, tidak kira kaum, agama dan latar belakang. 

Pada masa ini, Kesatuan Pekerja Bank (NUBE) dan Kesatuan Industri minuman (NUDIW) telah mengemukakan tuntutan kepada pihak kerajaan untuk mengembalikan wang KWSP pekerja B40 yang digunakan oleh mereka sepanjang waktu pandemik ini. Ini bukanlah sesuatu yang mustahil apabila mengambil kira bahawa aset KWSP sendiri menjangkau lebih 980 Bilion Ringgit dan dengan mudah dapat membayar kembali wang simpanan tersebut. Ini  juga merupakan tuntutan yang mampu mendapat sokongan yang luas di kalangan para pekerja dan boleh menjadi titik tolak kepada pembinaan perjuangan-perjuangan lain yang membawa isu-isu rakyat yang berbeza. 

Usaha kesatuan NUBE dan NUDIW ini haruslah dicontohi dan disokong oleh semua kelas pekerja di Malaysia. Pada masa yang sama, sebuah gabungan kesatuan-kesatuan sekerja juga perlu dibentuk untuk memimpin perjuangan kelas pekerja dan rakyat massa. Kelas pekerja daripada industri-industri berbeza juga sedang menghadapi situasi yang hampir sama diantara satu sama lain dan haruslah menggabungkan tenaga dan melancarkan perjuangan yang kukuh dan bersatu padu. Kepimpinan yang terbentuk daripada kelas pekerja yang tersusun ini akan menjadi tonggak kepada perubahan masyarakat. Selain daripada menjadi kepimpinan bagi perjuangan sosial dan ekonomi rakyat, ia juga boleh berkembang menjadi kepimpinan politik rakyat dan mencabar kekuasaan politik kelas majikan pada waktu ini.