Sekreteriat Solidariti Rakyat tidak mempunyai kepimpinan yang jelas. Bina perjuangan berdasarkan keperluan dan kesedaran kelas pekerja dan rakyat biasa!

Masyarakat Malaysia sedang berperang dengan bencana Covid-19 untuk hampir 2 tahun tanpa sebarang jalan penyelesaian. Kes Covid yang berada pada sekitar 2 ribu pada waktu Darurat diumumkan pada Februari lalu kini sudah menghampiri 20 ribu kes sehari. Jumlah keseluruhan kes juga sudah mencecah 1 juta orang. Pihak kerajaan sedang gagal bukan sahaja untuk membendung penyebaran virus Covid-19, malah ekonomi negara juga sedang semakin merosot dan menimbulkan beban-beban yang melampau bagi rakyat biasa. Kadar pengangguran sedang menggunung dengan penutupan kilang-kilang besar dan perniagaan kecil yang tidak boleh menjana keuntungan pada waktu ini. Hospital-hospital kerajaan pula dalam keadaan krisis dengan kesesakan dan kekurangan katil dan kemudahan untuk merawat jumlah pesakit yang terlalu banyak. 

Di dalam situasi ini, rakyat biasa sudah tidak yakin dengan pengurusan pihak kerajaan yang sedia ada dan sedang bertambah marah dengan kondisi mereka yang semakin merosot. Sebilangan daripada masyarakat yang sudah tidak tahan dengan keperitan hidup sudahpun melakukan beberapa aksi untuk meluahkan kekecewaan mereka terhadap kerajaan. Para doktor kontrak kerajaan yang melancarkan aksi industri seperti piket di seluruh Malaysia pada hujung Julai telah mendedahkan kerakusan kepimpinan kerajaan dan juga kelemahan sistem kesihatan awam.  

Begitu juga dengan aksi-aksi dari kumpulan anak muda yang telah melakukan beberapa demonstrasi untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan pihak kerajaan yang dianggap bukan sekadar tidak mampu menangani pandemik ini, malah tidak demokratik dan gila kuasa sehingga menggadaikan masa depan negara. Di bawah tuntutan supaya PM Muhyiddin dan kabinetnya berundur dengan segera, kumpulan anak muda ini telah melancarkan beberapa demonstrasi seperti mengibarkan bendera hitam, berkumpul di Parlimen dan Dataran Merdeka sambil mengusung ‘mayat’ dan sebagainya. 

Walaupun rakyat biasa sememangnya sedang marah dengan pentadbiran PM Muhyiddin yang tidak menunjukkan sebarang hasil yang positif, tetapi, demonstrasi yang dianjurkan oleh anak muda ini belum kelihatan sebagai mendapat sokongan luas daripada rakyat terbanyak. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti kes Covid-19 yang sedang meningkat dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat untuk menyertai demonstrasi jalanan. Selain itu, kepimpinan kuku besi oleh kerajaan di bawah Darurat juga mencegah rakyat biasa daripada bersuara dengan terbuka.

Tetapi, memandangkan protes-protes massa yang tercetus di negara-negara lain seperti Peru, Colombia, Myanmar, Perancis, Amerika Syarikat dan banyak lagi, menunjukkan bahawa rakyat biasa terpaksa menanggung risiko kesihatan dan menyertai demonstrsi-demonstrasi besar untuk mempertahankan hak mereka. Di negara-negara tersebut, sama seperti di negara kita, kelas kapitalis yang memiliki segala harta kekayaan dan mengawal kerajaan tidak akan berganjak untuk memberikan kebajikan kepada rakyat yang memerlukan selagi mereka tidak dipaksa dengan tekanan daripada rakyat massa melalui perjuangan jalanan. Oleh itu, situasi yang sama juga boleh berlaku di Malaysia dengan cetusan gerakan-gerakan massa jika keadaan sosial dan ekonomi tidak pulih dengan segera. Merujuk kepada situasi pandemik yang merosot dan politik yang kusut dan tidak stabil, ia adalah sukar untuk menganggarkan sebuah pemulihan ekonomi yang lancar pada waktu ini.

Sekreteriat Solidariti Rakyat

Sekreteriat Solidariti Rakyat (SSR) merupakan gabungan kumpulan anak muda yang datang dari pelbagai latar belakang, bertanggung jawab untuk menyusun dan menganjurkan beberapa aksi yang dilancarkan baru-baru ini seperti kempen ‘Bendera Hitam’. Mereka juga merupakan antara penganjur utama yang mengatur demonstrasi jalanan di Dataran Merdeka pada 31 Julai lepas yang di sertai oleh 2000 orang, kebanyakannya anak muda.

Walaupun para peserta yang mengikuti demonstrasi anjuran SSR adalah kebanyakannya terdiri daripada anak muda yang ikhlas dalam memperjuangkan nasib rakyat biasa, tetapi hala tuju kepimpinan SSR adalah tidak jelas dan dipengaruhi oleh ahli-ahli politik yang tidak boleh dipercayai. Oleh itu, organisasi anak muda ini juga terdedah dengan perangkap oleh ahli-ahli politik yang sering mempergunakan tenaga anak muda untuk mencapai cita-cita politik mereka sendiri. Fenomena ini telah jelas dirakam dalam perjuangan-perjuangan lepas di mana ribuan anak muda mengorbankan masa depan mereka semata-mata untuk menaikkan ahli-ahli politik tertentu ke tampuk kekuasaan, dan akhirnya dikhianati oleh mereka. Pengalaman lepas ini adalah sangat bernilai bagi anak muda masa ini untuk menilai kelemahan dan limitasi kepimpinan SSR dan untuk mengelakkan diri daripada menjadi kuda tunggangan ahli-ahli politik yang rakus. 

Di kalangan kepimpinan SSR, juga terdiri beberapa pertubuhan politik arus perdana seperti Parti Amanah, Parti Keadilan Rakyat, MUDA dan sebagainya. Kepimpinan ini juga dengan sengaja menghadkan tuntutan gerakan ini dengan tidak mengangkat sebarang tuntutan ekonomi yang benar-benar boleh membawa perubahan kepada kehidupan rakyat biasa. Tuntutan utama SSR supaya PM Muhyiddin dan kerajaan PN berundur merupakan agenda pihak pembangkang yang tidak sabar untuk menduduki tampuk kuasa. Ahli-ahli politik arus perdana sedang cemburu dengan PN yang mempunyai kuasa mutlak pada waktu ini yang membolehkan mereka untuk menggunakan wang bernilai berbilion-bilion tanpa pengawasan dari mana-mana pihak. Memandangkan posisi Muhyiddin yang semakin lemah akibat kekurangan sokongan daripada rakyat biasa, ahli-ahli politik oportunis ini sedang cuba untuk mempergunakan kemarahan rakyat untuk melanjutkan cita-cita politik masing-masing.

Kepimpinan SSR enggan untuk membawa sebarang tuntutan ekonomi seperti kebajikan kepada rakyat, peningkatan kemudahan kesihatan, jawatan tetap untuk doktor kontrak kerajaan, gaji asas kepada para penganggur dan sebagainya. Pada masa yang sama, semua pertubuhan politik arus perdana juga belum membawa sebarang program untuk membantu rakyat yang sedang tersepit dengan beban ekonomi. Masing-masing bersedia untuk menggantikan Muhyiddin sebagai PM tetapi tidak ada seorang pun yang menyediakan sebuah manifesto ataupun senarai bantuan yang akan dibawa jika berjaya menjadi kerajaan kelak. Oleh itu, rakyat biasa tidak boleh dipersalahkan kerana merasa ragu-ragu dan tidak yakin dengan hala tuju kepimpinan SSR dan aksi-aksi yang dianjurkan mereka setakat ini. 

Pengajaran dari ABU dan Bersih

Sejak gerakan Reformasi 1998 yang mula mencabar kekuasaan parti BN, pelbagai gerakan rakyat telah tercetus sehingga tertumpasnya BN pada tahun 2018. Antaranya yang sangat popular di kalangan anak muda merupakan kempen Asalkan Bukan Umno (ABU) dan Bersih yang telah mendapat sambutan hangat. Pada satu ketika dahulu, pelekat ABU boleh di lihat di mana-mana sahaja dan demonstrasi anjuran Bersih mendapat penyertaan dari ratusan ribuan rakyat awam. Ratusan ribuan anak muda dan rakyat biasa telah mengambil risiko yang besar, meredah penindasan dan dengan berani mendedahkan kerakusan pihak BN dan melemahkan sokongan mereka di kalangan rakyat melalui aksi-aksi yang hebat. 

Tetapi, apabila BN dikalahkan, anak muda, kelas pekerja dan rakyat yang memenangkan PH mendapati diri mereka dikhianati dengan janji-janji kosong. Perdana Menteri pilihan koalisi PH, iaitu Mahathir Mohammad telah memperlekehkan manifesto mereka sendiri dan mendakwa bahawa manifesto tersebut bukanlah sebuah ‘kitab suci’ dan tidak perlu diambil serius. 

Di sepanjang pemerintahan mereka, PH telah meneruskan segala polisi-polisi ekonomi BN dan tidak menunaikan sebarang janji mereka kepada rakyat. Selain menghapuskan cukai GST dan menggantikannya dengan SST, PH tidak membawa sebarang perubahan kepada kehidupan rakyat biasa. Tol lebuhraya tidak dimansuhkan walaupun bercanggah dengan janji, gaji minimum tidak ditingkatkan ke RM1500 seperti yang dijanjikan dan hutang PTPTN tidak dimansuhkan. Malah, di dalam pengumuman bajet, kerajaan PH telah memotong dana sosial kepada masyarakat miskin seperti nelayan dan petani, mengurangkan peruntukkan dana untuk kesihatan dan pendidikan awam dan meneruskan polisi-polisi mesra pemodal, sama seperti BN. 

Ramai di kalangan anak muda juga terkejut dengan sifat PH yang tidak berminat untuk mengukuhkan demokrasi rakyat sepertimana yang dilaung-laungkan sebelum PRU. Akta-akta yang menindas seperti Akta Hasutan dan AUKU di kekalkan dan tidak dicabar. Malah di bawah pemerintahan PH, aparatus kerajaan seperti undang-undang kejam dan anggota polis terus dipergunakan untuk menindas rakyat biasa yang bersuara menentang kerakusan kerajaan. Walaupun ramai diantara kepimpinan PH sendiri telah menjadi mangsa kepada undang-undang yang menindas dan tidak demokratik, tetapi, apabila berpegang kepada kuasa, aparatus tersebut menjadi berguna untuk mempertahankan posisi politik mereka sendiri. 

Tambahan pula, Ph telah cuba menonjolkan diri sebagai tidak korup dan mempunyai pemimpin yang ikhlas, berbeza dengan BN. Tetapi, selepas beberapa pendedahan berprofil tinggi, didapati bahawa kepimpinan PH juga telah terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang mencurigakan dan korup. Bukan sekadar itu, sama seperti BN, PH juga telah mempergunakan institusi kerajaan sebagai alat politik untuk cuba menghancurkan lawan politik mereka dan pada masa yang sama untuk menutup korupsi yang berlaku dikalangan ahli mereka sendiri. 

Kegagalan PH untuk menguatkan sokongan daripada rakyat melalui program yang progresif telah mengakibatkan kejatuhan mereka sendiri. Di sepanjang pemerintahan mereka, keadaan ekonomi dunia yang lemah telah dirujuk sebagai alasan untuk tidak melaksanakan sebarang program kebajikan rakyat. Tetapi, ini hanya mendedahkan bahawa ahli-ahli politik arus perdana yang sebenarnya merupakan hamba kepada sistem kapitalisme, tidak mempunyai sebarang tulang belakang untuk mencabar sistem ini. Walaupun menabur pelbagai janji-janji manis, mereka sebenarnya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menunaikan janji tersebut dan terpaksa mengikuti kemahuan para kapitalis yang kaya. 

Pemerintahan PH selama 2 tahun telah mendedahkan kepada rakyat bahawa parti-parti yang wujud pada waktu ini adalah tidak boleh dipercayai. Di bawah BN, PH dan kini PN, didapati bahawa hanya orang-orang kaya, para pemodal dan pemilik syarikat besar yang bertambah kaya dan rakyat biasa sedang semakin miskin setiap tahun. Malah pada waktu pandemik ini sekalipun kita dapat lihat bagaimana rakyat miskin tidak diendahkan dan kelas kapitalis kaya sedang terus meningkatkan keuntungan mereka tanpa sebarang halangan. Pertubuhan politik yang wujud pula semuanya sedang asyik dengan rebutan kerusi dan posisi politik tanpa menghiraukan kondisi kehidupan rakyat yang sedang semakin merosot. 

Perjuangan rakyat

Tuntutan demokratik yang dibawa oleh anak muda haruslah juga disertakan dengan tuntutan ekonomi yang merujuk kepada masalah utama rakyat pada hari ini. Dengan tuntutan seperti dana kecemasan kepada rakyat miskin, moratorium pembayaran hutang bank, pemansuhan hutang PTPTN, bantuan sewa perumahan, milik negara institut kesihatan swasta untuk kegunaan rakyat, peningkatan cukai korporat untuk tingkatkan dana sosial dan sebagainya akan berjaya menarik sokongan massa. Tuntutan-tuntutan ekonomi haruslah dihubungkaitkan dengan masalah rakyat biasa dan diperjuangkan sehingga ke kesudahannya, tidak kira pihak mana yang akan menakluk kuasa Parlimen kelak. 

Kita harus sedar bahawa semua pertubuhan politik yang wujud di Parlimen tidak membawa sebarang jalan penyelesaian kepada kelas pekerja dan rakyat biasa. Hanya dengan tekanan daripada massa, mereka akan dipaksa untuk bertindak. Tetapi, sejurus mendapat peluang atau ruang, mereka akan kembali menindas rakyat dengan menggunakan segala institusi dan apparatus yang berkuasa. Oleh itu, walaupun sebuah perjuangan berdasarkan kepada tuntutan ekonomi sahaja mampu untuk mengerah tenaga rakyat dan mendapatkan beberapa konsesi yang penting, ia tidak akan menjamin sebuah kemajuan yang kekal bagi rakyat biasa.     

Bagi menjamin perubahan yang kekal, perjuangan-perjuangan rakyat ini haruslah ditingkatkan ke arah pembinaan sebuah pertubuhan politik yang berpaksikan kepada kehendak rakyat biasa. Pertubuhan ini haruslah dilihat sebagai kontradiksi kepada semua parti-parti yang wujud pada waktu ini dan menentang aturan sistem ekonomi kapitalisme demi rakyat tertindas. 

Alternatif sosialisme untuk menentang aturan kapitalisme

Sistem ekonomi kapitalisme merupakan sebuah sistem yang berpaksikan kepada kebajikan dan kehendak kelas kapitalis yang merupakan segelintir daripada bilangan masyarakat. Boleh dikatakan bahawa cuma 1 peratus daripada rakyat sedang menikmati segala kemewahan, mengawal hala tuju ekonomi dan politik dan sedang memangsakan 99 peratus daripada populasi dunia. 

Malah pada waktu pandemik yang sedang menghumban jutaan rakyat ke arah keperitan hidup dan kemiskinan, para kapitalis tidak mengendahkan situasi ini dan terus tertumpu untuk menjana keuntungan maksimum. Kerakusan mereka tercermin dengan pengagihan vaksin yang sedang meminggirkan jutaan masyarakat miskin di dunia. Manakala, syarikat pengeluar vaksin pula di biarkan bermaharajalela, membuat penetapan harga sesuka hati mereka dan menjana keuntungan yang luar biasa. Majalah Forbes juga melaporkan bahawa, walaupun di tengah pandemik yang mengancam dunia, tahun lepas telah melihat jumlah peningkatan golongan Bilionair yang terbanyak di dalam sejarah. Amalan-amalan yang tidak bermoral ini akan akhirnya menjurus kepada masa depan yang malap untuk sebahagian besar daripada penghuni dunia. 

Jika para kapitalis di biarkan begitu sahaja, mereka tidak akan teragak-agak untuk mengorbankan nyawa dan kehidupan rakyat biasa semata-mata untuk mengumpul kemewahan yang melampau. Ahli-ahli politik pula semuanya hanya menjadi pak turut dan menyediakan segala kemudahan supaya golongan kapitalis boleh mengeksploitasi tenaga kerja rakyat dengan berterusan. Malah di waktu pandemik ini, pihak kerajaan masih mencurahkan berbilion-bilion ringgit daripada rizab awam ke dalam kocek para jutawan apabila rakyat biasa sedang terkapai-kapai untuk sesuap nasi. 

Bagi mengatasi permasalahan ini, kita tidak mempunyai cara lain selain untuk menentang sistem kapitalisme bersama dengan kelas kapitalis yang memegang segala pengemudi ekonomi. Walaupun kelas pekerja merupakan nadi dan penggerak ekonomi yang bertungkus-lumus menjana keuntungan kepada majikan mereka, tetapi kelas kapitalis sedang menikmati segala kemewahan dan kemudahan. 

Situasi ini haruslah diubah dan kelas pekerja dan rakyat biasa haruslah mengambil alih kawalan ke atas ekonomi dan politik negara. Sistem sosialisme yang berasaskan kepada pemilikan awam aset-aset besar, kawalan kelas pekerja ke atas ekonomi dan pengagihan kekayaan yang sama rata kepada rakyat merupakan satu-satunya alternatif yang bukan sekadar mampu untuk menyelesaikan masalah yang diwujudkan oleh kapitalisme, malah berkemampuan untuk menjamin sebuah masa depan yang adil dan saksama untuk semua. 

Peranan anak muda dan kelas pekerja dalam perubahan sosial rakyat

Kondisi kehidupan rakyat yang merosot akan merangsang tindak balas daripada rakyat yang tidak berpuas hati dan sedang mencari jalan keluar daripada beban ekonomi yang dihadapi. Semakin ramai kelas pekerja akan terlibat dalam aksi-aksi industri dan menyusun diri mereka untuk melanjutkan perjuangan. Semakin ramai anak muda akan teruja untuk melibatkan diri dalam perjuangan-perjuangan massa untuk mencari sebuah perubahan yang nyata. 

Dalam keadaan ini, anak muda mempunyai peranan yang penting untuk menghubungkan semua perjuangan-perjuangan rakyat dengan perspektif dan hala tuju yang jelas.Perjuangan haruslah berdasarkan kepada program ekonomi rakyat yang menghubungkan peranan rakyat itu sendiri dalam pengurusan dan pentadbiran negara. Kesedaran kelas pekerja juga harus ditingkatkan, dengan aksi-aksi solidariti bagi mengambil alih kawalan ke atas produksi negara daripada cengkaman kapitalis dan memimpin ekonomi untuk membawa pengagihan yang sama rata dan adil. 

Akibat kondisi mereka yang serba kekurangan, kelas pekerja mungkin akan bermula dengan tindakan-tindakan yang merujuk kepada keperluan ekonomi mereka seperti gaji, jaminan kerja dan sebagainya. Walaubagaimanapun, melalui pengalaman perjuangan, mereka boleh meningkatkan kesedaran mereka dengan cepat dan mula bergerak untuk mencapai tuntutan-tuntutan politik dan sosial yang lebih luas dan mengambil posisi kepimpinan dalam menggerakkan perjuangan rakyat. Perkara ini telah dapat dilihat dalam sejarah-sejarah dunia yang lepas berulang kali, termasuk sejarah negara kita sendiri.

Kelas pekerja merupakan kelas yang mampu mengambil alih produksi dan ekonomi negara daripada penguasaan kelas kapitalis dengan mudah. Aksi-aksi seperti mogok akan mendedahkan posisi kapitalis yang sebenarnya amat bergantung dengan para pekerja yang bertungkus lumus di bawah syarikat mereka setiap hari. Jika kelas pekerja dapat menyatukan tenaga dan menyusun aksi perjuangan, ia akan melemahkan pihak kapitalis dan memberikan ruang kepada rakyat biasa untuk mengambilalih kekuasaan & kepimpinan politik daripada golongan minoriti tersebut demi kepentingan rakyat majoriti. 

Anak muda harus menumpukan perhatian mereka kepada keperluan dan tuntutan rakyat yang sedia ada dan membina perjuangan berdasarkan aspirasi rakyat tertindas. Kelas pekerja pada waktu ini sedang disekat oleh birokrasi kepimpinan Kesatuan-kesatuan Sekerja yang tidak mempunyai semangat perjuangan dan selama ini menjadi pengampu kerajaan dan majikan. Anak muda harus memainkan peranan dalam menguja kelas pekerja untuk mencabar kepimpinan mereka sendiri dan menyusun perjuangan dan membina sebuah perwakilan politik rakyat yang mempunyai program sosialis dan hala tuju yang jelas. 

Sistem kapitalisme bukan sahaja sedang menghancurkan rakyat di negara ini, malah ia sedang gagal di seluruh dunia. Anak muda, kelas pekerja dan rakyat dari pelbagai latar belakang sedang bergelut dengan aparatus sistem kapitalisme yang sedang menindas mereka. Kita di Malaysia juga harus sedar bahawa kita tidak bersendirian dan merupakan sebahagian daripada masyarakat tertindas dunia yang juga sedang mencari sebuah penyelesaian kepada kondisi yang sangat tidak berperi kemanusiaan.

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top