PRN Melaka : Krisis Politik Kapitalisme Berterusan

Melaka secara tradisinya merupakan kubu kuat Barisan Nasional yang hanya jatuh pada PRU-14 lepas apabila Pakatan Harapan telah berjaya menang di 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri. Tetapi selepas langkah ‘Sheraton’ yang melihat kuasa kerajaan pusat bertukar tangan, kerajaan Melaka juga jatuh pada Mei tahun lepas apabila beberapa ADUN dari PH lompat ke kem politik lawan. Oktober tahun ini pula, kerajaan Melaka jatuh sekali lagi apabila 4 orang ADUN menarik balik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri dari BN dan menyertai kem PH. 

Oleh itu, rakyat Melaka bukan sahaja terpaksa menghadapi sebuah situasi krisis politik, mereka juga terpaksa melalui sebuah Pilihan Raya Negeri jauh lebih awal daripada jadual yang ditetapkan di dalam keadaan gejala Covid-19 yang masih belum berjaya dilupuskan sepenuhnya. 

Keputusan PRN Melaka

Melihat keputusan akhir PRN Melaka, ianya jelas bahawa cubaan PH untuk merebut kembali kuasa kerajaan Melaka telah gagal. Walaupun ketiga-tiga BN, PN dan PH telah bertanding di semua 28 kerusi, cuma BN telah melihat kemenangan dalam angka dua digit sebanyak 21 kerusi dan berjaya memperoleh lebih daripada dua per tiga kerusi DUN. PH hanya berjaya mendapat 5 kerusi dan DAP telah kehilangan 4 daripada 8 kerusi mereka. Amanah berjaya mengekalkan 1 kerusi DUN dan PKR telah hilang ketiga-tiga kerusi mereka. Daripada koalisi PN di bawah gabungan antara PAS, Bersatu dan Gerakan, cuma Bersatu berjaya mendapat 2 kerusi.  

Parti-parti komponen BN seperti MIC dan MCA juga berjaya menguatkan posisi politik mereka dengan meraih 3 kerusi yang telah memberi kelebihan besar kepada BN. Manakala, parti-parti lain yang bertanding seperti Parti Pesaka, Iman dan 22 orang calon bebas, tidak menerima undi yang signifikan.  Pada masa yang sama, calon-calon yang telah lompat parti ke kem-kem politik berbeza semuanya tidak berjaya mengekalkan mandat mereka. 

Faktor kemenangan BN

Salah satu faktor yang menyumbang kepada kemenangan BN di PRN Melaka kali ini adalah kekuatan jentera politik mereka. BN yang sudah lama bertapak di Melaka mempunyai bilik gerakan, sukarelawan, struktur birokrasi dan kewangan yang kukuh di hampir setiap kawasan pemilihan. Terutamanya di dalam keadaan pandemik yang penuh dengan pelbagai SOP yang mewujudkan had-had tertentu, parti-parti lain seperti Bersatu tidak mampu untuk menandingi jentera kempen BN. Ini juga benar di alam internet di mana BN telah berjaya mencurahkan sumber kewangan mereka untuk melanjutkan kempen politik di media-media sosial. 

BN kali ini telah membuat beberapa perubahan dalam menghadapi PRN Melaka. Misalnya lebih daripada 80% calon yang bertanding merupakan muka-muka baru yang belum pernah memegang jawatan ADUN di Melaka. Kebanyakan daripada mereka juga merupakan anak muda. Selain itu, BN juga telah membawa isu lompat parti dan berjanji untuk menguatkuasa enakmen anti lompat parti di Melaka jika mereka berjaya. Walaupun BN sendiri telah berulang kali terlibat dalam skandal lompat parti, isu ini dilihat sebagai isu hangat dan boleh digunakan untuk menarik perhatian rakyat yang sememangnya sudah muak melihat kerenah ahli-ahli politik yang mengubah aliansi mereka sesuka hati, tanpa mempedulikan kehendak rakyat. Realitinya, semua parti arus perdana yang bertanding di Melaka pernah terlibat sama dalam kelakuan lompat parti ini di sepanjang kewujudan mereka dan tidak pernah mempertimbangkan undi rakyat biasa. 

Kekecewaan rakyat terhadap PH

Walaubagaimanapun, faktor utama yang telah memberikan BN majoriti di PRN kali ini adalah kekecewaan rakyat terhadap kepimpinan PH yang telah melupakan segala janji PRU selepas berjaya mendapat kuasa kerajaan pada 2018. Dalam situasi dimana korupsi parti BN telah terdedah luas dan taraf kehidupan rakyat semakin merosot, rakyat telah menaruh harapan kepada ahli-ahli politik PH untuk menunaikan janji-janji mereka. Tetapi, malangnya, bukan sahaja PH telah mengecewakan rakyat dengan melupakan janji mereka, malah PH juga terbukti tidak beramanah dan membenarkan gejala lompat parti menjadi satu amalan di politik tempatan. PH telah menerima semua pihak yang melompat parti dengan tangan terbuka sehingga ke hari ini sama dengan parti-parti lain. 

Pada masa yang sama, PH juga gagal untuk membawa sebarang program yang boleh menguja sokongan daripada rakyat biasa. Calon dan kepimpinan PH tidak mempunyai sebarang program kebajikan yang merujuk kepada situasi rakyat biasa yang sedang merana akibat kegawatan ekonomi ekoran pandemik Covid -19. Sebaliknya, kebanyakan daripada kempen PH tertumpu di sekitar isu skandal rasuah parti BN dan bekas Perdana Menteri Najib Razak. 

Walaupun isu rasuah merupakan isu yang penting, tetapi, PH yang diberi mandat oleh rakyat di PRU 14 lalu telah gagal untuk meningkatkan taraf hidup rakyat biasa hanya dengan usaha untuk membendung korupsi di kerajaan. Dari sudut ekonomi, PH masih memilih untuk memperkenalkan polisi-polisi kerajaan yang sentiasa memberi kelebihan kepada kelas kapitalis kaya dan meminggirkan rakyat biasa. Di bawah kepimpinan BN, PH dan PN sekarang, golongan pemodal kaya sedang terus meningkatkan kekayaan mereka manakala kelas pekerja dan rakyat biasa sedang semakin lemas dengan beban ekonomi dan sosial yang melampau. 

Malah, didapati bahawa beberapa ahli politik di kalangan PH sendiri merupakan korup  sepertimana yang didedahkan melalui kertas siasatan bernama ‘Pandora Papers’ baru-baru ini, sama dengan ahli politik BN. Oleh itu, walaupun membawa retorik dan penerampilan yang berbeza, koalisi BN, PH dan PN semuanya merupakan perwakilan kelas atasan yang mempunyai kuasa wang dan menggunakan kuasa tersebut untuk membeli dan mempengaruhi ahli-ahli politik. Penubuhan-penubuhan politik ini hanya menabur janji dan mengguna pakai slogan-slogan tertentu, semata-mata untuk menarik undi rakyat bagi memberikan ilusi demokrasi. Sebenarnya, rakyat biasa tidak mempunyai sebarang demokrasi untuk menentukan masa depan mereka. 

Peningkatan sentimen ‘anti-pertubuhan’ 

Kekecewaan rakyat terhadap semua ahli-ahli politik yang bertanding di PRN Melaka tercermin dalam peratusan rakyat yang turun mengundi. Cuma 65% daripada pengundi berdaftar telah mengambil bahagian di dalam PRN Melaka 2021 berbanding 80% di PRU 14 lalu. Pada 2018, walaupun BN telah mendapat sebanyak 150 ribu undi popular, mereka hanya berjaya menawan 13 DUN. Tetapi kali ini, BN telah meraih sebanyak 21 kerusi dengan hanya 120 ribu undi. Manakala PH pula telah kehilangan hampir 100 ribu undi berbanding PRU lepas. 

Satu lagi butiran yang harus di teliti adalah, walaupun BN secara rasmi memperoleh 21 kerusi DUN dan PH hanya berjaya mendapat 5 kerusi, perbezaan undi popular di antara mereka adalah hanya sekitar 6000 undi. Ini mendedahkan bahawa, walaupun BN berjaya menggondol banyak kerusi berbanding PH, ia tidak mencerminkan sebarang peningkatan sokongan rakyat majoriti untuk BN. Secara purata, BN hanya mendapat 39% daripada jumlah pengundi dan PH mendapat 36%. 

Oleh itu, kemenangan ini tidak bermakna bahawa BN telah berjaya memulihkan sokongan rakyat terhadap parti mereka dan akan menawan kembali kuasa kerajaan di PRU yang akan datang. PRU adalah jauh lebih kompleks dan faktor-faktor lain akan memainkan peranan. Kemenangan BN di Melaka tidak menjamin sebarang kejayaan dalam PRU 15 nanti. 

Pada waktu ini, tidak ada mana-mana parti atau koalisi politik yang mampu meraih sokongan yang tak berbelah bahagi daripada rakyat majoriti. Terutamanya akibat pandemik yang memudaratkan ekonomi, rakyat biasa sudah semakin sedar dengan kerakusan ahli-ahli politik dari pertubuhan arus perdana yang sudah berulang kali menggagalkan mereka. Tidak ada mana-mana pertubuhan politik tersebut yang boleh meyakinkan rakyat biasa bahawa mereka akan bertanggungjawab dalam memelihara kepentingan rakyat dan menentang kehendak para kapitalis kaya yang tamak.   

PRU 15

Selepas PRN Melaka, selain daripada persiapan untuk PRN Sarawak, semua pertubuhan politik kapitalis akan bersiap sedia untuk menghadapi PRU ke 15 yang dinanti-nanti oleh mereka. Bagi ahli-ahli politik elit, PRU merupakan medan pertarungan untuk merebut kuasa kerajaan yang akan menjanjikan pulangan yang lumayan. 

Oleh itu, di bulan-bulan yang akan datang, pelbagai formasi politik baru boleh terbentuk. BN akan menggunakan kemenangan mereka di PRN Melaka untuk cuba memancing kerjasama politik dengan PAS bagi menghidupkan kembali koalisi Muafakat Nasional yang sudah lama tersadai. Ini boleh menguatkan posisi mereka dalam menghadapi PRU kelak. Pada masa yang sama, PH juga akan mencuba untuk menandingi BN dan mencari aliansi baru yang boleh mengukuhkan peluang mereka pula. 

Dalam permainan politik ini, musuh boleh menjadi kawan dan kawan boleh menjadi musuh dalam sekelip mata. Walaupun ianya sukar untuk meramalkan hala tuju parti-parti berbeza, tetapi, yang pastinya mereka akan bergerak demi cita-cita politik peribadi dan kepentingan kepimpinan parti, bukannya kepentingan rakyat biasa. Oleh itu, dalam permainan politik ini, hanya para kapitalis dan pemodal kaya yang akan mendapat kemenangan dan rakyat biasa akan sentiasa menjadi mangsa. 

Alternatif

Di dalam situasi ekonomi yang merosot setiap hari, sentimen anti-pertubuhan dari rakyat biasa boleh terus meningkat. Rakyat yang sudah lesu dengan permainan politik dari pertubuhan-pertubuhan elit akan lebih terbuka kepada idea-idea yang membawa aturan ekonomi dan politik yang berbeza daripada apa yang disajikan kepada rakyat pada waktu ini. Kelas pekerja dan rakyat miskin terutamanya sedang terkapai-kapai mencari sebuah solusi kepada permasalahan ekonomi mereka yang berpanjangan.

Dalam keadaan ini, organisasi-organisasi sosialis dan kelas pekerja haruslah ke hadapan dan membawa sebuah idea untuk mencari alternatif kepada sistem ekonomi kapitalisme yang bukan sahaja rakus, malah sedang menggadaikan kesejahteraan umat manusia. Rakyat yang tidak mempunyai sebarang perwakilan politik yang benar-benar mewakili kepentingan mereka di Parlimen harus menolak semua pertubuhan politik arus perdana yang sedia ada, dan memulakan sebuah usaha untuk membina kepimpinan politik sendiri. 

Melalui perjuangan-perjuangan kelas pekerja dan rakyat yang bakal timbul, rakyat biasa boleh membina sebuah kepimpinan politik yang membawa segala isu-isu ekonomi, sosial dan politik rakyat tertindas ke hadapan. Malah pada waktu ini, kelas pekerja yang tersusun di bawah kesatuan-kesatuan sekerja boleh memulakan kerja-kerja asas untuk membina kepimpinan politik massa yang boleh berkembang menjadi sebuah kuasa politik yang besar di masa yang akan datang. 

Organisasi sosialis yang ada di Malaysia haruslah menggunakan program transisi, iaitu sebuah program yang merujuk kepada isu-isu harian rakyat miskin dan pada waktu yang sama juga mendedahkan kerakusan sistem kapitalisme yang menjadi sumber kepada segala kesengsaraan yang dihadapi rakyat massa. Ianya tidak cukup untuk membina sebuah program yang akan disokong oleh rakyat majoriti. Program tersebut juga haruslah mengandungi hala tuju parti yang akan berjuang menentang kelas kapitalis dan kekuasan politik mereka dengan jelas. Rakyat biasa sudah banyak kali tertipu dengan penubuhan politik yang menabur pelbagai janji-janji manis, tetapi sering menarik balik janji tersebut sejurus mendapat tekanan dari para kapitalis elit yang berkuasa ke atas ekonomi. Kepimpinan rakyat tidak boleh berundur daripada mencabar kekuasaan para kapitalis ini demi membawa perubahan yang nyata dan bermakna bagi rakyat. 

Kerajaan yang berada di bawah cengkaman kapitalis tidak boleh diharapkan untuk membawa sebarang program-program yang boleh meningkatkan taraf kehidupan rakyat biasa. Bagi mempertahankan hak dan kebajikan rakyat jelata, sebuah kepimpinan politik dengan penyertaan massa, yang dikendalikan secara demokratik dan membawa program dan hala tuju politik yang jelas haruslah dibina dengan segera. Kegagalan untuk bergerak ke arah konklusi tersebut akan mengekalkan kekuasaan di tangan para kapitalis yang tidak akan teragak-agak untuk memangsakan rakyat biasa demi keuntungan peribadi.

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top