Sambutan Hari Pekerja 2019: Kelas Pekerja Harus Memimpin Perjuangan Rakyat!

Sambutan Hari Pekerja 2019: Kelas Pekerja Harus Memimpin Perjuangan Rakyat!

Posted by

Sambutan Hari Pekerja Sedunia berlangsung dengan meriah sekali di Kuala Lumpur pada tahun ini. Pihak Majlis Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah mengadakan sebuah acara di perkarangan ibu pejabat MTUC di Subang Jaya. Beratus-ratus para pekerja dari seluruh Malaysia telah turun ke acara ini dengan mengibarkan bendera Kesatuan masing-masing bersama rentang perjuangan. Acara yang bermula pada awal pagi itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti ucapan daripada pemimpin para pekerja, diiringi dengan lagu dan acara seni.

Perhimpunan pekerja di Wisma MTUC

Dalam acara ini, para pekerja telah mengangkat tangan ramai-ramai dan melafazkan ikrar perjuangan yang mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh pekerja dan hala tuju perjuangan kesatuan sekerja. Antara ikrar yang di laungkan adalah untuk berjuang demi peningkatan gaji minimum ke Rm1800 yang boleh meringankan sedikit beban kos kehidupan yang sedang dihadapi oleh para pekerja yang bergaji rendah. Acara ini juga telah memberi peluang kepada para pekerja dari seluruh Malaysia untuk berhubungan antara satu sama lain untuk berkongsi pengalaman perjuangan dan situasi kesatuan sekerja masing-masing. Acara seperti ini harus digalakkan demi membina solidariti dikalangan para pekerja dari skala nasional dan sebagai titik tolak untuk menggerakkan tenaga kesatuan sekerja ke arah membina sebuah organisasi massa yang kuat.

Akan tetapi, barangkali disebabkan oleh kelemahan kepimpinan MTUC itu sendiri yang merupakan penganjur utama, acara ini sedikit tercemar dengan partisipasi daripada pihak kerajaan PH yang setakat ini belum dapat memberikan sebarang jaminan yang kukuh untuk memulihkan keadaan kelas pekerja di Malaysia. Semenjak memegang kuasa kerajaan, pihak PH secara konsisten telah mempertahankan agenda kelas majikan kaya dan memaksa para pekerja untuk menerima ‘hakikat’ bahawa keadaan ekonomi sedang merudum. Setiap polisi dan langkah mereka hanya menguntungkan kelas majikan yang sudahpun kaya sambil memangsakan jutaan pekerja miskin. Janji-janji pru 14 untuk mengutamakan pekerja adalah sekadar untuk meraih undi daripada 14 juta orang kelas pekerja di Malaysia. Setahun selepas menduduki kerajaan, wajah sebenar mereka yang berpihak kepada kelas majikan semakin terdedah. Walaupun parti pemerintah telah berjaya diubah, kelas pekerja tidak melihat sebarang perubahan yang positif.

Agenda kelas majikan di acara Hari Pekerja

Menteri Tenaga Kerja Kulasegaran juga telah hadir di acara ini dan diberikan pentas untuk membuat ucapan. Walaupun ramai diantara pemimpin Kesatuan telah memuji pihak kementerian kerana sudi untuk menghadiri acara Hari Pekerja (Kementerian di bawah BN sebelum ini tidak pernah menghadirkan diri), hakikatnya, langkah untuk menjemput Kulasegaran akan hanya memberikan harapan palsu kepada para peserta dan memberikan lebih banyak ruang kepada pihak kerajaan untuk menindas para pekerja. Tidak kurang juga di kalangan pekerja, terutamanya golongan berpendapatan rendah yang kecewa dengan hala tuju kerajaan PH yang hanya mementingkan kelas majikan. Akibatnya, golongan ini akan menghindarkan diri daripada terlibat dengan Kesatuan Sekerja yang dilihat sebagai menyokong kerajaan pemerintah. Dalam situasi di mana MTUC tidak dapat berkembang dari segi keahlian, kepimpinan MTUC harus mengambil posisi untuk mengkritik pihak kerajaan yang sedang gagal untuk memenuhi janji-janji PRU mereka. Walaupun ada diantara pemimpin Kesatuan yang sedang meluahkan kekecewaan mereka dengan kerajaan di ruang awam, ianya masih lagi tidak cukup untuk meyakinkan para pekerja yang sedang mengharapkan sebuah Kesatuan yang tidak gentar menentang pihak kerajaan demi mempertahankan hak kelas pekerja.

Tambahan pula, ucapan Menteri Kulasegaran telah membawa masuk agenda kelas majikan berserta seruan kepada para pekerja untuk melindungi kepentingan pihak majikan. Ini jelas mendedahkan bahawa pihak kerajaan PH langsung tidak prihatin dengan keadaan majoriti kelas pekerja di Malaysia yang sedang menghadapi krisis kewangan dan masalah sosial. Sehinggakan Menteri yang hadir ke Hari Pekerja telah mengambil kesempatan ini untuk mempertahankan kepentingan orang-orang kaya yang sedang hidup mewah dengan mengeksploitasi tenaga kerja rakyat biasa yang sedang hidup dalam kesusahan.

Bukan sekadar pihak kerajaan, malah ada juga dikalangan mereka yang kononnya digelar sebagai pejuang pekerja, tetapi asyik berusaha untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah sebenar untuk mendapatkan sokongan bagi pihak kerajaan. Bekas Presiden MTUC dan ‘pejuang gaji minimum’ Senator PKR Syed Shahir dalam ucapannya telah menyeru supaya para pekerja tidak lagi berjuang untuk gaji minimum yang adil dan perlu berfikir mengenai gaji sara hidup yang lebih tinggi. Menurutnya, sudah wujud sebuah akta untuk membincangkan hal gaji minimum dan para pekerja tidak harus membuang masa memperjuangkan isu itu. Ucapan ini pastinya sudah mewujudkan kekeliruan di kalangan pekerja yang hadir yang sangat teruja dengan tuntutan gaji minimum sebanyak Rm1800. Walaupun benar bahawa kita harus perjuangkan gaji sara hidup, tetapi ianya tidak bermakna bahawa perjuangan untuk mencapai gaji minimum yang lebih adil tidak harus diperjuangkan dan ditinggalkan kepada budi bicara pihak kerajaan! Memandangkan lebih 50% daripada rakyat Malaysia hanya menerima gaji kurang daripada RM1700 sebulan, perjuangan pihak kesatuan untuk gaji minimum RM1800 akan mendapat sokongan yang kuat dan menyumbang ke arah pekembangan Kesatuan Sekerja dan pembinaan gerakan pekerja yang kukuh. Hujah Senator Syed Shahir hanya mencerminkan kepentingan politik individu yang ingin membodek pihak kerajaan dan partinya sendiri.

Hala tuju Kesatuan Sekerja

Kepimpinan MTUC harus menyingkirkan hujah-hujah yang melemahkan semangat pekerja dan sebaliknya memberikan perspektif perjuangan dan hala tuju yang jelas. Kelas pekerja yang merupakan majoriti rakyat miskin di Malaysia sedang menghadapi kebuntuan apabila selama ini ditindas di bawah rejim BN dan kini disambung ditindas di bawah rejim PH. Walaupun kepimpinan kerajaan bersilih ganti, kelas pekerja tidak akan mendapat keadilan sehingga kita berjaya menyatukan tenaga kita dan memperjuangkan aspirasi kita secara tersusun. Untuk itu, kepimpinan MTUC harus melontarkan kritikan tegas ke arah pihak kerajaan yang sedang gagal untuk menunaikan janji-janji mereka. Pada masa yang sama, kepimpinan MTUC harus memainkan peranan dalam menghidupkan kembali tradisi-tradisi perjuangan yang sudah lama terkubur untuk membawa aspirasi kelas pekerja ke hadapan.

Terutamanya untuk Hari Pekerja, di mana para pekerja berhimpun untuk memperingati perjuangan-perjuangan kelas pekerja yang lepas, pihak kepimpinan pekerja harus memberikan sebuah hala tuju yang jelas kepada para pekerja. Setakat ini, pihak MTUC sedang gagal untuk memainkan peranan ini dan itulah yang tercermin di dalam agenda Hari Pekerja yang dianjurkan oleh mereka. Ianya bergantung kepada ahli-ahli kesatuan biasa untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesatuan dan mencabar sebarang kepimpinan lemah yang sedang menghambat perkembangan organisasi mereka.  

Perarakan Hari Pekerja

Pada pukul 10 pagi, beratus-ratus anak muda, para aktivis dan NGO pekerja telah berarak dari Maju Junction ke Medan Pasar untuk menyambut Hari Pekerja Sedunia. Para hadirin telah turun dengan piket dan kain rentang dengan mesej mesej perjuangan. Sepanjang perarakan, slogan-slogan perjuangan pekerja dan rakyat tertindas telah dilaungkan. Pada kemuncak dan penghujung acara ini, anak muda telah menyajikan sebuah persembahan yang membincangkan isu pekerja dan beberapa wakil aktivis dan NGO telah memberikan ucapan Hari Pekerja masing-masing. Secara keseluruhannya, perarakan ini berjaya menarik peserta yang ramai terutamanya dari kalangan anak muda yang telah merayakan hari perjuangan ini dengan jayanya.

Malangnya, perarakan ini tidak disertai oleh pihak Kesatuan Sekerja secara rasmi dan terdapat kekurangan partisipasi di kalangan para pekerja yang tersusun dalam organisasi. Terdapat beberapa NGO seperti Sahabat Wanita yang telah membawa pekerja wanita, tetapi tidak ada pihak Kesatuan Sekerja yang memobilisasi kelas pekerja dalam angka yang banyak. Seboleh-bolehnya, tenaga perjuangan rakyat haruslah disatukan supaya dapat membina sebuah kuasa yang mampu untuk berhadapan dengan pihak penindas. Akan tetapi, perjuangan Hari Pekerja didapati berpecah ke beberapa bahagian dengan pihak CUEPECS mengadakan perayaan di Putrajaya bersama dengan Perdana Menteri, pihak MTUC mengadakan perhimpunan di Subang Jaya bersama Menteri Kulasegaran dan anak muda bersama dengan NGO dan beberapa organisasi politik telah mengadakan perarakan di Kuala Lumpur.

Pada masa yang sama, pihak NGO dan aktivis anak muda juga tidak menitik beratkan penglibatan Kesatuan Sekerja di dalam acara ini. Mereka tidak menyertai piket-piket yang dilancarkan oleh pekerja HSBC dan pekerja Airod baru-baru ini untuk mendapatkan sokongan solidariti daripada kelas pekerja. Tanpa memberikan solidariti kepada perjuangan pekerja, ianya mustahil untuk menjalinkan hubungan yang rapat dengan kelas pekerja dan anak muda atau para aktivis dan NGO harus menyedari perkara ini. Mereka tidak boleh menganggap bahawa pihak kelas pekerja harus menghadiri acara tersebut tanpa sebuah usaha untuk membina solidariti dengan perjuangan kelas pekerja dengan serius. Tanpa penglibatan kelas pekerja dalam angka yang banyak, perarakan Hari Pekerja tersebut gagal untuk membawa kuasa kelas pekerja yang merupakan kepimpinan rakyat yang paling tersusun dan berkuasa ke atas ekonomi.

Pembinaan Parti Massa di bawah kepimpinan kelas pekerja sebagai kuasa perubahan politik.

Walaupun kekecewaan rakyat terhadap pihak PH sedang bertambah dan perjuangan rakyat sedang mula berkembang, tetapi, belum ada sebuah kepimpinan yang jelas yang dapat menyatukan semua perjuangan rakyat tertindas dan memimpin gerakan itu ke arah mencapai aspirasi mereka. Pihak pembangkang yang merupakan bekas penindas rakyat sedang cuba untuk mempergunakan sentimen perkauman bagi memecah-belahkan perpaduan rakyat mengikut garis kaum atau agama. Dalam situasi ini, jika sebuah alternatif politik yang jelas tidak dibina dengan cepat, rakyat tidak akan mendapat sebarang jalan penyelesaian kepada masalah mereka. Malah, tenaga rakyat akan dipergunakan oleh demagog dan ahli politik untuk mencapai cita-cita peribadi mereka.

Pihak Kesatuan Sekerja sebagai kepimpinan kepada kelas pekerja juga harus memikul tanggung jawab untuk memimpin rakyat tertindas membina satu kuasa politik yang akan membawa aspirasi kita dan melawan agenda kapitalis kaya yang merupakan punca kepada segala jenis penindasan. Kesatuan Sekerja harus menerajui pembinaan sebuah Parti politik massa yang dipimpin secara demokratik oleh pertubuhan kelas pekerja dengan membawa program rakyat yang akan berjaya menyatukan semua perjuangan rakyat tertindas di bawah satu payung. Parti massa yang bergerak untuk kepentingan kelas pekerja dan rakyat tertindas merupakan satu satunya kuasa yang mampu membawa jutaan rakyat tertindas membebaskan diri dari cengkaman kapitalisme yang sedang menghancurkan kehidupan umat manusia.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*