Rasisme dan Kapitalisme Berpisah Tiada! Lawan Kapitalisme untuk Membina Masa Depan yang Bahagia dan Aman untuk Semua!

Rasisme dan Kapitalisme Berpisah Tiada! Lawan Kapitalisme untuk Membina Masa Depan yang Bahagia dan Aman untuk Semua!

Posted by

Peristiwa kekecohan yang berlaku di Kuil Ladang Seafield di Subang Jaya baru-baru ini telah mendedahkan peranan sistem ekonomi dan sistem politik negara dalam menyebarkan sentimen perkauman yang tidak sihat. Isu Kuil Seafield merupakan pertikaian hak milik tanah di antara komuniti setempat dan pihak pemaju One City Development. Kes pengusiran paksa seperti ini berlaku secara berleluasa di seluruh negara dan ia melibatkan semua masyarakat miskin tidak kira kaum, agama dan latar belakang. Ambil contoh kampung Chubadak yang di kosongkan secara paksa oleh pihak pemaju dan DBKL untuk tujuan pembangunan pada 2014. Seramai 160 keluarga, kebanyakkanya terdiri daripada orang Melayu yang sudah menduduki tanah itu selama lebih 40 tahun, telah diusir secara ganas. Perkara seperti ini sering berlaku dan pihak pemaju tidak mengira kaum atau agama sebelum merampas tanah yang diduduki rakyat bagi tujuan membuat keuntungan. Bagi ribuan orang asal yang menduduki kawasan pedalaman, tanah mereka seringkali diceroboh secara haram dan dirampas oleh pemaju balak yang gelojoh dan tidak bertimbang rasa. Segala jenis perbincangan mengenai masalah Kuil Seafield ini juga harus di bincangkan dengan perspektif yang jelas bahawa ini adalah satu bentuk penindasan kelas oleh korporat elit dengan bantuan kerajaan ke atas jutaan masyarakat miskin yang tidak diberikan suara.

Pada 26 November lalu, dilaporkan bahawa sekumpulan individu yang dipercayai sebagai ahli kongsi gelap telah menceroboh Kuil Seafield tersebut di tengah malam dan memukul beberapa individu yang berada di situ dengan ganas. Tambahan pula banyak harta benda dirosakkan secara sengaja. Hasil siasatan polis, didapati kumpulan ini dibayar oleh peguam One City Development bagi tujuan melakukan kekecohan untuk menakutkan komuniti setempat yang sedang mempertahankan kuil tersebut daripada diroboh atau dipindah ke kawasan lain. Tambahan pula, niat jahat pihak pemaju terdedah apabila mereka menggunakan kongsi gelap yang terdiri daripada individu Melayu untuk melakukan perkara ini bagi mewujudkan situasi huru-hara dan kesangsian di kalangan kaum India dan Melayu. Pihak pemaju dan peguam mereka mungkin berpendapat bahawa jika mereka mencetuskan satu rusuhan diantara kaum, maka rakyat yang berpecah belah akan memudahkan proses perampasan tanah tersebut. Ini adalah taktik golongan elit untuk turun temurun bagi melemahkan penentangan yang dihadapi daripada rakyat miskin.

Terdapat banyak kepincangan yang berlaku di dalam isu Kuil Seafield sebelum kekecohan ini tercetus. Pihak pemaju telah mencuba pelbagai taktik kotor untuk merampas tanah yang dianggap sebagai sangat bernilai dan akan menjana jutaan ringgit dalam keuntungan swasta. Mereka telah berunding dengan beberapa pihak dan mendakwa bahawa sudah mendapat persetujuan untuk merobohkan kuil dan mengambil alih tanah tersebut daripada Presiden AJK Kuil. Proses perundingan ini berlaku secara tidak terbuka dan masyarakat setempat tidak terlibat di dalam sebarang perbincangan. Dikatakan cuma seorang daripada ahli AJK Kuil yang meluluskan pemindahan kuil ini dan keputusan itu ditentang dari awal oleh AJK lain dan komuniti setempat yang tidak bersetuju. Tidak dapat nafikan bahawa perkara ini mewujudkan kesangsian bahawa terdapat unsur-unsur rasuah dalam proses perundingan yang dilakukan. Pihak pemaju yang boleh membayar kongsi gelap untuk mencetuskan huru-hara perkauman ini tidak akan teragak-agak untuk menyogok jutaan ringgit secara haram untuk memperoleh tanah tersebut. Entiti korporat yang dikatakan 10 kali lebih besar daripada IOI Properties ini merupakan sebuah badan yang tidak bermoral dan bersikap keji.

Berikutan insiden tersebut, kita melihat bagaimana media massa memainkan peranan mereka untuk mengapi-apikan keadaan dengan memberikan laporan yang tidak benar. Mereka melabel insiden ini sebagai ‘rusuhan kaum’ dan menggunakan perkataan yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat. Ini juga mendedahkan peranan media yang merupakan alat kerajaan dan korporat kaya, ingin menjadikan isu ini sebagai masalah perkauman dan tidak menyiasat motif pihak pemaju yang sedang berusaha untuk merampas tanah daripada orang miskin. Pihak media yang mengikut rentak pihak pemaju sedang cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada isu asas yang utama dan cuba menggambarkan bahawa terdapat rusuhan perkauman yang berlaku. Daripada beratus bukti video dan pengakuan daripada saksi, ini adalah tidak benar dan setakat ini tidak ada sebarang jenis rusuhan perkauman.

Beberapa individu yang telah merosakkan harta benda One City pada keesokan hari juga tidak melibatkan sebarang jenis unsur perkauman tetapi hanya mencerminkan kemarahan rakyat biasa terhadap pihak pemaju. Walaupun kami tidak bersetuju untuk berjuang dengan menggunakan keganasan seperti itu, perkara yang berlaku adalah mudah difahami jika kita meletakannya di dalam konteks pergelutan diantara kelas kapitalis kaya dan rakyat miskin. Kami selalu menyarankan supaya mengorganisasi kemarahan yang ada dan lancarkan aksi-aksi piket atau protes massa yang aman bagi mendedahkan kepincangan pihak One City. Pada waktu ini, One City sedang menafikan segala tanggungjawab dan cuba menonjolkan diri mereka sebagai tidak bersalah. Kita harus melancarkan sebuah kempen untuk mendedahkan perkara sebenar disamping meraih sokongan solidariti daripada masyarakat tertindas dari semua kaum, agama dan latar belakang.

Agenda pecah perintah yang diamalkan oleh Barisan Nasional sebelum ini juga akan berterusan dibawah kepimpinan PH. Ini adalah kerana, perpecahan di kalangan rakyat ini boleh dipergunakan untuk melaksanakan agenda mereka untuk memberikan keutamaan kepada para pemodal dan kapitalis kaya. Jika rakyat bersatu padu, adalah amat sukar bagi golongan kapitalis untuk mengeksploitasi tenaga kerja dan sumber alam yang seharusnya dimiliki secara demokratik oleh semua rakyat dan komuniti yang menduduki tanah tersebut. Maka, propaganda perkauman bukan sahaja akan menjadi alat politik bagi golongan pembangkang BN dan PAS, malah ia akan kekal didalam kerajaan PH bagi memastikan keuntungan golongan kapitalis 1% itu terjamin. Walaupun isu Kuil Seafield sudah berlarutan selama lebih 10 tahun, wakil-wakil rakyat PH atau BN langsung tidak berusaha untuk menyelesaikan masalah ini. Malah, sistem perundangan, institusi kerajaan dan susunan politik, segalanya berpihak kepada segelintir pemodal yang kaya raya. Jutaan masyarakat miskin tertindas dipinggirkan dengan sangat kejam.    

Pada masa yang sama, kita juga tidak menafikan bahawa ada segelintir orang biasa yang juga termakan dengan retorik bahawa ini merupakan isu rusuhan di antara kaum yang berbeza. Walaupun perkara ini tidak benar dan di kebanyakan tempat, masyarakat yang berbeza kaum sedang hidup secara aman selama berdekad-dekad, propaganda yang di dendang oleh pihak media dan pihak-pihak berkepentingan tertentu pastinya akan memberikan kesan kepada rakyat biasa. Di sini, aktivis sosial dan hak asasi manusia, NGO, organisasi perwakilan kelas pekerja dan pertubuhan komuniti setempat harus memainkan peranan mereka dalam menerangkan isu ini secara jelas. Kita tidak boleh membiarkan pihak tertentu untuk mewujudkan kesangsian dan pergaduhan antara kaum semata-mata untuk mengaut keuntungan duit yang akan terus masuk dompet golongan elit dan tidak akan memanfaatkan rakyat biasa. Apakah rakyat biasa harus menjadi mangsa konflik perkauman untuk menampung jet peribadi dan kehidupan mewah tak terhingga bagi segelintir yang bilangannya kurang dari 1% populasi? Tambahan pula, One City Development yang sebahagiannya dimiliki oleh syarikat multinasional Ayala dari Philippines merupakan kapitalis antarabangsa yang tidak setia kepada mana-mana negara khusus.

Kerajaan PH telah mengecewakan jutaan rakyat dengan Belanjawan yang tidak dapat memenuhi aspirasi mereka. Kerajaan merancang untuk memberikan lebih banyak ruang kepada pihak korporat dan kapitalis kaya untuk mengeksploitasi rakyat miskin dengan polisi-polisi terbaru mereka. Terlalu banyak habuan dan pelepasan cukai diberikan kepada golongan elit sehingga kebajikan rakyat paling tertindas seperti golongan wanita, kelas pekerja, golongan petani dan nelayan, mahasiawa dan anak muda semuanya dipinggirkan. Ini merupakan antara sebab utama kenapa pihak reaksioner daripada pelbagai pihak mempunyai ruang untuk menyebarkan api perkauman bagi memanipulasi rakyat untuk mendapatkan sokongan politik. Perkara ini akan berterusan dan akan bertambah teruk jika kerajaan PH dibiarkan untuk bermaharajelela sesuka hati mereka tanpa sebuah tentangan yang tersusun daripada rakyat biasa dengan tuntutan yang jelas.

Tidak ada kapitalisme tanpa rasisme, dan dalam kes Kuil Seafield ini, perhubungan diantara penyebaran sentimen rasisme dan sistem ekonomi kapitalisme terdedah luas. Terutamanya di negara bekas penjajahan kuasa kapitalis barat seperti Malaysia, sistem ekonomi kapitalisme ini didirikan di atas struktur politik dan sosial yang berbentuk rasisme. Selagi sistem kapitalisme dikekalkan sebagai sistem ekonomi yang dominan, selagi itulah sentimen rasisme akan disebarkan bagi memecahkan perpaduan rakyat.

Kita memerlukan sebuah kepimpinan daripada kelas pekerja dan rakyat biasa bagi menggerakkan jutaan rakyat didalam satu gerakan menuntut kebajikan sosial bagi semua. Ini adalah satu-satunya cara untuk menjalin persaudaraan dan solidariti dikalangan semua kaum di Malaysia untuk bersatu dalam perjuangan menuntut ekonomi dan politik yang berpaksikan rakyat biasa. Tuntutan seperti gaji minimum yang adil, pendidikan percuma, dana kebajikan sosial bagi warga miskin dan sebagainya harus menjadi tuntutan asas yang mampu menyatukan semua perjuangan ke dalam satu gerakan yang kuat dan boleh mencabar pihak politik dan kapitalis elit yang memusuhi rakyat. Kita memerlukan sebuah parti massa yang demokratik yang disusun dan dipimpin oleh kelas pekerja dan rakyat tertindas sendiri bagi membela nasib kita. Kita tidak boleh mengharapkan sebuah perubahan yang positif hanya dengan mengundi wakil-wakil rakyat yang mempertahankan pasaran bebas dan sering melupakan segala janji pilihanraya mereka. Perubahan yang nyata hanya boleh dicapai jika rakyat terbanyak dapat menyusunkan diri di dalam sebuah gerakan politik yang mempunyai tuntutan dan hala tuju yang jelas untuk memerangi kekuasaan para kapitalis ke atas kehidupan kita semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*