Sabah : Kerajaan Negeri Berubah, tetapi rakyat tetap merana

Sabah : Kerajaan Negeri Berubah, tetapi rakyat tetap merana

Posted by

Selepas menjadi kerajaan pintu belakang, PM Muhyiddin dan Perikatan Nasional telah berusaha untuk menjatuhkan semua kepimpinan kerajaan negeri yang masih dikuasai oleh Pakatan Harapan. Satu demi satu, kerajaan negeri Johor, Melaka, Perak dan Kedah telahpun digulingkan dengan menggunakan taktik kotor seperti ADUN yang ‘melompat parti’ dan diganti dengan ahli-ahli politik dari PN. Walaupun gagal dalam percubaan awal untuk menggulingkan kerajaan Warisan di Sabah, PN dan BN telah berjaya menjatuhkan parti Warisan dalam PRN yang berlangsung selepas Kerajaan Sabah dibubarkan oleh bekas Menteri Besar Shafie Apdal. 

PRN Sabah yang berlangsung pada 26 September lalu melihat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada gabungan di antara koalisi PN, BN, PBS dan STAR mengalahkan gabungan koalisi Warisan, PH dan UPKO. GRS telah meraih 38 kerusi daripada 73 kawasan dan mendapat majoriti yang tipis sebanyak hanya 5 kerusi. Pada awalnya, terdapat pelbagai kekeliruan mengenai parti mana yang harus di berikan keutamaan dalam memilih jawatan Menteri Besar Sabah. BN dan PN masing-masing telah bertanding dengan logo mereka sendiri secara berasingan dan hanya bergabung untuk menyokong calon Menteri Besar yang baru. Manakala, parti Warisan masih mendapat sebanyak 30 kerusi dan tidak berjaya di tandingi oleh kedua-dua BN dan PN secara berasingan. Oleh itu, terdapat beberapa seruan untuk memberikan posisi Menteri Besar kepada Shafie Apdal yang merupakan pemimpin parti yang berjaya meraih jumlah kerusi yang tertinggi.

Walaubagaimanapun, dengan sokongan Perdana Menteri Muhyiddin, GRS telah memaksa pihak Istana untuk memberikan mandat kepada Datuk Hajiji Noor dari parti Bersatu untuk menerima jawatan Menteri Besar Sabah. Walaupun terdapat pertelingkahan yang terbuka antara UMNO dan Bersatu dalam isu pembahagian kerusi dan dalam menetapkan calon Menteri Besar, selepas PRN, masing-masing mengambil langkah untuk berkompromi bagi memastikan bahawa parti Warisan dan sekutunya dapat dikalahkan. Tetapi, konflik antara parti UMNO dan Bersatu dalam merebut jawatan Menteri Besar dan kerusi-kerusi DUN telah jelas dilihat apabila mereka bertembung di sebanyak 17 kerusi pada PRN lepas. Hakikatnya, walaupun berjaya menubuhkan kerajaan, GRS bukanlah sebuah koalisi yang kukuh dan dapat mengekalkan sebuah kerajaan yang stabil untuk jangka masa yang panjang.

Lompat parti

Shafie Apdal dan parti Warisan mengambil keputusan untuk membubarkan DUN Sabah dan mengadakan PRN bukan sahaja untuk mengekang percubaan BN dan PN untuk merampas kuasa kerajaan negeri, malah mereka juga sangat yakin bahawa rakyat Sabah akan memberikan mereka mandat melalui peti undi untuk tubuhkan kerajaan negeri. Kempen-kempen Warisan dan PH dipenuhi dengan kritikan terhadap kerajaan PN dan BN yang cuba menjadi kerajaan dengan menerima ahli-ahli politik yang melompat dari parti lain. Tetapi, hakikatnya, parti Warisan sendiri tidak pernah segan untuk menerima ahli-ahli politik dari parti lain semata-mata untuk mendapat majoriti daripada kerusi yang membentuk kerajaan negeri. Sifat hipokrit pemimpin Warisan dan PH yang menerima ADUN BN bagi menggulingkan kerajaan BN selepas PRU-14 lepas masih segar dalam ingatan rakyat. Merujuk kepada keputusan PRN Sabah, 11 daripada 18 orang ahli politik yang melompat parti untuk menggulingkan kerajaan Warisan telah menang dan berjaya mengekalkan kerusi mereka.

Kelakuan melompat parti dan penggulingan kerajaan merupakan sesuatu yang berulang di dalam sejarah Sabah. Akibat dinamika hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan, politik tempatan Sabah adalah terikat dengan gerakan yang berlaku di peringkat Persekutuan. Parti-parti tempatan Sabah sering berhujah bahawa ianya lebih bermanfaat untuk menjalinkan hubungan dengan kerajaan Persekutuan dan parti-parti pemerintah berbanding dengan parti-parti pembangkang. Kononnya langkah ini akan membawa lebih banyak kemajuan infrastruktur dan peruntukkan dana bagi Sabah. Apabila kerajaan PH mengambil alih kuasa kerajaan Persekutuan pada PRU lalu, parti yang mendapat majoriti telah digulingkan dan di ambil alih oleh Warisan yang mempunyai hubungan rapat atau bersekutu dengan PH. Selepas kerajaan PN mengambil alih, kini ahli-ahli politik sekali lagi membuat lompatan bagi mengimbangi semula kuasa supaya selari dengan kerajaan hari ini.

GRS dan Warisan Plus tidak membawa solusi untuk rakyat

Hakikatnya, kedua-dua GRS atau Warisan Plus sebenarnya tidak mempunyai sebarang solusi kepada isu-isu sosial dan ekonomi yang sedang dihadapi oleh rakyat Sabah. Walaupun dengan membentuk kerajaan yang mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan, masyarakat Sabah masih sedang dibeban dengan masalah-masalah yang sama untuk generasi demi generasi. Sabah merupakan negeri yang kaya dengan bahan galian dan sumber alam semula jadi, tetapi, ia merupakan negeri yang paling miskin di Malaysia. Semua sumbangan hasil tanah dan tenaga kerja negeri Sabah dihirup oleh para kapitalis multi-nasional yang tidak mengenal sempadan. Kadar kemiskinan negeri ini adalah sebanyak hampir 20% penghuni, iaitu sebanyak 4 kali ganda kadar kemiskinan nasional. Tambahan pula, terdapat komuniti-komuniti miskin di Sabah yang tidak mempunyai kewarganegaraan dan sedang hidup tanpa sebarang jaminan kehidupan.

Walaupun BN telah bersifat tidak adil dari segi pembahagian dana dan pembinaan infrastruktur di Sabah untuk berdekad-dekad lama, PH yang menaburkan janji untuk membawa otonomi ekonomi kepada Sabah juga telah mengecewakan rakyat di negeri itu. Sememangnya, tuntutan otonomi ekonomi adalah tuntutan yang popular di kalangan rakyat dan pada setiap PRN atau PRU, parti-parti politik tempatan akan membawa sahutan untuk menuntut otonomi dan kebebasan ekonomi daripada kerajaan Persekutuan. Walaupun semua parti yang bertanding di PRU akan bersetuju dengan sahutan tersebut, sehingga ke hari ini, negeri Sabah masih menjadi mangsa pengagihan kekayaan yang tidak adil.

Sahutan untuk menuntut otonomi dan sebagainya adalah sekadar gimik politik dan tidak ada sebarang pihak di kalangan parti arus perdana di peringkat persekutuan ataupun tempatan yang benar-benar ingin memperjuangkan kebebasan ekonomi rakyat biasa. Seruan-seruan otonomi oleh parti-parti politik yang wujud adalah sekadar sebuah seruan untuk melindungi para pemaju dan korporat kaya yang bertempat di Sabah. Perkataan otonomi ekonomi sebenarnya membawa maksud yang berbeza bagi masyarakat miskin dan kelas kapitalis kaya atau golongan elit. Hakikat ini juga terdedah apabila kerajaan PH yang juga menjanjikan otonomi kepada Sabah sebelum PRU lepas telah menyambung segala polisi-polisi ekonomi yang mirip dengan BN sebelum ini.

Warisan dan PH mengecewakan rakyat

Dalam pemerintahan kerajaan Warisan dan Shafie Apdal selama 2 tahun di Sabah, di dapati bahawa rakyat masih sedang dibelenggu dengan masalah-masalah yang sama. Politik yang korup di bawah BN sebelum ini juga di sambung di bawah kepimpinan Shafie Apdal yang telah diwarnai dengan pelbagai tuduhan skandal rasuah di sepanjang menduduki jawatan Menteri Besar Sabah. Isu pemberian projek bernilai ratusan juta kepada kroni-kroni yang rapat dengan pemimpin parti Warisan telah menjadi berita sensasi yang tersebar luas di negeri itu. Tambahan pula, kegagalan kerajaan Warisan untuk menyalurkan bantuan Covid19 seperti yang dijanjikan juga telah menimbulkan kekecewaan daripada rakyat, terutamanya dari golongan kurang berada dan miskin. Dari segi pengurusan ekonomi juga, pemerintahan Warisan tidak mengamalkan sebarang ketelusan dan beroperasi dengan cara yang sama dengan kerajaan BN sebelumnya. Malah KDNK Sabah juga turut menyusut dalam 2 tahun kerajaan Warisan memimpin.

Kelas pekerja dan rakyat Sabah sudahpun terdedah dengan kepincangan dan pengkhianatan dari semua blok politik yang cuba merebut kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Kerajaan yang bersilih ganti langsung tidak membawa sebarang kemajuan dalam kondisi kehidupan harian bagi jutaan rakyat yang sedang merana. Dengan prospek kemelesetan ekonomi global yang sedang bertambah teruk akibat krisis pandemik Covid19, rakyat Sabah tidak mempunyai sebarang pilihan politik yang munasabah. Semua pertubuhan politik yang ada hanya ingin merebut kekayaan hasil bumi Sabah dan mengekalkan sistem ekonomi kapitalisme yang membenarkan mereka untuk menggondol segala kekayaan negeri ini. Sehingga hari ini, rakyat Sabah dan Malaysia tidak mempunyai sebuah alternatif kepada kepimpinan kerajaan yang rakus, korup dan sentiasa mengutamakan keuntungan dan kemahuan kelas atasan yang kaya.

Alternatif ekonomi dan politik

Sistem kapitalisme yang dikawal oleh kelas pemodal atau majikan kaya bukan sahaja sedang menggagalkan rakyat Sabah atau Malaysia, malah ia sedang mengheret seluruh dunia ke arah krisis ekonomi, alam sekitar dan krisis kesihatan. Di dalam aturan sistem ini, kelas pekerja dan rakyat biasa akan dibiarkan untuk merana dan dipaksa untuk menanggung beban hutang negara manakala kelas kapitalis kaya akan diberikan kelonggaran dan perlindungan untuk terus meningkatkan kekayaan peribadi mereka. Walaupun kelas pekerja dan rakyat biasa merupakan nadi utama kepada pembangunan dan kemajuan sesuatu masyarakat, CEO-CEO kaya dan ahli-ahli korporat yang korup dan tidak bermoral menjadi pujaan sistem ini.

Krisis pandemik Covid19 telah mendedahkan semua kepincangan dan keburukan sistem kapitalisme dengan jelas sekali. Walaupun dalam situasi krisis yang mengancam umat manusia seluruh dunia, para kapitalis dan golongan kaya yang berjumlah kurang dari 1% daripada populasi sedang terus meningkatkan kadar keuntungan dan kekayaan mereka. Sebahagian besar daripada pakej perangsang ekonomi dan bantuan kecemasan Covid19 juga disalurkan ke syarikat-syarikat swasta yang sudah pun kaya dan mempunyai rezab yang mencukupi. Manakala, rakyat biasa dibiarkan untuk menghadapi krisis kesihatan yang bertambah buruk, kadar pengangguran yang meningkat dan kemerosotan alam sekitar yang sangat teruk.

Bukan sahaja rakyat Sabah, malah rakyat dari seluruh Malaysia dan rantau ini harus mencari sebuah alternatif ekonomi dan politik yang tidak membiarkan kawalan ke atas masyarakat di tangan segelintir jutawan dan ahli politik. Sistem ekonomi sosialisme membawa solusi untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang dikawal sepenuhnya oleh kelas pekerja dan rakyat biasa, mengutamakan aspirasi rakyat majoriti, pertahankan hak dan kebajikan rakyat terbanyak daripada di cabul oleh kelas kapitalis dan membawa nilai-nilai demokrasi yang benar-benar berpihak kepada majoriti.   

Bagi mencari sebuah jalan keluar daripada kondisi kehidupan yang terseksa bagi jutaan rakyat, sebuah kepimpinan politik alternatif yang mampu menentang agenda ahli politik korup dan golongan elit kaya harus di bina dengan secepat mungkin. Kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa yang sedar haruslah berusaha untuk membina sebuah kepimpinan politik yang berasaskan kepada tuntutan dan program ekonomi yang disokong oleh majoriti. Pertubuhan kelas pekerja seperti Kesatuan Sekerja dan organisasi akar umbi rakyat harus menjadi tulang belakang kepada kepimpinan ini yang mampu melancarkan perjuangan dan gerakan massa yang boleh membawa kepada sebuah alternatif politik dan ekonomi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*