Pembinaan Parti Massa dengan Kepimpinan Kelas Pekerja  berlandaskan Program Sosialisme perlu sebagai alternatif kepada krisis dalam pasaran bebas kapitalisme  

Pilihanraya umum Singapura berlangsung pada 11 Julai lepas dengan sebanyak 11 parti bertanding demi 93 kerusi Parlimen. Parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang telah memerintah 57 tahun semenjak 1965 (selepas keluar daripada Malaysia), terus mengekalkan majoriti dengan memenangi 83 kerusi, tetapi pihak pembangkang dari Parti Pekerja (WP) telah berjaya meningkatkan jumlah kerusi mereka dari 6 ke 10 pada PRU kali ini. Walaupun tidak memenangi sebarang kerusi, Parti Pembangunan Singapura (PSP) yang baru ditubuhkan pada tahun lepas telah berjaya meraih peratusan undi yang banyak di beberapa tempat mereka bertanding. Selain itu, satu lagi parti pembangkang, Parti Demokratik Parti (SDP) juga telah berjaya mendapat peratusan undi yang paling baik sejak 1990-an.

Pilihanraya Singapura terbahagi kepada Group Representative Constituent (GRC) dan Single Member Constituent (SMC). Di kawasan GRC, parti-parti yang bertanding perlu meletakkan 4 atau 5 calon dari parti yang sama (bergantung dengan kawasan) dan bertanding secara berkelompok. Manakala di kawasan SMC hanya seorang calon dari setiap parti yang bertanding akan dipilih berdasarkan undi majoriti. Secara am, GRC merupakan kawasan yang dipegang kukuh oleh parti pemerintah PAP dan selalunya akan mendapat peratusan undi yang banyak. Tetapi pada PRU kali ini, PAP telah hilang 2 kerusi GRC kepada pasukan pembangkang WP.

Seramai 96% daripada pengundi yang layak telah mengambil bahagian dalam PRU ini. Tetapi, walaupun memenangi majoriti dengan mudah, PAP telah hanya berjaya mendapat 61.2% daripada undi popular. Ini merupakan PRU yang kedua paling teruk dalam sejarah PAP semenjak kemerdekaan Singapura dan melihat kejatuhan sebanyak 8% daripada undi PRU lepas pada tahun 2015. Selain itu, PAP juga telah kehilangan sokongan undi di hampir semua kerusi yang melihat persaingan yang sengit pada tahun ini.

Calon-calon PAP yang mempunyai harapan sebagai generasi kepimpinan PAP baru seperti Timbalan Perdana Menteri dan ahli-ahli kabinet juga didapati tidak mendapat sokongan yang kukuh. Kebanyakkan daripada mereka telah hanya menang tipis di kawasan-kawasan mereka sehingga mewujudkan tanda tanya mengenai masa hadapan PAP sebagai parti pemerintah yang kukuh.

Seperti yang diketahui umum, sepertimana di PRU-PRU sebelum ini, pada tahun ini juga parti pemerintah PAP telah menggunakan kuasa mereka untuk menindas para politik dari pembangkang. Kuasa dan sumber kerajaan telah dipergunakan untuk menarik beberapa calon ke mahkamah di atas tuduhan-tuduhan yang remeh dan menyebarkan fitnah dan propaganda palsu mengenai kem pembangkang. PAP juga tidak mampu memberikan penyelesaian konkrit kepada isu-isu sosial dan hanya menggunakan ketakutan rakyat dalam menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi sebagai hujah utama. Menurut ahli politik PAP, “rakyat memerlukan sebuah pemerintahan yang kuat dan berpengalaman bagi membawa rakyat keluar daripada krisis yang sedang dihadapi”.

Pada masa yang sama, parti-parti pembangkang juga tidak boleh melakukan ceramah-ceramah politik yang biasanya menjadi kempen PRU mereka yang utama. Adalah juga sangat jelas bahawa PAP telah cuba mempergunakan krisis Covid19 untuk mengurangkan aktiviti pembangkang dan menjamin kemenangan mereka. Sebab itu, walaupun angka jangkitan Covid19 di negara itu masih sangat tinggi dengan purata jangkitan baru sebanyak 300 setiap hari, kerajaan telah mengambil keputusan untuk meneruskan PRU sepertimana yang dijadualkan. Kepimpinan PAP sedar bahawa negara ini sedang menuju ke arah sebuah resesi ekonomi (diumumkan sejurus selepas kemenangan PRU) dan peluang kemenangan untuk PAP akan semakin berkurangan jika sebuah krisis ekonomi tercetus sebelum PRU. Tambahan pula, kerajaan PAP juga baru menyuntik dana sebanyak 68 billion Dollar Amerika bagi menampung krisis Covid19 dan telah melengahkan krisis ekonomi yang bakal melanda Singapura tidak lama lagi.

Walaupun begitu, pihak pembangkang, terutamanya WP telah berjaya mendapat sokongan daripada rakyat, terutamanya dari kawasan-kawasan miskin dan telah mengukuhkan posisi mereka di Parlimen. Kebanyakkan daripada calon WP juga merupakan anak muda dan senarai calon mereka mempunyai umur purata di bawah 35 tahun. Ini merupakan perubahan dalam politik Singapura yang biasanya hanya meletakkan calon-calon yang dianggap berpengalaman. Ahli parlimen yang paling muda di sejarah Singapura juga merupakan calon WP bernama Raesah Khan yang hanya berumur 26 tahun. Raesah merupakan seorang aktivis dan pejuang hak asasi wanita yang aktif dalam gerakan-gerakan rakyat di Singapura.

WP telah membawa beberapa tuntutan dan program yang membawa tumpuan kepada jurang antara orang kaya dan miskin di Singapura yang sangat lebar. Tuntutan mereka adalah seperti pengenalan gaji minimum, meluaskan kebajikan dan dana sosial bagi rakyat miskin dan warga berumur di Singapura dan beberapa tuntutan sosial lain yang dapat menarik perhatian rakyat. Selain itu mereka juga membawa isu-isu yang menarik anak muda seperti isu kesaksamaan gender, isu kemerosotan alam sekitar dan isu korupsi di dalam politik Singapura.

Tetapi, secara keseluruhan, mesej dan hala tuju WP tidak berapa jelas dan tidak nampak berbeza daripada parti-parti lain di Singapura termasuk parti pemerintah PAP. Walaupun membawa beberapa tuntutan sosial, masih lagi WP tidak menjelaskan kepada rakyat bagaimana mereka akan menghadapi krisis ekonomi kapitalisme yang akan melanda bukan sahaja di Singapura, malah juga di rantau Asia Tenggara dan dunia. WP tidak membawa sebarang alternatif kepada sistem kapitalisme yang terbukti rakus dan tidak mampu untuk menyelamatkan rakyat daripada krisis ekonomi yang sangat parah. Sistem kapitalisme juga merupakan penyebab kepada semua isu-isu sosial yang sedang dihadapi oleh rakyat di Singapura dan di seluruh dunia pada waktu ini.

Jika WP telah membawa hujah untuk sebuah sistem ekonomi alternatif dengan hala tuju yang jelas berteraskan pada perjuangan rakyat tertindas, pastinya mereka akan dapat mengukuhkan posisi mereka di arena politik negara. Tetapi, setakat ini, WP hanya ingin membawa reformasi kepada sistem kapitalisme dan tidak berjaya membezakan diri mereka dengan ahli-ahli politik kapitalis yang lain. Oleh kerana persamaan ideologi dan polisi parti WP dengan PAP yang masih berteraskan sistem kapitalisme, mereka gagal untuk menonjolkan diri mereka sebagai alternatif yang munasabah.

Tetapi, disebabkan oleh pelbagai masalah-masalah sosial di Singapura, parti pemerintah PAP sedang semakin kehilangan keyakinan daripada rakyat dan rakyat sedang mula mencari alternatif yang lebih munasabah. Parti-parti pembangkang yang berlandaskan kepada kapitalisme tidak dapat memberikan alternatif kepada kepincangan sosial dan ekonomi yang diwujudkan oleh sistem pasaran bebas kapitalisme. Kelas pekerja dan anak muda dengan landasan politik alternatif perlu memainkan peranan mereka disini dalam pemembinaan sebuah parti berlandaskan program sosialisme untuk membina alternatif kepada sistem kapitalisme yang hanya berfungsi demi golongan elit kaya dan bukan demi rakyat.

Walaupun Singapura adalah terkenal sebagai negara yang paling maju di rantau Asia Tenggara, rakyat di sana sudah mula melihat penurunan taraf kehidupan secara mendadak dalam 2 dekad yang lalu. Gaji pekerja tidak melihat peningkatan manakala keuntungan syarikat-syarikat besar pula meningkat berganda-ganda. Malah di dalam krisis Covid19, kerajaan didapati lebih mengutamakan kesejahteraan golongan pemilik syarikat dan kapitalis kaya dan mengetepikan keperluan jutaan rakyat yang sedang merana. Sudah wujud krisis perumahan di Singapura di mana golongan atas umur 65 tahun mendapati diri mereka tidak berupaya untuk meneruskan pembayaran sewa rumah kerajaan akibat kekurangan dana perbelanjaan sosial dari kerajaan. Pemotongan dana kebajikan daripada kerajaan juga sedang mewujudkan kemiskinan, taraf kesihatan yang merosot dan memberi impak kepada sebahagian besar daripada populasi Singapura.

Manakala,  pekerja migran yang memainkan peranan utama dalam menyumbangkan tenaga buruh di kilang-kilang di Singapura dengan gaji murah merupakan golongan teramai yang terjebak dengan jangkitan Covid19. Kesatuan Sekerja yang mengampu kerajaan PAP dan agenda kapitalisme, tidak memberikan sebarang penyelesaian kepada isu-isu pekerja tempatan dan pekerja migran. Pembinaan Kesatuan Sekerja yang bebas juga perlu untuk menyatukan pembinaan kuasa dan gerakan pekerja di Singapura.

Lagi satu faktor bagi penurunan peratusan undian kepada PAP adalah kerana golongan anak muda yang telah beralih kepada pihak pembangkang yang membawa aspirasi mereka untuk mendapatkan demokrasi yang lebih sihat dan polisi-polisi yang mengutamakan kesaksamaan gender dan alam sekitar yang sedang merosot. PAP dianggap sebagai struktur yang birokratik dan tidak berjaya menambat hati anak muda Singapura. Tambahan pula, propaganda negatif yang dipermainkan oleh PAP terhadap pihak pembangkang dilihat sebagai taktik kotor dan tidak boleh direstui dengan undi.

Selepas kemenangan PAP, dalam minggu yang sama, Singapura telah mengumumkan bahawa negara ini telah masuk ke resesi ekonomi. Ini adalah disebabkan oleh impak yang besar daripada pandemik Covid 19 dan kemelesetan ekonomi dunia yang memberikan impak yang mendalam bagi ekonomi Singapura. Beberapa institusi kewangan juga telah melaporkan bahawa Singapura boleh melihat penyusutan KDNK mereka sebanyak 8% pada tahun ini. Ini merupakan antara pertumbuhan yang paling lembab dalam sejarah Singapura.

Jika kerajaan PAP gagal untuk menangani krisis yang sedang memberi kesan yang mendalam kepada ekonomi Singapura, maka kerajaan ini akan menjadi tidak stabil dan semakin tidak popular. Krisis ini pastinya akan melemahkan parti pemerintah PAP yang sehingga sekarang tidak mempunyai sebarang solusi untuk keluar daripada malapetaka yang sedang dihadapi.

Singapura berada di ambang krisis ekonomi dan keadaan ini boleh mencetuskan krisis-krisis politik dan mewujudkan gerakan-gerakan massa rakyat yang berjuang demi kehidupan mereka. Di dalam situasi ini, Singapura memerlukan sebuah kepimpinan kelas pekerja dan anak muda yang boleh membawa alternatif ekonomi dan perspektif politik yang kukuh. Pada masa yang sama, kepimpinan ini juga harus membawa program-program rakyat bagi menyatukan semua perjuang rakyat yang wujud di negara itu. Tanpa sebuah kepimpinan kelas pekerja dan anak muda berlandaskan sosialisme dan bebas daripada pengaruh pihak kapitalis kaya, rakyat di Singapura tidak akan mampu untuk membebaskan diri mereka daripada cengkaman krisis ekonomi dan sosial yang diwujudkan oleh kapitalisme dan kini sedang tersebar di Singapura dan ke seluruh dunia.