Quo Vadis, Mahasiswa?
Solidariti bersama gabungan mahasiswa HARAM!
Sidang media pertubuhan HARAM iaitu gabungan beberapa kesatuan mahasiswa menentang rasuah di Sabah
Organisasi kami menyahut kembali seruan dan perjuangan yang ingin dibawa oleh kepimpinan anak muda. Sejarah menjadi saksi kepada kesinambungan dan tradisi pemberontakan dan penentangan anak muda yang tidak pernah putus. Anak muda sebagai golongan yang mempunyai intelek dan tenaga, sering menjadi baris hadapan dalam cetusan massa dan berjuang bersama rakyat yang tertindas. Seperti gerakan mahasiswa yang membela petani di Baling Kedah pada 1970, dan terkini anak muda dengan berani menekan birokrasi kerajaan dalam korupsi dan kemiskinan di Sabah. Gelombang kebangkitan ini merupakan sebahagian dari gelombang kebangkitan massa di seluruh dunia yang menyaksikan krisis kapitalisme global yang berpanjangan dan diterukkan lagi dengan pandemik COVID-19.
Seperti di Indonesia, Jokowi terpaksa menarik balik cubaannya untuk mengubah kelayakan calon pilihan raya presiden pada Oktober lalu untuk membenarkan anaknya Gibran yang berumur bawah 40 tahun untuk disebabkan protes mahasiswa yang semakin memuncak. Manakala di Thailand gerakan menuntut demokrasi dan menentang pemerintahan monarki yang bersekongkol dengan regim militer, telah ditentang oleh anak muda dan mahasiswa dengan berani. Walaupun momentum sedang berkurang, namun pengalaman anak muda menyusun aksi terhadap kelas pemerintah dan menyaksikan kegagalan kepimpinan parti sosial demokrat seperti Move Forward Party telah membuka bab baru dalam politik di Thailand dan membentuk pengalaman yang bermakna bagi generasi muda untuk melangkah dalam perjuangan demokrasi. Juga di Bangladesh protes mahasiswa untuk menuntut reformasi pendidikan, yang telah dibalas dengan kekejaman sehingga mengorbankan 50 mahasiswa yang berprotes, telah mencetuskan gerakan massa dan menggulingkan presiden Sheikh Hasina.
Manakala di Sri Lanka kerajaan korup pemerintahan dinasti Rajapaksa telah dihapuskan sama sekali dan digantikan dengan kerajaan yang dianggap lebih kiri dan progresif. Protes yang disebut sebagai Aragalaya pada awalnya dicetuskan oleh anak muda dan mahasiswa. Gelombang kebangkitan mahasiswa tidak dapat dinafikan lagi dan masih ada beberapa siri kebangkitan mahasiswa yang sedang bangkit dan tidak sempat disebutkan disini. Seperti kebangkitan mahasiswa di Eropah dan AS menentang peperangan dan kekejaman regim Israel, sedang memberikan cabaran kepada kelas pemerintah akan kebarangkalian cetusan akan menggabungkan perjuangan kelas pekerja secara keseluruhan. Cetusan gelombang kebangkitan mahasiswa yang sedang wujud di seluruh dunia turut terpukul dalam negara – mahasiswa ingin menuntut sebuah pemerintahan yang lebih adil terhadap rakyat.
Mahasiswa ingin mengangkat kembali idea perjuangan yang selama ini sudah terlalu lama dibungkam dan semakin lesu. Sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang telah menjanjikan pelbagai reform seperti pendidikan percuma, mansuh PTPTN, dan meningkatkan gaji minimum telah dikhianati dan dilupakan. Pejuang-pejuang reformasi seperti Adam Adli dan Maria Chin, meskipun telah mengambil jawatan dalam kerajaan tidak pun berjaya melakukan apa-apa perubahan bermakna. Walhal pada masa yang sama golongan mahasiswa dan anak muda dikelilingi kemiskinan dan penindasan yang semakin menjadi-jadi. Oleh itu, kami amat menyokong perjuangan mahasiswa dan anak muda dalam mengorak langkah mengakhiri penindasan dan pengabaian kerajaan terhadap rakyat.
Pada waktu ini kerajaan Madani tidak punya apa-apa mekanisme untuk menunaikan janji manifesto yang telah membawa mereka ketampuk kerajaan. Malah kerajaan telah mengumumkan untuk melaksanakan program penjimatan dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini. Misalnya potongan subsidi diesel dan peningkatan tarif elektrik. Ini harus dianggap sebagai signal hala tuju kerajaan pimpinan Anuar ke arah neoliberalisme yang pasti akan menyebabkan penghakisan hak-hak demokratik bagi rakyat terutama kelas pekerja. Seperti penswastaan aset-aset awam negara kepada GLC menyebabkan peningkatan jumlah pekerja berstatus kontrak yang sekaligus akan menyukarkan pekerja untuk bersatu dan mewujudkan kesatuan di tempat kerja yang sudahpun dirumitkan dengan hal-hal birokrasi untuk menentang sebarang penindasan dari kelas majikan. Situasi ini pasti akan memberikan kesan kepada anak muda dan mahasiswa yang bakal menjadi pekerja untuk kelangsungan hidup.
Di Malaysia, kerajaan kapitalis Madani walaupun telah berjanji untuk memansuhkan akta yang menindas gerakan mahasiswa, hanyalah tinggal janji. Buat kepimpinan mahasiswa, tuntutan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej merupakan sebuah tuntutan demokratik yang perlu diangkat dan diambil oleh kepimpinan. AUKU merupakan sebuah akta yang diluluskan pada tahun 1971 berikutan gelombang penentangan anak muda yang bangkit di serata dunia terhadap sistem kapitalisme yang menindas dan sedang mengalami krisis inflasi dan pengangguran yang tinggi. Keberadaan kelas petani terus diancam oleh perkembangan kapitalisme dan tidak berdaya untuk melangsungkan kehidupan yang manusiawi. Pada masa yang sama, kelas kapitalis penjajah dan sekutunya merasa terancam dengan gerak daya dan kekuatan anak muda, yang mempunyai kemampuan untuk menggugat keberadaan status quo dan membuka peluang untuk melanjutkan perjuangan ke arena yang lebih revolusioner.
Kerajaan Madani hari ini bukan saja tidak menghapuskan akta yang diwarisi daripada pemerintahan UMNO yang memimpin mengikut acuan peninggalan penjajah, malah mempergunakannya untuk status mereka sendiri. Seperti akta hasutan yang telah digunakan untuk mengintimidasi anak muda dan mahasiswa yang berprotes di hadapan parlimen untuk hak air di Sabah antara Mei dan Julai yang lalu. Akta-akta yang bersifat menghalang ataupun merumitkan sebarang gerakan yang menuntut perubahan yang lebih progresif samaada anak muda ataupun pekerja, amat berkait dengan tujuan untuk mengawal kebangkitan rakyat daripada mencabar sistem kapitalisme yang berasaskan keuntungan dan status quo kelas kapitalis.
Oleh itu, krisis air yang sudah bertahun lamanya di Sabah, tragedi pembakaran rumah Bajau Laut, sebuah projek pengusiran paksa oleh kerajaan negeri – yang menjadi pencetus kepada inisiatif HARAM ini juga perlu dilihat secara meluas – yakni dengan menghubungkaitkannya dengan permasalahan sistem kapitalisme. Oleh itu, kepimpinan mahasiswa perlu mengatur langkah dan memikirkan apakah strategi yang tepat supaya perjuangan yang ingin diangkat dapat dihubungkan dengan perjuangan yang lebih besar – iaitu ke arah perjuangan menghancurkan kapitalisme dan menggantikannya dengan masyarakat yang lebih adil dan progresif iaitu demokratik sosialisme.
Kelemahan utama yang dapat dipelajari daripada gerakan anak muda selama ini adalah ketiadaan perspektif akan kelas sosial manakah yang sebenarnya dapat melaksanakan dan memimpin perjuangan menuntut perubahan dan seringkali meletakkan harapan kepada kepimpinan parti-parti politik elit yang secara asasnya – tidak pernah mewakili kepentingan kelas pekerja dan menjadi orang tengah untuk memastikan sistem kapitalisme yang bersifat menindas ini dapat distabilkan dan diteruskan fungsinya. Organisasi kami, Sosialis Alternatif berhujah bahawa kepimpinan mahasiswa perlu mengorientasikan gerakan perjuangan mahasiswa bersama-sama perjuangan kelas pekerja. Kelas pekerja, melalui organisasinya mempunyai kekuatan yang revolusioner; berikutan keberadaan kelasnya di dalam sistem kapitalisme – sebagai sebuah kelas yang menghasilkan segala keperluan masyarakat ketika ini dan mempunyai kebolehan untuk mengubah struktur masyarakat untuk menjadi lebih saksama buat semua.
Kami menyeru kepada kepimpinan mahasiswa, terutamanya yang berjuang di bawah organisasi HARAM ketika ini – untuk bergabung tenaga bersama organisasi kelas pekerja dan mengangkat perjuangan ke arah yang lebih luas – yakni ke arah perubahan progresif yang bersifat kekal melalui kekuatan dan politik kelas pekerja yang tersusun secara mandiri. Sistem kapitalisme yang sedang menghancurkan masyarakat di seluruh dunia perlu digantikan dengan sistem yang lebih adil iaitu sosialisme demi menjamin sebuah masa depan buat generasi sekarang dan juga generasi seterusnya. Usaha mahasiswa untuk mewujudkan gabungan ini sememangnya perlu disokong demi kelangsungan perjuangan rakyat menentang sistem kapitalisme yang menindas. Akhir kata, pada anak muda, kelas pekerja dan juga kepimpinan mahasiswa yang sedang menyusun perjuangan, Sosialis Alternatif sebagai organisasi yang secara konsisten berjuang untuk menghapuskan kapitalisme dan berkempen kepada pekerja untuk menyusun perjuangan turut ingin mengambil kesempatan atas keterbukaan mahasiswa dan anak muda untuk bersama-sama bergabung dalam perjuangan demi mengatur langkah ke hadapan untuk membentuk masyarakat yang lebih adil untuk semua.
Solidariti!
Kongsi Artikel Ini
Artikel Berkaitan